Home Novel Cinta Benci Itu Rindu
Benci Itu Rindu
Angela Engkuan
4/2/2014 09:44:47
94,576
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 3

MARIAH menatap seketika bekas makanannya yang sudah kosong. Bekalannya sudah habis dimakan. Setiap hari dia membawa nasi dengan sedikit lauk. Makanan ringkas itu sudah cukup buat perutnya. Mariah bersyukur dengan rezeki itu. Acap kali rakan-rakan pejabat mengajaknya makan di luar dia akan menolak secara halus. Dia lebih berselera mengisi perut dengan bekalan yang dibawanya dari rumah.

Ruang pejabat sangat luas untuk dirinya yang tinggal seorang diri ketika itu. Semua rakan pejabat keluar makan tengah hari. Kesunyian itu membuatkan Mariah menguap beberapa kali namun dia tidak akan berani melelapkan mata. Dia tidak pernah lalai menjaga diri walaupun ada pengawal keselamatan berjaga di luar pintu utama pejabat.

Adakalanya dia berasa takut keseorangan. Ruang pejabat itu sungguh sunyi, sepi dan dingin. Pelbagai perasaan yangtimbul mengusik benaknya. Kadangkala dia berasa seram. Teman-temannya mengusik, sengaja menakut-nakutkan dia kononnya ada penunggu dalam pejabat itu pada waktu malam. Bagi menyenangkan hati, Mariah menganggap itu hanya gurauan. Enam bulan Mariah bekerja di syarikat guaman itu, namun perasaan kurang selesa tetap bertandang di benaknya sekali-sekala.

“Ah, lambat pula masa ni berlalu...” gumam Mariah yang kian disapa sepi sambil matanya menatap jam dinding di ruang pejabat.

Mariah teringat sesuatu lalu membuka laci dan mengeluarkan beg tangannya. Dikeluarkan sekeping sampul berwarna putih. Sampul bercetak nama Cik Mariah Binti Mohd Tawin. Ditatap sampul itu dengan senyuman terukir di bibirnya. Perlahan-lahan jarinya menarik keluar isi kandungan sampul itu. Wang kertas bernilai RM100 sebanyak 12 keping itu merupakan gajinya bagi bulan yang keenam. Dia baru sahaja mengambilnya daripada bahagian akaun syarikat itu pagi tadi. Dua hari lagi dia akan kembali ke kampung menemui papa, emak dan adik-beradiknya.

Kian lebar gadis itu tersenyum. Banyak keperluan sekolah adik-adiknya dapat dia sediakan. Gaji sebanyak RM1200 itu dirasakan sangat berbaloi dengan kemahirannya yang cetek ketika memulakan tugasnya enam bulan yang lalu. Dia tidak mempunyai pengalaman bekerja namun dia berusaha bersungguh-sungguh. Sejak mula bekerja sehingga ke hari ini dia belum cuai menjalankan tanggungjawabnya. Semua kerja yang diarah dapat diselesaikan dengan pantas.

Sampul surat itu dimasukkan semula ke dalam beg tangannya lalu disimpan kembali di dalam laci. Mariah menarik nafas lega. Ditadahkan tangan, bersyukur dengan rezeki itu lalu lembut telapak tangannya mengusap wajah.

“Mariah!”

Sapaan itu memeranjatkan Mariah. “Kak Dayang!”

“Aik, terkejut? Sedang teringatkan siapa? Ini mesti sedang teringatkan Encik Abang!” usik Dayang, bergurau.

“Mengarutlah Kak Yang ni...” Mariah tersengih lalu wajah wanita bertubuh agak gempal itu dipandang sekilas.

“Mengarut apa pulak? Tadi termenung jauh akak tengok. Mesti teringat katboyfriend!

Mariah menggeleng lalu tertawa. Dayang yang peramah dan suka berjenaka itulah selalu menjadi teman sembangnya di dalam pejabat. Rakan yang lain bukan tidak peramah tapi dengan Dayang dan Mary lebih mesra. Kedua-dua wanita itulah sering ambil berat terhadap dirinya.

“Tak adalah, kak.”

“Mustahil! Mariah tu yang memilih sangat.” Dayang seperti tidak berpuas hati.

Mariah ketawa lagi. Adakala dia hairan, tidak jenuhkah Dayang mengusiknya dengan perkara yang sama hampir setiap hari? Atau Dayang memang sengaja ingin mengorek rahsia hatinya?

“Kak Dayang, sudahlah tu. Belum tiba masanya lagi saya hendak berkasih-kasih. Saya banyak tanggungjawab, kak.” Mariah menatap wajah wanita itu dengan wajah ramah.

“Apa-apa pun kak selalu doakan Mariah. Semoga dapat jodoh yang baik. Tak pun, tak payah susah-susah. Calon ada kat depan mata.” Dayang tertawa mengekek.

“Depan mata? Mengarutlah akak ni.” Terjongket kening Mariah.

“Mariah dengan Encik Ramli tu sepadan benar akak tengok. macam mana?” bisik Dayang sambil menguis lengan Mariah.

“Kak Dayang! Tak baiklah. Ada-ada sajalah.” Mariah tidak dapat menahan rasa lucu di hatinya.

“Tapi ada orang dah jatuh hati kat abang peguam Mariah tulah,” kata Dayang lagi.

“Hah? Siapa, kak? Bukan saya ya... tolong sikit!”

“Emm... kak tahulah. Mariah tu hati batu. Patung... tak ada perasaan!” Dayang mengejek. Bibirnya dijuihkan.

“Patung tak bernyawalah, kak. Saya ada nyawa. Akak rasalah nadi saya ni.” Mariah menghulurkan tangannya.

Dayang ketawa sambil menepis lembut lengan gadis itu. Dia suka mengusik gadis comel itu sementelah Mariah tidak pernah marah dengan usikannya. Mariah tersenyum-senyum. Jika Dayang tidak mengusiknya memang tidak sempurnalah hidup wanita itu sehari itu agaknya. Namun dia sukakan Dayang, yang peramah, prihatin dan baik hati.


GUMPALAN rindu mereka sekeluarga terlerai sebaik sahaja Maria menjejakkan kaki ke rumah keluarganya setelah tidak bersama beberapa bulan. Tawin dan Milah tersenyum-senyum memerhati Atina, Adila dan Amizan yang saling bertingkah, berebut ingin berbual dengan Mariah. Sungguh sabar Mariah melayani pertanyaan adik-adiknya. Riuh suara

mereka ketawa. Sudah lama mereka tidak seperti itu.

“Sudahlah tu. Kakak kamu tu penat, bagilah kakak tu rehat dulu,” tegur Milah.

“Biarlah ma, tak apa.” kata Mariah dengan senyuman yang masih segar.

Milah menatap wajah kemerahan Mariah. Peluh masih merenek keluar di dahi dan hidungnya yang agak mancung. Milah menggeleng perlahan. Semakin rancak anak-anaknya berborak dan ketawa.

“Atina, pergilah buat air dulu. Papa kamu tu penat,” kata Milah lagi, menghala pandangan pada Atina yang begitu asyik dengan buah tangan daripada Mariah.

Pelantar rumah kayu sederhana besar yang menjadi tempat mereka sekeluarga berkumpul itu menjadi senyap seketika. Atina bingkas dan terus melangkah masuk ke dalam rumah. Sepuluh minit kemudian Atina keluar sambil menatang talam. Melihat sepinggan ubi rebus turut dihidangkan Atina, Mariah tersenyum ceria. Ubi rebus kegemarannya dan dia rindu akan harum dan keenakan makanan itu. Mariah menelan liur.

“Emm... sedapnya ubi rebus ni. Lama kakak tidak makan. Sedap!” kata Mariah dengan ceria. Seketul,rebusan ubi kayu sudah masuk ke mulutnya.

Tawin dan Milah berbalas senyuman. Mariah tidak pernah berubah, masih seperti sebelum ke bandar. Ubi kayu dicecah madu lebah asli memang kegemaran anak-anak mereka. Tawin menghirup kopinya perlahan. Kepulangan anak gadisnya membuatkan hatinya riang. Sejak kepergiaan Mariah ke bandar, dia risau setiap masa. Usia Mariah baru 18 tahun. Mariah masih terlalu mentah dibiarkan hidup sendirian, jauh daripada pandangan dan pengawasan ibu bapa.

Hampir setiap malam nama Mariah meniti di bibirnya dan Milah. Setiap kali waktu makan, anggota keluarganya kurang seorang. Hati Tawin tidak pernah tenteram apatah lagi terlalu payah mendengar khabar Mariah di bandar. Bukan Tawin tidak melarang tetapi apabila Milah memujuknya, Tawin terpaksa merelakan dengan berat hati. Bagi Tawin, biarlah mereka sekeluarga hidup dalam serba kekurangan dengan pendapatannya yang tidak seberapa

asalkan anak-anaknya dapat dilihat setiap hari.

Berganda runsingnya tatkala memikirkan keberadaan anak gadisnya yang jauh di bandar. Tawin risau jika Mariah tidak tahu menjaga diri. Manusia terlalu banyak ragam dan sifatnya. Tidak kurang pula yang ‘bertopeng’. Dia tidak mahu Mariah menjadi mangsa dan paling ditakutinya jika Mariah lupa diri. Terpengaruh dengan budaya sosial yang tidak sihat

di tengah bandar raya. Namun, Tawin hanya mampu berdoa agar Mariah terhindar dari segala kejahatan itu.

“Mariah cuti berapa hari?” tanya Tawin. Membuang jauh fikirannya yang bukan-bukan.

“Dua hari saja, pa.” jawab Mariah dengan senyuman.

“Kerja apa Mariah di bandar tu? Berapa gaji Mariah dapat?” tanya Tawin lagi.

Setelah beberapa bulan anaknya menerima gaji, baru kini Tawin ingin mengambil tahu. Sebenarnya bukan gaji yang dia pentingkan, dia lebih risaukan bagaimana keadaan

anaknya di bandar. Keselamatan anak gadisnya itu paling penting baginya.

“Mariah kerja kat syarikat guaman, pa. Bos Mariah baik cuma kerja agak banyak. Mariah dibayar gaji RM1200 sebulan tapi bos tu kata dia akan naikkan gaji kalau kerja Mariah bagus.”

Renungan mata Mariah bersinar seolah-olah minta sokongan membuatkan Tawin mengangguk-angguk. Diturutkan hati, dia tidak perlukan gaji Mariah. Dia lebih rela membanting tulang empat keratnya asalkan anaknya itu sentiasa di hadapan matanya. Tawin yakin anak-anaknya tetap selamat apabila sentiasa berada di depan matanya namun sampai bila? Tiba masanya anakanaknya pasti terpaksa akan pergi juga. Tidak mungkin dia menahan. Dia tahu, anak-anaknya ada kehidupan mereka sendiri suatu hari nanti.

Tawin bukan tidak pernah bersyukur dengan pemberian-NYA tetapi hingga kini dia belum mampu mengubah corak hidup keluarganya. Setiap kali menjual kepingan getah, dia tahu isterinya berusaha untuk berjimat. Anding memerlukan rawatan. Anak sulungnya itu tidak mungkin diabaikan.

“Papa...”

Lamunan Tawin terhenti. Matanya segera terarah ke wajah anak gadisnya.

“Papa tak usahlah risau pasal duit tambang bas dan belanja sekolah adik-adik, ya? Mariah tolong bayarkan. Buku rujukan dan alat tulis adik-adik pun Mariah ada beli sikit-sikit. Dapat gaji nanti Mariah akan belikan lagi,” kata Mariah dengan tulus.

Cukupkah gaji Mariah tu? Mariah perlu bayar sewa bilik.”

“Cukup. Sewa bilik RM300, Mariah kongsi dengan Sue. Seorang bayar RM150 saja. Mariah boleh kirim ke sini RM300 ringgit sebulan buat tambah belanja rawatan abang.”

Tawin menelan liur. Dia terkedu sebenarnya. Mariah terlalu lurus, sejak dari kecil itulah sikapnya. Hatinya tidak tenang namun apa yang mampu dia katakan lagi. Jika bukan kerana berdepan masalah, anak gadisnya pasti tidak perlu menanggung beban, tidak perlu menampung perbelanjaan keluarga. Belum tiba masanya lagi. Sepatutnya Maria masih di bangku sekolah, menamatkan persekolahan.

“Papa jangan risau, Mariah janji akan jaga diri.”

Tawin terangguk-angguk lemah.

Previous: BAB 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan