Home Novel Cinta ANUGERAH TERINDAH
ANUGERAH TERINDAH
Angela Engkuan
8/8/2015 19:36:09
74,274
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 1

24 tahun kemudiaan...

Aleya menatap gambar yang terletak elok di atas meja di samping tempat tidurnya. Gambar keluarganya yang diambil semasa menyambut Hari Raya Puasa setahun yang lalu. Keluarganya tampak sangat gembira di dalam gambar itu. Kini, setiap kali menatap gambar itu perasaannya akan terusik.

Setiap kali anak mata tertuju pada seraut wajah insan tersayang, hati menjadi sangat sebak. Meski tidak pernah luput berdoa akan kesejahteraan arwah suami tercinta di alam baqa namun amat sukar melepaskan dengan sepenuh hati sejuta kenangan ketika bersama arwah.

Sebagai insan yang sangat rapat, Aleya hanya mampu mendoakan kesejahteraan dan ketenangan arwah di sana. Sungguh, jauh di lubuk hatinya masih tidak mampu melepaskan insan tercinta itu. Terlalu perit apabila ditinggalkan Haris buat selamanya. Setiap kali usai berdoa, Aleya akan duduk menyepi sambil mengenang arwah. Bagaimana dapat dilupakan insan budiman itu sementelah ada persoalan yang belum terjawab sebelum pemergiannya. Fikiran Aleya mengimbas kembali kata-kata terakhir arwah Haris beberapa bulan yang lalu.

“Leya...” panggilan Haris kedengaran sangat lemah di telinga Aleya. Matanya terpejam rapat.

“Ya bang...Leya ada kat sini. Abang nak apa-apa ke? Nak minum?” tanya Aleya lantas menyentuh dan mengusap lengan kurus Haris.

Tampak tarikan nafas Haris agak panjang dan payah berserta gelengan yang lemah.

“Abang...abang nak cakap sesuatu pada Leya.” Serak nada yang lahir dari mulut Haris.

“Apa dia, abang?” tanya Aleya lagi. Tidak berkedip matanya merenung wajah pucat Haris. Tersentap hatinya tatkala melihat air mata Haris merembes perlahan-lahan dari matanya yang tetap terpejam.

“Abang...” Dielus-elus bahu dan dada kurus Haris.

Mata Haris celik perlahan-lahan. “Leya...abang harap Leya kembalilah jumpa ayah dan mak, ya? Sampaikan salam abang...sampaikan permintaan maaf abang pada dia orang, ya Leya?”

Aleya benar-benar terpempan. “Abang...”

“Abang nak minta maaf, Leya. Maafkan abang...abang tak jujur pada Leya selama ini...maafkanlah abang...” Tersekat-sekat suaranya.

“Abang! Kenapa abang cakap macam ni?” Berkerut-kerut dahi Aleya.

“Abang bersalah sangat pada Leya...abang berdosa!”

Serta-merta dada Aleya berdebar tidak keruan. Pelbagai andaian menyusup masuk ke dalam benaknya.

“Astaghfirullahalazim...abang! Apa yang abang cakap ni? Dahlah...abang rehatlah, ya?” Diusap-usap lembut lengan Haris.

Haris menarik nafas panjang lagi. “Abang memang bersalah pada Leya...maafkan abang, Leya.”

“Abang...”

Melihat air mata Haris mengalir lebat, Aleya semakin tidak keruan. Menggeletar seluruh tubuhnya. Nafas lelaki yang sangat dicintainya itu mulai tersekat-sekat, tampak sangat menderita. Air matanya turut berjuraian, turut terasa sakit melihat penderitaan suaminya.

“Sudahlah bang...tak usah cakap lagi. Nanti sesak pula nafas abang...”

“Benarkanlah abang cakap, Leya. Abang takut abang tak sempat nak beritahu Leya. Ini penting sangat...tolong dengar cakap abang baik-baik Leya...”

“Abang!” Aleya menggeletar tatkala melihat nafas suami tidak teratur tarikannya.

“Anak kita, Leya...anak kita...”

“Anak-anak kita pergi sekolah...sekejap lagi baliklah budak-budak tu, bang.” Aleya mengawal nada, air mata laju mengalir diusap secepat mungkin. Dia benar-benar tidak tega melihat penderitaan suaminya tika itu.

Tarikan nafas Haris kian payah. Tercungap-cungap mendapatkan udara masuk ke ruang dadanya.

“Leya...maafkan abang...berdosa abang tak berterus terang pada Leya selama ini...maafkan abang.”

“A..abang...apa yang abang cakapkan ni? Leya tak faham...” Tangan Aleya tidak henti-henti mengusap lembut dada suaminya. Berharap usapan itu dapat meredakan sesakan dada suami yang amat disayanginya itu.

“Leya...maafkan keluarga abang, Leya...”

“Abang!”

“Maafkan mak...maafkan Serina...ampunkan kami, Leya...”

“Ya ALLAH! Apa yang abang cakapkan ni, bang? Apa maksud abang? Leya tak faham!” raung Aleya. Demi TUHAN, dia benar-benar tidak memahani kata-kata suaminya.

Haris menarik nafas semakin payah. Bola matanya naik ke atas seketika. Tubuhnya kian lemah.

“Le...Leya...mak tahu segala-galanya...abang bersalah pada Leya!”

“Abang...jangan buat Leya begini, bang. Abang...”

“Maafkan abang, Leya...” Suara Haris kian tenggelam, hampir tidak kedengaran. Matanya yang basah merenung wajah Aleya seketika lalu terpejam rapat.

“Abang bertenanglah. Abang mengucap...ikut Leya ya, bang...Laa ilaaha illallaah…”

Tubuh kurus Haris terkulai layu sejurus mengucap dua khalimah syahadat tanpa sempat menyatakan apa yang ingin dia nyatakan. Aleya tergamam, denyutan jantungnya seakan terhenti. Pautan tangan Haris di tangan isteri tercinta perlahan-lahan terlerai. Matanya sudah tertutup rapat. Dadanya sudah tenang, senyap. Nadinya tidak berdenyut lagi!

Ya ALLAH, daripada-MU kami datang, kepada-MU juga kami kembali. Haris sudah kembali ke rahmatullah!

Aleya mengusap juraian air matanya yang lebat. Bagaikan masih terngiang-ngiang suara Haris memampan telinga. Ya ALLAH, rahsia apakah yang dipendam Haris selama ini?

‘Abang...teganya abang dah bawa pergi perkara yang abang pendam selama ini!’ Bisik hati Aleya yang sayu. Tidak tertahan menampung sebak di dada, air matanya berjuraian lebat.

“Umi!”

Aleya tergamam seketika tatkala menyedari kealpaannya menyembunyikan kelemahan perasaan. “Astaghfirullahalazim...” bisik Aleya lantas mengusap wajahnya. Sesungguhnya tidak pernah anak-anak dibiarkan melihat keadaannya sedemikian.

Susuk tubuh langsing anak sulungnya, Hani Fiqah kian merapatinya. Aleya mengukir senyuman biarpun terasa kaku bibirnya.

“Kenapa umi? Umi tak sihat ke?” tanya Hani Fiqah dengan nada cemas.

“Taklah Hani...umi tak apa-apa.” Aleya sedaya upaya melebarkan senyumannya.

“Tapi...”

“Umi tak apa-apa, sayang. Hani janganlah risau...” pintas Aleya lantas menggamit lengan anaknya yang sangat mengambil berat itu. Diusap lembut lengan anak gadisnya sambil matanya menatap tepat ke matanya anaknya. Entah bagaimana hidupnya jika tanpa Hani Fiqah di sisinya.

Kini, segala tanggungjawab sebagai ketua keluarga terpikul di bahu anak gadisnya itu. Bukan sejak suaminya meninggal tetapi semenjak arwah disahkan menghidap penyakit kanser paru-paru peringkat awal sehinggalah ke peringkat akhir, Dua tahun dalam rawatan, enam bulan terakhir baru Haris terlantar tenat. Apabila suaminya kian tenat, segala-galanya terbeban atas bahu Hani Fiqah. Pandai-pandai Hani Fiqahlah yang mengatur dan mengurus segala keperluan mereka sekeluarga walhal usia anak gadisnya itu belum pun genap 23 tahun waktu itu.

“Hani janganlah risaukan umi, ya. Umi tak apa-apa...cuma terkenangkan arwah abah...”

Hani Fiqah menganggukkan perlahan. Sesungguhnya dia sangat faham perasaan uminya tika ini. Sejak hampir setengah tahun itu, uminya lebih kerap menyendiri, banyak termenung malah tidak berselera menjamah makanan. Pelbagai cara dan menu Hani Fiqah sediakan setiap hari namun uminya hanya memuji, masakannya sedap tetapi makannya tetap hanya sedikit!

                                                                    ***

BAGAIKAN ada bayangan arwah Haris di hujung meja. Kerusi di hujung meja itu sudah hampir enam bulan kosong setiap kali mereka menikmati makanan yang terhidang di atas meja itu.

Aleya mulai menyuapkan makanan ke mulutnya. Sangat perlahan. Seleranya kian merosot sejak akhir-akhir ini. Hendak dikata dia sedang tidak sihat, tidak pula terasa sakit di mana-mana bahagian tubuhnya yang kian ‘ramping’ itu. Ketika arwah suaminya masih ada, apa saja makanan yang dimasak oleh Hani Fiqah akan terasa nikmatnya, sangat menyelerakan.

“Umi...”

Melihat suapan Aleya sangat longlai, Hani Fiqah memanggil dengan nada yang sangat lembut.

“Betul umi tak apa-apa ke?” tanya gadis itu dengan perasaan risau.

Aleya menatap wajah anak sulungnya. Rasa bersalah mulai menjentik perasaan. Sikapnya kebelakangan itu memang pelik namun itu berlaku di luar sedarnya. Dia sering termenung, duduk menyendiri sehingga berjam-jam lamanya.

Aleeya menggeleng perlahan. “Takde...umi okey aje. Makanlah...”

“Kalau umi tak sihat beritahulah Hani...Hani susah hati tengok keadaan umi macam ni,” luah Hani Fiqah. Ditatap sayu raut wajah yang mulai cengkung itu.

“Ha’ahlah umi...Rizal pun risau. Umi tak selera nak makan ke? Sedap kak long masak, umi.” Rizal turut menatap wajah Aleya.

“Alah, umi tak apa-apa...jangan risaulah, ya? Ehm...makanlah.”

Tanpa berlengah, Aleya menyuapkan makanan ke mulutnya sambil matanya memerhati Hani Fiqah menyisihkan tulang ikan di pinggan adik bongsunya. Farhana sudah pun berumur hampir enam tahun tetapi kakak sulung itu tetap melayan adiknya dengan sabar. Mungkin sebab itulah adik-adiknya sangat rapat malah terlalu bergantung kepada Hani Fiqah. Sebab Hani Fiqah terlalu memanjakan adik-adiknya!

“Umi...esok Hani masak makanan kegemaran umi, ya. Tadi Hani nak lekas masak...tulah masak ala kadar aje,” ujar Hani Fiqah tatkala melihat suapan uminya yang perlahan. Mungkin uminya tidak berselera menikmati makanan ringkas itu. Hanya ikan goreng, sayur campur dengan sup telur. Dia memasak tergesa-gesa, bimbang adiknya lewat menyelesaikan kerja sekolah.

Terangkat wajah Aleya demi mendengar kata-kata anak gadisnya itu. Bukan disebabkan makanan yang terhidang itu seleranya patah sebenarnya tetapi perasaannya. Namun terlalu sukar untuk meluahkan apa yang terpendam di dalam hatinya. Selama ini, apa saja yang dihidangkan oleh Hani Fiqah, dia tidak pernah kisah. Rezeki itu amat disyukuri namun kini seleranya memang sangat tumpul, tidak terasa nikmatnya makanan yang masuk ke mulut. Setiap kali terbayangkan arwah Haris, saluran kerongkongnya bagaikan tersumbat.

“Umi tak kisah, Hani. Makanan ni pun dah cukup bagi umi...yang penting adik-adik dapat makanan yang sempurna. Hani sediakanlah untuk adik-adik, ya?” Rendah sahaja nada suara Aleya.

“Kami pun tak kisah, umi. Kak long dah sediakan makanan...kami dah bersyukur sangat-sangat,” ujar Rizal.

Semerta tersungging senyum nipis di bibir Aleya. Terasa Rizal sudah mulai matang. Anak keduanya itulah yang turut membanting tulang, membantu kakaknya di kebun dan ladang ternakan.

“Kak long masak sedaplah, umi. Nana suka makan ikan goreng ni...” Farhana yang kecil sudah pandai menyampuk. Tersengih-sengih anak kecil itu dengan mulut yang masih berisi makanan.

“Nana ni...cakap kalau makanan dah takde kat mulut tu!” tegur Norfarini perlahan.

“Adik cuma nak...”

“Nana...makanlah, sayang.” Aleya lembut memintas ayat anak bongsunya yang sangat petah berkata-kata itu.

“Okey, umi...” Sopan anak kecil itu meneruskan suapannya. Hani Fiqah tersenyum.

Usai mengemas dapur, Hani Fiqah menghampiri sebuah meja di tepi ruang tamu rumah. Meja itu dijadikan tempat adik-adiknya belajar. Itulah juga meja tempatnya menumpukan perhatian ketika dia masih di bangku sekolah beberapa tahun yang lalu.

“Adik...”

Rambut adik bongsunya dibelai penuh kasih. Farhana memang sangat manja dengannya. Semenjak Farhana masih bayi lagi, Hani Fiqahlah yang banyak menumpukan masa dan perhatian kepada adik bongsunya itu.

Aleya jatuh sakit sebaik saja melahirkan Farhana. Kasihan adik bongsunya itu. Satu-satunya adik yang tidak sempat menyusu badan. Aleya terlalu menderita ketika itu sehingga tidak mampu menumpukan perhatian terhadap bayi kecilnya. Kini, Farhana sudah pun masuk tadika. Petah dan lancar tutur katanya. Anak kecil itulah yang sering menceriakan seisi rumah itu.

“Kak long...adik buat kerja sekolah. Cikgu kata...sapa tak buat kerja rumah nanti cikgu tak bagi hadiah pencil cantik!” Farhana mengadu.

Hani Fiqah memerhati, diteliti kerja sekolah adik bongsunya itu. “Ehm...adik rajin-rajinlah buat kerja sekolah, buat kemas-kemas nanti kak long pun bagi hadiah jugak!”

“Hadiah? Betul ke kak long? Eh, adik nak patung barbie!”

“Amboi adik ni! Buat kerja sekolah pun nak hadiah mahal...” Bulat mata Norfarini menatap wajah adik bongsunya.

“Kak Rini ni...adik tak mintak hadiah mahallah!” Farhana memuncungkan mulut, muram wajahnya.

“Dah sudah...tak payah nak gaduh-gaduh! Nanti kak long bagi hadiah untuk semua...syaratnya, mesti dapat keputusan peperiksaan yang baik. Faham?” Janji Hani Fiqah. Adik-adiknya tersenyum gembira membuatkan hati Hani Fiqah turut senang hati.

“Rini...tengok-tengok kerja adik nanti, ya? Siapkan dulu kerja sekolah Rini tu. Kak long nak tolong umi siapkan sulaman...”

“Okey kak long.”

Hani Fiqah meninggalkan adik-adiknya masuk ke dalam sebuah kamar. Kamar itu agak kecil saiznya berbanding kamar tidur mereka. Aleya jadikan kamar itu sebagai tempat menjahit sekali gus tempat pelanggan Aleya mencuba pakaian yang baru siap dijahit. Ada ruang kecil dipasangkan kain tabir dan dilekatkan pula cermin pada dinding bagi memudahkan pelanggannya mencuba pakaian mereka.

“Umi...” panggil Hani Fiqah perlahan.

Aleya mendongak. “Hmm?”

“Umi, esok Hani off duty. Hani cadang nak pergi pekan. Makanan ternakan dah tinggal sedikit, umi. Lagipun ada beberapa barang keperluan Hani nak beli. Umi nak ikut Hani ke? Semalam umi kata bahan jahitan dah banyak yang kurang...”

“Pukul berapa Hani nak pergi?” tanya Aleya.

“Hani fikir nak pergi awal sikit...Hani ada urusan sikit kat bank, umi.”

Sehelai baju kurung asli yang sudah siap dijahit oleh Aleya diturunkannya daripada gantungan. Semalam dia tidak sempat menyiapkan sulaman 'tulang belut' baju pelanggan uminya itu. Malam ini dia yakin, sulaman itu akan siap sepenuhnya. Namun, masih ada beberapa helai baju kurung lagi perlu dijahit sulaman 'tulang belut', sulaman manik dan labuci. Bahagian sulaman tangan itu biasanya Aleya tinggalkan untuk Hani Fiqah siapkan.

“Mata umi dah tak terang, Hani. Umi tak berapa nampak lubang manik-manik tu...lagi-lagilah kalau manik yang halus tu,” kata Aleya selalunya.

Norfarini pun sudah mulai belajar menjahit sulaman manik dan labuci. Namun jika baju pelanggan, Aleya belum harap lagi hasil kerja anak gadisnya yang baru berumur 14 tahun itu. Sulaman Norfarini belum sekemas sulaman Hani Fiqah. Bimbang pelanggan tidak berpuas hati pula nanti.

“Umi ikut Hani esok. Elok juga pergi awal sikit, umi nak potong rambut, dah panjang sangat rambut umi ni Hani. Rasa rimas sangat...”

Hani Fiqah mengalih pandang. Ditatap wajah redup Aleya.

“Okey umi. Hani bawa umi kat salun tempat kerja Nurul ya, umi?”

Aleya sekadar mengangguk. Semenjak kepergian arwah Haris, Aleya tidak lagi seceria dulu. Cahaya wajahnya sudah pudar. Sebagai anak sulung dalam keluarga itu memang Hani Fiqah sangat terasa. Sangat terkesan dengan perubahan uminya malah keadaan keluarga mereka.

Aleya ditinggalkan suami tercinta dengan lima orang anak, empat orang anaknya itu pula masih bersekolah. Namun takdir tidak pernah terduga, segalanya sudah berubah kini. Mereka sudah kehilangan insan yang menjadi tunggak keluarga. Aleya pasti sangat kehilangan apatah lagi dengan keadaan dirinya yang sudah tidak sempurna seperti dahulu. Kehilangan Haris bagaikan kian 'melumpuhkan' Aleya!

Previous: PROLOG
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan