Home Novel Cinta ANUGERAH TERINDAH
ANUGERAH TERINDAH
Angela Engkuan
8/8/2015 19:36:09
74,270
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 16

SETIBANYA Hani Fiqah di Unit Kecemasan, Dr. Rafiq sudah sedia menunggunya dengan senyuman lebar. Doktor muda itu duduk di meja kerjanya, di hadapannya terhidang segelas besar teh tarik special yang ditapaunya dari kantin hospital itu sebentar tadi. Ada sebiji bekas di atas meja. Bekas itu pula berisi sandwic yang dibawanya dari rumah.

“Assalamualaikum Dr. Rafiq...Syura. Wah, ceria muka doktor pagi ni...mimpi apa malam tadi?” sapa Hani Fiqah.

Syura yang berada di tempat basuh tangan segera membalas salam Hani Fiqah. Senang hatinya setiap kali bertugas sama waktu dengan Hani Fiqah. Hani Fiqah yang cergas dan cekap itu sangat memudahkan tugas mereka di Unit kecemasan. Mungkin dia mengambil kesempatan terhadap kemahiran Hani Fiqah tetapi dia tetap dapat belajar sesuatu yang diperlukannya daripada jururawat ayu itu. Syura tersenyum-senyum sendiri.

“Tak mimpi apa-apalah Hani...takkan nak mimpi dulu baru boleh senang hati?” ujar Dr. Rafiq mengenakan Hani Fiqah.

“Oh...ya ke? Okey!” jawab Hani Fiqah selamba.

Dr. Rafiq ketawa dengan gelagat Hani Fiqah. Dipandangnya gadis itu dengan mata tidak berkedip.

“Hani...” panggil Dr. Rafiq setelah anak matanya puas membelek wajah ayu Hani Fiqah.

“Ya?” Hani Fiqah mengangkat wajah, menatap Dr. Rafiq.

“Awak dah sarapan? Ni...saya bawa sandwic, awak dan Syura makanlah sekali,” pelawa Dr. Rafiq.

“Wah...rajinnya doktor. Buat sendiri ke?” tanya Hani Fiqah lalu duduk di kerusi berhadapan dengan Dr. Rafiq.

“Eh, mestilah buat sendiri! Hani, awak...asal dari mana?” tanya Dr. Rafiq.

Terangkat kening Hani Fiqah. “Hah? Oh...saya? Ayah saya orang Sabah, ibu saya orang KL. Kenapa doktor tanya?” Terasa pelik bila tiba-tiba ditanya begitu.

“Ehm...takde apa-apa...saja nak tanya.” Dr. Rafiq meneguk minumannya.

“Oh...nak tanya aje!” balas Hani Fiqah selamba.

“Hani...jangan tak tahu, Dr. Rafiq sedang merisik-risiklah tu!”

Dr. Suraj yang tiba-tiba muncul cepat saja menyampuk perbualan. Doktor pakar berusia hampir separuh abad itu tersenyum-senyum sambil menjongketkan keningnya yang lebat.

“Er, good morning Dr. Suraj,” sapa Hani Fiqah dengan senyuman ceria.

Good morning sweetie...” balas Dr. Suraj dengan senyuman lebar.

“Ehm, Dr. Rafiq...betul tak cakap saya tadi?” Dr. Suraj beralih kepada Dr. Rafiq.

“Ah, takdelah Dr. Suraj. Saya saja-saja nak tanya sebab...loghat Hani lain sikit, tak macam orang tempatan sini. Kan Syura?” Dr. Rafiq cuba meraih sokongan Syura.

Syura mengangguk lalu ketawa perlahan. Hani Fiqah pula kelu lidah.

“Ehm, takpelah...tak salah tanya untuk saling kenal lebih rapat. Betul tak, Syura?”

“Oh...ya...ya, betullah tu Dr. Suraj!” Mendadak disoal Dr. Suraj, sikit tergagap Syura menjawab.

Dr. Rafiq tergeleng-geleng sambil tertawa. Dr. Suraj memang sangat suka mengusik.

“Eh, Syura...jom pergi kantin sekejap. Dr. Suraj, Dr. Rafiq, kami pergi kantin dulu...” kata Hani Fiqah lalu bingkas.

“Kantin?” tanya Syura. Hairan. Bukankah tadi Dr. Rafiq sudah mempelawa mereka berdua menikmati sandwic hasil air tangan doktor muda itu?

Hani Fiqah segera menggamit lengan gadis itu agar segera berlalu.

Sejurus meninggalkan kedua-dua doktor itu, Syura menggamit lengan Hani Fiqah yang berjalan laju.

“Hani...”

“Apa hal?” Hani Fiqah menaikkan keningnya.

“Kau jalan macamlah ada orang nak kejar...laju macam angin!”

Hani Fiqah ketawa perlahan. “ Eh, mana ada? Kau tu yang lembik...jalan pun macam kura-kura!”

“Eh...aku pelik sangat hari ni, tahu tak? Tiba-tiba ajak aku pergi kantin. Selalunya kau kan dah sarapan di rumah?” tanya Syura. Terasa pelik!

Hani Fiqah hanya tertawa perlahan. Tidak diendahkan pertanyaan rakan setugasnya itu. Syura mengerutkan dahi.

“Hani...”

Diperlahankan langkah kakinya, Hani Fiqah menatap wajah Syura yang menagih jawapan.

“Takde apa-apalah, Syura. Ehm, aku sajalah nak tukar selera awal pagi ni. Itupun rasa pelik ke?”

Syura lantas tersengih. “Oh...”

“Lah...jomlah, tak sabar aku nak minum teh tarik special kak Tini...lagipun nanti tak sempat pula kau nak habiskan sarapan. Kau tu kalau makan slow sangat!”

“Teh tarik special!” Mata Syura sengaja dibelalakkan.

“Ha'ah. Hisy, apa hal pulak kau pandang aku pelik macam tu?”

Syura ketawa. “Oh...patutlah Doktor Rafiq pun ketagih nak minum teh tarik special...rupanya pasal kau. Minuman kegemaran kau dah terjangkit pada dia!”

“Hah, jangan nak buat gosip pulak...dah memang dia pun gemar, takkan nak salahkan aku pulak!”

Hani Fiqah terus melangkah meninggalkan Syura. Terkocoh-kocoh Syura menyaingi langkah Hani Fiqah yang panjang.

“Eh, kau hanya minta teh tarik? Tak makan?” tanya Syura tatkala mereka sudah memilih meja untuk menikmati sarapan mereka.

“Ha'ah...aku cuma nak minum teh tarik special ni aje...yang takde kat rumah! Nasi goreng tu ada kat rumah...aku dah makan tadi!” beritahu Hani Fiqah.

Terkebil-kebil mata Syura menatap wajah ayu Hani Fiqah.

“Tak faham aku dengan kau ni...tadi bukan main tak sabar ke mari...jalan macam nak terbang. Aku sangka kau dah kebulur rupanya dah makan di rumah!” Syura mengomel.

Hani Fiqah ketawa perlahan. “Aku dah sarapan dengan umi kat rumah, Syura. Masih penuh perut aku ni lagi...takpelah, aku temankan kau sarapan, okey?”

“Ehm...selalunya kau cuma temankan aku tapau...”

“Hari ni...aku teringin nak duduk sini!”

Syura menggelengkan kepala. “Ada-ada saja dengan kau ni! Hmm, aku tahu kau sengaja nak mengelak Dr. Suraj tadi, kan?” Serkapnya.

“Eh, takdelah. Dahlah tu, baik kau makan sekarang...kau lambat aku tinggalkan nanti!”

“Yalah...aku nak makanlah ni!” Syura menadah tangan, membaca doa makan seketika lalu mula meneguk milo suamnya.

Hani Fiqah tersenyum memerhati Syura yang laju mengunyah nasi goreng dalam mulutnya.

“Hani... Dr. Suraj cakap tadi tu, tak terkesan sikit pun di hati kau?” tanya Syura setelah nasi goreng di pinggannya hanya tinggal separuh.

“Dr. Suraj cakap apa tadi, Syura?” Kening Hani Fiqah terjongket.

Syura tersenyum-senyum. “Eh, takkan dah lupa? Hani...jangan tak tahu, Dr. Rafiq sedang merisik-risiklah tu!” Diajuknya kata-kata Dr. Suraj sebentar tadi.

Terangkat tinggi kening Hani Fiqah. Akhirnya dia ketawa perlahan. “Ha'ahlah...tadi Dr. Suraj cakap macam tu pulak, kan? Aku dah lupalah...”

Hani Fiqah tertawa halus. Dia tahu Dr. Suraj hanya bergurau. Dr. Suraj jika ada sedikit pun masa luang, kegemarannya memang membuat 'pemeriksaan mengejut' di Unit Kecemasan itu. Teringat gurauan Dr. Suraj, hati Hani Fiqah bagaikan digeletek. Terasa sungguh kelakar. Aduhai, sungguh tak patut dirinya dikenenkan pula dengan Dr. Rafiq!

                                                                ***

ROMAN wajah Aleya berubah suram sejurus Sabdin dan Zaleha hilang daripada pandangannya. Saluran kerongkongnya bagaikan tersumbat. Hendak diluahkan kepada siapa lagi kerunsingan hatinya itu? Semenjak Haris meninggal dunia, dia hanya ada Hani Fiqah tempat berkongsi rasa hati. Namun, bagaimana hendak meluahkan kesulitan ini pada ketika perasaan Hani Fiqah sedang dilanda tsunami dek olah segelintir jiran mereka.

Aleya berkeluh-kesah, perasaan sungguh tidak keruan. Apalah yang mampu dilakukannya? Hendak mengurus diri pun ada kalanya perlu dibantu apatah lagi hendak mengurus masalah yang sedang melanda keluarganya itu!

“Ya ALLAH...bagaimanakah aku bisa meringankan beban anakku? Berikanlah Hani kekuatan dan ketabahan. Aku dan anak-anak hanya bergantung harapan kepada Hani...tanpa Hani, apa yang mampu aku lakukan, Ya ALLAH?” Aleya berbisik sayu.

Jika menghitung waktu, sudah lama keluarganya tinggal di rumah yang dibina oleh arwah Haris di atas tanah sewa itu sehingga Aleya hampir menjadi lupa jika tanah itu bukan hak milik mereka. Mereka hanya penyewa. Tatkala pemilik tanah ingin menuntut hartanya semula, hatinya cuak teramat sangat. Ke manakah arah tuju mereka anak-beranak?

Jika dahulu Aleya tidak pernah bersusah payah, segalanya diatur, diurus dan disediakan oleh arwah Haris. Sejak Haris tidak ada lagi di sisinya, Hani Fiqahlah mengambil alih peranan arwah Haris. Hani Fiqah hanya seorang gadis yang masih muda. Anak gadis sudah terlalu berusaha. Demi keluarganya, Hani Fiqah sudah menumpahkan seluruh kemampuannya!

“Ah, sulitnya kehidupan ini. Mampukah Hani menghadapi segala kesulitan ini? Ya ALLAH, ya TUHAN ku...berilah pertunjuk-Mu, ringankanlah bebanan hamba-Mu ini!” bisik Aleya perlahan dengan perasaan sebak. Terkedip-kedip kelopak matanya, membendung air mata agar tidak berjurai.

“Assalamualaikum umi...”

Hani Fiqah melaungkan salam. Aleya segera dihampiri. Keningnya terangkat, tertangkap oleh matanya wajah Aleya yang suram.

“Umi...”

“Hani, pak cik Sabdin dan mak cik Leha baru aje balik...” pintas Aleya memberitahu.

“Oh...” Hani Fiqah terangguk-angguk. “Datang sampaikan hal Hani lagi ke umi?” tanyanya.

“Bukan, Hani. Bukan hal Hani...” Aleya menggelengkan perlahan. Entah bagaimana hendak menyampaikan kepada Hani Fiqah.

“Ya ke? Habis tu pasal apa pulak kali ini, umi?” Ditatap wajah uminya yang tampak tidak bersemangat. “Umi...apa hal sebenarnya?” sambung Hani Fiqah. Hati mulai risau.

Aleya menghela nafas. “Kali ini...pasal tanah ni pula, Hani. Kata pak cik Sabdin, tuan tanah dah nak ambik balik tanah dia ni, Hani.” Diutarakan juga hal sebenar. Jika tidak, Hani Fiqah tidak akan berhenti bertanya. Sungguh berbaur perasaannya.

Hani Fiqah bungkam seketika. Ditelannya liur perlahan. Ditarik nafas lebih panjang bagi melapangkan dadanya. Dia mencangkung di sisi kerusi roda Aleya. Dicapai lengan wanita kesayangannya itu.

Hani Fiqah termangu-mangu sedetik. Namun segera menyedari, dia tidak mahu cuak menghadapi kenyataan itu, jangan ditambah lagi kerunsingan uminya.

“Umi...tak mengapalah, umi. Mungkin rezeki kita tinggal kat tempat ni setakat ini saja...dah sampai masanya kita berpindah. Tak mengapalah...umi jangan risau, Hani akan usaha cari tempat tinggal yang baharu. Insya-ALLAH...semoga segala-galanya dipermudahkan, umi.” Lembut sungguh tutur kata Hani Fiqah. Digenggam dan diramas lembut tangan uminya. Diukir senyuman manis buat uminya.

“Tapi Hani...hendak ke mana lagi kita, nak? Umi tak larat...umi jadi beban Hani aje, sayang.” Aleya menarik tangan, dibawa tangan Hani Fiqah ke dadanya yang sedang menanggung sebak.

“Umi...janganlah cakap macam tu, umi. Umi bukan beban pada Hani...umilah segala-galanya bagi Hani. Hani sayang sangat pada umi. Umi jangan risau...Hani akan cari rumah secepat mungkin, ya.”

Didakap tubuh Aleya. Terlupa tubuhnya berkeringat, bajunya sedikit basah. Sebentar tadi dia, Rizal dan Norfarini memetik sayur-sayuran dan buah betik di kebun. Ada lima buah bakul besar sayur-sayuran dan dua buah bakul penuh berisi buah betik yang sudah matang. Semuanya diletakkan di bangsal. Esok subuh, Ah Chong akan datang memborong sayur-sayuran dan buah betik itu untuk dibekalkan kepada peniaga-peniaga di pasar Kundasang.

Aleya tidak dapat membendung hibanya. Air matanya mengalir akhirnya. Sayu sungguh perasaannya. Jika tidak ada Hani Fiqah di sisinya entah bagaimana dia dapat meneruskan hidupnya dengan anak-anak yang masih sangat memerlukannya. Segala-galanya terpikul di atas bahu anak gadisnya itu.

“Umi...janganlah sedih. Kita akan baik-baik saja...Hani akan berusaha cari rumah, umi.” Hani Fiqah menyentuh lembut pipi uminya. Hatinya sedang dibalut sebak.

“Umi tak tahu macam mana nak ringankan beban Hani...”

“Umi...umi...jangan cakap macam tu. Umi janganlah susah hati. Kita takkan apa-apa...masalah ni taklah seberapa, hanya dugaan kecik aje umi. Hani akan dapat rumah tak lama lagi. Percayalah, umi...” pujuk Hani Fiqah.

Kian sebak hati Aleya dengan pujukan Hani Fiqah. Hani Fiqah yang baru berusia 24 tahun itu sudah mengharungi pelbagai dugaan!

“Umi...”

Aleya merenung mata anak gadisnya. Sungguh bertuah dia memiliki Hani Fiqah, sejuk perutnya mengandungkan anak sulungnya. ALLAH sungguh mengasihani dirinya yang tidak berdaya, dianugerahkan anak seperti Hani Fiqah kepadanya.

“Hani sebenarnya memang bercadang nak pindah dari sini, umi. Hani sedang berusaha cari rumah sewa dekat pekan...lebih mudah Hani pergi kerja, umi.”

Ah, anak gadisnya sudah ada perancangan awal, sudah bersiap sedia mendepani kemungkinan. “Ya ke, Hani? Tapi...adik-adik macam mana? Sekolah...”

“Pasal tu pun umi jangan risau, ya? Hani akan uruskan perpindahan adik-adik juga...cuma Hani sedang memikirkan Riz. Kalau kita terpaksa berpindah rumah dalam tempoh terdekat...Riz tetap belajar kat sini sehingga peperiksaan SPM selesai, umi.”

Berkerut dahi Aleya. “Kita tinggalkan Riz kat sini? Eh, tak boleh Hani!”

“Tak...bukan macam tu, umi. Er, Hani usaha cari bas untuk Riz tapi kalau takde pun Hani sanggup hantar dan jemput Riz, umi.

“Ya ALLAH...umi tak mampu nak bayangkan kesukaran Hani urus keluarga kita ini, Hani. Umi...umi benar-benar tak mampu nak bayangkan! Kenapalah ada masalah menimpa kita, nak? Ya ALLAH...” Aleya terasa tiba-tiba saja dirinya menjadi wanita yang agak rapuh hatinya ketika itu. Bagaimanalah hatinya tidak merusuh jika bebanan yang dipikul Hani Fiqah semakin bertambah?

“Umi...janganlah sedih, umi. Insya-ALLAH...kita akan atasi masalah kita ini, umi.” Hani Fiqah mendakap tubuh uminya sekali lagi, lebih erat. Dielus lembut belakang uminya.

“Hani...kalaulah abah masih ada...Hani tentu tak susah macam ni, nak.” Aleya teresak sayu.

Hani Fiqah mengangguk perlahan. “ALLAH lebih sayang abah, umi. Abah dah lama menderita...biarlah abah tenang dan aman di sana, umi. Hani tak apa-apa...Hani boleh buat semuanya. Hani sanggup buat apa saja untuk keluarga kita, umi. Umi mesti tabah...ketabahan dan kekuatan Hani daripada umi...”

Aleya menarik nafas lebih panjang. Dadanya terasa sesak, sendat. Segera disekanya air mata yang masih mengalir. Wajah Hani Fiqah ditatap penuh kasih.

“Hani perlukan umi...umilah kekuatan bagi Hani. Selagi ada umi bersama Hani...Hani akan dapat harungi apa pun rintangan, umi. Hani hanya minta...umi yakin pada Hani. Selagi Hani masih bernafas...selagi itu Hani akan bersama umi dan adik-adik. Tolonglah percaya dan yakin pada Hani, ya umi?”

Apakah lagi pilihannya? Kaki yang lumpuh itulah menjadi kekangangannya, penyebab ketidak upayaannya. Sungguh, tidak ada yang mampu dia lakukan selain menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada Hani Fiqah. Aleya menganggukkan kepala dengan penuh reda.

‘Ya ALLAH...sesungguhnya Engkaulah yang maha mengetahui, maha berkuasa, segala-galanya mengikut atas takdir-MU. Aku mohon, ringankanlah beban yang kami tanggung ini.’ Hati Aleya yang sayu memanjatkan doa.

Previous: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan