Home Novel Cinta ANUGERAH TERINDAH
ANUGERAH TERINDAH
Angela Engkuan
8/8/2015 19:36:09
74,253
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 12

DOKTOR RAFIQ bergegas ke wad kecemasan tatkala menerima panggilan daripada Syura. Dia baru duduk di cafe, belum pun sempat meneguk teh tarik special yang dimintanya. Sebentar tadi, unit kecemasan lengang saja sebab itu dia 'melarikan diri' sekejap. Kering tekaknya setelah lebih setengah hari memberi rawatan kecemasan kepada pesakit, lebih sepuluh kes kecemasan untuk pagi sehingga tengah hari.

Petang ini pun sudah sepuluh kes kecemasan. Sekarang, seorang wanita warga emas diangkat ke wad kecemasan setelah tidak sedarkan diri hampir dua jam lamanya. Itu yang buat Dr. Rafiq bergegas balik ke wad kecemasan, ditinggalkan teh tarik special kegemarannya.

“Syura, Hani Fiqah mana?” tanya Dr. Rafiq.

“Hani...tu...” panjang muncung Syura menghala pada Hani Fiqah.

“Hey...Hani, awak nak ke mana tu?” tanya Dr. Rafiq, matanya menatap gadis itu.

“Saya dah nak balik, doktor. Ada apa doktor?” Hani yang sudah membasuh tangan sebersih-bersihnya, bersiap-siap hendak balik.

“Eh, dah nak balik? Shift awak dah habis ke?” tanya Dr. Rafiq lagi. Spontan dia menatap jam tangannya

“Ha’ah doktor. Ada yang perlu saya bantu?”

“Tak mengapalah...”

Hani Fiqah tidak jadi melangkah ke locker, mengambil beg tangan dan jaketnya. Langkahnya menghala ke katil pesakit. Dihampirinya doktor muda yang sedang sibuk memeriksa nadi wanita warga emas yang baru sedarkan diri. Hani Fiqah memerhati, dia berdiri di sisi doktor muda itu. Dr. Rafiq baru tiga bulan bertugas di hospital itu. Hari pertama doktor muda itu bertugas di hospital itu, Hani Fiqah ketawa tatkala mendapat tahu tarikh lahir Dr. Rafiq sama dengan tarikh lahirnya. Sama tarikh, bulan dan tahun. Mereka berdua seusia. Satu kebetulan yang sangat unik dan menarik!

“Aik...kata nak balik...pasal apa tak balik lagi?” Sempat lagi Dr. Rafiq bertanya.

“Ada apa-apa yang perlu saya bantu ke doktor?” tanya Hani Fiqah tanpa menjawab pertanyaan doktor muda itu.

“Ikhlas ke nak bantu ni? Waktu kerja awak dah tamat...”

Tanpa menjawab soalan Dr. Rafiq, Hani Fiqah membantu apa yang patut. Sejenak dia menatap wajah wanita warga emas itu. Pucat sungguh wajahnya. Simpati menjalar relung hati namun itulah hakikat yang perlu dia hadapi setiap hari.

Kemasukan pesakit tidak pernah putus di wad kecemasan itu tanpa kira waktu. Lebih tiga tahun bertugas di unit kecemasan, Hani Fiqah sudah semakin tabah. Tempoh lebih tiga tahun itu dia sudah mendepani pelbagai pesakit dengan pelbagai penyakit. Ada kalanya pesakit yang dihantar dalam keadaan tenat, kritikal malah kerap pesakit menghembuskan nafas terakhir di depan mata.

“Hani...” Syura menguit siku Hani Fiqah.

“Hmm?” Hani Fiqah mengalih pandangan. Dijongketkan kening pada Syura.

“Kau tolong ambik darah nenek tu...” Syura tersengih-sengih.

“Aik, kita kan dah handing over tadi!” Hani Fiqah merenung wajah rakannya.

“Alah...kau tolonglah aku sementara kau belum balik. Kau kan cun...sekali cucuk aje, confirm dapat...aku susah sikit!” Sengihan Syura kian lebar.

Tanpa berlengah Syura menyediakan peralatan, dihulurkan kepada Hani Fiqah. Terkedip-kedip mata Hani Fiqah menatap wajah miring Syura yang menayangkan muka seposennya!

“Kau ni...ambik kesempatan kat aku!”

“Taklah...saja nak bermanja-manja dengan kau!”

Hani Fiqah menggelengkan perlahan. Diterima juga peralatan yang dihulurkan oleh Syura. Setelah mengambil darah, Hani Fiqah memasangkan infusi ke lengan warga emas itu. Dilihatnya Syura sudah menyelimuti wanita malang itu.

Family nenek ni ada ke, Syura?” tanya Hani Fiqah sambil membantu Syura membetulkan selimut di sebelah kaki wanita itu.

“Er, entahlah Hani...tadi nenek ni dihantar oleh jiran dia. Saya pun tak sempat nak tanya. Jiran dia tu masih ada di ruang menunggu,” beritahu Syura.

“Tak mengapalah...harap-harap jiran tu dah hubungi keluarga nenek ni. Nenek ni sah masuk wad...” bisik Hani Fiqah perlahan tatkala melihat keadaan pesakit itu. Rawan hatinya.

Dr. Rafiq yang sedang memberi rawatan, memeriksa dada wanita itu hanya mendiamkan diri. Tidak diendah perbualan perlahan kedua-dua jururawat itu sementelah dia perlu meneliti denyutan jantung pesakit itu.

“Nenek ni dah mula sedarkan diri...Hani, awak sediakan ECG,” arah Dr. Rafiq.

Tanpa berlengah, Hani Fiqah menarik mesin Elektrokardiogram (ECG) dirapatkan ke katil pesakit. Syura pula membuka butang baju bahagian dada. 12-ECG elektrod diletakkan di posisi standard pada dada serta di kedua-dua anggota bahagian atas dan bawah buah dada wanita itu, memang berselirat badan dengan wayar. Wanita itu mula bernafas, pendek sahaja tarikan nafasnya.

“Kesian nenek ni...tentu payah tanggung sakit bila dah tua, kan Hani?” bisik Syura perlahan.

Hani Fiqah hanya menganggukkan. Diperhatikan Dr. Rafiq memeriksa keputusan ECG, berkerut dahi doktor muda itu.

“Abnormal! Syura call Doktor Suraj. Sekarang ya,” arah Dr. Rafiq.

Syura segera berlalu menuju ke meja kerja tidak jauh dari katil pesakit itu. Dr. Rafiq memberi isyarat kepada Hani Fiqah agar membantunya menanggalkan beberapa elektrod lalu dilekapkan semula. Ujian dilakukan sekali lagi bagi memastikan keputusan pemeriksaan benar-benar tepat. Seperti biasa, dada Hani Fiqah akan berdebar halus jika keadaan pesakit tidak stabil. Semua itu mengusik kotak memorinya, dia akan teringat arwah abahnya!

“Syura kenal dengan jiran yang hantar nenek ni ke sini, kan? Syura tolong panggilkan dia, saya nak tanya sesuatu...” Sekali lagi Dr. Rafiq mengarah Syura dan gadis itu menganggukkan kepala. Lebar kakinya membuka langkah.

“Hani...sediakan prosedur pesakit masuk wad.” Dr. Rafiq memandang Hani Fiqah seketika.

Hani Fiqah melaksanakan arahan tanpa sebarang kata. Namun tiba-tiba dia teringatkan uminya, segera dikeluarkan telefon bimbitnya. Jika dia tidak memaklumkan kelewatannya balik, uminya pasti akan bimbang. Tatkala mendengar suara uminya, Hani Fiqah terus memberi salam.

“Habis kerja nanti Hani terus baliklah ya. Daniel ada kat rumah ni...dia sampai sejak tengah hari tadi. Senang hati sangat adik-adik Hani tu...”

Bagaikan tertelan buah keras rasanya kerongkong Hani Fiqah mendengar kata-kata uminya.

                                                                   ***

LEMBUT tatapan Aleya pada wajah Hani Fiqah yang tidak ceria. Sudah hampir setengah jam anak gadis sulungnya itu 'bertapa' dalam kamar tidurnya. Aleya tidak kisah berapa lama pun Hani Fiqah berada di kamarnya tetapi Farhana sudah berulang kali melaung, memanggil-manggil kak longnya itu. Si bongsu itu jika kakak kesayangannya sudah berada di rumah, ada saja kehendaknya. Anak manjalah katakan.

“Hani...kita keluar, ya? Tak elok Hani menghindari Daniel macam ni...kesian kat dia, jauh dia datang,” pujuk Aleya buat kesekian kalinya.

“Ah, biarlah dia umi...kita takde jemput pun dia datang sini!”

“Astaghfirullah...Hani ni!” Tergeleng Aleya dengan kerenah anak sulungnya itu. Wajah mencuka Hani Fiqah ditatap.

“Umi, Hani dah cakap kat dia...tak usahlah datang sini. Buat apa dia nak datang? Kita bukannya ada kena mengena dengan dia tu umi. Hani tak sukalah...jiran-jiran akan mengata, mengumpat Hani. Masa balik tadi, kak Rita cakap macam-macam kat Hani. Rasa nak terbakar telinga Hani ni!”

Aleya terdiam seketika. Dihelakan nafasnya perlahan. Petang tadi, sebaik saja melihat kereta mewah Tengku Daniel menuju ke rumah mereka, Sahuda juga sudah berkejar ke rumah mereka bagaikan ‘paparazzi’. Sahuda memotret mangsanya melalui mata dan mulutnya. Apa yang dilihat, sungguh cepat disebarkan bahan gunjingan itu ke merata rumah kejiranan mereka.

Namun, tidak disampaikan kepada Hani Fiqah bagaimana kecohnya Sahuda petang itu. Bimbang pula jika Hani Fiqah bertindak 'mengusir' Tengku Daniel.

Pernah berlaku suatu ketika dahulu, dua orang rakan sekolah Rizal datang bertandang ke rumah mereka. Kebetulan Hani Fiqah sampai ke rumah, Rizal dan rakan sekolahnya bersembang di beranda rumah. Hani Fiqah tidak terus masuk ke rumah sebaliknya berdiri tegak di hadapan Rizal dan dua orang rakannya.

“Roslan, Jusle, umur kamu sebaya Rizal, kan?” tanya Hani Fiqah dengan intonasi tegas.

“Ha'ah, kak Hani...” Hampir serentak remaja itu menjawab.

“Riz...”

“Ya, kak long?” Rizal yang duduk berhadapan dengan kedua-dua rakannya berdiri. Ditatap wajah serius kakaknya.

“Riz juga hisap rokok macam Roslan dan Jusle tak?” tanya Hani Fiqah tanpa berselindung.

Riak wajah ketiga-tiga remaja itu tampak terkejut. Lekas sungguh kedua-dua remaja itu melemparkan batang rokok yang masih tinggal separuh itu ke halaman rumah.

“Er, tak kak long. Sumpah! Riz tak pernah hisap rokok, kak long...betul!” Kelam kabut Faris menjelaskan.

“Okey...kak long percaya tapi awas...sekali saja kak kong nampak, tahulah apa kak long nak buat nanti!” ugut Hani Fiqah.

“Tak kak long...Riz tak pernah dan tak akan hisap rokok...Riz janji, kak long.” Rizal menghampiri kakaknya dengan wajah serba salah.

“Roslan, Jusle, kalau masih nak datang rumah akak ni, jangan sekali-kali bagi akak tengok kamu berdua hisap rokok kat rumah ni. Seperkara lagi...umur kamu belum pun enam belas tahun tapi dah berjinak-jinak dengan benda tu. Tahu tak berapa peratus benda tu rosakkan organ dalaman kamu yang masih terlalu muda ni? Tahu tak kesan benda tu terhadap orang lain? Pernah baca tak amaran bahayanya merokok?

Kat rumah ni, bukan hanya ada Rizal tetapi umi dan adik-adik. Ada baca tentang kesan-kesan buruk jika hisap rokok? Tahu tak kesan buruk orang yang turut sama sedut asap rokok tu? Tak sayang diri kamu sendiri ke? Tak kesian ke dengan ayah dan ibu kamu? Cuba belajar fikirkan perasaan orang tua. Mulai hari ini...kalau Roslan dan Jusle tak berhenti lagi hisap rokok...jangan datang lagi ke rumah ni, faham? Sekarang...kamu pergilah balik!”

Sejurus 'ceramah percuma' Hani Fiqah itu selesai, kedua-dua remaja itu bagaikan dikejar hantu, bergegas turun lalu mendapatkan basikal masing-masing. Laju sungguh kaki mengayuh.

Aleya hanya mendengar di sebalik pintu semasa Hani Fiqah berceramah. Diperhatikan saja Roslan dan Jusle ‘diusir’ Hani Fiqah. Lari ketakutan kedua-duanya hingga hampir tumbang tatkala roda basikal terlanggar sebiji batu besar di pinggir jalan.

“Umi...” panggil Hani Fiqah.

Buyar lamunan Aleya. Cepat saja bibirnya mengukir senyuman buat anak gadisnya. Hani Fiqah sangat manis, masam mencuka pun mukanya tetap tampak ayu.

“Hani, apa-apa pun Daniel tu tetamu kita...umi tak sedap hati pulak Hani buat tak kenal kat dia. Kesian dia, sanggup datang dari jauh semata-mata nak jenguk kita. Biarlah orang mengumpat...kita tahu kita tak buat salah, tak buat dosa...”

“Hani malu, umi. Jiran-jiran pandang Hani macamlah Hani ni dah jadi pelacur!”

“Astaghfirullahalazim...Hani ni! Tak payahlah fikir perkara yang tak elok macam tu! Takkanlah jiran-jiran kita sampai hati nak tuduh anak umi macam tu sekali? Dahlah...jangan fikir yang bukan-bukan. Hani belum masak lagi, kan? Kejap lagi Nana manja terjerit-jerit lagilah tu...”

Aleya menolak roda kerusinya, dihampiri Hani Fiqah yang duduk di pinggir tempat tidurnya. Paha Hani Fiqah ditepuk lembut.

“Umi...kenapa umi beri muka sangat kat Daniel tu?”

Aleya tertawa halus. Terasa pertanyaan Hani Fiqah itu soalan kebudak-budakan.

“Umi dah anggap Daniel tu macam anak umi juga, Hani. Tak salah kita berbaik-baik dengan orang kalau orang tu baik budi pekertinya...”

“Umi...umi sebenarnya suka sangat kat Daniel sebab dia pun keturunan tengku juga ke umi?”

Aleya menggeleng perlahan lalu ketawa geli hati. Entah mengapa pula tiba-tiba Hani Fiqah ‘kurang bijaknya’ petang ini! Digamitnya tangan Hani Fiqah lalu digenggam perlahan.

Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan