Home Novel Cinta ANUGERAH TERINDAH
ANUGERAH TERINDAH
Angela Engkuan
8/8/2015 19:36:09
74,266
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 13

TENGKU FATIN menggeletar menahan rasa marah yang sedang beraja di hati. Hampir sahaja dia memekik sekuat hati. Bagaikan hendak pecah jantungnya. Antara percaya dan tidak namun pandangan sepasang matanya tentu sekali tidak akan salah. Terang dan jelas. Lelaki itu memang Tengku Daniel dan siapa pula perempuan itu? Apakah itu kekasih baharu Tengku Daniel? Sebab inikah lelaki itu sudah jauh berubah?

“Izwan, you bawa I balik ke hotel sekarang jugak. Meluat benar I...makin mendidih hati I ni!” Tengku Fatin mendengus kasar. Jika tidak disabarkan hatinya mungkin habis diganyangnya perempuan itu.

“You sabarlah...jangan ikutkan perasaan. Tak guna you marah-marah, buat you semakin tertekan aje,” pujuk lelaki itu sambil tersenyum-senyum. Wajah Tengku Fatin kian kelat.

“Nak sabar macam mana? Patutlah Daniel asyik berulang alik ke sini...macam dah takde tempat lain dia nak pergi, asyik ke sini! Perempuan tu memang mata duitan...pisau cukur! Tengoklah...budak-budak tu tentu adik-adik dia, kan? Perempuan tu memang nak kikis harta Daniel!” rungut Tengku Fatin. Sakit sungguh hatinya ketika itu.

“Alah...baguslah, biar luak kekayaan dia. Sebab dia kayalah perempuan asyik terkejar-kejar kat dia. Hah, salah seorangnya you!” Sindir lelaki itu lalu ketawa bebas.

“Hey...jaga mulut you tu, okey? I tak sama dengan perempuan mata duitan tu...I bersama Daniel sebab I mencintai dia!” Teramat sakit hatinya melihat kewujudan perempuan muda itu bersama Tengku Daniel.

Tengku Fatin bertambah geram mendengar dekahan Izwan. Lelaki itu seolah-olah mengejek dirinya.

“Cinta? Fatin...you masih mengharapkan cinta lelaki tu? Ow...no! Agaknya dia sedang kemaruk bercinta dengan perempuan tu sekarang!” Lelaki itu menepuk dahinya sendiri dengan perlahan. Suara ketawanya memenuhi ruang kereta. Lantas stereng kereta turut ditepuk-tepuk. Sengaja dia mengapi-apikan perasaan wanita itu.

“Apa yang kelakar sangat you ketawa sampai keluar anak tekak ni? I mencintai Daniel tu sangat-sangat, tahu tak? Walaupun dia bukan kekasih pertama I tapi dialah satu-satunya lelaki yang I percayai banding lelaki macam you ni!” Kutuk Tengku Fatin sambil mencebik bibirnya.

“Amboi...sedap aje mulut you mengutuk I? Eh, you sendiri dah nampak apa lelaki yang you cintai tu sedang lakukan. Cinta dia sudah beralih, tahu tak? Tak nampak ke betapa bercahaya wajah dia bersama perempuan tu tadi? You percayalah sangat...”

“Eh, sudahlah! I malas nak cakap dengan you...hantarlah I balik ke hotel sekarang!” Tengku Fatin menghentak beg tangannya yang berjenama mahal itu di depan dashboard, berdentum bunyi.

“Alah...janganlah marah, Fatin. Daripada you duduk bersedih kat bilik hotel...lebih baik kita jelajah daerah Ranau ni...kita berseronoklah, sayang. Banyak tempat peranginan cantik kat sini, tahu tak?” Lelaki itu tanpa rasa jenuh memujuk lembut.

“Hati I sedang sakit, you tahu tak? Macam mana nak berseronok kalau hati luka..sakit macam ni?” bebel Tengku Fatin sambil mendengus kasar.

“Fatin...you janganlah ikut perasaan sangat. Relaks aje...you tu masih muda, cantik...jangan seksa hidup you mengharapkan Daniel tu. You takut sangat kehilangan Daniel tu, kenapa? Lelaki tak guna tu tak setia...tak setia macam I!” Lelaki itu mulai memasang jerat hasutan.

“Senang aje you cakap...sekian lama kami bercinta takkan nak lepas dia begitu aje. Tak boleh! Kalau I tak boleh dapat dia...sesiapapun tak boleh!” Dilepaskan geramnya pada beg tangan. Sekali lagi dashboard kereta itu berdentum.

Lelaki itu mengeluh perlahan. Jika dibiarkan kemarahan menguasai hati Tengku Fatin, bimbang dashboard kereta sewa itu pula yang pecah. Dia juga yang susah! Dilayangkan pandangan ke arah pasangan yang kelihatan hendak meninggalkan restoran itu. Perempuan bersama Tengku Daniel itu tampak sangat muda, juga tampak sangat manis. Sesungguhnya hati Izwan mendoakan, semoga Tengku Daniel bercinta sakan dengan perempuan muda itu. Bukankah satu keberuntungan baginya jika itu terjadi!

“Perempuan tu muda lagi, cantik tapi you jauh lebih cantik, Fatin.” Kata-kata yang bercanggah dengan kata hati Izwan. Perempuan itu bukan hanya masih muda tetapi sangat cantik, ayu jelita. Memang dia sangat hipokrit!

Tengku Fatin mengangkat muka, menghalakan anak mata ke arah perempuan yang sedang berjalan bersama Tengku Daniel. Mata Izwan pasti bermasalah atau sengaja mahu menyenangkan hatinya!

“Daniel suka kat dia...” keluh Tengku Fatin perlahan.

“Daniel cakap macam tu ke?” Berkerut dahi Izwan.

Tengku Fatin menggelengkan kepala. “Takdelah...I sangka aje. Tapi you tengoklah muka Daniel...ceria aje, asyik senyum!”

Izwan akhirnya malas hendak mengulas lagi. Bosan sungguh berbicara tentang lelaki bernama Tengku Daniel itu. Hatinya sama juga seperti hati Tengku Fatin. Sedang sakit! Sejak dahulu, dia langsung tidak menyukai lelaki itu. Baginya, Tengku Daniel itu merupakan penghalang baginya selama ini. Disebabkan lelaki itu, dia tidak dapat memiliki gadis pujaannya. Disebabkan lelaki itu juga, dirinya hanya layak menjadi sahabat Tengku Fatin! Sungguh menyakitkan hati!

“Okeylah...sekarang you betul-betul nak balik ke?” tanya lelaki itu perlahan. Ditatapnya wajah mendung Tengku Fatin dari sisi.

Tengku Fatin terdiam. Dipandangnya lelaki itu dengan perasaan berbaur. Dia tidak tahu kehendak sebenar hatinya ketika itu. Rasa marah masih menyengat segenap hati. Sakit rasanya.

“Fatin...dahlah tu. Kita pergi dari sini, okey?”

“Okeylah...you bawa ajelah I ke mana-mana. Malaslah nak fikir sangat, buat tambah pening kepala I aje!”

“Ehm...that is my girl! Okey...I bawa you pergi tempat-tempat yang menarik, you pasti suka...I akan pastikan you akan seronok nanti!”

Senang sungguh hati lelakinya. Tengku Fatin, gadis yang pernah 'dijinakkannya' suatu ketika dahulu. Namun itu kisah ketika mereka masih remaja. Menginjak dewasa, Tengku Fatin sudah membuka pintu hati kepada lelaki lain. Akhirnya dia gigit jari tatkala muncul Tengku Daniel dalam hidup gadis pujaannya itu. Namun, benarkah dia hanya mampu gigit jari? Mungkin dia tidak lagi memiliki hati perempuan itu tetapi hakikatnya dia telah pun ‘memilikinya!’

Sama-sama bertugas sebagai 'anak kapal' di syarikat penerbangan, sudah tentu masanya lebih banyak bersama dengan Tengku Fatin dalam setiap kali penerbangan ke luar negara. Menjadi Pramugara dan Pramugari, itu cita-cita mereka bersama sejak masih sekolah menengah rendah. Izwan sering mengimpikan, Tengku Fatin itulah gadis yang mengisi ruang hatinya yang masih kosong. Gadis yang bakal melengkapi hidupnya namun itu cuma impiannya. Tengku Fatin tiba-tiba menyerahkan hatinya kepada lelaki lain!

                                                                      ***

TENGKU DANIEL menebarkan pandangan seluas-luasnya. Kawasan tanah yang ditanami pelbagai jenis sayur itu sungguh menarik hatinya. Sebentar tadi dia melihat bagaimana gigih Hani Fiqah dan Rizal memberi makanan kepada ayam dan itik ternakan mereka. Sekarang matanya dihidangkan pula dengan kebun sayur-sayuran seluas lebih satu hektar. Kehijauan sayur-sayuran menyejukkan mata yang memandang. Pokok-pokok betik pula tumbuh subur, berbuah lebat sangat menguja perasaannya.

“Abang...abang...tumpang lalu...”

Suara Rizal mengejutkan Tengku Daniel. Kelam-kabut dia menghindar. Akibatnya Tengku Daniel tersilap langkah, terundur lalu jatuh terduduk di atas batasan sayur.

“Ya ALLAH...Abang Daniel!”

Terbelalak mata Rizal lalu melemparkan saja baldi dari pegangannya. Segera dibantunya Tengku Daniel bangkit.

“Abang...Riz minta maaf! Abang okey ke?” Rizal membantu membersihkan seluar Tengku Daniel yang dilekati tanah dan daun kering.

Terpapar jelas kebimbangan di wajah Rizal. Tubuh tegap Tengku Daniel yang sudah berdiri tegak dipandang dari bawah ke atas.

“Er...kaki abang tak apa-apa ke? Riz tak sangka abang boleh terjatuh...” Rizal menatap pada kaki Tengku Daniel yang pernah cedera.

“Abang tak apa-apa...Riz jangan risaulah, okey.” Tengku Daniel ketawa perlahan.

Tidak lama kemudian Hani Fiqah sudah tercegat di hadapan Tengku Daniel dan Rizal. Pandangan Hani Fiqah jatuh ke kaki Tengku Daniel. Dahi licinnya sedikit berkedut.

Rizal menatap bimbang wajah kakaknya yang serius. Memang silapnya. Dia memang sengaja bergurau dengan Tengku Daniel sebentar tadi.

“Kak long...Riz mintak maaf...”

Hani Fiqah menarik nafas agak dalam. “Tak mengapalah...lain kali Riz hati-hatilah, ya. Kalau sebabkan orang tercedera, kan susah nanti? Riz pergilah siapkan kerja...sekejap lagi kita balik,” ujar Hani Fiqah perlahan namun tegas.

“Okey kak long. Abang Daniel...Riz minta maaf, ya?” Rizal menghulurkan tangan. Disalami dan diciumnya tangan lelaki itu dengan ikhlas.

“Riz jangan risau...bukan salah Riz pun. Abang yang tak hati-hati, terjatuh sendiri. Abang memang tak apa-apa, okey.” Tengku Daniel mengusap perlahan kepala Rizal. Dia tersenyum.

“Okey, abang. Terima kasih...” Wajah Rizal ceria semula. Diambilnya baldi lalu segera meneruskan kerja-kerjanya.

Sejurus Rizal berlalu, Tengku Daniel menghadap Hani Fiqah. Ditatapnya wajah gadis itu dengan sedikit rasa malu terselit di hatinya. Hendak bagaimana lagi, dia tidak menyangka jika dia boleh jatuh terduduk sebentar tadi. Keadaan itu sungguh di luar jangka. Terasa calar sedikit imej diri!

“Awak tak apa-apa ke?” tanya Hani Fiqah perlahan.

Tengku Daniel menggeleng dengan senyum simpulnya. “Tak apa-apa...”

“Sepatutnya awak tak perlu datang ke sini...tak sesuai untuk awak!” Usai menuturkan kata-kata itu, Hani Fiqah berpaling hendak berlalu.

“Hani...”

Panggilan Tengku Daniel mematikan langkah Hani Fiqah namun dia langsung tidak berpaling. Tengku Daniel menghampiri.

“Ada apa?” tanya Hani Fiqah sebaik saja Tengku Daniel berdiri di sisinya.

Tengku Daniel menghela nafas. Ditatapnya wajah bersih itu dari sisi. Sejak kedatangannya ke daerah itu tiga hari lalu, matanya belum ‘dijamu’ walau secebis pun senyuman manis dari bibir gadis itu. Ini kali kedua dia datang ke rumah Hani Fiqah.

Tengah hari tadi, dia sengaja mengajak adik-adik Hani Fiqah ke pekan. Setelah puas adik-adiknya memujuk, akhirnya Hani Fiqah turut serta. Meskipun sambutan Hani Fiqah dingin, dia tetap sanggup berulang alik dari hotel di pekan Ranau. Tengku Daniel tidak kisah asal hatinya senang. Dia gembira berada di tengah-tengah keluarga itu. Sejak mengenali keluarga Hani Fiqah, terasa keluarga itu bagaikan sudah menjadi keluarganya.

“Awak nak cakap apa?” tanya Hani Fiqah lagi. Kali ini ditatapnya wajah Tengku Daniel. Entah mengapa, kehadiran Tengku Daniel menyebabkan hati dan fikirannya runsing.

“Hani macam marah kat saya. Saya ada buat silap ke?” tanya Tengku Daniel perlahan.

Terjongket kening Hani Fiqah. “Takde apa...Itu aje awak nak tanya? Saya banyak kerja ni...awak baliklah ke rumah. Tempat ini tak sesuai untuk awak, kaki awak tu...kalau terjatuh, kan susah!”

“Hani...”

Sekali lagi langkah Hani Fiqah tidak menjadi. Ditariknya nafas lebih dalam. “Tengku Daniel...kalau awak perlu teman untuk bersembang, pergilah balik...umi dan adik-adik ada kat rumah. Saya sibuk ni...nak cepat. Cepat selesai lagi baik...saya perlu sediakan makan malam untuk keluarga saya!”

Tergamam seketika Tengku Daniel. Serta-merta tatapannya berubah menjadi redup. Sikap Hani Fiqah sedingin air batu. Malah sejak ketibaannya tiga hari yang lalu, gadis itu sedikit pun tidak menunjukkan keramahan terhadapnya. Namun hatinya terasa semakin terikat. Dilepaskan Hani Fiqah berlalu, diiringi dengan tatapan sayu.

‘Kenapa dengan aku sebenarnya? Semakin Hani tak suka, semakin menjauhiku...terasa Hani semakin dekat pula di hati!’ bisik hati Tengku Daniel.

Lama Tengku Daniel melayan perasaannya. Dia tercegat memerhati pemandangan di hadapannya, batas-batas sayur yang tumbuh subur kehijauan sedikit melegakan perasaannya. Namun bayangan wajah tanpa senyum Hani Fiqah terpapar juga di pelupuk mata. Apa yang perlu dilakukannya bagi menyenangkan hati Hani Fiqah? Dilepaskan keluhan mengiringi helaan nafasnya.

Daripada kejauhan, dilihatnya susuk tubuh Rizal kian mara menghampirinya. Melihat Rizal yang ceria, bibir Tengku Daniel mengukir senyum.

“Abang...” laung Rizal memanggil sambil melambai-lambaikan tangannya.

Tengku Daniel membalas, turut mengangkat lengan. Berlari-lari anak Rizal menghampirinya. Mengalir peluh di dahinya. Rizal tampak sungguh cergas dan bersemangat.

“Penat?” tanya Tengku Daniel tatkala remaja itu sudah tegak di hadapannya.

Rizal menggelang sambil ketawa. “Taklah...Riz dah biasa buat kerja ni setiap petang, abang. Kak longlah yang paling bertenanga...sebelum pergi kerja, kak long ke sini terlebih dahulu, balik daripada kerja pun begitu jugak. Kesian kak long...Riz tahu kak long penat sebenarnya tapi tak pernah tunjuk kat kami!” ujarnya perlahan sambil melayangkan pandangan, memandang Hani Fiqah yang jauh beberapa meter daripada mereka.

“Kak long buat kerja ni setiap pagi dan petang? Riz juga?” tanya Tengku Daniel seperti tidak percaya.

“Ha'ah bang...tapi Riz sebelah petang aje. Pagi-pagi Riz tak sempat...nak pergi sekolah. Kak longlah yang buat semuanya waktu awal pagi selepas siapkan sarapan. Sekarang...Riz selalu ada kelas tambahan waktu petang, tak sempat nak tolong kak long,” beritahu Rizal.

“Kenapa kak long tak cari pekerja aje? Ringankan sikit beban dia...”

“Kak long dah cuba cari, abang tapi...sampai sekarang tak dapat-dapat jugak,” jawab Rizal.

“Riz sekarang tingkatan lima...bantu kak long buat kerja macam ni tak terganggu ke pelajaran Riz?” Ditatap simpati remaja itu. Tengku Daniel dapat membayangkan, keletihan tubuh Rizal dan Hani Fiqah.

Rizal menggelengkan kepala perlahan, bibirnya tersenyum. “Riz mampu buat, abang. Kalau kak long mampu buat...kenapa pulak Riz tak mampu? Riz lelaki...”

Tengku Daniel terangguk-angguk bagai burung pelatuk. Sungguh tidak menyangka kehidupan Hani Fiqah sedemikian, sangat berdikari dan sangat bertanggungjawab!

Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan