Home Novel Cinta ANUGERAH TERINDAH
ANUGERAH TERINDAH
Angela Engkuan
8/8/2015 19:36:09
74,255
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 6

USAI menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslimah subuh itu, Hani Fiqah berniat ke dapur bagi menyediakan sarapan. Meski tidurnya tidak lena sepanjang malam itu, dia tetap bangun seperti biasa. Adik-adiknya perlu bersarapan sebelum berangkat ke sekolah setiap pagi.

Melihat waktu masih terlalu awal, Hani Fiqah menghalakan langkah ke kamar adik-adik lelakinya terlebih dahulu. Rizal pasti sudah terbaring semula setelah menunaikan solat subuh. Dia tidak perlu risau kerana adiknya itu tidak pernah culas menunaikan tanggungjawabnya. Namun sebagai kakak sulung, Hani Fiqah sudah tentu perlu mengambil berat terhadap adik-adiknya.

Rizal menyelak selimut dari kepala tatkala menyedari kehadiran Hani Fiqah di kamarnya. Katil bujangnya kini terpaksa dikongsi dengan adiknya, Fahmi. Katil Fahmi pula kini sedang menampung tubuh tegap 'tetamu' mereka yang sedang sakit itu.

“Kak long...” panggil Rizal perlahan seakan berbisik.

Rizal tahu kakaknya hampir tidak tidur kerana memantau keadaan 'tetamu' mereka itu sepanjang malam. Suhu badannya meningkat, tubuhnya panas. Hampir sepanjang malam 'tetamu' itu mengerang dalam tidurnya.

“Riz dengan Fahmi dah solat?” tanya Hani Fiqah meski dia tahu adiknya tidak mungkin melewat-lewatkan waktu wajib itu.

“Ha’ah...sudah kak long,” jawab Rizal perlahan. Beberapa ketika kemudian dia menarik semula selimut menutupi kepalanya. Di kampung itu udara waktu subuh memang sangat dingin. Jika tidak tahan sejuk, sudah pasti menggigil-gigil kedinginan.

Hani Fiqah menghampiri katil Fahmi. Telapak tangannya diletakkan perlahan ke dahi 'tetamu' itu. Syukur, demamnya sudah kebah. Buat beberapa detik Hani Fiqah memakukan tatapan ke raut wajah itu.

Handsome jugak muka dia ni. Ehm, siapalah kau ni sebenarnya? Tiba-tiba aje kau muncul masuk kampung ni, pertama kali kot kau datang sini. Kesian...kemalangan pula kau!’ Bisik kalbu Hani Fiqah dengan perasaan simpati.

‘Kalau keluarga kau tahu keadaan kau macam ni, tentu dia orang terkejut. Nanti selepas aku hantar kau ke hospital, aku akan cuba hubungi keluarga kau...’ Hati Hani Fiqah bermonolog lagi. Dia yakin, pasti ada nombor telefon keluarga lelaki itu di dalam telefon bimbitnya yang ditinggalkan di dalam kereta lelaki itu.

Ketika hendak berlalu, tiba-tiba tangan Hani Fiqah dipegang lalu digenggam erat. Hani Fiqah pantas berpaling semula. Tergamam.

“Ya?”

“Saya...” Lelaki itu cuba berkata-kata.

Hani Fiqah menunduk sambil menarik tangannya perlahan-lahan daripada genggaman lelaki itu. Ditatap lembut wajah lelaki itu. Dia tahu, lelaki itu sedang menanggung rasa sakit. Sesungguhnya dia tidak sabar menunggu hari siang. Lelaki itu perlu mendapat rawatan lanjut di hospital.

“Saya kat mana ni?” tanya lelaki itu perlahan. Berkerut-kerut dahinya. Mungkin kepalanya sedang berdenyut ketika itu.

“Encik kat rumah...kami. Er, encik nak bangun ke?” tanya Hani Fiqah. Dalam fikirannya mungkin lelaki itu hendak ke bilik air atau hendak minum air.

“Kenapa dengan saya?”

Semerta kening Hani Fiqah terjongket. Apakah lelaki itu tidak mampu mengingati apa yang telah terjadi terhadap dirinya? Minta-minta jangan sampai dia hilang ingatan. Ah, dahinya cuma luka...eh, bukan luka tapi cuma tercalar saja takkan boleh menyebabkan lelaki itu hilang ingatan pula!

“Encik...”

“Saya nak air!”

“Oh...encik tunggu sekejap ya, saya ambilkan air.”

Bergegas Hani Fiqah berlalu. Panjang langkahnya menghala ke dapur. Dituangkan air panas ke dalam separuh gelas, ditambah pula dengan air sejuk lalu tergesa-gesa semula balik ke kamar adiknya.

Setibanya di kamar Rizal dan Fahmi, Hani Fiqah tergamam. Lelaki itu sudah bangun dan sedang duduk di pinggir katil. Dengan mata terpejam rapat, lelaki itu memelukkan tangannya ke tubuh. Dia menggigil kedinginan.

“Encik...”

Tengku Daniel mendongak. Kelopak matanya terangkat. Teramat redup pandangannya meneliti wajah gadis muda di hadapannya.

Hani Fiqah menghulurkan gelas berisi air suam. Tatkala lelaki itu sedang meneguk air, Hani Fiqah menghulurkan tangan mencapai selimut tebal di sebalik punggung lelaki itu. Diletakkan selimut tebal itu ke bahu, menutupi seluruh tubuh tegap itu.

“Encik berbaringlah...masih terlalu awal untuk bangun. Di sini memang sangat sejuk waktu awal pagi,” tutur Hani Fiqah sambil mengambil gelas kosong daripada pegangan lelaki itu.

Lelaki itu tidak bergeming, hanya anak matanya saja menelusuri ruang bilik yang sempit itu. Seketika pandangannya beralih ke wajah Hani Fiqah. Ketika kening Hani Fiqah terangkat, terukir senyum nipis di bibir lelaki itu. Perlahan-lahan dia menggeleng.

“Kereta saya mana?” tanya lelaki itu perlahan.

Hani Fiqah tersenyum. “Kereta encik ada kat depan rumah. Jangan risau...kereta encik dalam keadaan baik!” Intonasi lembut tanpa niat menyindir.

“Saya di mana sekarang? Er...maksud saya...”

“Encik...”

“Nama saya Daniel...panggil saja Daniel!”

“Ehm, okey. Encik...er, Daniel, awak kat rumah kami. Kampung ni jauh dari pekan...sebab tulah saya terpaksa bawa awak balik selepas kemalangan semalam. Nanti saya bawa awak buat rawatan di hospital, ya?”

“Saya kemalangan semalam? Er, ya...saya tergelincir!” Berkerut-kerut dahi lelaki itu. Sekarang baru dia mampu mengingati apa yang terjadi kepadanya semalam.

“Ha’ah...kebetulan saya berada di tempat tu semalam. Jangan bimbang...awak tak cedera teruk tapi elok juga awak buat pemeriksaan lanjut di hospital.” Wajah lelaki itu ditenung seketika.

“Er, tapi bukan ke saya jatuh masuk gaung? Macam mana saya...”

Hani Fiqah tersenyum. “Awak taklah sampai jatuh masuk dalam gaung...tak mampu saya nak bayangkan kalau awak jatuh masuk gaung tu. Ngerinya!”

Hampir bertaut kening lelaki itu. Melihat lelaki itu terdiam, Hani Fiqah menyambung lagi. “Awak bernasib baik...kaki awak tersangkut pada akar kayu kat tebing gaung tu, saya tarik awak sebelum awak jatuh terus dalam gaung. Syukurlah...awak tak cedera teruk, luka kaki awak tu dalam sikit tapi saya yakin kaki awak tak patah. Awak jangan bimbang.”

Usai menjelaskan kepada lelaki itu, Hani Fiqah berlalu menghampiri katil adik-adik lelakinya. Adik-adiknya perlu dikejutkan.

                                                                     ***

RIZAL terus menghampiri kakaknya sejurus dia masuk ke ruang dapur. Hani Fiqah yang sedang menggoreng mihun, menoleh seketika memandang adiknya.

“Wah, sedapnya...kak long!” kata Rizal sambil memandang kuali yang berasap.

Tersenyum Hani Fiqah. “Ehm, dah siap! Riz tolong kak long sediakan pinggan dan cawan, ya.”

Rizal segera melaksanakan apa yang diarah oleh kakaknya. Setelah meletakkan jumlah pinggan dan cawan secukupnya di atas meja, dia duduk di kerusi. Hani pula sudah meletakkan sepinggan besar mihun goreng di tengah meja. Tertelan liur Rizal tatkala terhidu keenakan terbit dari mihun goreng itu.

“Kak long...”

“Hmm?”

“Abang tu duduk kat rumah kita sampai bila, ya?”

“Hari ni kak long hantar dia ke hospital, biarlah dia dapat rawatan lanjut kat hospital...kalau terpaksa duduk wad lagi bagus!”

“Ya ke? Tak boleh ke kak long rawat dia kat rumah ni aje?”

“Riz ni...mana boleh. Kak long jururawat aje bukannya doktor. Lagipun dia tu lelaki...orang yang kita tak kenal pulak tu!”

“Oh...lelaki? Tapi...Riz dan Fahmi kan ada? Kenapa pulak dia tak boleh duduk dengan kita?”

Hani Fiqah menghela nafas sambil menggeleng perlahan. “Tak boleh! Kita kenalah hubungi keluarga dia, beritahu keluarga dia pasal keadaan dia. Riz beria-ia ni, kenapa pulak?”

“Taklah...tapi kereta dia tu cantik sangat kak long. Ya ALLAH...kak long, best gila bawa kereta abang handsome tu semalam!”

Sejak semalam, Rizal yang teruja tidak putus-putus meluahkan kekaguman dan keterujaannya terhadap kereta mewah milik lelaki itu. Kejadian semalam memaksa Hani Fiqah bersusah payah 'mengangkut' lelaki bernama Daniel itu balik ke rumah. Semalam, setelah membersihkan dan merawat luka-luka di tubuh lelaki itu, Hani Fiqah mengajak Rizal membawa kereta lelaki itu. 'Pengalaman manis' pula bagi Rizal kerana berpeluang memandu kereta mewah itu balik ke rumah mereka.

Rizal yang sudah mahir memandu itu terlebih pula terujanya walhal dia belum mempunyai lesen memandu. Hani Fiqah tidak akan bertangguh mengurus adiknya itu untuk memiliki lesen memandu jika umur adiknya itu sudah layak mendapat lesen. Acap kali sudah adiknya itu mengingatkan, umurnya sudah hampir 17 tahun, tidak lama lagi dia sudah layak mendapatkan lesen memandu.

“Riz ni...dari semalam tak habis-habis pasal kereta tu,” tegur Hani Fiqah. Tangannya sibuk mengacau air milo di dalam jag.

“Kak long...kereta tu bukan kereta biasa tahu kak long. Oh...kalaulah Riz boleh dapat kereta macam tu suatu hari nanti...”

“Tengok tu...berangan-angan lagi!” Hani Fiqah menghela nafas sambil menggeleng.

“Alah...berangan-anganlah sebelum bercita-cita, kak long.” Rizal tidak mahu mengalah.

“Dahlah tu...Riz pergi ajak adik-adik, sarapan dah siap ni,” gesa Hani Fiqah

“Boleh Rizal ajak abang tu sarapan sama-sama, kak long?” tanya Rizal sebelum berlalu.

“Riz ajaklah kalau dia tak tidur...kak long ke kamar umi.”

Aleya tidak berada di kamarnya ketika Hani Fiqah masuk. Aleya sedang berada di dalam bilik air. Tanpa berlengah tempat tidur Aleya dikemaskan. Bukan Aleya tidak mampu melakukannya namun Hani Fiqah berasa itu merupakan salah satu tanggungjawabnya, sudah menjadi tugas rutinnya setiap pagi.

Beberapa ketika kemudian Aleya terkial-kial menggerakkan kerusi rodanya untuk keluar dari bilik air. Hani Fiqah segera merapati uminya, kerusi roda uminya ditarik perlahan.

“Assalamualaikum umi...” ucap Hani Fiqah lantas satu kecupan hinggap di pipi Aleya.

Aleya membalas salam sambil memaut tubuh anak gadisnya. Dahi Hani Fiqah dicium agak lama. Bagai satu kewajipan bagi mereka setiap pagi.

“Adik-adik Hani dah bangun?” Pertanyaan yang serupa juga menyapa lohong telinga Hani Fiqah setiap pagi.

“Sudah umi. Jom umi, kita sarapan. Hari ni, Hani sediakan mihun goreng campur seafood. Hani goreng telur dadar campur cincang isi ayam,” beritahu Hani Fiqah dengan lembut.

Terserlah senyuman Aleya. Anak gadisnya tidak pernah bosan memancing seleranya. Meski seleranya tidak pernah pulih sebaik dahulu namun tidak pernah dia menolak pelawaan untuk menikmati rezeki yang disediakan Hani Fiqah.

Ketika Hani Fiqah bersedia hendak menolak kerusi roda untuk keluar dari kamar, Aleya bersuara.

“Hani...”

“Ya umi?” Hani melangkah ke depan uminya.

“Orang yang Hani bawa balik semalam tu...dah okey ke? Luka dia teruk ke?” tanya Aleya.

Hani Fiqah tersenyum manis. “Dia okey aje umi. Luka dia pun taklah teruk sangat. Hani dah bersihkan dia luka semalam tapi kenalah dapatkan rawatan sempurna kat hospital, umi.”

“Macam mana dia boleh kemalangan, Hani? Oh...semalam hujan lebat, agaknya dia memandu tak hati-hati.” Serkap jarang Aleya.

Meletus tawa halus Hani Fiqah. Dia tunduk, mencangkung di hadapan uminya.

“Umi...sebenarnya dia bukan kemalangan kereta, dia tergelincir..hampir masuk gaung, umi.”

“Astaghfirullahalazim...macam mana boleh tergelincir? Dia buat apa dekat-dekat gaung tu? Tak tahu ke tempat tu bahaya?”

Bertindih-tindih pertanyaan Aleya. Berkerut-kerut dahinya. Tidak masuk dek akal baginya, tempat yang perlu dihindarikan itu pula dikunjungi lelaki itu. Apalah sangat yang hendak dicari sampai membahayakan diri? Benak Aleya tertanya-tanya.

“Entahlah, umi. Masa Hani lalu tempat tu...kereta dia memang berhenti kat situ. Dahlah jalan tu sempit, jalan tu dah jadi macam sungai. Hujan pulak makin lebat tu yang Hani nak cepat sampai rumah...

Hani rasa pelik tiba-tiba aje dia keluar dari kereta...redah hujan lebat. Jalan dah banjir, licin sangat. Agaknya tu yang buat dia tergelincir. Nasib baiklah kaki dia tersangkut pada akar kat tebing gaung...kalau tak memang terus masuk gaunglah dia, umi. Rasa nak putus tangan Hani tarik badan dia!” Hani menceritakan kejadian cemas semalam namun, kini dia menghela nafas lega. Lelaki itu sudah selamat malah kini berada di rumah mereka.

“Ya ALLAH...Alhamdulillah, syukur Hani sempat selamatkan dia. Tak dapat umi bayangkan kalau takde orang nampak kejadian tu, Hani.” Tergeleng-geleng Aleya bagi meredakan rasa ngeri.

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan