Home Novel Cinta ANUGERAH TERINDAH
ANUGERAH TERINDAH
Angela Engkuan
8/8/2015 19:36:09
74,263
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 9

ALEYA dan Hani Fiqah baru usai menunaikan solat Zuhur di kamar tidur Aleya ketika kedengaran sayup-sayup suara wanita melaungkan salam. Hani Fiqah menghulurkan tangan, tangan Aleya dicium selepas itu mereka sempat berdakapan.

“Siapa pula yang datang tu Hani?” Aleya bersuara.

“Entahlah umi...takpelah, biar Hani pergi tengok...”

Tergesa-gesa Hani Fiqah menanggalkan telekung diganti dengan tudung lalu bergegas keluar dari kamar uminya. Hani Fiqah berpapasan dengan Tengku Daniel yang baru keluar dari kamar Rizal.

“Ada tetamu datang. Maaflah, saya lambat sangat keluar...saya tahu Hani sedang solat,” ujar Tengku Daniel.

“Tak mengapa...jiran agaknya yang datang. Saya pergi tengok dulu ya,” balas Hani Fiqah lalu mengorak langkah tanpa menunggu Tengku Daniel.

Terhincut-hincut Tengku Daniel berjalan perlahan dengan sokongan tongkat. Sudah empat hari dia menumpang di rumah itu. Dan hari ini dia bercadang hendak ke pekan, menginap di hotel yang sudah ditempahnya melalui telefon sebentar tadi. Dia sudah berbincang dengan Aleya dan Hani Fiqah. Terasa terlalu banyak dia menyusahkan keluarga itu. Empat hari dia dilayan dengan amat baik, segala keperluannya disediakan. Dia sangat terhutang budi!

Empat hari berada di rumah itu hati Tengku Daniel sungguh tenang, tepatnya dia teramat gembira sebenarnya. Namun sesuatu sedang merunsingkan fikirannya. Hani Fiqah! Ya...keadaan gadis itu membuatkan hatinya resah. Selama tiga hari itu Hani Fiqah terpaksa mengambil cuti sebab dirinya.

Tengku Daniel faham, Hani Fiqah tidak mungkin meninggalkan ibunya sendirian dengan seorang lelaki yang tidak diketahui asal usul dan latar belakangnya. Bimbang menambahkan lagi beban Hani Fiqah, dia mengambil keputusan ada baiknya dia keluar dari rumah itu. Dia akan menginap di hotel di pekan Ranau.

“Mak cik Huda...jemputlah masuk,” pelawa Hani sejurus salam wanita itu dibalas.

“Eh, kau masih cuti, Hani? Sudah beberapa hari kau tak kerja, kan?” tanya Sahuda yang masih berdiri di muka pintu.

“Saya cuti, mak cik. Masuklah dulu, mak cik. Umi ada kat dalam, sekejap Hani panggilkan umi,” pelawa Hani Fiqah lagi dengan sopan.

“Ehm, kereta cantik tu masih lagi di sini, Hani? Teman lelaki kau tak balik-balik lagi, ya?” Sahuda melontarkan lagi pertanyaan.

Hani Fiqah terkesima. Rupanya Sahuda masih tersalah sangka, menyangka tetamu mereka itu sebagai teman lelakinya.

“Mak cik...dia bukan teman lelaki saya. Mak cik jangan salah faham, ya. Dia tak sihat sebab tu...”

“Alah, kau ni. Macamlah aku ni kolot benar! Tak payahlah kau sorok-sorok...jiran-jiran kita pun semua dah tahu!” Sahuda memintas lancang.

Serta-merta kening Hani Fiqah terjongket. “Hah? Semua dah tahu? Tahu pasal apa, mak cik?”

“Alah...buat-buat tak tahu pula kau Hani! Orang kampung ni ada mata, ada telinga, Hani oii...takkan dia orang tak nampak, tak dengar...”

“Tapi mak cik...saya tak...”

“Oh...kau malu nak mengaku, ya? Alah Hani, nak malu apanya lagi...kau dah ajak teman lelaki balik ke rumah. Hisy, tak payahlah kau nak sembunyikan lagi!”

“Astaghfirullahalazim...mak cik Huda! Tak betul tu...”

“Hani, tak betul apakah benda pula? Tu hah...sudah berapa hari kereta teman lelaki kau elok saja di depan rumah tu? Orang ada mata menengoknya, Hani. Hisy, aku ni tengok kau sejak kecil sampailah sekarang...kau membesar depan mata aku ni hah...takkan perkara macam ni pun kau nak sembunyi daripada aku ni!” bebel Sahuda, sudah panas hatinya.

“Eh, susah betullah hadap anak mudah zaman sekarang!” rungut Sahuda lagi.

Hani Fiqah menelan liur. Dia jadi bungkam. Hendak diturutkan rasa hati yang sedang geram, mahu juga dia bersoal jawab dengan Sahuda.

‘Apa hallah dengan mak cik ni...menceceh tak sudah-sudah. Entah apalah yang dah dihebohkannya kat kampung ni? Hisy...bengang aku dibuatnya!’ Hati Hani Fiqah mengomel.

Sahuda melangkah dengan wajah masam mencuka, membawa perasaan geramnya masuk ke dalam rumah. Rumah Aleya itu bagaikan rumah keduanya saja. Dia akan masuk sesuka hatinya, tolak kamar tidur saja yang tidak dijelajahnya. Ternganga mulutnya tatkala matanya terpandang lelaki muda itu sedang duduk santai di ruang tamu. Tidak keruan tingkahnya buat seketika.

“Eh...er...assalamualaikum...” Terbata-bata Sahuda memberi salam lalu tersengih-sengih.

Tengku Daniel menyahut dengan sopan. Seketika tatapannya tertancap pada wajah wanita. Perlahan dia menghela nafas. Perasaannya sedikit terbakar dek kata-kata wanita itu tadi. Dilayangkan pandangan mencari figura Hani Fiqah. Tampak sedikit mendung wajah gadis itu.

“Hah, kenapa pula dengan kaki kamu tu? Patah, ya?” Sahuda memuncungkan bibir mengarah ke kaki Tengku Daniel.

“Tak patah...ada retakan sikit pada tulang. Saya terjatuh...”

“Elok sangatlah juga...bolehlah kamu tinggal lebih lama di sini, kan?” pintas Sahuda.

Tengku Daniel menelan liur, menghela nafas lebih dalam. Berkerut dahinya. Gamam juga dengan sikap wanita itu.

‘Dahlah bertutur tak berlapik...tak bagi peluang langsung orang nak bercakap. Hisy, tak sopanlah!’ umpat hatinya yang tidak menyenangi sikap Sahuda.

“Saya tak berniat nak duduk lama kat sini, mak cik. Saya kemalangan...syukur Hani selamatkan saya. Kalau saya tak cedera...tak mungkin saya nak menyusahkan keluarga ini!” balas Tengku Daniel perlahan.

“Alah...tak kisahlah tu, Aleya pun terima kamu duduk sini dengan hati terbuka! Eh, siapa nama kamu ya? Berasal dari mana? Kamu kerja apa? Kerja di jabatan mana?” Sahuda memuntahkan pertanyaan dari mulutnya. Tidak diendahkan perasaan orang asalkan hatinya puas menyoal selidik!

Terjongket kening Tengku Daniel. “Nama saya Daniel. Saya dari Kuala Lumpur. Ehm, saya kerja sendiri...kerja pun tak tetap tempat,” jawabnya tenang.

“Hah? Kerja tak tetap tempat? Habis tu...

“Mak cik duduklah dulu...Hani panggilkan umi, ya.” Pantas Hani Fiqah menyampuk. Resah hatinya jika Sahuda terus menerus bertanya itu dan ini kepada Tengku Daniel.

‘Ya ALLAH, kecoh sungguh mak cik ni. Kata orang, tetamu yang datang tu rezeki tapi kalau tetamu yang datang itu malar mak cik Sahuda ni, apakah dia rezeki juga?’ Bisik hati Hani Fiqah yang resah sambil menarik nafas agak dalam.

“Oh...kamu rupanya Huda. Lah, kenapa tak duduk?”

Aleya muncul sebelum Hani Fiqah sempat memanggil uminya itu. Hani Fiqah tersenyum, bersyukur dalam hati. Uminya menyelamatkan keadaan!

“Hani...buatkan air, ya? Kering pula tekak umi ni lepas mengaji...”

“Okey umi...” Hani Fiqah segera berlalu ke dapur.

“Aku saja datang jenguk kau, Leya. Rupanya kau masih ada tetamu...” kata Sahuda sambil matanya melirik seketika pada Tengku Daniel.

“Kaki Daniel cedera, Huda. Tak sampai hati saya biarkan dia balik...sendirian kat memandu ke KK. Biarlah sembuh sikit baru balik...” beritahu Aleya.

Tengku Daniel menarik nafas agak panjang. Amat bersyukur dengan pertimbangan Aleya. Mendepani keadaan seperti tadi, hatinya terasa tidak tenang lagi duduk di rumah itu. Dalam manis ada juga pahitnya. Kehadirannya menimbulkan bahang fitnah pula terhadap Hani Fiqah.

Canggung rasanya bersama dengan kedua-dua wanita itu. Tengku Daniel minta diri tidak lama kemudian. Diheretnya langkah perlahan-lahan menghala ke dapur. Tekaknya juga agak kering, selepas terjaga tadi dia belum meneguk setitik air pun.

Ketika itu Hani Fiqah sudah hampir selesai membancuh kopi. Kehadiran Tengku Daniel di ruang itu sedikit mengocak ketenangannya. Berdua-duaan di situ pasti akan menjadi bahan gosip Sahuda lagi!

Setelah menuangkan air ke dalam gelas, Tengku Daniel menghampiri meja makan lalu menarik sebuah kerusi untuk diduduki. Ralit dia memerhatikan Hani Fiqah yang sedang menyediakan cawan di atas dulang. Secawan kopi panas dan sepinggan kecil biskut diletakkan hadapan Tengku Daniel.

“Awak minumlah ya, saya ke depan dulu...”

“Saya minta maaf...saya menyusahkan awak, Hani. Mak cik tu cakap macam-macam kat awak sebab saya. Kesian awak!”

Hani Fiqah bungkam seketika. “Tak mengapalah...mak cik Huda memang macam tu...mulut kecoh sikit!” ujarnya perlahan. Diangkat dulang lalu beredar keluar dari dapur.

                                                                     ***

DI MOUNT KINABALU HERITAGE RESORT & SPA, dalam bilik penginapan Tengku Daniel, Rizal berwajah murung. Dia tidak faham mengapa Tengku Daniel perlu menginap di hotel walhal dilihatnya Tengku Daniel selesa berada di rumah mereka. Berusaha Rizal memujuk kakaknya namun Hani Fiqah tetap dengan pendiriannya. Tengku Daniel harus tinggal di hotel!

“Abang tak suka duduk dengan kami ke?” tanya Rizal setelah jenuh memujuk Hani Fiqah.

Tengku Daniel ketawa perlahan. “Abang suka duduk kat rumah Riz tapi tak eloklah abang menyusahkan keluarga Riz, kan?” Disentuh bahu Rizal yang turut bersamanya duduk di pinggir katil.

Hani Fiqah yang duduk di sofa di sudut bilik, tekun menghadap majalah namun tetap memasang pendengaran. Terdetik di hatinya, mengapalah lelaki itu begitu istimewa sehingga mampu menawan hati adik-adiknya walhal baru empat hari mengenalinya? Dalam tempoh empat hari, Rizal, Fahmi dan Farhana sudah menyenangi malah menjadi sangat rapat dengannya. Malah uminya juga, tampak mesra dengan lelaki itu. Uminya melayan Tengku Daniel seperti melayan anaknya juga. Pelik sungguh bagi Hani Fiqah. Hanya Norfarini yang kurang mesra sebab adik perempuannya memang sangat pemalu.

“Siapa kata abang menyusahkan kami? Kami suka sangat abang tinggal kat rumah kami,” balas Rizal dengan terus terang.

Mengeluh Hani Fiqah dalam diam. Apa kenalah dengan adiknya itu? Takkan sampai begitu sekali Rizal menyukai lelaki itu? Tidak ada apa-apa pun yang dilakukan oleh lelaki itu untuk mereka melainkan keramahan dan kemesraannya. Hanya itu!

“Riz...abang perlukan tempat yang selesalah, Riz. Tidur kat kamar Riz tu kan sempit...kongsi tiga orang. Takde privasi langsung!” Hani Fiqah mengingatkan Rizal.

Tengku Daniel tergamam seketika. Mata Hani Fiqah direnung agak lama sehingga gadis itu mengalihkan pandangan. Rizal pula terus terdiam.

“Riz, kalau kaki abang dah sembuh...abang akan datang rumah Riz lagi, okey?” pujuk Tengku Daniel perlahan. Bahu Rizal sekali lagi diusap.

“Betul abang akan datang melawat kami? Abang mesti datang tahu...”

“Ya...abang janji, Riz. Abang pasti akan datang lagi bila kaki abang dah sembuh nanti. Sabar aje ya.” Lebar senyuman di bibir Tengku Daniel. Ditepuk-tepuk perlahan bahu Rizal.

“Okey bang...” Lebar senyuman Rizal, ceria wajahnya.

“Hani...terima kasih banyak-banyak sebab awak banyak bantu saya. Kalau awak tak selamatkan saya agaknya sekarang saya dah takde kat dunia ni. Saya tak dapat balas budi baik awak. Saya benar-benar terhutang budi pada awak...keluarga awak... ”

“Daniel, tak payahlah rasa terhutang budi...saya bantu awak dengan ikhlas. Memadailah kalau awak anggap kami sebagai saudara awak...anggap diri awak sebagai abang kepada kami. Kan Riz?”

“Ha’ah bang...kami dah anggap abang macam abang kandung kami...kami pun takde saudara mara kat sini, kan kak long?”

Hani Fiqah terangguk-angguk. Terukir senyuman di bibirnya menatap wajah Rizal. Rupanya selama ini, adik lelakinya itu juga terasa akan kekurangan dalam keluarga mereka. Mereka tidak ada saudara mara di kampung itu!

“Abang pun dah anggap Riz, kak long dan adik-adik macam adik kandung abang, Riz. Abang takde adik-beradik lain...hanya abang seorang. Abang anak tunggal. Sebab tu abang rasa suka, selesa dan gembira sama-sama keluarga Riz. Tak sunyi...”

“Oh...abang takde adik-beradik? Kesian abang...tentu sunyi, kan bang?”

“Ha’ah Riz...sunyi. Kalau ibu bapa abang takde kat rumah...tak tahu nak cakap macam mana tahap kesunyian abang!”

Hani Fiqah dan Rizal tergamam. Sama-sama memakukan tatapan pada wajah Tengku Daniel.

“Hani...saya tetap akan kenang budi awak. Terima kasih kerana sudi tumpangkan saya kat rumah awak selama empat hari. Awak semua layan saya dengan baik. Riz, abang berterima kasih sangat-sangat...abang minta maaf sebab buat Riz dan Fahmi tidur tak selesa...”

“Alah, takpelah abang...Riz rasa okey aje lagipun kita orang memang sayang kat abang. Abang kan abang kami!” Jujur sungguh Rizal berkata-kata sambil ketawa perlahan.

Tengku Daniel turut ketawa. Lengan gagahnya merangkul bahu Rizal. Hani Fiqah tersenyum. Pandai sungguh Rizal menyenangkan hatinya!

“Er, Daniel, pasal kata-kata mak cik Huda tu...awak jangan ambil kisah, ya. Dia memang macam tu...kecoh aje!” ujar Hani Fiqah perlahan. Terkenang akan kata-kata wanita itu tengah hari tadi, membuak juga perasaan geramnya.

“Pasal tu pun saya minta maaf sangat-sangat...sebab saya, dah timbul salah sangka. Mak cik tu tak tahu kedudukan yang sebenar...tak menyempat nak jelaskan pada dia!” Rendah saja nada suara Tengku Daniel. Renungannya tidak lekang dari wajah Hani Fiqah.

“Mak cik Huda tu...selalu aje buat kecoh! Kalau abang nak tahu, dia tu memang wartawan CNN tak bertauliah. Cakap ikut sedap mulut dia aje. Semua benda dia nak tahu...semua perkara yang dia tahu dia nak sebar merata kampung. Cerita pulak tokok tambah habis. Memang mulut dia takde insurans tu. Menyakitkan hati aje!”

Terbelalak mata Hani Fiqah mendengar umpatan Rizal. Dicerlung matanya pada adiknya itu. Tengku Daniel pula sudah ketawa.

“Ya ALLAH...Riz ni, tak baiklah cakap macam tu!” tegur Hani Fiqah dengan nada perlahan.

Lalu Rizal tersengih-sengih sambil menjongketkan bahunya. Dia berkata perkara benar, tidak salah baginya. Sahuda memang sering membuat hatinya geram. Asal bertandang ke rumah mereka, ada saja kompelin wanita itu pasal dirinya. Perkara kecil dibesar-besarkan.

“Ehm...Riz, elok kita beransur sekarang sebelum hari gelap.” Hani Fiqah sudah berdiri.

“Dah nak balik ke?” Entah mengapa Tengku Daniel rasa keberatan melepaskan Hani Fiqah dan Rizal pergi.

“Ha’ahlah kak long...kita dah nak balik ke? Baru pukul lima lebihlah kak long...”

“Bimbang habis pula mini bas masuk ke kampung tu nanti...kalau minta teksi hantarkan, mahal sangat!” ujar Hani Fiqah tanpa berselindung.

“Alah kak long...sekali sekala naik teksi takpelah, ya? Lepas ni tak tahu bila lagi dapat jumpa abang, kan abang?” Rizal mula menagih sokongan Tengku Daniel.

“Betul tu...abang setuju dengan Riz. Naik teksi ajelah...abang bayarkan!”

Rizal sudah senang hati. Sesungguhnya dia masih ingin meluangkan masa bersama Tengku Daniel.

“Apa kata Riz dengan kak long makan malam dengan abang dulu...kat lobi aje. Balik nanti Hani tak payahlah masak. Nanti boleh tapau untuk umi dan adik-adik sekali. Okeylah ya?”

Yes! Boleh...boleh bang. Kan kak long?”

“Eh, tak payahlah...nanti umi bimbang pula kalau kita terlambat balik!” Hani Fiqah menolak halus.

“Alah...kan boleh call umi, kak long? Kak long beritahulah umi, kita makan bersama abang dulu baru balik. Bolehlah kak long...ya?” Rizal memujuk.

“Hisy...tak payahlah Riz. Kita balik...”

“Takpe...biar abang yang call umi. Lepas makan nanti abang panggilkan teksi hantar Riz dan kak long balik, okey. Kalau susah nak dapat teksi, Hani boleh bawa kereta saya balik!”

Cepat sungguh Tengku Daniel memutuskan. Pantas saja tangannya mencapai telefon bimbit lalu menghubungi Aleya.

“Assalamualaikum...umi...”

Hani Fiqah terkaku. Terkebil-kebil matanya menatap Tengku Daniel yang masih berbicara dengan Aleya.

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan