Home Novel Cinta Benci Itu Rindu
Benci Itu Rindu
Angela Engkuan
4/2/2014 09:44:47
94,487
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

TATKALA kakinya menapak anak tangga, Mariah tidak dapat menggambarkan betapa dia merindui rumah papan yang usang itu. Dia berdiri di hujung anak tangga, melayangkan pandangan ke halaman rumah. Angin yang bertiup menyapa dan membelai tubuhnya terasa sungguh nyaman. Udara yang disedutnya terasa segar.

Sungguh berbeza dengan udara di bandar yang sudah tercemar dengan asap kenderaan. Keadaan rumah sunyi sepi. Begitulah keadaan jika adik-adiknya belum balik dari sekolah. Emak pasti sibuk di dapur menyediakan makanan tengah hari. Mariah berdiri di ambang pintu. Melilau matanya memandang ruang rumah. Kelihatan kemas dan bersih. Bibirnya tersenyum puas, dia merindui suasana ceria rumahnya.

“Assalamualaikum mama... Abang Anding.” laung Mariah apabila berada di ruang tamu. Namun tidak ada sahutan.

Mariah melangkah ke dapur. Dia pasti mama dan abangnya berada di situ. Ceria wajah Mariah melihat mamanya duduk, berpeluh-peluh menyiang ikan.

“Assalamualaikum, mama...”

Milah terkejut pantas mendongak. Terbelalak matanya melihat Mariah terpacak di hadapannya.

“Astaghfirullahalazim... Mariah? Ya ALLAH... terkejut mama.” Milah meluruskan tubuhnya. Direnung Mariah tanpa berkedip.

“Mama terkejut macam nampak puntianak?” usik Mariah lalu ketawa.

Mariah pantas merangkul tubuh Milah seerat-eratnya tanpa peduli peluh mamanya yang merembes, melekit dan berpadu dengan peluh yang mengalir di pipinya sendiri.

“Balik tak beritahu mama pun? Tiba-tiba aje muncul.

Macam mana mama tak terkejut?” kata Milah meleteri Mariah namun bibirnya tersenyum lebar.

“Sengaja. Sekali-sekala nak jugak buat mama terkejut.” Mariah ketawa girang.

Milah ketawa. Bersinar dunianya setiap kali anak gadisnya itu balik. Tidak terkata gembira hatinya. Pasti Tawin dan anak-anak yang lain juga terkejut. Kali ini Mariah balik secara mendadak. Tidak dapat disembunyikan kegembiraan Milah, terpapar jelas di wajahnya.

“Kalau mama tahu Mariah balik, mama petik pucuk paku di belakang tu tadi. Ni mama ada masak sayur tauge,” kata Milah. Terbayang selera Mariah makan kerabu pucuk paku.

“Esok saja kita petik, ma. Papa belum balik lagi?”

“Sekejap lagi papa balik. Ni yang mama nak lekas masak. Mariah pergilah rehat dulu,” ujar Milah lalu diteruskan kerjanya menyiang ikan.

“Biar Mariah saja yang masak, ma.”

“Tak apalah, Mariah. Mama masak sekejap saja, tak banyak. Goreng ikan dan tumis betik muda tu saja.” Milah tidak sampai hati membiarkan anaknya yang baru tiba itu memasak.

“Biar Mariah yang masak, ya. Mama duduk rehat.” Mariah mendorong lembut tubuh sederhana ibunya.

“Tak apalah, mama tolong hiriskan buah betik ni saja,” kata Milah lantas mengambil buah betik muda.

Bekas berisi ikan yang baru disiangi Milah tadi Mariah bersihkan. Sebelum berhijrah ke bandar, dia mengambil alih sepenuh masa tugas memasak daripada mamanya. Mariah tersenyum. Dia teringat bila adik bongsunya, Amizan menggelarnya sebagai tukang masak, tukang kemas rumah dan tukang basuh pakaian. Semua ‘pangkat tukang’ Amizan berikan kepadanya.

Milah memerhati tubuh Mariah yang membelakanginya.  Tubuh Mariah yang kecil molek dan agak kurus berbanding adik-adiknya. Tubuh Atina dan Adila lebih tinggi dan besar berbanding Mariah. Milah bersyukur anak-anaknya kini sudah besar dan meningkat dewasa. Dia bangga apabila jiran-jiran memuji ketiga-tiga orang anak gadisnya semakin cantik, setelah meningkat remaja. Malah peramah dan bersopan santun. Kembang kuncup hati Milah.

Milah tersenyum-senyum memerhati Mariah yang cekap memasak. Sungguh comel wajah Mariah yang kemerahan walaupun bermandi peluh. Buah betik muda ynag dihiris oleh Milah tadi, telah pun siap.

“Sayur betik tu Mariah tumis campur sedikit ikan masin, ya ma?” kata Mariah sambil mengangkat kuali lalu dicuci.

“Ikut suka Mariahlah,” jawab Milah lembut.

“Abang Anding mana?”

“Abang ikut papa menoreh,” jawab Milah sambil menatap seketika pada anak gadisnya

“Abang ikut menoreh? Abang larat ke?”

“Entahlah, Mariah. Papa sudah melarang tapi abang degil.  Mama bimbang juga nanti kaki abang sakit macam dulu.  Mama tak tahu manalah nak cari duit untuk rawatan. Dua kali sebulan ke hospital pun papa jimatkan duit. Syukurlah ada sikit duit Mariah. Itulah mama sisipkan buat tambah belanja,” luah Milah. Keadaan mereka selalu meruncing semenjak Anding tidak sihat.

Mariah terkaku, bungkam. Keluarganya masih dibelenggu masalah kewangan. Perkara yang merisaukan Mariah. Jika mengetahui dia kini jadi penganggur, mungkin akan menambahkan lagi kerunsingan mamanya.


LAMA Anding berdiri di hujung tangga, memerhati adiknya duduk termenung di bawah pokok mangga yang rendang.  Sudah lebih sepuluh minit Mariah begitu. Selesai menyiram pokok-pokok bunga, dia menuju bawah pokok mangga.

Anding memerhati sekeliling halaman rumah mereka yang bersih. Halaman luas tetapi  hampir sebahagian pokok bunga itu ditanam oleh Mariah sendiri. Pokok-pokok bunga itulah penyeri halaman rumah mereka. Rumah papan itu sudah usang, tidak pernah mengenal warna cat. Dahulu atap daun rumbia, kini sudah berganti dengan atap zink yang berkualiti rendah.

Anding menarik nafas sedalam-dalamnya lalu dihembuskan dengan keluhan. Dia  mengheret langkah, dia berusaha berjalan walaupun ada ketikanya kaki itu terasa amat sakit. Namun ditahan sedaya upaya. Dia tidak mahu dirinya kelihatan lemah. Sudah terlalu lama ibu bapa dan adik-adiknya melihat dia terlantar di dalam rumah. Sekali lagi Anding menghela nafas lalu melangkah perlahan-lahan menghampiri adiknya.

“Rajinnya adik abang ni. Bunga tu kurang berseri kalau tidak pedulikan tuannya. Tengok tu, warna bunga mawar merah tu kurang terang, kan?”

Sapaan itu menyebabkan kelopak mata Mariah bergerak-gerak lalu terbuka perlahan. Serta-merta terukir senyuman di bibirnya. “Abang... awalnya bangun?” tanya Mariah, ceria.

“Awal? Semalam kita orang berborak sampai hampir Subuh. Tengok, abang tak sempat bangun Subuh ikut papa menoreh.”

“Ya? Habis tu selepas bangun tadi kenapa tak ikut papa?” usik Mariah.

“Bukan tak mahu tapi kalau abang lambat, papa dah toreh pokok getah yang berhampiran rumah ni. Abang tak larat pergi jauh lagipun berbukit,” jelas Anding lalu tersengih. 

Mariah menatap wajah kurus Anding. Kata-kata abangnya menggamit rasa simpati di hatinya. Anding yang tabah dan bersemangat. Mariah tahu, Anding ingin pulih dan kembali sihat seperti dahulu. Itulah harapan mereka sekeluarga.

“Bang, tak payahlah ikut papa menoreh. Kaki abang tu belum sembuh lagi,” kata Mariah penuh simpati.

“Abang bosanlah duduk rumah aje. Bertahun terperap dalam rumah tak buat apa-apa pun.”

“Tapi kaki abang belum sembuh sepenuhnya. Abang tak takut ke nanti kaki abang sakit lagi?”

Anding menggeleng. “Abang hanya takut kalau abang lumpuh tapi ALLAH sayangkan abang, kan Mariah? Abang tak berani bayangkan kalau tak dapat berjalan, cacat seumur hidup. Syukur alhamdulillah... abang masih diberi peluang untuk berjalan semula walaupun tempang.”

Anding tidak akan berputus asa sekalipun bertahun menanggung kesakitan. Anding tidak mahu menerima kenyataan pakar tulang, kakinya akan cacat. Hari berganti minggu, minggu berganti bulan malah bulan berganti tahun, dia tidak pernah putus harapan. Dia berusaha sendiri, belajar berdiri, belajar bergerak meski sering kali jatuh tersungkur menahan sakit. Dia sungguh penat, keletihan bertatih-tatih namun dia menguatkan semangatnya. Dia harus berjuang bukan hanya untuk dirinya sendiri tetapi demi keluarganya.

Pengorbanan papa, mama dan Mariah tidak akan disia-siakan.  Anding ingin penderitaan keluarganya berakhir secepat mungkin. Cukuplah sudah papanya menanggung susah kerana dirinya. Setiap kali ke hospital, papa terpaksa menemaninya kerana dia sungguh tidak mampu pergi sendirian. Ke hulu dan ke hilir papa di hospital. Sekejap ke makmal sekejap lagi ke farmasi dan sekejap lagi ke wad. Anding sedih melihat papanya begitu. Anding tahu, dia tidak mampu membalas walau dengan apa cara sekalipun. Pengorbanan papanya terlalu banyak. Keadaan itu sungguh pahit bagi Anding namun apa dayanya. Hakikatnya dia memang membebankan keluarganya!

“Abang tempang sikit aje.”

Anding termangu-mangu. “Mariah cakap apa tadi?” tanyanya lalu tersengih.

“Abang termenung rupanya! Mariah kata... tempang sikit aje. Kaki abang tu boleh pulih seperti dulu. Abang sabar aje, ya. Sikit masa lagi tapi abang kena banyak berdoa juga.”

Anding tersenyum. Adiknya sudah semakin matang sejak berhijrah ke bandar. Adik yang sangat memahami dan murah hati.

“Abang tak pernah berhenti berdoa. Hmm... Mariah cuti berapa hari?” tanya Anding.

“Tengoklah, mungkin empat lima hari, bang.”

“Kesian Mariah...” kata Anding. Redup matanya merenung wajah adiknya.

Mariah tersenyum. “Kenapa nak kesian pula? Mariah bukannya sakit...” selorohnya.

“Kalau bukan sebab abang sakit, Mariah tak bersusah payah kerja. Mariah pun taklah sampai berhenti sekolah.  Semua salah abang, Mariah.”

“Jangan salahkan diri abang. Mariah tak pernah kesal kerana terpaksa berhenti sekolah. Mariah bersyukur sebab dapat ringankan sedikit beban papa.”

Mariah memanjat syukur namun tiba-tiba hatinya dijentik rasa sayu. Kini dia tidak bekerja, bagaimana lagi dia hendak membantu orang tuanya? Jika dia tidak mendapat pekerjaan baharu, bulan hadapan sudah tentu dia tidak mempunyai gaji. Setakat dua tiga bulan mungkin simpanannya bolehlah digunakan tetapi tahun ini, Atina menduduki SPM, Adila menduduki PMR. Dia sudah berjanji akan membiayai tuisyen dan membelikan adik-adiknya buku rujukan. Mariah rasa kepalanya menjadi pening tiba-tiba!

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan