Home Novel Cinta Benci Itu Rindu
Benci Itu Rindu
Angela Engkuan
4/2/2014 09:44:47
95,134
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

Sue melihat jam tangannya sekali lagi. Sudah hampir 10 minit dia menunggu. Jus epal hijau sudah hampir separuh disedutnya. Perutnya pula berkeroncong minta diisi. Dia memanjangkan leher memerhati orang yang lalu-lalang di tempat terbuka di hadapan Restoran Sri Sembilan di Habour City. Dia lebih suka duduk di luar restoran berbanding dalam.

Sue berharap wajah temannya di antara mereka yang lalu-lalang itu. Mariah tidak pernah terlambat setiap kali mereka berjanji untuk makan tengah hari bersama-sama. Jika

terlambat pun, kelewatannya pasti tidak melebihi lima minit. Dia yakin, Mariah tidak mungkin terlupa.

Sekali lagi Sue memanjangkan leher, memerhati setiap orang yang melintas di hadapan restoran itu. Hampir 15 minit, matanya menangkap kelibat gadis yang ditunggutunggunya. Mariah datang dengan langkah tergesa-gesa. Sue tersenyum. Pasti sahabatnya itu berjalan sepantas yang termampu. Kasihan. Sue tersenyum kian lebar tatkala Mariah semakin hampir.

“Assalamualaikum Mariah.” Sue memberi salam sejurus Mariah tiba di hadapan meja. Pipi gadis itu kemerahan dan berpeluh.

Mariah segera membalas salam lantas menghulur tangan. “Sue, maafkan aku. Aku tak sengaja datang lambat,” ujarnya dengan rasa bersalah. Dia tahu Sue sudah lama menunggu.

“Tak apa Mariah, aku tau kau buat kerja penting. Pasti kali iniurgentlagi, kan?” Sue tertawa perlahan.

“Ha’ah, Sue. Macam nak patah jari-jari aku ni taip dokumen tu. Semua nak cepat.” Mariah mengeluh. Terbayang semula bagaimana bergegas dia tadi. Tambahan pula perutnya yang sedang rancak berdendang. Sejak pagi hanya secawan kopi dan sekeping roti saja yang masuk ke perutnya.

“Aku kesian pada kau tapi... lupakanlah pasal kerja tu, ya. Kita pesan makanan dulu. Berlagu benar perut aku ni.”

“Maaf Sue!” Redup mata Mariah menatap wajah Sue. Dia rasa bersalah sangat.

Sue tersengih. Tidak sedikit pun dia terasa hati kerana menunggu. Kelewatan temannya bukan disengajakan. Dia faham tanggungjawab Mariah malah dia amat bersimpati. Dia tahu, masa rehat bagi Mariah sering menjadi begitu singkat kerana timbunan kerja yang perlu segera disiapkan.

“Sue, aku rasa macam nak cari kerja tempat lainlah.” Mariah memulakan bicara selepas pesanan makanan dibuat.

“Hei kawan, kerja kau sekarang pun tak tertanggung, ada hati pulak kau nak cari kerja lain? Badan kau tu satu saja, Mariah. Kecik pula tu!” Sue ketawa.

“Sue, aku cakap apa tadi?” tanya Mariah. Tercengang melihat Sue tergelak.

“Hmm, tadi kau cakap nak cari kerja tempat lain, kan?” Sue mengulangi pertanyaan Mariah.

“Ha’ah... betullah tu. Maksud aku, aku nak berhenti kerja, aku nak cari kerja tempat lain,” jelas Mariah bersungguh.

“Tapi kau kata kerja kat situ seronok kenapa nak berhenti pulak?” tanya Sue. Besar matanya menatap wajah manis Mariah.

“Seronok selagi dapat gaji tapi...” Mariah memandang wajah Sue sebelum meneruskan bicara.

“Aku...tertekan sebenarnya, Sue.” Mariah menarik nafas lebih dalam.

“Hmm, aku faham.” Sue terangguk-angguk.

“Sue, kadang-kadang aku tak tahu bila masa kerja dan bila masa rehat. Dahlah tu... asyik kejar masa pula. Semakin hari kerja aku semakin bertimbun. Aku bukannya robot... tahu letih juga, Sue.” Mariah mengeluh di hujung bicaranya.

Sebenarnya banyak lagi yang ingin diluahkannya. Sesungguhnya bukan kerja yang bertimbun itu membuatnya tertekan. Dia minat dengan kerjanya. Namun dia tidak mampu mengharapkan semuanya mulus belaka.

Sue terangguk-angguk lagi. Hatinya dibalut rasa simpati yang kian menebal. Sejak kecil dia berkawan dengan Mariah dan dia tahu latar belakang temannya itu. Namun tidak pula Mariah pernah mengeluh seperti itu ketika mereka berada di kampung. Mariah yang dikenalinya adalah seorang yang lasak, cergas dan cekal.

Di kampung, gadis remaja seusia mereka tidak seorang pun yang mampu melakukan kerja-kerja menoreh getah secekap Mariah. Mariah mampu melakukan kerja itu dengan sempurna. Masih jelas dalam ingatan Sue, ibunya sering memuji Mariah. Mariah yang rajin, Mariah yang pandai, Mariah begitu, Mariah begini dan bermacam-macam pujian lagi. Sue hanya melopong, menadah telinga. Ibunya sendiri memuji sahabatnya. Shimrul juga pernah mengakui tidak mampu melakukan kerja-kerja seperti yang dilakukan Mariah dan melambung pujian teman lelakinya itu terhadap Mariah.

Bagaimana hati tidak diasak rasa iri hati? Sungguh bohong jika hatinya tidak pernah berasa iri namun disingkirnya perasaan itu kerana Mariah gadis yang terlalu baik. Jika bukan kerana Mariah yang banyak membantunya setiap kali menghadapi masalah dalam memahami beberapa mata pelajaran mungkin tidak mampu lulus dalam peperiksaan SPM. Walau tidak cemerlang namun dia sungguh bersyukur sebab dia tidak terkandas. Dia memang agak lemah dalam pembelajaran.

“Mariah, aku faham perasaan kau. Nanti kita usaha cari kerja di tempat lain, ya?” pujuk Sue dengan lembut.

“Tapi mana lagi tempat nak cari kerja? Bukan senang.” Mariah bimbang.

“Rezeki ada di mana-mana, Mariah. Nanti aku tanyakan kawan-kawan manalah tahu dia orang tahu ada kekosongan kat tempat lain. Jangan risau sangat, okey...” pujuk Sue penuh pengertian.

“Terima kasih, Sue.” Mariah tersenyum. Hatinya berbunga. Masih mengharap ada peluang lagi untuknya.

Kecur air liur masing-masing tatkala makanan pesanan mereka dihidangkan. Sejurus membaca doa, Mariah dan Sue segera memulakan suapan. Kedua-dua gadis itu terlalu asyik menikmati makanan tanpa menyedari ada sepasang mata tajam ralit memerhati mereka. Wajah Mariah yang masih tersisa kemerahan menambahkan lagi keayuan wajah gadis itu. Sepasang mata memandang itu tidak berkedip, menumpukan perhatian.

Asam pedas ikan tenggiri, ayam masak merah, ulam rumpai laut dan bendi rebus dengan sambal belacan tampak sangat menyelerakan. Suapan demi suapan ke mulut hingga licin nasi di pinggan masing-masing.

“Mariah, kau belum kenyang ke?” tanya Sue. Sue menatap wajah Mariah yang masih menghirup kuah asam pedas dengan penuh nikmat.

“Hah? Oh, Kenyang! Saja nak hirup kuah ni... sedap!” Mariah tersengih.

“Kita boleh tambah lagi,” cadang Sue.

Mariah pantas menggeleng. “Tak payahlah Sue. Sebenarnya aku dah kenyang sangat. Alhamdulillah...” ucap Mariah lalu meletakkan sudunya di tepi pinggan.

“Mariah, hujung minggu ni Shimrul ajak aku balik kampung. Jom kita balik sekali.”

“Err... aku kan baru balik minggu lepas. Kalau balik lagi minggu ni bajet aku lari untuk tambang bas pulak,” beritahu Mariah tanpa berselindung.

“Alah, pasal tu kau jangan risau. Kita tumpang kereta Shimrullah bukan naik bas.” Sue tersenyum penuh makna. Sahabatnya itu memang sangat berjimat sebenarnya.

“Eh, kalau macam tu aku naklah. Terima kasih, Sue.” Mariah tersenyum. Rindu pada keluarga tidak pernah surut.

“Sue, sejak berhenti sekolah aku tak pernah jumpa Cikgu Roslini. Aku selalu teringat kat dia.”

“Balik kampung nanti kau pergilah jumpa dia, Mariah. Cikgu Roslini tu baik sangat kat kau, kan?”

“Ha’ah Sue. Aku memang nak jumpa dia. Cikgu Roslini ada pesan kat Atina, dia suruh aku jumpa dia kalau aku balik kampung sebab dia nak bagi aku sesuatu.”

Minda Mariah membayangkan wajah lembut Cikgu Roslini. Cikgu yang banyak membantu dan memberi perangsang kepadanya sewaktu dia masih belajar di sekolah.

“Cikgu Roslini nak bagi apa pada kau, ya?”

Mariah menjongketkan bahunya. “Entahlah Sue. Aku pun tak tahu. Balik kampung hujung minggu nanti aku nak jumpa dia. Kau nak ikut tak?” tanya Mariah.

Sue tersenyum. “Nak juga kalau kau pelawa aku sekali.”

Mariah ketawa. “Aku pelawalah ni, Sue. Tak lama lagi peperiksaan STPM,” kata Mariah.

“Ha’ah... tinggal dua bulan lagi. Kenapa, Mariah?”

“Aku jarang buat ulang kaji. Aku risau, Sue.”

Sue terdiam sejenak. Mereka berdua tinggal bersama dan berkongsi sebuah bilik sewa. Apa jua aktiviti Mariah sudah tentu diketahuinya. Semenjak mereka sepakat berhijrah ke bandar raya Kota Kinabalu untuk mencari pekerjaan enam bulan lalu, Sue hampir lupa sahabatnya itu masih ada tanggungjawab untuk menduduki peperiksaan STPM walaupun sahabatnya itu sudah meninggalkan alam persekolahannya.

“Mariah, maaflah... aku tak dapat bantu kau dalam soal ini. Kau pun tahu aku takat lulus SPM aje.” Sue tersengih.

“Tak mengapa Sue. Sebelum peperiksaan nanti aku cuba minta cuti lebih awal. Kalau boleh aku nak tumpukan perhatian pada pelajaran sebelum peperiksaan nanti.”

Semenjak di bangku sekolah rendah dia menanam cita-cita. Semangatnya untuk melanjutkan pelajaran belum luntur lagi. Meskipun dia tahu entah bila masa keadaan akan menyebelahinya, Mariah tetap tidak ingin melenyapkan impiannya atau mungkin itu hanya angan-angannya!

Sue hanya mengangguk-angguk. Adakalanya dia berasa hairan dengan pendirian sahabatnya. Mengapa Mariah tidak pernah berputus asa? Berhenti sekolah kerana terpaksa memberi laluan kepada adik-adiknya, disebabkan kesempitan hidup namun Mariah tetap mahu menduduki peperiksaan STPM. Walhal kini gadis itu sudah bekerja dan mempunyai wang gaji sendiri, tidak perlu lagi bergantung pada orang tua. Apa lagi yang hendak Mariah kejar sebenarnya? Ah, Mariah yang bercita-cita dan gigih mengejar impian!

“Sue... elok kita beransur sekarang. Lagipun dah hampir masa masuk pejabat ni,” ajak Mariah. Dia bimbang jika terlewat masuk ke pejabat. Tidak betah telinganya menadah

sindiran gadis bernama Helen di pejabat itu.

“Ha’ahlah...” Sue melambaikan tangan lalu seorang pelayan segera menghampiri mereka.

Sejurus kedua-dua gadis itu berlalu, lelaki muda yang sejak tadi ralit memerhati dengan sebuah kamera canggih di lengannya mengeluarkan telefon bimbit dari saku jaketnya.

Kedengaran suara tawanya ketika dia sedang bercakap melalui telefon bimbitnya. Usai bertelefon dia, melambaikan tangan kepada salah seorang pelayan restoran itu. Dipesannya sebiji kelapa muda dan beberapa jenis hidangan. Selepas membuat pesanan, sekali lagi dia membuat panggilan.

“Assalamualaikum... sayang. Abang tak balik makan tengah hari ini.” Dia senyap seketika sambil bibirnya menyungging senyuman.

“Hmm, abang ada urusan penting dengan Izan.” Beberapa detik kemudian, dia membalas salam sebelum menamatkan perbualannya.

Hampir 15 minit kemudian seorang lelaki muda datang menghampirinya. Mereka bersalaman lalu lelaki itu duduk di meja yang sama. Tidak lama kemudian makanan dihidangkan di meja mereka. Namun mereka tidak segera makan sebaliknya asyik pada kamera, melihat pada rakaman gambar yang dilakukan oleh lelaki itu sebentar tadi. Wajah kedua-duanya tampak serius, sesekali terangguk-angguk.

Previous: BAB 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan