Home Novel Cinta Benci Itu Rindu
Benci Itu Rindu
Angela Engkuan
4/2/2014 09:44:47
32,727
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

SUARA nyaring Amizan yang ketawa girang begitu jelas kedengaran. Wajah Adila yang kemerahan kerana panahan cahaya matahari semakin kemerahan apabila mendengar olokan Amizan yang tidak mampu dikejarnya. Dibendang mereka berkejaran namun Adila tidak mampu mengejar adiknya.

“Kak Dila, kejarlah lagi... Mizan tunggu ni,” ejek Amizan sambil mencebik.

“Mizan, tunggu! Kalau kakak dapat, siap Mizan. Kak cubit-cubit!” laung Adila.

Semakin galak Amizan mengolok-olokkan mendengar gertakan Adila. Terkekek-kekek dia ketawa.

“Kejarlah kalau dapat! Mizan baling dengan lintah ni nanti,” ugut Amizan pula sambil menghampiri kakaknya.

Adila berlari menjauh. Lintah paling ditakutinya.

“Mama... tengoklah anak buruk ni... jahat!” jeritnya.

“Amizan, Adila, sudah-sudahlah tu. Jangan main lagi,” laung Milah pula.

“Mak... tolong! Janganlah Mizan!” jerit Adila nyaring tatkala Amizan semakin hampir.

“Alahai... budak berdua ni! Mizan, janganlah kacau kakak tu.” Milah menegakkan tubuhnya. Tergeleng-geleng kepalanya apabila melihat Adila dan Amizan saling berkejaran.

Semakin kuat suara tawa Amizan apabila Adila berselindung di belakang Milah. Amizan berhenti sambil ketawa, kedua-dua belah tangannya diangkat.

“Yeah... yeah... baru Kak Dila tahu. Nah, mana ada lintah.” Amizan membuka genggamnya yang kosong lalu mengekek ketawa.

“Dila, sudahlah... jangan main lagi,” tegur Milah.

“Adik tulah, mama. Buruk perangai!” omel Adila.

“Tak usah main lagilah. Pergi tolong Kak Mariah dengan Kak Atina tu. Mizan pergi tolong papa.” arah Milah. Wajah kedua-dua anaknya dipandang silih berganti.

Amizan tersengih-sengih. Sebelum melangkah dia bertatapan dengan Adila lantas menjelirkan lidah pada kakaknya. Dengan perasaan geram Adila turut melangkah mendapatkan Mariah dan Atina yang sedang memotong padi di petak yang lain.

Panas matahari terlalu terik menimpa mereka yang menuai di tengah bendang. Peluh malar mengalir dari kulit kepala hingga segenap wajah malah juga dari segenap badan.

Mariah yang sedang tertunduk-tunduk memotong rumpun padi sudah beberapa kali menarik kain tudungnya mengesat peluh yang mengalir laju di pipi. Atina tidak jauh darinya juga sedang tegak berdiri.

“Panas sangat. Sakit kepala dibuatnya,” rungut Atina.

“Kalau tak tahan panas, pergilah ke pondok,” kata Mariah, kasihan melihat Atina.

“Nanti mama marah,” keluh Atina.

“Marah apa pula? Kalau sakit lagilah susah. Sudahlah tu... pergi saja ke pondok. Tina tengok-tengok bekalan tu, sekejap lagi kawan-kawan mama tu akan naik makan tengah hari.” Mariah menatap wajah Atina.

“Okeylah...” Atina mengangguk.

“Dila...” laung Atina tatkala terlihat adiknya itu melangkah laju ke arah Mariah.

“Ya?” sahut Adila. Langkahnya terhenti.

“Ke sini, tolong kakak…” Atina melambaikan tangannya.

“Tolong apa? Mama suruh Dila tolong potong padi,” jawab Adila.

Mariah berdiri tegak. Diperhatikan Atina dan Adilah bersahut-sahutan.

“Alah, sinilah Dila. Tolong akak buka bekalan makanan tu,” pujuk Atina.

“Tak mahulah, Dila nak tolong Kak Mariah.” Adila tidak mengendahkan Atina. Dia semakin menghampiri Mariah.

Atina tidak terkata lagi apabila melihat Adila sudah mulai menunduk lalu menggenggam rumpun padi. Mariah menyambung kerjanya semula. Dia seronok dapat melakukan kerja-kerja di sawah padi itu. Sawah padi itu milik nenek mereka tetapi setiap tahun mereka sekeluargalah yang bertanam dan menuai. Memang penat tetapi seronok bekerja beramai-ramai.

Sesekali Mariah melirik adiknya. Adila terkial-kial setiap kali memotong rumpun padi. Cengkamannya tidak kukuh menyebabkan batang padi itu terburai dan bertaburan setelah dipotong.

“Eh, susah juga kerja ni rupanya.” Adila mengomel.

Tawa Mariah meletus apabila melihat Adila masih lagi terkial-kial menarik pisau sabitnya tersangkut pada rumput padi. Adila pantas menoleh pada kakaknya.

“Kak Mariah…”

Wajah Adila masam ditertawakan kakaknya. Pemotong padi yang tersangkut itu disentak sekuat hati. Tubuhnya terdorong ke belakang lalu jatuh terduduk kerana tidak dapat mengimbangi tubuhnya. Mariah tergelak kuat, kain sarung yang menutup kepalanya ditarik lalu ditekapkan ke mulutnya agar suara tawanya tidak kedengaran.

Adila tergamam. Sungguh terkejut kerana jatuh terduduk. Beberapa detik kemudian Adila turut ketawa, merah padam kulit wajahnya. Meskipun malu dengan kejadian itu namun dia terasa sungguh kelakar.

“Kenapa tu, Dila?” laung Tawin bertanya.

Tawin tegak berdiri di sisi tong besar tempat membanting padi. Pandangannya tertuju ke arah anak-anak gadisnya.

“Tak ada apa-apalah papa,” jawab Adila.

“Itulah... membebel lagi depan pokok padi tu, padan muka!” usik Mariah, tergelak lagi apabila ayah mereka sudah mula membantingkan padi.

“Sampai hati Kak Mariah...” rajuk Adila kerana kakaknya masih mentertawakannya.

“Eh, betullah Dila. Nasib baik bendang ni kering. Kalau berair, ada lintah... huh... huh...” Mariah menjongket-jongketkan bahunya, sengaja mengusik Adila.

Adila berdiri serta-merta. Punggungnya ditepuk-tepuk menghilangkan tanah dan daun-daun padi kering yang melekat pada seluar panjangnya. Meremang bulu romanya apabila membayangkan lintah.

“Dila tak pandai potong padi, pergilah ke pondok. Tolong Tina buka bekalan.” Lembut suara Mariah menyuruh.

“Kakak? Panas sangatlah, kak,” balas Adila.

“Sekejap lagi kakak naik. Dila pergilah dulu. Kakak nak potong sikit saja lagi.”

“Okey, kak.” Adila mengangguk dan mula beredar.

Mariah meneruskan kerjanya. Dia tidak menyedari masa kian berlalu. Terdengar namanya dilaungkan dari arah pondok. Baru disedarinya semua orang sudah berehat untuk makan tengah hari.

Ditegakkan tubuh memandang sekelilingnya. Luas hasil kerjanya. Banyak tumpukan padi yang berbuah lebat dia lumpukkan di atas tunggul padi. Tinggal dibantingkan oleh papanya nanti. Kain penutup kepalanya dikibas-kibaskan ke tubuhnya bagi menghilangkan habuk.

Mariah menolak lembut ketika diajak makan bersama.  Dia belum berselera mengisi perut dalam keadaan tubuh yang kepanasan, berpeluh dan melekit. Walhal perutnya berkeroncong tika itu. Kain yang menjadi tudungnya itu kini menjadi kipas menyejukkan tubuhnya.


SHIMRUL melaungkan nama Mariah dari hujung tangga.  Salamnya tidak bersambut. Shimrul melaungkan salam sekali lagi. Anak tangga dipijak satu per satu hingga ke anjung rumah. Pintu rumah terbuka luas. Seperti kebiasaannya, Shimrul tidak segan-segan masuk ke dalam rumah itu.

Assalamualaikum...” laung Shimrul lagi. Lebih kuat.

“Waalaikumussalam! Shim, ke tu?” sahut Anding dari arah dapur.

Shimrul melangkah ke dapur. Anding duduk di lantai beralaskan tikar. Di hadapannya ada sepinggan nasi dengan ikan tamban rebus.

“Eh, kau baru makan Anding? Dah pukul 2.30 petang.  Lambat kau makan,” kata Shimrul lantas duduk di atas tikar.

“Aku tertidur tadi, tu yang lambat makan ni. Kau dah makan, Shim? Aku ambilkan kau nasi.” Anding mempelawa.

“Tak payahlah, Anding. Aku dah makan. Perut aku ni kalau lambat diisi bukan lagi irama keroncong tapi rock,” jawab Shimrul sambil ketawa.

Anding turut ketawa. “Aku makan dulu, ya.” Tangannya sudah menjamah nasi.

“Makanlah, Anding.”

“Aku sendirian di rumah, Shim. Sunyi... itu yang buat aku tertidur,” ujar Anding.

“Yang lain pergi mana?” Shimrul baru menyedari keadaan rumah itu senyap sahaja.

“Semua ke rumah nenek, Shim. Menuai padi di sawah,” beritahu Anding sebelum menyuap makanan ke mulut.

“Patutlah senyap aje.” Anding mengangguk-anggukkan. Tangannya mulai menyuapkan nasi ke mulut. Tidak ada rasa segan dan malunya pada Shimrul kerana sejak kecil mereka sudah begitu. Anding segera menghabiskan makanannya dan meneguk segelas air.

“Anding, aku duduk di luar sana, ya. Di luar ada angin,” ujar Shimrul.

“Okey... lepas basuh pinggan ni aku keluar,” balas Anding sambil membasuh tangannya.

Anding keluar beberapa minit kemudian. Segelas kopi panas dihulurkan kepada Shimrul. Anding duduk di atas hujung tangga. Kakinya dijulurkan ke tangga.

“Anding, sebenarnya aku ada hal nak beritahu Mariah. Tadi Sue telefon. Ada pesanan untuk Mariah.”

“Sue pesan apa, Shim?”

“Sue kata ada panggilan kerja untuk Mariah. Dia lulus temu duga jadi syarikat tu minta Mariah lapor diri. Rezeki Mariah tu murah. Baru berhenti tapi mudah aje dapat kerja yang lain, kan Anding?”

Anding diam. Terpaku. Dia tidak tersalah dengar kata-kata Shimrul. Mariah berhenti kerja? Dan sekarang Mariah dapat kerja baru? Apa sebenarnya telah berlaku kepada adiknya itu?

“Mariah tukar tempat kerja? Mariah kata dia sedang bercuti,” ujar Anding.

“Ha’ah dia sedang bercuti sementara tunggu panggilan kerja,” kata Shimrul tersenyum-senyum.

Anding menghela nafas. “Shim, Mariah ada beritahu kau kenapa dia berhenti kerja?”

Shimrul mengusap dahinya, berfikir jika Mariah ada memberitahu kepadanya. “Tak ada pula dia beritahu.”

“Tak mengapalah. Mariah dah dapat kerja pun,” ujar Anding perlahan.

“Betul! Syarikat tu minta dia lapor diri secepat mungkin, Anding,” kata Shimrul lagi.

Anding mengangguk-angguk. Mengapa pula Mariah merahsiakan perkara itu darinya? Benak Anding diserbu tanda tanya.

“Anding, aku balik dulu. Tolong sampaikan pada Mariah, okey? Kata Sue, lusa Mariah perlu lapor diri,” kata Shimrul setelah meneguk habis air kopinya.

“Okey... terima kasih, Shim,” ucap Anding sambil tangannya mencengkam tiang pelantar rumah untuk turut berdiri.

“Aku balik dulu, Anding. Assalamualaikum...” Shimrul tersenyum.

Anding membalas salam. Diekorinya Shimrul dengan pandangan mata. Anding duduk semula. Wajah Mariah mula terbayang. Dia menghela nafas. Dadanya rasa berombak. Ditundukkan kepalanya. Diletakkan di atas lutut beralaskan kedua-dua belah lengannya. Hatinya pedih mengenang pengorbanan Mariah. Sepatutnya Mariah sudah pergi ke universiti. Apakah impian Mariah hanya tinggal impian?

Anding seakan-akan dapat menyelami perasaan adiknya.  Mariah pasti masih sedih dan terkilan kerana tidak berjaya ke menara gading seperti yang dia cita-citakan.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan