Home Novel Cinta Benci Itu Rindu
Benci Itu Rindu
Angela Engkuan
4/2/2014 09:44:47
94,554
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 20

URUSAN pendaftaran kemasukan berlangsung dengan lancar. Mariah mengucap syukur berkali-kali.

Sejak berangkat dari Kota Kinabalu, dia tidak putus-putus berdoa semoga segala urusannya dipermudahkan. Tidak terungkap bagaimana perasaannya setelah menjejakkan kaki ke UiTM Shah Alam.

Usai sesi pendaftaran, semua bakal siswa-siswi sudah dibekalkan kunci bilik asrama masing-masing. Mariah melangkah penuh yakin. Dengan bantuan pelajar senior, Mariah dapat menemui bilik asramanya dengan mudah. Bilik itu dikongsi dengan tiga orang pelajar lain.

“Assalamualaikum...”

Mariah menghentikan kerjanya memasang cadar tempat tidur tatkala salam itu menyapa lembut lohong telinganya. Dia berpaling ke pintu. Terpegun seketika. Seorang gadis tersenyum manis menghampirinya lalu menghulurkan tangan kepadanya.

“Waalaikumussalam...” balas Mariah lantas menyambut salam gadis itu.

“Nama saya Sofina. Kita rakan sebilik. Siapa nama awak?” tanyanya.

“Nama saya Mariah.” Agak kekok dengan kemesraan gadis bernama Sofina itu.

Setelah meletakkan begnya, Sofina meninjau-ninjau tiga buah katil yang masih kosong.

“Mariah, boleh saya guna katil atas awak ni? Biarlah kita lebih dekat,” ujar Sofina lalu ketawa.

Mariah turut ketawa. “Oh... boleh. Mari saya tolong awak pasangkan cadar,” pelawa Mariah. Dia suka pada kawan baharunya yang peramah dan murah senyum itu.

“Terima kasih, Mariah.” Sofina tersenyum lebih lebar.  Sofina segera mengeluarkan set cadar tilam berwarna merah jambu berserta selimut. Tampak sungguh cantik dan mewah. Mariah memerhati gadis itu membuka lipatan cadar dan sarung bantal. Dibantunya gadis itu. Tatkala tersentuh cadar milik Sofina, terpegun Mariah akan kelembutan dan keharuman kain itu.

“Petang ini sesi taklimat kat dewan. Kita turun sama-sama,

ya?” kata Sofina sejurus cadar tilamnya siap dipasang.

“Boleh.” balas Mariah sambil menguntum senyum.

Kemudian mereka berdua sibuk menyusun pakaian dan keperluan peribadi ke dalam almari masing-masing.

“Mariah... awak asal mana?” tanya Sofina tanpa menoleh.

“Sabah. Awak?” tanya Mariah.

“Pahang.”

Mariah sudah selesai berkemas. Selain pakaian, tidak banyak keperluan peribadi dimilikinya. Sofina masih terkial-kial di depan almari pakaian. Entah apa yang disusun gadis itu. Mariah melihat meja belajar Sofina, hampir separuh meja digunakan. Bingkai gambar, bekas berisi pelbagai jenis alat tulis, kamus dan ada empat kotak kecil. Mariah tidak pasti isi kandungannya. Berbanding mejanya yang masih lapang, Mariah tersenyum sendiri.

Sofina membalikkan tubuh tidak lama kemudian. Mariah ralit memerhati. Senyuman terukir di bibir Sofina dibalas dengan senyuman manis di bibirnya. Beruntung dia, rakan sebiliknya peramah dan sopan. Dia yakin Sofina anak orang ‘berada’. Melihat pada penampilan dan barang-barang yang dimilikinya saja pun Mariah dapat menilai.

“Mariah...” Mariah mengangkat kening. Ditatapnya saja wajah itu sehinggalah Sofina duduk di pinggir katilnya. Mariah berengsot sedikit agar dia dapat menghadap pada Sofina.

“Selepas semester pertama... saya tak nak duduk hostel lagi dah,” beritahu Sofina. Kembang senyumannya.

“Hah? Habis tu awak nak pergi mana?” tanya Mariah tercengang.

“Saya nak cari rumah sewa yang berhampiran. Hmm, bukanlah saya tak suka duduk sini tapi lebih baik duduk tempat yang selesa. Tak perlu berebut nak guna bilik air.” Sofina ketawa.

Mariah tersenyum. Mudahnya merancang bagi Sofina yang sudah pasti sangat berkemampuan berbanding dirinya.  Dia perlu terima apa pun keadaan. Lagipun jika alasan sekadar tidak perlu berebut mengguna bilik air, sangatsangatlah ‘longgar’ alasan itu. Walhal boleh diatasi dengan mudah.

“Saya nak bawa awak pindah. Kita duduk rumah sewa sama-sama, ya?” Wajah Sofina yang ceria, bersungguh.

“Hah?” Terbelalak mata Mariah.

“Saya nak bawa awak pindah sekali.” Sofina cuba meyakinkan.

Tergamam Mariah dibuatnya. Belum sampai setengah hari pun mereka duduk di dalam bilik itu Sofina sudah bercadang pindah mencari rumah sewa? Dan, Sofina sudah berani mengajaknya pindah dari hostel ke rumah sewa? Betulkah otak Sofina ni? Tanya hati Mariah.

“Saya tak boleh buat keputusan sekarang. Lagipun saya tak mampu bayar sewa.” Terus terang Mariah bersuara. Tidak sampai hati mengatakan dia enggan ikut kehendak gadis itu.

Sofina bungkam. Terkebil-kebil matanya yang jernih menatap wajah rakan sebilik yang baru dikenalinya itu. Mungkin baru tersedar keterlanjurannya mempamerkan keterbukaannya dengan begitu teruja.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan