Home Novel Cinta ANUGERAH TERINDAH
ANUGERAH TERINDAH
Angela Engkuan
8/8/2015 19:36:09
74,254
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 4

SOALAN Hani Fiqah menyebabkan kenangan silam terpampang di layar fikiran Aleya. Otaknya ligatmengimbaskembalikisah 25 tahun yang lalu. Sesungguhnya kenangan masa silamnya itu tidak pernah lupus daripada kotak memorinya. Namun, mengenang masa silamnya semakin menimbunkan lagi perasaan kesal dan rasa berdosanya terhadap insan-insan yang amat disayangi dan dirinduinya selama 25 tahun itu.

‘Ya ALLAH...ampunilah dosa-dosa hamba-MU ini. Ayah...umi ampunilah anakmu ini...’ Jiwa Aleya merintih sayu.

Sebagai insan biasa, Aleyatidak dapat menolak takdir yang sudah tersurat bagi dirinya. Dua tahun dia mengenali dan akhirnya menyulam kasih dengan pemuda berasal dari Negeri Sabah. Haris, pemuda yang berjaya mengetuk pintu hatinya. Bunga-bunga cintanya dengan Haris semakin mekar setelah mereka berdua bergelar graduan dari Universiti Malaya.

Haris balik ke negeri asalnya dengan azam yang tinggi melangit. Hajatnya ingin mengajak kedua orang tuanya pergi semula ke Kuala Lumpur bagi menyunting gadis idaman kalbunya. Namun, tidak semua yang dirancang akan menjadi kenyataan. Impian mulus mereka berdua tidak berakhir dengan indahnya.

Hubungan Aleya dengan Haris mendapat tentangan hebat daripada ayahanda Aleya. Dipujuk dan dirayu bagaimana sekali pun, Aleya tetap tidak mendapat restu. Aleya diberi kata dua, memilih keluarganya atau Haris. Aleya memilih Haris.

Terkenang dan terdengar-dengar masuk ke lohong telinganya. “Anak tak mengenang budi! Aku besarkan dan sekolahkan kau...ini balasan kau pada kita. Berambuslah dari rumah ini...pergi! Mulai hari ini...kau bukan ahli keluarga ini lagi. Berambus...”

Seumur hidupnya, itulah julung kali ayahnya beremosi teramat sangat sehingga ‘beraku’ dan ‘berkau’. Langit bagaikan runtuh, alam bagaikan turut bersedih tatkala tubuh longlai Aleya melangkah keluar dari rumah agam yang menjadi syurga hidupnya selama itu. Langkah berani Aleya itu sekali gus menjatuhkan statusnya sebagai bukan lagi siapa-siapa kepada keluarganya. Dia dibuang dari keluarga!

Demi lelaki yang dicintai sepenuh hati, Aleya sanggup menerima hukuman itu. Bagai dijatuhkan hukuman gantung sampai mati! Itulah yang dirasainya ketika ibunya yang tercinta jatuh pengsan saat ayahnya melafazkan hukuman terhadapnya.

“Jangan sekali-kali jejakkan kaki ke rumah ini lagi. Mulai hari ini aku takde anak perempuan...anak derhaka! Berambuslah dari rumah ini...berambus!”

Terngiang-ngiang kata-kata yang amat menghiris sekeping hati Aleya. Dia sama sekali tidak dapat melupakan peristiwa hitam itu sehingga kini.

Aleya melepaskan desahan agar sesakan kenangan masa lampau tidak menyesakkan ruang dadanya.

“Sampai hati ayah umi...sanggup buat umi macam tu sekali? Abah orang baik, umi...sampai hati ayah umi tu buat abah dan umi begitu!”

Aleya menyambut kata-kata anak gadisnya dengan senyuman pahit. Suatu ketika dahulu, begitulah juga ayat-ayat yang sering diluahkannya kerana hatinya terlalu sakit. Sesungguhnya, sangat lama baru dia dapat merawat rasa terkilannya dengan tindakan ayahnya. Namun peredaran masa mendewasakannya. Semakin lama masa berlalu semakin kerap Aleya mengenang kesilapan diri. Semakin kuat rasa rindu menggigit sanubari malah kian kerap rasa ingin bersatu semula dengan insan yang membawanya berhijrah ke dunia ini.

“Atuk dan nenek terlalu sayang pada umi, Hani.” Aleya menatap wajah Hani Fiqah yang sayu.

“Sayang? ALLAH...macam tu ke sayang, umi? Halau umi keluar dari rumah!”

“Hani sayang...memang umi yang bersalah, sayang. Umi tak dengar kata...”

“Umi...sepatutnya atuk dengan nenek beri peluang pada umi. Umi dan abah saling mencintai...kenapa nak halang umi dan abah bersatu?”

Hani Fiqah mengusap air matanya yang mengalir semula. Tidak berpuas hati dengan apa yang telah berlaku kepada uminya suatu ketika dahulu. Sungguh, dia tidak faham mengapa ada orang tua tega menghalang percintaan anaknya walhal lelaki yang dicintai uminya itu seorang lelaki yang sangat baik!

Aleya terdiam seketika. Sayu renungannya. Wajah Hani Fiqah yang sangat ayu di matanya itu sudah tentu belum memahami situasi yang berlaku dahulu. Memang terlalu sukar untuk memperincikan apa yang berlaku, memadailah Hani Fiqah tahu bahawa perjalanan hidup uminya ini tidak terlalu sempurna.

“Hani...suatu hari nanti bila Hani dah menjadi seorang ibu, tentu Hani akan faham bagaimana perasaan seorang ibu terhadap anaknya. Tapi umi sentiasa berdoa...semoga hidup Hani lebih sempurna...jangan jadi macam umi. Umi tahu...Hani anak yang sangat baik sebab tu umi yakin, Hani pasti akan lebih bahagia. Bukan Hani saja tapi juga adik-adik Hani...umi akan sentiasa doakan yang terbaik untuk anak-anak umi, sayang.”

Ah, kudusnya doa seorang ibu. Hani Fiqah sangat terharu lantas air matanya yang baru saja diusap mengalir lagi.

“Terima kasih umi. Hani pun sentiasa berdoa untuk umi...Hani nak umi bahagia. Hani janji. Selagi Hani masih hidup selagi tu Hani nak umi bersama Hani...Hani akan jaga umi sebaik-baiknya...Hani janji, umi. Hani sayang umi sangat-sangat!”

Aleya menggapai, meminta anak gadisnya rapat padanya. Dirangkulnya Hani Fiqah erat-erat. Basah pipinya dek rasa sangat terharu.

“Umi tahu...Hani memang anak umi yang sangat baik, Hani. Umi pun sayang sangat pada Hani,” balas Aleya perlahan.

Beberapa ketika kemudian, Hani Fiqah meleraikan rangkulannya. Ditenung wajah uminya, masih ada lagi persoalan yang belum terungkai di benaknya.

“Umi, keluarga abah pulak macam mana? Hani selalu tanya...abah kata tunggulah suatu hari nanti, Hani akan tahu juga tapi...umi tengoklah, abah tak sempat pun beritahu Hani, abah dah takde. Kenapa, umi?” Lembut nada Hani Fiqah bertanya.

Helaan nafas Aleya agak berat. Hani Fiqah pula menahan nafas. Sesungguhnya tidak sampai hati melihat uminya bersedih bila dia menimbulkan kisah masa lalu itu namun dia terpaksa. Hani Fiqah ingin sangat mengetahuinya.

“Umi...maafkan Hani, ya. Hani tanya ni pun sebab Hani nak tahu hal sebenar...” “Takpe Hani...Hani dah besar, tak salah Hani tahu hal sebenar.”

“Er, abah pun sama macam umi ke? Keluarga abah halau abah dari rumah jugak ke, umi?”

“Takdelah...keluarga abah baik, Hani. Datuk dan nenek sebelah abah terima Hani dengan hati terbuka. Sebenarnya umi kurang pasti puncanya, tiba-tiba aje abah ajak umi keluar dari rumah atuk. Masa tu Hani baru saja sebulan lebih dilahirkan. Setahu umi...tak pernah pula arwah abah bergaduh dengan keluarga...”

“Abah tak pernah cerita kat umi ke...kenapa abah tak pernah lagi balik ke rumah atuk?”

Aleya menggeleng perlahan. “Umi ada tanya abah beberapa kali tapi abah tak mahu ceritakan pada umi tapi umi dapat rasa...abah juga sedang berjauh hati dengan keluarga dia tapi umi langsung tak tahu puncanya. Cuma...sebelum abah meninggal, abah ada cakap sesuatu.”

Aleya mengimbau kembali kata-kata terakhir sebelum roh suaminya itu berpisah daripada jasad. Diceritakan segala-gala pada Hani Fiqah. Tidak terbendung perasaan sedih tatkala usai menceritakan kata-kata terakhir arwah Haris. Bercucuran air matanya.

“Hani, sampai sekarang umi masih fikirkan maksud kata-kata arwah abah...umi sungguh tak faham, Hani.”

Hani Fiqah menghela nafas. Rupanya ada kisah menyayatkan hati telah berlaku dalam keluarganya selama ini!

                                                                   ***

KAINjahitan Aleya letakkan di tepi mesin jahit tatkala Norfarini memanggil-manggil perlahan. Beberapa detik kemudian Norfarini sudah berada di depannya.

“Umi...” panggil anak itu lagi.

“Ada apa ni Rini?”

“Pak cik Din datang,” beritahu Norfarini.

“Ya ke? Kak long mana?”

“Ada...kat depan tapi pak cik Din nak jumpa umi, katanya.”

“Oh...ya ke? Takpelah...sekejap lagi umi datang. Rini pesan kat kak long hidangkan air untuk pak cik Din, ya.”

“Okey, umi. Rini keluar dulu, ya.”

Norfarini berlalu. Aleya mengemaskan duduknya di atas kerusi rodanya. Dicapainya kain tudung lalu dililitkan ke kepala hingga menutupi lehernya. Beberapa ketika kemudiaan Aleya beredar dari kamar tempatnya menjahit.

Tiba di ruang tamu, Aleya menyapa salam kepada Sabdin yang duduk di ruang tamu. Pantas saja lelaki itu menoleh. Dibalasnya ucap salam Aleya.

“Abang Din seorang aje ke? Kak Leha tak datang sekali?” tanya Aleya.

“Seorang saja...Kak Leha kamu pergi jenguk Salimah, tak sihat sejak semalam katanya,” jawab Sabdin.

“Kamu sihat Aleya?” sambungnya bertanya.

“Alhamdulillah...kami sekeluarga sihat, abang Din,” Balas Aleya.

“Buat susah-susah saja Hani buat minuman...pak cik singgah sekejap saja,” ujar Sabdin tatkala Hani Fiqah muncul sambil menatang dulang.

“Takdelah susah pak cik. Kopi O aje...Hani ada masak cucur cempedak ni, silalah minum pak cik.”

Sabdin tetap saja tidak menolak sementelah dia sungguh berkenan dengan rasa kopi O yang disediakan oleh Hani Fiqah. Dahulu, ketika arwah Haris masih ada, dia sering bertandang, bersembang dengan arwah Haris. Hani Fiqah akan menyediakan kopi satu jag dan dia akan menuang tambah beberapa kali. Rasa yang secukup-cukupnya, sungguh nikmat menyusuri salur kerongkongnya.

“Aleya, saya datang ni sebab ada hal sikit nak beritahu kamu.” Sabdin mulai bersuara sejurus meletakkan cawannya di atas meja kopi.

“Apa halnya tu abang Din?” tanya Aleya.

“Macam ni...cucu kepada pemilik tanah ni bercadang mahu mengusahakan tanah ini. Hendak buat resort...bina hotel sekali katanya. Cucu pemilik tanah ni sendiri hubungi saya minggu lepas.”

“Ya ke abang Din? Maknanya...dia dah nak ambik tanah ni jugalah, ya abang Din?” Aleya menatap tepat wajah Sabdin. Perasaannya serta-merta tidak selesa.

Sabdin terangguk-angguk. “Macam tulah, Aleya.”

“Astahfirullahalazim! Habis tu...kami nak tinggal kat mana, abang Din?” tanya Aleya dengan perasaan agak cuak.

“Ehm...inilah yang perlu dibincangkan. Tanah ni luas...kalau tak silap lebih 30 hektar keluasannya.” Sabdin menghela nafas terlebih dahulu sebelum menyambung kata-katanya. Dia tidak mahu Aleya dan anak-anaknya runsing pula memikirkan perkara itu.

“Pak cik...cucu pemilik tanah ni suruh kami segera berpindah ke?” tanya Hani Fiqah. Benaknya sudah mulai bimbang.

Sabdin menghalakan tatapan ke wajah Hani Fiqah. Sudah tentu hati gadis itu gundah. Siapa lagi yang hendak diharapkan dalam keluarga itu jika bukan Hani Fiqah.

“Pak cik akan cuba berbincang dengan cucu pemilik tanah ni nanti, Hani. Tanah yang kamu sewa pun bukannya luas sangat...hanya tiga hektar saja. Kalau dia nak bangunkan tanah ni...dia tentu bermula dari arah depan jalan utama.”

“Abang Din tolonglah bincang dengan dia, ya? Dah lebih dua puluh tahun kami menyewa tanah ni...ke mana lagi kami nak pergi, bang Din?” Sayu kedengaran suara Aleya.

Sabdin terangguk-angguk. Selama ini pun dia yang mengutip sewa tanah itu daripada keluarga ini. Tiga hektar tanah itu hanya dikenakan sewa sebanyak RM500 sebulan, arwah Haris membina rumah dan membuka kebun di atas tanah tersebut. Sesungguhnya, Sabdin tidak pernah pun menggunakan duit itu kecuali untuk membayar cukai tanah tersebut setiap tahun. Sudah banyak wang terkumpul hasil daripada kutipan sewa, Sabdin simpan ke dalam akaun tetap di bank. Niatnya suatu masa nanti duit itu akan diserahkan kepada pemilik tanah itu.

“Pak cik Din kenal dengan pemilik tanah ni, kan?” tanya Hani Fiqah. Tertera di wajah gadis itu bayangan keresahan.

“Dia kenalan lama pak cik tapi sudah terlalu lama pak cik tak jumpa dia. Terakhir pak cik jumpa dia pun dah lebih sepuluh tahun yang lalu di Kota Kinabalu, Hani. Pak cik hubungi dia sekali sekala. Syukurlah baru-baru ni cucu dia pula hubungi pak cik...”

“Bila nak mulakan projek buka tanah ni, abang Din?” tanya Aleya perlahan.

“Ikut perancangan, cucu dia nak datang tinjau-tinjau keadaan tanah ni dalam masa terdekat ni,” beritahu Sabdin.

“Agaknya...dia orang bagi tak kami tinggal sini lagi, pak cik? Hani rasa...kalau nak buat resort...memang dia nak bukak habis tanah ni. Risaunya!”

Hani Fiqah menghela nafas. Terbayang kebun sayur-sayuran dan buah-buahan tidak jauh dari rumah mereka itu. Alangkah sedihnya jika terpaksa meninggalkan tempat itu. Terlalu lama menetap di situ, terlalu selesa dengan keadaan sehingga dia lupa jika tempat itu bukan milik mutlak mereka. Walau sudah lebih 20 tahun tinggal dan membesar di situ, tanah itu tetap hak pemiliknya. Sementelah selama ini tidak secoret pun kertas perjanjian sewaan tanah di antara arwah abah dengan pemilik tanah itu.

“Hani jangan terlalu risau...pak cik akan tolong sedaya upaya. Pak cik faham...kamu dah lama duduk di sini, bukan senang mahu tukar keadaan. Berdoa sajalah...semoga segalanya dipermudahkan, ya.” Sabdin berusaha menyenangkan hati anak-beranak itu.

“Moga-moga dia orang boleh diajak berbincang, abang Din.” Aleya yang sangat mengharap menatap redup wajah Ketua Kampung.

Dengan keadaan diri begitu rupa, bagaimanalah hendak mengurus keluarganya untuk berpindah sementelah hendak berpindah ke mana? Hani Fiqah pasti akan dibebani jika masalah itu terpaksa mereka harungi. Buntu fikiran Aleya!

Sabdin minta diri tidak lama kemudian. Tinggallah Hani Fiqah bersama Aleya termangu-mangu di ruang tamu, sedikit berserabut fikiran mereka berdua.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan