Home Novel Cinta ANUGERAH TERINDAH
ANUGERAH TERINDAH
Angela Engkuan
8/8/2015 19:36:09
74,272
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 10

KEDATANGAN Ketua Kampung bersama isterinya ketika hari beransur senja disambut Aleya dan Hani Fiqah dengan mesra. Anak-anak lain seperti biasa, usai bersalamam dengan tetamu akan segera berlalu masuk ke kamar masing-masing. Walau tidak sering bertandang tetapi Sabdin dan isterinya tetap menjenguk sekali sekala, bertanya khabar mereka anak beranak.

Namun, kedatangan Sabdin dan Zaleha kali itu agak berbeza dari selalu. Wajah pasangan itu muram. Kemesraan mereka suami isteri amat ketara tawarnya. Memang membawa impak kurang menyenangkan terhadap Aleya dan Hani Fiqah.

Seperti biasa, Hani Fiqah tetap menghidangkan kopi O panas buat tetamu mereka. Siapa pun tetamu mereka, Aleya tidak suka jika tetamu balik tanpa dijamu sedikit air terlebih dahulu. Walau air kosong pun jadilah, kata Aleya.

Mata Sabdin dan Zaleha melirik pada Hani Fiqah yang menuangkan kopi ke dalam cawan. Resah Aleya dibuatnya. Dengan Wajah tiada kemesraan itu Sabdin dan Zaleha hanya memerhati, tidak seperti selalunya. Biasanya jika bertandang, mereka menyahut mesra sapaan Hani Fiqah malah manis mulut mereka bersembang.

“Hah Hani...kamu sudah merancang nak melansungkan perkahwinan ya?” Tiba-tiba Sabdin bertanya.

Hani Fiqah tersentap. Serta-merta pandangannya melayang ke wajah lelaki yang berusia lebih separuh abad itu. Terjongket keningnya yang lebat.

‘Eh, apalah jenis soalan pulak pak cik ni tanya kat aku? Aku nak kahwin? Masya-ALLAH!’

Perlahan-lahan Hani Fiqah menggelengkan. “Takdelah pak cik Din...siapa pulak kata saya nak kahwin? Nak kahwin dengan siapa?” jawabnya dengan sopan namum dadanya sudah mulai berdebar-debar.

“Yalah abang Din. Takdelah pula kami merancangkan majlis kahwin siapa-siapa. Hani pun belum ada lagi calonnya...” ujar Aleya sambil tertawa halus.

“Saya ni ada telinga dengar orang kampung ni sibuk cakap pasal anak kamu,” balas Sabdin dengan intonasi suara yang kurang ramah.

Hani Fiqah menelan liur. Terusik juga perasaannya dengan sikap orang tua itu. Kesalahan apa yang telah dilakukannya atau adik-adiknya sehingga orang kampung sibuk mengata mereka?

“Masa abah kamu masih ada lagi, pak cik ambil berat pasal kamu apatah lagi sekarang...abah kamu dah tak ada. Kamu tu anak sulung...berilah teladan yang baik kepada adik-adik!” marah Sabdin.

“Abang Din...ada apa sebenarnya? Apa kesalahan yang anak-anak saya ni buat, abang Din?” Sentap hati Aleya mendengar kata-kata Sabdin.

“Aleya...anak kamu perlu dinasihati! Tak eloklah menjadi bahan mulut orang kampung...sana sini orang cakap pasal kelakuan anak kamu!” Sabdin mendengus.

“Ya ALLAH...siapa yang abang Din? Ada anak-anak saya terlibat mencuri ke? Atau terlibat dengan dadah ke, abang Din? Ya ALLAH!”

“Bukan itu maksud saya, Aleya.”

“Habis tu apa dia, abang Din? Anak-anak selalunya kalau ada buat silap, cepat benar diberitahu kat saya lagipun anak-anak jarang keluar rumah sesuka hati selepas balik dari sekolah, abang Din. Saya setiap hari duduk terperap kat rumah ni...takkanlah saya tak nampak kalau budak-budak ni buat perkara tak elok!” Aleya memandang tepat wajah lelaki itu. Sungguh cuak hatinya. Hani Fiqah sudah menempel di sisi kerusi roda uminya.

“Aleya, kamu pun tahu...sukar nak tutup mulut orang kampung ni, lebih-lebih lagi dia orang nampak Hani bawa lelaki keluar masuk rumah kamu ni. Itu kan tak elok...salah perbuatan tu, Hani. Bersubahat pun berdosa, Aleya!

Kalau sudah berhajat nak berumah tangga, bawa bincang elok-elok...kita ini terikat pada agama, pada adat istiadat. Jangan membelakangi orang tua...walaupun zaman ni sudah semakin maju, makin moden tapi tidak bermakna sesuka hati bawa lelaki bukan muhrim datang dan bermalam di rumah! Tahu kan apa hukumnya perbuatan tu, Hani? Sempurnakan yang wajid terlebih dahulu...elakkan perbuatan maksiat!”

Aleya terkedu. “Astaghfirullahalazim! Abang Din cakap pasal Hani ke?” Bagaikan tidak percaya dengan pendengarannya.

Selama ini, tidak pernah sekali pun Sabdin bertutur kasar seperti itu terhadap mereka. Direnungnya Hani Fiqah dengan perasaan sayu, tidak terkata rasa simpatinya.

“Yalah...pasal Hani! Saya ni dah tua, Aleya. Pernah membesarkan anak-anak, sama macam kamu juga. Pernah harungi pengalaman pahit manis besarkan anak-anak tapi taklah memanjakan anak sampaikan dosa dan pahala pun tak diambil berat!”

Hancur berkecai sekeping hati Hani Fiqah. Hampir menggigil tubuhnya. Wajahnya hangat bagaikan ditampar beberapa kali. Pantang baginya, Aleya dipandang rendah apatah lagi diperkecil-kecilkan kemampuannya. Diketap bibirnya menahan sebak yang sedang membadai dadanya. Empangan air matanya pecah, melimpah di hadapan uminya. Jika benar dia bersalah, tidak perlu membabitkan uminya!

Mengapalah Ketua Kampung itu tidak bertanya kesahihan cerita sebenarnya terlebih dahulu? Sedikit pun dia dan uminya tidak diberi peluang untuk menjelaskan duduk perkara yang sebenar. Malang sungguh dirinya. Pertolongan ikhlasnya terhadap Tengku Daniel disalah ertikan. Dianggap salah!

“Hani nak masuk ke dalam dulu, umi. Saya masuk dulu pak cik...mak cik...Assalamualaikum!”

Kaki Hani Fiqah melangkah panjang meninggalkan Aleya berhadapan dengan Sabdin dan Zaleha. Teramat luluh hatinya ketika itu.

“Saya sebagai ketua di kampung ini tidak mahulah dikatakan memekak telinga dan membutakan mata, Aleya. Aduan orang kampung perlu saya ambil perhatian. Kalau anak buah buat perkara yang salah, perlulah saya beri teguran...beri nasihat! Itu tanggungjawab saya...” Sabdin merendahkan nada suaranya.

“Abang Din...saya tahu tu tapi Hani tak buat perkara yang tak baik. Hani bukan saja-saja bawa balik lelaki tu...Hani tolong dia masa dia kemalangan. Bukan saya nak menyebelahi anak saya tapi orang dah salah faham. Dia orang dah salah anggap, abang Din!”

Sesungguhnya Aleya tidak rela anak gadisnya menerima tohmahan buruk orang kampung. Dia tidak rela anaknya menerima cercaan tanpa usul periksa! Dia sangat kenal siapa anaknya. Kenal hati budinya. Belum pernah anaknya melukakan hatinya jauh sekali melakukan perkara-perkara tidak senonoh. Dia sebagai ibu yang melahirkan anaknya itu sendiri menjadi saksi, anaknya itu tidak pernah melakukan perkara-perkara tidak elok. Jika adapun kesalahan yang dilakukan anaknya, dialah yang terlebih dahulu mengadili dan menasihatinya!

Ketua Kampung Sabdin mengangkat wajah. Menatap Aleya beberapa ketika. Isterinya pula diam tidak berkutik. Entah apa yang difikirkan Zaleha hingga tidak mahu membuka mulut berkata walau sepatah pun. Di rumah pun isterinya lebih banyak mendiamkan diri jika dia membebelkan perihal anak gadis Aleya itu.

Aleya menarik nafas agak dalam. Dalam dadanya terasa ada bongkah. Ketenangannya benar-benar tergugat. Ketika itu jiwanya sudah merintih pilu. Sekian lama menetap di kampung itu, mengapalah hari ini tiba-tiba timbul masalah buat keluarganya? Dirinya wanita kurang upaya, tidak berdaya malahan sudah menjadi ibu tunggal. Mengapalah dibebani pula dengan dugaan?

“Kak Leha...akak pun kenal Hani tu sejak kecik lagi, kan? Takkan akak pun percaya cakap-cakap tak elok pasal Hani. Saya tak menyebelahi anak saya tapi anak saya tak salah, kak. Mungkin anak saya tak semupurna tingkah lakunya tapi Hani tak buat perkara tak senonoh. Tak sanggup saya nak dengar orang mengata bukan-bukan pasal anak saya tu!” Luah Aleya dengan genangan air mata. Kabur pandangannya menatap wajah Zaleha.

Zaleha terharu, sebak dadanya melihat air mata Aleya berjuraian. “Aleya...kak faham perasaan kamu, Leya. Kak percaya...Hani anak yang baik, dia tak akan buat perkara tak senonoh!” Diliriknya wajah Sabdin yang terkebil-kebil.

Zaleha tahu, Sabdin pasti sentap mendengar kata-katanya. Sesungguhnya dia tidak mahu berburuk sangka. Walaupun pernah melihat ada lelaki datang menginap di rumah Aleya, tetapi Hani Fiqah tidak tinggal bersendirian. Ada ibu dan adik-adiknya turut berada di dalam rumah itu. Mengapa perlu berprasangka buruk? Orang kampung terlalu cepat mempercayai cerita sebelah pihak sahaja. Sementelah, dia dan suami terlalu banyak mendengar kata-kata orang yang berlebih-lebih, ditokok tambah. Bukan dia tidak tahu sikap segelintir jiran mereka, memang gemar bergujirat!

“Berbanyak-banyak sabarlah ya, Leya. Ini hanya dugaan tapi...kalau memang benar Hani dah merancang nak kahwin, kita akan saling bantu membantu. Jangan segan beritahu kami. Kami dah anggap kamu macam adik kami, anak-anak pun kami dah anggap seperti anak-anak kami juga. Kamu berbincanglah dengan pihak lelaki, tetapkan tarikh baiknya...kami sedia membantu kamu, Leya.”

Zaleha menarik nafas panjang. Wajah suaminya dan Aleya dipandang silih berganti. Walaupun telinganya malar disumbatkan dengan cerita tentang perangai buruk Hani Fiqah, kepercayaannya terhadap Hani Fiqah belum tergugat.

“Terima kasih kak Leha. Sampai hati orang tuduh anak saya macam tu...saya ni masih hidup lagi, abang Din, kak Leha...sayalah saksi kepada anak saya yang tak berdosa tu. Walaupun keadaan saya cacat macam ni tapi tak sekali-kali saya biarkan anak saya gadaikan maruah dia!”

                                                                      ***

KOTAK tisu Nurul hulurkan kepada Hani Fiqah. Dia sendiri menarik keluar beberapa helai lalu dilekapkan ke pipinya. Rawan sungguh hatinya berhadapan dengan Hani Fiqah yang sedang bersedih itu. Dia faham bagaimana perasaan Hani Fiqah ketika itu. Jika dia berada di tempat Hani Fiqah, agaknya lebih teruk lagi. Mungkin dia mengongoi-ngongoi melepaskan ketidakpuasan hatinya.

“Hani...janganlah nangis lagi...aku sedih tengok kau macam ni.” Dipujuknya Hani Fiqah meskipun dadanya sendiri masih sebak lagi.

“Aku malu, Nurul. Manalah aku nak letak muka aku ni...patutlah semua orang dalam kampung ni pandang aku semacam aje!”

Sejak tadi itulah ayat yang malar terluah dari mulut Hani Fiqah. Nurul menghela nafas berat. Sesungguhnya dia dihimpit oleh rasa kesal. Jika dia tidak beria-ia memaksa Hani Fiqah berterus terang, pasti Hani Fiqah tidak menangis seperti itu.

“Hani, aku minta maaf, ya? Kau sedih sebab aku tanya kau macam-macam...tapi...”

“Bukan salah kau, Nurul. Aku tak apa-apalah...” Hani Fiqah segera memintas. Ditariknya beberapa helai tisu lalu ditekapkan ke wajahnya. Diusap air matanya sehingga benar-benar kering, tanpa sisa.

“Teruklah aku ni...kenapalah aku nangis sampai macam ni sekali? Nurul...aku tak bersalah pun. Tak patut aku nangis, kan?” sambung Hani Fiqah lagi lantas tertawa perlahan.

Nurul yang masih mengalirkan air mata terkulat-kulat menatap wajah Hani Fiqah. Biar betul teman baiknya ini. Sebentar tadi alangkah bersedih, sekelip mata saja sudah mampu tersenyum.

“Hani...kau ni okeykah? Janganlah buat aku tambah risau...”

“Aku okey, Nurul. Jangan risau...aku tahu, kalau aku nangis air mata darah sekali pun...tak guna! Aku tak akan dapat tutup mulut jiran-jiran kita ni, Nurul.”

Hani Fiqah menarik nafas agak panjang lalu dilepaskan. Dilegakan sesakan yang menghimpit dadanya. Sungguh, dia memang sangat berkecil hati terhadap pak cik Sabdin. Tanpa usul periksa, turut menuduhnya melakukan perkara yang tidak baik. Dia ada maruah diri, tahu hukum-hukum agama. Dia masih waras lagi, tidak akan dia melakukan perkara terbodoh itu terhadap dirinya sendiri. Dia sangat menyayangi umi, melebihi sayangnya terhadap diri sendiri. Mana mungkin dia sanggup melakukan sesuatu yang menjatuhkan maruah uminya!

“Tapi Hani...kau mesti bersihkan nama kau, tahu tak? Orang-orang kampung ni perlu tahu duduk perkara sebenarnya. Kau kena jelaskan pada dia orang...”

“Nurul, orang kampung ni bukannya seorang dua. Takkan kau nak suruh aku pergi dari rumah ke rumah...beritahu pada dia orang yang aku ni...er...tak melakukan perkara jahat!”

“Hisy...taklah macam tu! Adoi...aku pun bengang dengan hal kau ni, Hani. Ketua kampung pun satu hal...tanpa usul periksa turut sama tuduh kau!” Nurul menenyeh tisu lembap di telapak tangannya bagai melepaskan geram.

“Kesian umi...sampai hati jiran-jiran kita ini bebankan umi dengan masalah macam ni...” Hani Fiqah mengeluh. Wajah sayu Aleya menghuni benaknya.

Nurul merenung wajah Hani Fiqah yang sendu semula saat itu. Terangguk-angguk dia mengakui kata-kata sahabatnya itu.

“Ha’ahlah Hani...kau bukan tak tahu, jiran-jiran kita ada yang tak berhati perut...tak tahu jaga perasaan dan hati orang lain. Kau tengok aku...aku dan mak dah puas telan cacian dia orang. Dia orang tak suka kami...sebab kami miskin! Makinlah dia orang tak suka aku bila tunang aku lari...tinggalkan aku kahwin dengan perempuan lain! Macam-macam dia orang cakap pasal aku, Hani.”

Hani Fiqah segera mencapai tangan Nurul. Digenggam erat tangan sahabatnya itu.

“Ah...kenapalah nasib aku jadi malang sangat sebab selamatkan mamat tu, Nurul? Kalau aku tak selamatkan dia...aku tak jadi susah macam ni! Astaghfirullahalazim...apalah pulak aku merepek ni? Takkan aku sanggup tengok dia jatuh dalam gaung... mati begitu saja!” Hani Fiqah mengusap wajahnya.

“Kau dah berbuat baik, selamatkan nyawa mamat tu tapi jiran-jiran kita tidak tahu menilai...tahu berburuk sangka saja, Hani.”

“Ya Nurul. Aku tak sangka...begini jadinya. Aku tak patut salahkan Daniel...dia tak salah pun.”

Nurul terangguk-angguk. “Hani...betul kau tak ada apa-apa hubungan dengan dia?”

“Hisy...kau ni Nurul. Berapa kalilah aku nak cakap. Takde...benar-benar takde! Aku kenal dia pun sebab kemalangan tu...itulah pertama kali kami jumpa. Full stop!

“Yalah...yalah aku percaya pada kau, Hani. Rizal cakap...abang dia tu handsome sangat...betulkah?” Tersenyum-senyum Nurul, sengaja ditekankan nadanya ketika menyebut perkataan ‘abang’.

“Betullah agaknya kalau Rizal dah cakap macam tu...dia berhak menilai tapi aku tak kisah pun, Nurul. Dia bukan siapa-siapa pun pada aku walaupun aku pernah selamatkan dia!”

Nurul tersengih-sengih. “Ehm...tup-tup kau berjodoh pula dengan orang tu, macam mana Hani?”

“Ya ALLAH! Kau bermimpi ke apa Nurul?” Hani Fiqah hampir melemparkan kotak tisu pada Nurul.

Meleret senyuman Nurul tatkala melihat wajah Hani Fiqah yang muram. Tapi dia tahu marah Hani Fiqah hanya sejenak.

“Hisy...aku gurau sajalah tapi kalau betul berjodoh apa salahnya!”

“Dahlah...jangan nak merepek, boleh tak?”

“Hani, aku bukan merepeklah! Aku cuma nak ingatkan kau, kalau dah jodoh kau datang takkan kau nak menolak pula, kan?”

“Ah, biarlah jodoh aku bukan dengan mamat tu, Nurul. Aku bukannya terdesak pun...biarlah orang kampung sesuka hati fitnah aku yang penting aku tak bersalah!”

Nurul merenung jauh ke dalam mata sahabat baiknya. Dia sangat simpati pada Hani Fiqah. Selama ini hidup Hani Fiqah dengan keluarganya rukun saja meskipun abah mereka sudah meninggal dunia. Disebabkan kehadiran lelaki itu, tiba-tiba hidup Hani Fiqah jadi tidak keruan. Dilempar fitnah tanpa usul periksa!

“Hani, walau pun orang dah permain-mainkan perasaan aku, tetap juga aku berharap...suatu hari nanti aku dipertemukan jodoh dengan seorang lelaki yang benar-benar menyayangi aku,” ujar Nurul perlahan.

“Bekas tunang kau tu yang tak sedar diri, Nurul. Dapat tunang yang cantik dan baik baik macam kau pun dia tak tahu bersyukur!”

“Aku tak pernah berdendam dengan dia, Hani. Mungkin bukan jodoh kami...biarlah. Semoga, suatu hari nanti kita sama-sama dipertemukan jodoh...biar tak lawa tapi dia sangat baik, soleh, jujur dan setia!” ujar Nurul perlahan.

“Amen...” sambut Hani Fiqah lantas mengusapkan tangan ke wajahnya.

Hani Fiqah mengalihkan wajah, melemparkan pandangan ke luar tingkap. Perlahan-lahan tangannya mengusap air mata yang mulai mengalir di pipinya.

Nurul menyentuh tangan Hani Fiqah perlahan. Hatinya akan sayu jika satu-satunya sahabat yang sangat rapat dengannya sedang menghadapi masalah.

“Hani...kau masih sayangkan Victor lagi?” tanya Nurul perlahan. Redup matanya menatap wajah sendu Hani Fiqah.

“Entahlah Nurul tapi...”

“Er, takkan kau masih mengharapkan si Victor tu juga sedangkan emak dia langsung tak setuju anak dia bercinta dengan kau! Victor pun sama...tak mampu nak bertegas pertahankan hubungan kau berdua. Emak dia tu tak mungkin akan berubah hati,” pintas Nurul. Tidak berkedip matanya merenung wajah sahabat yang disayanginya itu.

Mata Hani Fiqah redup merenung wajah Nurul semula. Serba sedikit kata-kata Nurul itu mengusik hati kecilnya. Sesungguhnya dia sudah belajar menerima kenyataan bahawa lelaki peranakan Cina yang bernama Victor itu bukan jodohnya. Dia sudah memujuk hati agar menutup saja diari hatinya buat lelaki itu. Dia ada prinsip hidup, pantang baginya orang memandang rendah dirinya terutama terhadap uminya!

Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan