Home Novel Cinta ANUGERAH TERINDAH
ANUGERAH TERINDAH
Angela Engkuan
8/8/2015 19:36:09
74,265
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 7

HANI FIQAH baru selesai menyarungkan baju seragam ke tubuhnya tatkala ada laungan memberi salam kedengaran dari beranda rumah.

“Siapa pulak bertandang awal pagi ni?” Bisik Hani Fiqah lalu bergegas dia keluar dari kamar tidurnya.

“Assalamualaikum...” Sekali lagi kedengaran laungan wanita memberi salam.

“Waalaikumussalam...sekejap, ya.” Kelam-kabut Hani Fiqah membukakan pintu sambil menyahut salam.

Pintu utama itu akan sentiasa tertutup sebaik saja adik-adiknya berangkat ke sekolah. Jika dia sudah berangkat ke tempatnya bertugas, dipesan pula pada uminya agar pintu itu sentiasa tertutup dan dikunci. Pelbagai perkara perlu diambil kira sebagai langkah berjaga-jaga. Tatkala daun pintu terkuak lebar, lebar jugalah senyuman tetamu yang berdiri di muka pintu itu.

“Eh, mak cik Huda...”

Sahuda, wanita yang digelar mak cik Huda itu semakin lebar senyumannya. Hani Fiqah lantas menghulurkan tangan, bibirnya turut tersenyum sopan. Sahuda memang sering bertandang ke rumah mereka. Setiap minggu dia pasti muncul, ada kalanya dua kali dalam seminggu dengan alasan menjenguk Aleya. Elok sangatlah juga, ada jiran yang prihatin menjengah Aleya yang tidak berkeupayaan bertandang ke rumah jiran-jiran.

“Hah, Hani...mak cik ingatkan kau sedang bercuti. Mak cik tengok kereta kau masih ada...” ujar Sahuda sambil matanya menatap susuk tubuh Hani Fiqah yang sudah lengkap berseragam.

“Hani sedang bersiap-siap nak pergi kerjalah ni, mak cik. Masuklah dulu, mak cik...umi ada kat dapur,” pelawa Hani Fiqah.

“Eh, Hani...” Sahuda menguis lengan Hani Fiaqah. “Kereta mewah siapa pula tersadai elok di depan tu? Wah...kau dah ada teman lelaki, ya?” tanyanya.

“Hah? Kereta mewah apa pulak mak cik?” Hani Fiqah menjongketkan keningnya. Segera dia menjengah ke halaman rumah. Oh, kereta BMW 5-Series itu! Sesungguhnya Hani Fiqah sedikit pun tidak teringat ada kereta mewah itu di halaman rumah mereka.

“Kau ni Hani...diam-diam saja kau tangkap lelaki yang berpoket tebal, ya? Beruntung kau!” lancang saja mulut Sahuda berkata-kata.

Hati Hani Fiqah yang tersentap beristighfar lantas tergeleng perlahan.

‘Adoi...dah mulalah pemberita CNN ni! Sekejap lagi hebohlah ‘berita sensasi’ pasal aku pulak kat kampung ni!’ Desis hati Hani Fiqah sambil tatapan tidak lekang dari wajah wanita itu.

“Mak cik Huda sebenarnya...”

“Teman lelaki kau tu orang mana, Hani? Tentu orang kaya, kan? Atau tu cuma kereta sewa saja? Yalah...biasalah orang muda zaman sekarang. Suka berlagak...lebih-lebih lagilah bila nak mengurat perempuan cantik macam Hani ni!”

“Astaghfirullahalazim...” Spontan Hani Fiqah mengucap. Serta-merta hati terasa gerun berdepan dengan wanita bermulut lancang itu.

“Siapa tu Hani? Kenapa tak ajak tetamu masuk?”

Suara lembut Aleya menyapa dari belakang Hani Fiqah. Serta-merta Hani Fiqah berpaling.

“Eh, Daniel...kaki awak kan sakit? Kenapa tak panggil saya tolak kerusi umi tadi?” Sedikit menggelabah Hani Fiqah melihat tetamu itu mengheret langkah sambil menolak kerusi roda uminya.

“Er, saya tak tolak pun...saya tumpang sebenarnya. Kalau jalan sendiri tanpa tongkat bimbang tumbang pulak nanti.” Tersengih-sengih lelaki itu.

“Oh...ya, saya lupa! Maaflah, ya.” Sesungguhnya memang dia terlupa. Awal pagi tadi, Rizal yang memapah lelaki itu perlahan-lahan ke ruang makan.

“Tak mengapa...maafkan saya sebab menyusahkan keluarga awak. Saya berterima kasih sangat...”

“Eh, tak adalah menyusahkan...jangan risaulah, okey.”

Tanpa mereka sedar Sahuda sedang terpelangah. Terbelalak matanya melihat seorang lelaki muda di dalam rumah Aleya. Lelaki itu sudah pasti pemilik kereta mewah di depan rumah itu, jangka hati Sahuda.

“Kau ada tetamu rupanya Aleya. Aku dah jangka...empunya kereta cantik tu mesti orang dia juga sangat bergaya! Pandai sungguh Hani ni...”

Becok sungguh Sahuda. Suara ketawanya saja sudah merimaskan perasaan Hani Fiqah apatah lagi tutur katanya yang amat suka berprasangka! Hani Fiqah menelan liur. Terasa tebal kulit wajahnya. Segan sungguh hendak menatap wajah lelaki di belakang uminya itu.

Lenyap senyuman di bibir lelaki muda itu. Apakah maksud wanita itu berkata begitu? Buat seketika tatapannya terpaku pada wajah Hani Fiqah yang berubah rona.

“Masuklah Huda...kami baru selesai sarapan, kamu dah sarapan? Kalau belum, mihun goreng dan kopi masih ada lagi tu...masuklah,” pelawa Aleya.

Jika tidak dipatahkan becok Sahuda, sampai tengah hari pun asyik ayat itu-itu juga yang diulang-ulangnya. Agaknya sebab itulah Rizal sering mengomel, tidak suka bersua dengan wanita bernama Sahuda itu. Asal bertemu, ada saja ujarannya dan ada saja kompelinnya yang memanaskan hati. Itulah yang sangat tidak disukai Rizal.

“Alah, aku pun dah minum sebelum ke mari tadi...tak payah susah-susahlah Aleya. Anak-anak dah pergi sekolah, Aleya?” tanya Sahuda sambil kepalanya terjengah-jengah.

“Sudah...sekarang dah pukul tujuh lebih, Huda. Sebelum 6.30, bas sekolah dah pun datang menjemput.”

“Eh, ya tak ya juga...aku ni manalah jaga waktu lagi, Aleya...bukannya aku ada anak-anak yang masih sekolah menengah rendah. Anak-anak semuanya sudah ke universiti!” balas Sahuda dengan sengihan. Kedengaran riak saja nada wanita itu.

“Yalah Huda...” balas Aleya sambil tersenyum ramah. Sudah biasa menadah telinga dengan kata-kata bangga jirannya yang seorang itu.

“Ni... kau tak berangkat lagi, Hani?” tanya Sahuda sekadar berbasa-basi.

“Sekejap lagi Hani pergi...mak cik Huda duduklah sembang dengan umi, Hani masuk dulu...”

“Yalah...mak cik pun tak lama ni, pak cik kau pun ajak ke pekan...nak membeli ikan katanya. Masih ada ikan dalam peti ais tu tapi pak cik kau tu cerewet...mahu juga ikan fresh padahal mana ada lagi orang jual ikan fresh...semua pun dah bubuh ais!”

Macam bertih jagung saja Sahuda berkata-kata. Non-stop dalam satu tarikan nafas!

Tengku Daniel terkebil-kebil, masih berpaut di belakang kerusi roda Aleya. Ingin dia meninggalkan ‘kaum hawa’ itu namun untuk masuk ke kamar Rizal, dia perlukan sokongan. Jika ada tongkat mungkin bolehlah dia bergerak perlahan-lahan. Luka di kakinya rasa seperti terkoyak jika dipaksa berjalan tanpa sokongan bagi menampung tubuhnya.

“Daniel, awak pun perlu bersiap. Awak kena buat rawatan kat hospital...”

Hani Fiqah menghampiri lelaki itu. Sedikit pun tidak mengendahkan mata Sahuda yang hampir tersembul menatap Hani Fiqah memaut lengan lelaki itu.

Di muka pintu kamar Rizal, Hani Fiqah melepaskan lengannya perlahan-lahan kerana sudah ada tempat lelaki itu berpaut.

“Saya sudah sediakan pakaian atas katil Fahmi. Kalau awak nak bersihkan badan, saya pun sudah sediakan air suam dalam baldi kecil dengan tuala sekali. Awak masuklah...hati-hati, ya.”

“Terima kasih Hani...”

Hani Fiqah mengangguk sebelum berlalu ke kamarnya. Dia juga perlu bersiap, jika lambat bertolak dari rumah maka akan terlewatlah dia sampai ke hospital. Bingung pula mencari alasan kepada ketua jururawat nanti!

                                                                      ***

TENGKU DANIEL menghela nafas perlahan sejurus masuk ke dalam kereta milik Hani Fiqah. Kereta kecil, Perodua Viva namun sungguh bersih, harum dan selesa di dalamnya. Punggung digeser sedikit bagi menyelesakan duduknya. Setelah memasangkan tali pinggang, dia berpaling ke sisi memandang Hani Fiqah yang baru masuk.

Hani Fiqah menghidupkan enjin lalu dibiarkan. Ditariknya tali pinggang lalu dipasangkan. Ketika itu Tengku Daniel hanya memerhati.

“Awak kerja sebagai jururawat?” tanya Tengku Daniel. Pakaian seragamnya sudah dilapisi dengan jaket berwarna kelabu, hanya seluar panjang berwarna putih bersihnya yang kelihatan.

“Ya,” jawab Hani Fiqah ringkas. Dia mula melepaskan brek dan menolak gear, keretanya perlahan-lahan bergerak meninggalkan halaman rumah.

“Boleh saya tahu nama awak?” tanya Tengku Daniel lagi. Bukan dia tidak mendengar gadis itu dipanggil ‘Hani’ namun dia ingin tahu nama sebenar gadis itu.

Hani Fiqah menoleh ke sisi, dipandangnya lelaki itu sejenak. Dia tersenyum. “Aik, awak tak dengar ke umi sebut nama saya?”

“Dengar...nama awak Hani. Hani...manis nama awak tapi nama sebenar awak?”

‘Isk...banyak tanyalah pulak mamat ni. Tak cukup ke tahu nama aku takat tu aje!’ Sudah tentu kata-kata itu hanya di hatinya. Hani Fiqah menumpukan perhatian pada pemanduannya.

“Hani Fiqah Binti Mohd. Haris. Tu nama penuh saya,” kata Hani Fiqah perlahan tanpa menoleh.

Tengku Daniel terangguk-angguk. “Hani Fiqah Binti Mohd. Haris.” Diulanginya sebutan nama itu dengan suara yang amat perlahan.

“Hani...”

“Ya?”

“Boleh saya tanya?”

“Boleh...tanya ajelah.”

“Ayah awak...mana?” Semasa bersarapan tadi, dia ternanti-nanti tuan rumah di meja makan namun sehingga berangkat tadi, tuan rumah tidak muncul-muncul.

Hani Fiqah menoleh sekilas. “Ayah saya baru aje meninggal dunia lebih enam bulan lepas...”

“Innalillahiwainnailayhiraji'un. Maafkan saya...”

“Tak mengapa...ALLAH lebih sayangkannya.”

Terbit keinsafan di hati Tengku Daniel. Betapa beruntungnya dia. Dia masih disayangi sepenuhnya oleh kedua-dua ibu bapanya. Kasih sayang tanpa berbelah bahagi maklumlah dirinya merupakan satu-satunya anak lelaki tunggal daddy dan mummynya. Hani Fiqah masih terlalu muda, adik-adiknya pula masih kecil tetapi sudah kehilangan kasih seorang ayah. Hani Fiqah dan adik-adiknya sudah menjadi anak yatim.

Kehidupan keluarga Hani Fiqah serba sederhana sedangkan dirinya hidup dengan kemewahan melimpah ruah. Dia boleh mendapatkan apa saja yang diingininya apatah lagi dia sangat bijak memajukan dan meningkatkan hasil pendapatan perniagaan keluarganya. Sudah lima tahun dia bergabung dengan Tengku Halim dan Tengku Farid, sama-sama memikul tanggungjawab mengembangkan lagi sayap syarikat keluarga mereka.

Tujuannya datang ke Sabah dan masuk ke kampung itu pun kerana urusan perniagaan. Mengembangkan lagi empayar perniagaan syarikat keluarganya. Cita-citanya tinggi. Dia ingin menempah kejayaan demi kejayaan dalam perniagaan agar lebih dibanggakan oleh seluruh kerabat keluarganya. Dia juga ingin dipandang hebat dalam dunia perniagaan sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Awak sebenarnya berasal dari mana? Saya tak pernah nampak awak datang ke sini sebelum ini.”

Tengku Daniel tersedar tatkala mendengar suara Hani Fiqah. Dia segera berpaling ke sisi. Terpaku matanya menatap wajah bersih dan polos itu dari sisi. Wajah itu sangat cantik di matanya!

“Saya...awak tanya apa tadi?” Sungguh, Tengku Daniel tidak pasti dengan pendengarannya kerana terlalu asyik dengan angan-angan untuk memperluaskan lagi empayar perniagaan keluarganya.

“Saya tanya...awak berasal dari mana? Awak pertama kali datang ke kampung ni, kan?”

“Oh...saya dari Kuala Lumpur. Saya dah beberapa kali sampai ke Ranau ni tapi...pertama kali masuk ke kampung ni.” Tengku Daniel berterus terang.

Hani Fiqah terangguk-angguk. Tiba-tiba dia memperlahankan pemanduannya.

“Awak ingat lagi tempat ini?” tanya Hani Fiqah.

Tengku Daniel menggelengkan perlahan. Semalam hujan terlalu lebat, manalah dia mampu mengingati dengan tepat kawasan yang dilaluinya.

“Tempat inilah awak kemalangan semalam,” beritahu Hani Fiqah.

“Ya ke? Saya tak ingat...semalam hujan lebat.”

“Tu...tebing tu, bawah tu gaung dalam. Kalau awak nak tengok, kita boleh berhenti sekejap,” ujar Hani Fiqah lagi.

“Tak menyusahkan awak ke?” Tengku Daniel merenung wajah gadis itu.

Hani Fiqah menggelengkan perlahan. “Tak...jomlah kalau awak nak tengok.” Tanpa berlengah Hani Fiqah membuka pintu lalu ke pintu sebelah, dibantunya Tengku Daniel keluar dari kereta.

Terhincut-hincut Tengku Daniel melangkah sambil tangannya dipaut erat oleh Hani Fiqah.

Terkesima seketika Tengku Daniel melihat tempat itu. “Ya ALLAH...dahsyat tempat ni!”

Gaung itu sangat curam. Ngilu segenap tubuhnya tatkala fikiran membayangkan seandainya dia tidak terselamat daripada kemalangan semalam.

“Hati saya masih tertanya-tanya...kenapalah awak berhenti kat sini semalam? Pelik saya tengok awak keluar dari kereta...sedangkan hujan sangat lebat. Sepatutnya awak lanjutkan aje perjalanan...semakin awak tunggu air semakin deras daripada puncak bukit tu!” Hani Fiqah menunjuk ke arah bukit.

Tengku Daniel memandang ke arah bukit yang ditunjuk Hani Fiqah. Terkebil-kebil dia seketika.

“Kawasan ni, kalau hujan lebat memang jadi banjir...air deras dari bukit. Kalau awak tak keluar dari kereta awak tentu tak tergelincir! Awak nak cari apa sebenarnya?”

Mata Hani Fiqah menatap tepat ke mata Tengku Daniel. Tengku Daniel menarik nafas agak dalam. Serba tidak kena diajukan pertanyaan begitu. Tidak mungkin dia berterus terang tujuannya semalam sehingga menyebabkan insiden itu.

“Tak mengapalah kalau awak tak nak beritahu. Jomlah, kita teruskan perjalanan.”

Di dalam kereta, Tengku Daniel duduk diam senyap. Terbayang-bayang tempat dia kemalangan semalam. Gaung yang sangat curam. Terasa ngilu tulangnya tatkala memikirkan keadaannya yang hampir jatuh ke dalam gaung itu. Andai kejadian tragis itu berlaku, alangkah malang dirinya. Entah bagaimana nasib dirinya kini!

Terbayang pula bagaimana keadaannya semalam. Sepanjang malam dia menggigil kedinginan. Dalam keadaan separuh sedar, dia melihat Hani Fiqah duduk di sisi katil tempatnya berbaring. Sesekali tangan gadis itu menjamah dahinya dan sesekali dia terasa benda lembap dilekapkan ke dahinya. Gadis ini menjaganya semalaman!

“Hani...maafkan saya...”

“Eh, kenapa minta maaf pulak ni?” Hani Fiqah terawa halus.

“Saya menyusahkan awak...menyusahkan awak sekeluarga!”

“Alah, takdelah menyusahkan. Saya dah biasa buat kerja macam tu...bantu orang sakit!” Hani Fiqah tertawa halus.

“Semalam...sebab saya, awak tak tidur lena sepanjang malam...saya memang menyusahkan awak.”

“Saya rasa bertanggungjawab jaga awak sebab awak sedang sakit kat rumah saya. Tapi awak tak menyusahkan...jangan risau!”

Terima kasih Hani,” ucap Tengku Daniel dengan tulus.

“Baiklah...sama-sama!” Hani Fiqah tidak mahu memanjangkan perkara ini, terukir senyuman ikhlas di bibirnya.

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan