TAN Sri Zukri menarik nafas
sedalam-dalamnya. Cadangan Azizan memang mengejutkannya. Namun cepat sahaja dia
memahami kehendak Azizan. Dia tahu Azizan terbeban dengan tanggungjawab.
“Papa bersetuju dengan cadangan Izan tu.” Tan
Sri Zukri memberi kata putus.
Azizan menatap wajah Tan Sri Zukri dengan
perasaan berbaur. Sayu hatinya setiap kali merenung wajah yang semakin disapa
usia itu. Sepatutnya Tan Sri Zukri tidak lagi bersusah payah untuknya dan
Azrina. Namun tidak dapat dinafikan, dia amat memerlukan mereka dalam hidupnya.
“Papa, maafkan Izan. Izan tak bermaksud nak
melukakan hati papa. Izan lakukan demi kebaikan kita semua.” Azizan segera
memeluk tubuh Tan Sri Zukri.
“Papa faham lagipun hanya separuh daripada saham
syarikat tu bukanlah apa sangat. Jika kita lepas pun kita tak akan mengalami
sebarang kerugian. Cuma…” Tan Sri Zukri menatap wajah tampan Azizan.
“Apa dia, papa?”
“Papa terkenangkan arwah ayah Izan. Dulu dia
berusaha keras menubuhkan syarikat ini hinggalah berjaya membuka banyak
anak-anak syarikat.” Kedengaran nadanya sayu terluah.
Azizan bungkam seketika. Kata-kata Tan Sri Zukri
itu menyengat jiwanya.
“Izan tak berniat nak lupakan usaha arwah ayah
itu. Tak apalah kalau papa tak setuju, kita tak perlu teruskan. Lagipun itu
sekadar cadangan Izan saja.”
“Teruskan cadangan Izan itu. Kita tak boleh
tamak walaupun ia membawa banyak hasil. Kita masih banyak sumber lain.”
“Izan sebenarnya tak sanggup tengok papa
bersusah payah lagi. Papa perlu berehat. Luangkan masa untuk mama yang selama
ini banyak menjaga Rina.”
Niatnya memang ikhlas, mahu Tan Sri Zukri
berehat. Dia ingin Tan Sri Zukri dan Puan
Sri Marisa hidup gembira dan bahagia seperti dulu. Sudah tiba masanya untuk dia
mengembalikan kehidupan sebenar suami isteri itu.
“Papa juga nak kita hidup hidup gembira, bersatu
seperti arwah ayah dan ibu Izan masih ada dulu,” kata Tan Sri Zukri.
Terkenang waktu mereka sekeluarga mengecap
bahagia suatu ketika dahulu. Azizan amat
terharu. Dia tidak dapat menolak hakikat sebenar, jiwanya mudah tersentuh
apabila mengenang ayah dan ibu kandungnya. Terlalu awal kasih mereka terpisah.
“Izan, buatlah apa yang patut. Papa izinkan.
Lagipun ini semua milik Izan dengan Rina. Papa tak perlukan apaapa lagi. Papa
dengan mama dah tua. Kami hanya ingin menumpang kasih Izan dengan Rina.”
“Papa, semua ini milik kita bersama. Harta dan
kemewahan ini tak bermakna buat Izan tanpa papa dan mama.”
Tan Sri Zukri terharu. Tubuh gagah Azizan
didakap erat. Dia dan Marisa tidak
pernah menyalahkan takdir kerana tidak dikurniakan zuriat. Mereka redha dengan
ketentuan-NYA.
Kepergian Johan dan Sarah terlalu cepat. Arwah
adiknya meninggalkan Azrina dan Azizan untuknya. Anugerah yang sungguh bermakna
buatnya dan Marisa.
PETANG itu cuaca kelihatan cerah. Namun petang
yang mendung bagi Mariah. Meranapkan segala yang indah waktu paginya. Tubuhnya
sudah menggeletar. Peluh bagaikan memercik di segenap tubuhnya.
“Ya ALLAH, tolonglah aku... apa aku nak buat ni,”
bisik Mariah berkali-kali.
Laci mejanya sudah diselongkar berkali-kali.
Semua benda dikeluarkan hingga kosong tetapi yang dicari tetap tidak ditemui.
Dia tidak silap letak. Dia pasti dokumen penting dan telefon bimbitnya memang
ada di dalam laci mejanya. Namun kini semuanya sudah lesap.
“Mariah, telefon kau tu dah tak aktif. Kau
cubalah telefon lagi,” beritahu Faizal. Sejak tadi dia terus menekan nombor telefon
Mariah.
Faizal menghulurkan telefon bimbitnya pada
Mariah. Gadis itu pantas menyambut.
Nombor telefon bimbitnya ditekan. Memang benar, hanya kedengaran pesanan peti
suara.
“Macam mana ni, Zal? Saya tak tahu nak buat apa
lagi,” luah Mariah dengan suara yang bergetar.
“Sabarlah Mariah. Kita cari lagi. Mungkin kau
salah letak,” pujuk Mary.
Mariah menatap wajah rakan-rakannya. Dia rasa
takut dan ingin menangis. Dia tidak kisah telefon bimbitnya tapi dokumen itu
yang membuatkan perasaannya bagaikan dipilin-pilin.
“Kenapalah malang sungguh nasib aku hari ini?”
Mariah mengeluh sayu.
Ketika Ramli menghampiri, hati mereka masing-masing
tersentap. Sangat bimbang jika lelaki itu mengamuk lagi.
“Mariah, macam mana? Sudah jumpa dokumen dan telefon
bimbit awak?”
Pertanyaan Ramli itu membuatkan Mariah semakin
tidak tentu arah. Hendak dicari di mana? Fikirannya buntu.
“Encik Ramli, saya...” Mariah tidak meneruskan
katakatanya.
Dia tidak mampu mengawal nadanya yang bergetar.
“Awak salah letak agaknya.” Ramli memicit
dahinya. Sebenarnya dia turut bingung. Dokumen itu sangat penting dan
diperlukan segera. Mariah pula tidak mungkin melakukan kesilapan lagi sejak beberapa kejadian berlaku
padanya sebelum ini. Tanpa sedar renungan mata Ramli melekat pada raut wajah
gadis itu. Wajah ayu itu menggamit rasa simpatinya malah menjentik perasaan
lelakinya.
Dayang, Mariah dan Faizal berpandangan. Ramli tidak
menyedari dirinya diperhatikan. Mariah pula sudah mematungkan diri, sesaat pun
tidak berani memandang ke wajah lelaki itu. Faizal berdeham lantas menyedarkan
Ramli.
“Mariah, saya sangat perlukan dokumen itu.
Pelanggan kita akan datang petang nanti.” Encik Ramli laju bersuara.
Melihat gadis itu tidak memberi respons, Mary
lalu menyentuh bahu gadis itu. “Mariah...” panggilnya.
Mariah tersentak. Kepalanya pantas mendongak namun
fikirannya seolah-olah kosong, tidak mampu untuk memberikan sebarang ayat
bagaimana untuk menjawab.
“Maafkan saya. Encik Ramli cakap apa tadi?” tanya
Mariah dengan nada sayu.
“Saya perlukan dokumen tu segera. Kita usahakan
jugak untuk selesaikan masalah ini. Awak okey ke?”
“Maafkan saya, Encik Ramli. Saya hampakan Encik Ramli
sekali lagi. Saya tak sengaja hilangkan dokumen tu.
Saya...” Mariah menahan sebak. Air matanya
hampir luruh.
“Saya percayakan awak, Mariah. Tak mengapalah
tapi sekarang awak terpaksa kerja keras. Cetak semula semua dokumen perjanjian
itu dan susun kemas-kemas. Boleh tak awak siapkan dalam masa dua jam? Kita dah
tak cukup masa.”
Mariah seperti dihempap demi mendengar arahan
itu. Dua jam? Setengah hari masa dia peruntukkan bagi menyiapkan dokumen itu.
Bagaimana pula hendak menyiapkan dalam tempoh dua jam? Hanya ALLAH sahaja yang tahu
bagaimana pedih dan sakit perasaan Mariah ketika itu.
Jika tidak memikirkan rasa malu, memang dia
ingin menangis. Selama ini dia terlalu bersabar dengan karenah rakan setugasnya
yang busuk hati. Meski tidak diketahuinya ‘kejahatan’ itu angkara siapa,
marahnya kepada si ‘penganiaya’ kini sudah ke tahap maksimum.
“Mariah... saya harap sangat awak dapat siapkan
dokumen itu. Kita tidak ada alasan kalau kerja kita tak siap. Awak cetaklah
dulu, nanti kita sama-sama susun.”
“Baiklah Encik Ramli,” kata Mariah perlahan.
Hampir luruh air mata yang ditahan-tahan.
Ramli menghela nafas. Wajah ayu yang kian
mendung itu semakin menggamit simpatinya.
“Maafkan saya, Encik Ramli.”
“Tak apa, kita selesaikan dulu masalah ini.
Nanti saya akan siasat perkara ini angkara siapa.”
Ramli berlalu masuk ke bilik kerjanya. Mariah
menarik nafas berat lantas memulakan tugasnya. Hari yang malang baginya.
Bertungkus-lumus dia menyiapkan dokumen itu hingga tidak sempat makan tengah hari dan
akhirnya semua menjadi sia-sia. Panas tubir matanya apabila mengenang susah
payahnya itu.
“Mariah...”
Mariah tersentak. Dia mendongak tanpa sempat
menyeka air matanya. Laju tangannya menarik sehelai tisu lalu ditekapkan ke
matanya.
Ramli tercegat di tepi meja. Hatinya sungguh
terusik melihat Mariah bagaikan lipas kudung. “Awak okey? Maafkan saya sebab
susahkan awak dengan kerja ni.” Ramli menatap simpati.
“Err... saya okey. Ada sikit saja lagi yang
belum cetak,” beritahu Mariah sambil memandang sekilas wajah lelaki itu.
“Okey, yang dah cetak tu awak beri pada saya. Saya
susunkan. Awak cetak lagi yang lain tu.” Ramli menyambut timbunan kertas
bercetak yang dihulurkan Mariah kepadanya.
“Encik Ramli, biar kami saja yang bantu Mariah.”
Faizal dan Mary sudah berdiri tegak di sebelah
Ramli.
“Baiklah, terima kasih Faizal, Mary...” ucap
Ramli sebelum berlalu masuk ke bilik kerjanya.
“Mariah, elok sangat pulamoodEncik Ramli tu, kan? Kalau dulu, dah tentu dia melenting bagai nak
runtuh pejabat ni,” umpat Faizal.
“Agaknya dia pun sudah jenuh marahkan saya ni,”
jawab Mariah.
“Elok sangatlah angin dia baik. Kami pun dah
jenuh mengumpat dia selalu,” bisik Mary .
“Eh, tak baik buat macam tu,” tegur Mariah.
“Harap muka aje kacak tapi perangai... eei...”
Mary mengomel lagi.
“Sedap mulut kau cakap. Aku jauh lagi kacaklah
banding dia tu tapi tak pernah pula kau puji aku.” Faizal mencebik.
“Eleh! Puji kau buat apa? Kau tu suami orang…
bukannya aku dapat apa-apa pun!” Mary tidak mahu mengalah.
Mariah tersenyum. Tahu perangai rakan-rakan
kerjanya itu, memang suka bertekak tapi hati mereka sangat baik.