Home Novel Cinta ANUGERAH TERINDAH
ANUGERAH TERINDAH
Angela Engkuan
8/8/2015 19:36:09
74,260
Kategori: Novel
Genre: Cinta
PROLOG

TANGISAN bayi pertama bergema menyapa seluruh ruang dewan pembedahan di Hospital Daerah Papar. Ruang yang dingin itu membuatkan tubuh kaku wanita muda dalam keadaan tidak sedarkan diri kerana pengaruh ubat bius tampak pucat namun keadaannya stabil.

“Tepat 2.15 kilo berat bayi pertama. Ehm, sihat...comelnya dia...” Suzana memberitahu dengan nada ceria sejurus selesai menimbang berat bayi yang masih merah itu.

Suzana, Ketua Jururawat di Hospital Daerah Papar. Sudah lebih 15 tahun dia berkhidmat di hospital itu.

Selang beberapa minit kemudian, tangisan bayi kedua turut bergema di ruang bilik pembedahan. Sekali lagi Suzana menyambut tubuh kecil kemerahan itu dari tangan seorang doktor yang bertanggungjawab melakukan pembedahan sebagai proses menyambut kelahiran bayi kembar itu.

“Yang adik ni pula...kecik sikit, doktor. 2.08 kilo saja berat dia...comel sangat,” umum Suzana lagi sejurus selesai menimbang berat bayi yang kedua itu.

Memandangkan ada seorang doktor, seorang pakar bius dan dua orang jururawat sedang menangani Aleya, Suzana mengurus sendiri bayi kembar itu dengan senang hati. Sementelah bayi kembar itu anak saudaranya juga. Bagaikan terasakan aura ibu mereka di situ, bayi-bayi itu senyap sahaja selepas meredakan tangisan pertama mereka.

Bibir Suzana tersenyum sambil mengucap syukur beberapa kali.

“Syukur alhamdulillah. Aleya selamat melahirkan anak kembar dia...ALLAH permudahkan segala-galanya walaupun Aleya terpaksa dibedah.” Gumam Suzana perlahan. Matanya ralit menatap kedua-dua bayi yang sudah dibersihkan dan sudah berselimut kemas itu.

“Kedua-dua bayi ni putih bersih kulitnya macam emak dia, kan kak Zana.” Jururawat muda yang bernama Lucy berbisik perlahan pada Suzana, lebar senyumannya.

Terangguk-angguk Suzana mengiakan kata-kata rakan setugasnya. Lesap sudah kebimbangannya melihat isteri adik sepupunya itu berjuang melahirkan anak sulung. Apatah lagi melihat anak saudaranya lahir dengan sifat yang sempurna, tampak sangat sihat. Aleya isteri Haris. Haris pula adik sepupunya.

“Bertuah sungguh Haris dan Aleya...dapat anak kembar yang comel. Anak sulung pula tu,” kata Suzana perlahan.

Jururawat Lucy tersenyum-senyum. Bayi kembar comel itu memang mengujakan malah membangkitkan rasa kasih bagi sesiapa saja yang melihatnya.

Di ruang menunggu di luar Dewan Bedah, Serina sejak tadi berdiri di tepi jendela kini perlahan-lahan merapati emaknya. Hajah Jenab yang sedang runsing membuatkan hati Serina resah bercampur cuak.

“Mak, tenanglah...dari tadi mak tak keruan. Risau sangat...sekejap lagi pembedahan Aleya tu akan selesailah.” Serina menegur Hajah Jenab yang duduk tidak pernah tenang itu.

“Macam mana mak nak tenang...dah berjam-jam Aleya di dalam tu. Entah macam mana keadaan dia...keadaan anak dia!” jawab Hajah Jenab lantas mengeluh panjang. Serina tidak akan faham bagaimana runsing perasaan saat itu.

“Aleya tu takkan apa-apalah mak...kita sabar sajalah. Yang paling penting anak-anak dia tu selamat, mak.” Serina merenung dalam ke mata Hajah Jenab. Renungan yang menyampaikan hasrat. Mustahil emaknya sudah lupa apa yang mereka sudah rancang.

Kata-kata Serina membuatkan hati Hajah Jenab bertambah galau. Semakin kencang degup jantungnya.

“Serina...kita patut mendoakan keselamatan Aleya juga...bukan anak-anak dia saja!” Hajah Jenab mengalihkan pandangan. Tubir matanya terasa hangat.

“Mak...”

“Serina...kita bincang hal ni nanti saja, ya?”

Serina tergamam sedetik. “Baiklah mak!”

Hajah Jenab menarik nafas panjang tatkala terdengar keluhan berat dari mulut Serina.

“Dah masuk waktu solat zuhur...mak ke surau dulu. Kamu tak solat, Serina?” tanya Hajah Jenab sambil berdiri meluruskan tubuhnya.

Serina menggeleng. “Er...saya sedang cutilah, mak.”

“Hmm, yalah. Mak pergi dulu...”

Serina yang ditinggalkan terkebil-kebil keresahan. Berkali-kali dia menatap jam di pergelangan tangannya. Sesungguhnya sejak Aleya dibawa masuk ke dalam dewan pembedahan, dadanya tidak pernah tenang. Berdebar-debar dadanya menunggu.

“Agak-agaknya...anak kembar Aleya perempuankah lelaki? Tak sabar pula rasanya!” gumam Serina perlahan.

Sehinggalah Hajah Jenab datang semula, Serina melayan perasaannya. Termenung memanjang. Sesungguhnya penantian itu menyeksa perasaan. Kini, punggung Serina pula tidak tenang berlabuh. Hajah Jenab hanya memerhati.

Penantian Hajah Jenab dan Serina berakhir tatkala pintu dewan pembedahan terkuak lebar hampir sejam kemudian. Hajah Jenab meluru merapati Suzana yang keluar bersama seorang lagi jururawat muda.

“Suzana...macam mana keadaan Aleya?” tanya Hajah Jenab dengan perasaan cuak. Diketepikan seketika perasaan teruja terhadap cucu kembarnya.

Suzana menatap wajah emak saudaranya dengan senyuman tipis. “Mak Hajah...Aleya masih di dalam. Sekejap lagi akan dihantar ke wad. Jomlah kita ke wad dahulu...”

“Aleya tak apa-apa, kan?” tanya Hajah Jenab lagi. Resah perasaannya selagi belum mengetahui keadaan anak menantunya itu.

“Er...Aleya tak apa-apa cuma belum sedar sepenuhnya, Mak Hajah. Nantilah saya ceritakan pada Mak Hajah...”

“Tapi mak risaulah, Suzana!” Hajah Jenab belum berganjak. Berat sungguh hatinya meninggalkan ruang menunggu di luar Dewan Bedah itu.

Berkerut-kerut dahi Hajah Jenab. Bagaimana hatinya tidak risau jika belum mengetahui keadaan sebenar anak menantunya itu. Apa kata Haris nanti jika dia tidak mengambil berat tentang Aleya walhal itulah yang dipesan berkali-kali oleh anaknya itu.

“Mak Hajah...Aleya tak apa-apa cuma buat masa ini tekanan darah dia belum stabil. Mak Hajah janganlah bimbang...Aleya akan okey nanti. Jomlah ke wad dahulu...”

“Betul Aleya tak apa-apa, Zana?”

Suzana mengangguk. Akhirnya Hajah Jenab mengorak langkah perlahan.

Serina mengepal jari-jemarinya yang dingin. Ralit matanya menatap bayi kembar yang masih merah. Perasaannya yang sedang teruja bagaikan disentak-sentak, tidak keruan!

Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan