Home Novel Cinta ANUGERAH TERINDAH
ANUGERAH TERINDAH
Angela Engkuan
8/8/2015 19:36:09
74,275
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 11

TENGKU DANIEL melepaskan helaan nafas berat. Telinganya bagaikan sudah berasap asyik mendengar bebelan Tengku Fatin yang tidak sudah-sudah. Lima belas minit berlalu, pertemuan mereka berdua untuk makan tengah hari itu dicemari oleh wajah muram dan omelan Tengku Fatin. Tengku Fatin meluahkan ketidakpuasan hatinya. Dua minggu Tengku Daniel menghilangkan diri di Sabah. Sakit hatinya kerana tidak dapat menjejaki di mana sebenarnya lokasi Tengku Daniel di negeri itu.

“Fatin...you ni nak makan ke nak membebel? Sudah-sudahlah tu...hilang mood I nak makan, tahu tak?” Akhirnya Tengku Daniel bersuara.

Tengku Fatin terdiam seketika. Bertambah muram wajahnya. “You ni...you tak faham perasaan I! You tahu tak...I bimbang sangat. You tu bukannya tahu nak call I, beritahu I di mana you berada!”

“Okey...okey...I minta maaf! Sekarang boleh tak kita order makanan?” Tengku Daniel mengangkat tangannya tanpa menunggu jawapan Tengku Fatin.

Seorang pelayan lelaki segera menghampiri meja mereka. Tanpa berlengah Tengku Daniel menatap dan memilih makanan daripada senarai menu yang dihulurkan kepadanya. Dihulurkan semula senarai menu itu setelah dia memilih apa yang dia inginkan. Ditatapnya Tengku Fatin yang masih merenung senarai menu. Tengku Daniel biarkan. Bimbang jika ditegur, kian kelat pula wajah gadis itu nanti.

Sejurus pelayan itu berlalu, Tengku Fatin membuka mulut lagi.

Dear...lain kali kalau nak ke mana-mana...you mesti beritahu I di mana you berada, okey?”

“Fatin...I ni bukan budak-budak. I ke mana-mana pun bukan pergi berfoya-foya...I kerja!” Tengku Daniel tentu saja masih mengawal nadanya.

Tengku Fatin mendengus kasar. “You ni...I ambil berat pasal you, tahu tak? Tak terfikir ke you macam mana perasaan I bila tak dapat hubungi you?”

“Tak perlulah risau sangat...sebelum I pergi pun, I ada beritahu you ke mana arah tujuan I. Lagipun...kalau apa-apa berlaku pada I, keluarga I tentu akan hubungi you jugak!”

“Ehm...maknanya I ni tak penting? Apa-apa pun tetap keluarga you jugak yang utama!” marah Tengku Fatin.

“Astaghfirullahalazim...you sedar tak apa yang you cakap ni?”

Hampir bercantum kening Tengku Daniel. Tengku Fatin tunduk, semakin kelat wajahnya. Memang sakit hatinya. Tengku Daniel semakin hari semakin sukar untuk difahami. Dalam tempoh setahun ini, lelaki itu lebih banyak menghabiskan masa dengan kerja dan keluarga. Hendak bertemu pun perlu dipujuk, dirayu. Malah sekarang lelaki yang dicintainya terlalu melebihkan kerja dan keluarga berbanding dirinya!

Tidak lama kemudian makanan mereka dihidangkan. Tengku Daniel mengangkat tangan, membaca doa makan dengan ringkas sebelum menjamah makanan.

“Makanlah...” pelawanya perlahan.

Tengku Fatin mengangguk. Ralit matanya merenung Tengku Daniel yang sudah mula menyuapkan makanan ke mulutnya.

Entah mengapa, ada kalanya Tengku Fatin terasa Tengku Daniel tidak menyayanginya sepenuh hati. Mereka berkawan sejak usia remaja. Seingatnya dia mula rapat dengan Tengku Daniel selepas dia tamat Tingkatan 5. Dalam majlis sambutan hari jadi seorang teman, kebetulan pula Tengku Daniel turut hadir di majlis itu. Temannya, Sandra memperkenalkan dia dengan Tengku Daniel dan itulah titik permulaan perkenalan mereka.

Tengku Daniel keluar negara melanjutkan pengajian, Tengku Fatin pula melanjut pengajian dalam negara sahaja. Berjauhan namun hubungan mereka tetap berlangsung dengan lancar. Namun sejak akhir-akhir ini, hubungannya dengan Tengku Daniel bagaikan ada yang tidak kena. Lelaki itu cuba menjauhkan diri daripadanya malah kian kerap berkunjung ke negeri di bawah bayu itu. Urusan perniagaan apakah yang diurus lelaki itu di sana? Mengapakah dirinya tidak diberitahu secara terperinci? Tengku Fatin mengeluh dalam hati. Perutnya menjadi sebu jika memikirkan sikap tertutup Tengku Daniel sekarang.

“Selepas ni you tak perlulah kerap sangat ke Sabah...”

Tengku Daniel mengangkat wajah. Kunyahannya menjadi perlahan. “Apa lagi yang tak kena ni?” tanyanya sebaik menelan menelan kunyahan.

“Itulah you, kalau tak ke sana...kaki you tentu tak patah!”

“Fatin, beberapa kali dah I cakap...kaki I ni tak patah! Tercedera sikit aje,” ujarnya sejurus meneguk sedikit jus dari gelasnya.

“Tak patah tapi hampir patah! You...boleh tak kalau dengar cakap I? Kalau you dengar cakap I tentu you tak cedera, tahu tak?” Tengku Fatin pantas meletakkan sudu dan garfu di pinggannya. Mati seleranya. Makanan di hadapan itu tidak ada nikmat pun di matanya.

Tengku Daniel beristighfar dalam hati. Menghadap gadis itu ada kalanya lebih sukar berbanding berhadapan dengan kerenah lebih 200 orang pelbagai bangsa dan keturunan yang bekerja di syarikat keluarganya.

“I tak apa-apa, Fatin. Boleh tak you berhenti cakap pasal kaki I ni? Kita sekarang ni sedang menghadap rezeki!” Meski direndahkan intonasi suaranya, Tengku Daniel menghantar maksud dalam nadanya itu.

“Lain kali...you janganlah buat I macam ni, Daniel. You selalu buat I risau sangat! You tak faham perasaan I...”

“Okey...I mintak maaf, okey? Dahlah...kita makan dulu, nanti sejuk tak sedap pulak!”

Tengku Fatin senyap. Beberapa detik tatapan mata saling bertautan. Kelat di wajah Tengku Fatin beransur surut. Gadis itu menghela nafas.

“Kita makan, okey?” Tengku Daniel memegang sudu dan garfunya semula.

Sesungguhnya selera makan Tengku Daniel sudah hilang namun tidak sampai hati membiarkan rezeki di depan mata itu. Dia tidak suka membazir.

“Lepas ni you temankan I pergi shopping, okey? Dah lama I tak shopping...” Sambil menyudu makanan di pinggannya, Tengku Fatin bersuara.

Shopping?” Kening Tengku Daniel terjongket. Ah, aktiviti yang paling tidak digemarinya. “Ehm, tak dapatlah...I dah janji nak jenguk nenek petang ni,” katanya.

“Ya ke? Minggu lepas I kat Taiwan, I ada tinjau-tinjau butik gaun pengantin. Hampir I nak beli tapi tak best kalau you takde sama...Jom kita pergi holidaysambil-sambil tu kita boleh shopping untuk wedding kita nanti tapi tak nak yang dekat-dekat...kita pergi Paris, okey?” Sudah lama dia merancang ingin melancong bersama Tengku Daniel tetapi lelaki itu sentiasa sibuk!

“I sibuk, Fatin. Bukan ke hari tu you cakap you pun sibuk juga?” Tengku Daniel mencapai gelas berisi jus apel hijau lantas disedut hingga hampir habis.

Tengku Fatin menggelengkan. “Memanglah sibuk...tapi I sanggup lupakan kerja I tu kalau dapat pergi holiday dengan you. Kita pergi, okey?”

“I ada projek kat Sabah, Fatin. I kena tumpukan perhatian pada projek tu...I akan tinggal kat sana buat sementara,” beritahu Tengku Daniel.

Kepala gadis itu serta-merta terangkat menatap Tengku Daniel. Berkerut dahi licinnya. Entah mengapa kata-kata lelaki itu membuatkan hatinya tergores malah menjadi panas, menggeledak!

                                                                    ***

HANI FIQAH menatap telefon bimbit yang dihulurkan oleh Aleya kepadanya. Jika hendak diikutkan hati, dia tidak sudi bercakap dengan lelaki itu. Biarlah dia dikatakan 'sombong' asal tidak perlu mendengar suara lelaki itu.

“Hani...Daniel nak cakap ni, jawablah!” gesa Aleya perlahan, masih mengunjuk telefon bimbitnya kepada Hani Fiqah.

“Umi...Hani tak nak cakap dengan dia!” bisik Hani Fiqah sambil menggelengkan beberapa kali.

“Hani...tak baik macam tu. Cakaplah...dah lama Daniel tunggu ni. Sekejap pun jadilah...” Aleya memujuk.

Hani Fiqah menghela nafas. Geram juga hatinya. Telefon bimbit diambil dari tangan uminya. Jika tidak uminya sedang memerhati, pasti sudah ditamatkan panggilan itu. Biar lelaki itu kempunan, tidak mendengar suaranya!

“Hello...”

Aleya mencerlung mata. “Hello? Eh, berilah salam...” bisiknya sambil tangannya menampar lembut lengan anak gadisnya.

Tersengih Hani Fiqah, sedar akan kelalaian itu. Terlalai dek ikut perasaan! Kan dah termalu sendiri. Lebih-lebih lagi tatkala suara lelaki itu terlebih dulu memberi salam.

“Waalaikumsalam...” ucap Hani Fiqah perlahan.

“Hani sibuk ke? Maaflah...saya mengganggu Hani.”

“Er, takdelah...”

Sekali lagi Aleya mencerlung matanya. Tidak menyenangi cara Hani Fiqah menjawab acuh tak acuh pada Tengku Daniel.

“Cakap elok-eloklah, Hani.” Aleya berbisik perlahan, menegur secara halus.

Hani Fiqah hanya tersengih pada uminya. Alahai uminya! Memanglah bibirnya tahu segan jika pergerakan bibirnya pun diperhatikan oleh uminya.

“Awak nak cakap apa?” tanya Hani Fiqah.

“Saja nak beritahu Hani...tiga hari lagi saya datang rumah Hani. Saya dah cakap pada umi...”

“Hah? Eh, buat apa datang sini?” Bagaikan kena renjatan elektrik Hani Fiqah tatkala jari telunjuk Aleya mencolek pinggangnya.

“Cakap elok-elok sikit, Hani.” Kali ini keras bisikan Aleya.

Hani Fiqah menjongketkan keningnya. “Umi...”

“Hani tak suka ke saya datang rumah Hani? Saya dah janji pada umi...pada adik-adik...nak datang sana.”

Suara Tengku Daniel kedengaran perlahan menyusup masuk ke lohong telinganya.

'Amboi...tu umi kitalah...adik-adik kita! Suka hati dia jer kata macamlah umi...adik-adik tu umi dan adik-adik dia sendiri!' Hani Fiqah mengata, sudah tentu hanya mengumpat di dalam hati.

“Hani...”

“Ya...Er, datanglah kalau nak datang tapi...awak tak boleh tidur sini!”

Bagaikan memberi amaran, Hani Fiqah tidak kisah bagaimana perasaan Tengku Daniel setelah mendengar kata-katanya itu. Dia memang suka berterus terang. Lebih baik dia mengingatkan diri, muhasabah diri. Belum dapat dilupakan lagi kata-kata lebih sebulan yang lepas. Masih terasa sakit hati dan telinganya setiap kali mengenang kecohnya mulut Sahuda.

Kedengaran suara tawa Tengku Daniel. “Saya faham...Hani tak perlu bimbang pasal tu. Saya dah tempah bilik kat hotel. Ehm...saya datang rumah Hani pun waktu siang aje. Boleh, kan?”

“Sekejap tu bolehlah...sekarang sedang cuti sekolah, adik-adik ada kat rumah,” ujar Hani Fiqah perlahan. Memang tidak sampai hati melarang lelaki itu datang. Ya, sesungguhnya lelaki itu tidak melakukan sebarang kesalahan dan kesilapan pun!

“Kalau Hani dan umi izinkan...saya nak bawa adik-adik pergi bercuti...”

“Hah? Nak bawa adik-adik saya bercuti? Nak pergi mana?” pintas Hani Fiqah. Kata-kata lelaki itu memang mengocak ketenangan hatinya.

“Ya ALLAH...cara Hani cakap tu macamlah saya nak culik adik-adik tu!”

Mendengar Tengku Daniel ketawa, kulit wajah Hani Fiqah rasa berbahang. Berbicara dengan lelaki itu entah mengapa, tiba-tiba dia menjadi gelabah. Perasaan malu menyerbu hati.

“Hani...”

“Er, pasal tu...awak berbincanglah dengan umi!”

Jika bukan kerana ada umi bersamanya, sudah tentu dia terus saja mengatakan 'tak boleh!'. Siapa Tengku Daniel memandai hendak mengajak adik-adiknya pergi bercuti? Dia masih mampu membawa adik-adiknya ke mana sahaja jika ada masa luangnya.

“Saya nak ajak umi dan Hani sekali...”

“Hah? Eh, saya tak naklah macam tu...awak ni sengaja nak buat saya jadi bahan percakapan orang kampung ni lagi ke?” Spontan Hani Fiqah melontarkan kata-kata itu. Mendadak jantungnya berdenyut laju.

“Hani! Saya tak berniat macam tu...saya cuma nak...”

“Tengku Daniel...tak perlulah awak susah-susah nak ambil kisah hal keluarga saya...awak tak perlu pun datang ke sini lagi!”

Aleya terkesima. Ditatap wajah keruh Hani Fiqah. Terasa pelik dengan perubahan Hani Fiqah yang tiba-tiba menjadi panas baran!

Talian telefon bimbit dipadamkan serta-merta. Aleya mengerutkan dahi. Telefon bimbit dihulurkan semula oleh Hani Fiqah kepadanya.

“Kenapa Hani marah kat Daniel tu? Dia cakap apa pada Hani?” tanya Aleya menatap wajah serius anak gadisnya.

Hani Fiqah mengeserkan punggungnya, mengalih kedudukan tubuhnya agar dapat menghadap Aleya. Ditariknya nafas agak panjang. Entah mengapa, hatinya begitu mudah mendidih terhadap lelaki yang bernama Tengku Daniel itu. Mengapa dia begitu cepat hatinya panas mendidih?

“Entahlah umi...Hani rasa jantung Hani ni nak meletup aje!”

“Hisy...kenapa ni? Cuba bawa mengucap...tenangkan hati!” Lembut kata-kata Aleya, diusap perlahan bahu Hani Fiqah.

“Dia kata nak bawa adik-adik pergi bercuti masa cuti sekolah nanti...”

“Ya ke? Pergi mana?” tanya Aleya sambil matanya merenung tepat wajah Hani Fiqah.

“Hani tak tahu...tapi dia nak bawak umi dengan Hani sekali. Tu yang buat hati Hani panas! Ada ke patut dia nak ajak Hani sekali?” Geram sungguh nada Hani Fiqah.

Tersenyum bibir Aleya menatap wajah kelat anak gadisnya. “Hani...kalau tak nak pergi, cakap aje elok-elok Hani tak nak pergi. Tak payahlah nak marah dia macam tu! Tak elok sakitkan hati orang, sayang.” Lembut tutur kata Aleya. Diusap lembut lagi bahu anaknya.

“Umi...”

“Dia baru mengajak aje, sayang. Kalau kita tak nak pergi, kita menolaklah secara baik, dia tentu faham. Daniel tu walau baru sekali tu umi jumpa tapi umi yakin hati dia baik...”

“Hani bukan cakap dia tak baik, umi. Hani cuma bimbang...jiran-jiran kita akan mengumpat ...fikir yang bukan-bukan! Asal nampak Daniel berkunjung ke sini, tak tahu apalah dia orang cakap pasal Hani, umi. Siap bawa kita pergi bercuti bagai...ALLAH!” Hani Fiqah menekup wajahnya. Berserabut fikiran dibuatnya!

Aleya diam sejenak. Memang benar kata-kata Hani Fiqah. Baru tiga hari yang lalu jiran mereka, Rosnani datang bertandang menjenguknya. Sebelum minta diri, Rosnani sempat lagi mengingatkannya.

“Leya...pasal Hani dengan lelaki tu, eloklah dibawa berbincang dengan pihak sana. Kalau sudah ada kata sepakat, selesaikan dulu apa yang wajib. Kakak bukan apa...kakak pun pernah mengalami keadaan ini sebelum Emy dan Wana tu berumah tangga jadi kakak fahamlah keadaan kamu. Sebelum berlaku perkara yang tak baik, eloklah juga dilangsungkan segera. Budak-budak zaman sekarang ni Leya...lebih suka guna fikiran sendiri, nasihat dan pesanan orang tua diketepikan!”

“Budak-budak tu takde apa-apa, kak Ros. Lagipun...Hani tak buatpun perkara yang tak baik. Kebetulan aje lelaki tu kemalangan, Hani yang beri rawatan sebelum hantar dia ke hospital...”

“Yalah...tapi orang dah mengata macam-macam, Leya. Kakak kesiankan kamu...”

“Leya tahu tapi nak buat macam mana lagi...Leya hanya mampu berdoa untuk anak Leya tu. Insya-ALLAH...Hani tu akan pandai jaga diri, akak.”

“Kakak faham, Leya. Tak apalah...nasihatkan saja budak-budak tu, kalau dah jodoh dia orang pun...Leya juga yang senang nanti!”

Aleya menghela nafas. Bayangan Rosnani dilemparkan dari benaknya digantikan dengan wajah ayu Hani Fiqah. Kasihan anaknya!

Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan