Home Novel Cinta ANUGERAH TERINDAH
ANUGERAH TERINDAH
Angela Engkuan
8/8/2015 19:36:09
74,262
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 8

KEPUTUSAN X-ray sudah ada di tangan Dr. Rusdi. Tengku Daniel hanya memerhati, menunggu doktor senior itu meneliti imej X-ray itu lalu menjelaskan kepadanya.

“Kaki awak sakit lagi?” tanya Dr. Rusdi sebelum matanya tertancap semula pada imej X-ray.

“Ya, doktor. Berdenyut-denyut,” beritahu Tengku Daniel.

Dr. Rusdi berdiri lalu menghampiri kotak illminator X-ray. Dilekapkan imej itu di permukaan kotak itu. Tengku Daniel menggeserkan punggungnya sedikit agar dapat memerhati imej X-ray kakinya itu dengan teliti.

“Tulang awak mengalami keretakan kecil...sikit saja. Ini...” Jari telunjuk Dr. Rusdi dihalakan pada satu bahagian pada imej itu.

“Awak jangan bimbang...retakan kecil saja, tak bahaya.” Dr. Rusdi menyambung, ditatapnya wajah kaku pesakitnya.

Tengku Daniel hanya mengangguk-anggukkan kepala. Meski tidak berpuas hati dengan kejadian yang menimpa dirinya secara mendadak itu, hati kecilnya tetap bersyukur kerana dia tidak mengalami kecederaan yang teruk.

“Macam mana pun kaki awak tu perlu diletak plaster of paris,” beritahu Dr. Rusdi lagi.

“Oh..ya ke? Tapi...”

“Tujuannya untuk mengurangkan pergerakan. Jangan risau...retakan tu akan lebih cepat pulih kalau awak tak banyak bergerak.” Memahami perasaan pesakit, Dr. Rusdi menjelaskan dengan sabar. Dia kembali ke mejanya lalu duduk menghadap Tengku Daniel.

“Letak plaster of parisuntuk jangka masa pendek saja...tak macam kes patah tulang! Awak tak perlu risau,” ujar Dr. Rusdi lagi.

“Baiklah doktor, saya faham.”

Tengku Daniel tidak punyai pilihan lain, terpaksa merelakan kakinya diperlakukan mengikut arahan seorang doktor yang berpengalaman.

Beberapa jam kemudian Tengku Daniel sudah berada di wad, di hadapannya Hani Fiqah berdiri mengamati kakinya yang berbalut putih dengan balutan yang tebal.

“Sakit ke?” tanya Hani Fiqah.

Tengku Daniel menggelengkan perlahan. “Sakit sikit aje,” jawabnya sambil tersenyum tipis.

“Awak bertugas kat wad ni?” tanya Tengku Daniel. Sejak dia dihantar ke wad itu, Hani Fiqah sentiasa berada di situ.

“Tak...saya bertugas kat wad kecemasan,” beritahu Hani Fiqah perlahan.

Buat beberapa detik pandangan Hani Fiqah melekap pada wajah tampan Tengku Daniel. Terasa pelik direnung sedemikian, Tengku Daniel mengusap pipi dan dagunya.

“Kenapa?” tanyanya. Bimbang ada sesuatu terpalit di wajahnya sehingga gadis itu menatap tajam wajahnya.

“Tengku Daniel Bin Tengku Farid!” Hani Fiqah menyebut nama penuh lelaki itu dengan intonasi rendah namun tegas.

Terjongket kening Tengku Daniel. “Ya saya...” jawabnya lurus.

Sesungguhnya Hani Fiqah agak terkejut ketika dia mendapat tahu nama penuh lelaki itu ketika membantunya mendaftar di kaunter pagi tadi. Sebentar tadi ketika sedang menunggu lelaki itu menerima rawatan, dia sempat melayari internet melalui telefon bimbitnya. Disebabkan perasaan ingin tahu, dicarinya nama lelaki itu melalui laman carian google. Sah! Tengku Daniel daripada golongan kerabat malah keluarganya sangat ternama!

“Tengku tak beritahu saya siapa Tengku sebenarnya pagi tadi. Saya tak tahu...rupanya Tengku...”

“Er, Hani...kita sama saja. Tak berbeza...” bidas Tengku Daniel.

“Memang berbeza...Tengku...”

“Daniel...nama saya Daniel. Tolong panggil saya Daniel saja, Hani.” Tengku Daniel memintas sekali lagi.

“Tapi...”

“Takde tapi tapi lagi! Saya lebih selesa macam ni, Hani. Please...Daniel saja, okey?”

“Baiklah kalau itu kehendak Tengku Daniel.” Hani Fiqah menjongketkan kedua belah bahunya sambil menghela nafas agak dalam.

“Hani, boleh tak saya tak payah tinggal kat wad ni? Saya nak balik,” pinta Tengku Daniel.

Tengku Daniel benar-benar tidak selesa duduk di wad. Dia lebih selesa berada di rumah gadis itu sebenarnya. Terbayang-bayang wajah lembut dan keibuan Aleya. Aleya sendiri meminta agar dia turut dipanggilnya umi itu. Sentiasa bermain di matanya kecomelan kanak-kanak yang sentiasa tersenyum, curi-curi menatap wajahnya. Farhana memang sangat comel. Walau hanya sekejap mengenali Farhana sebelum kanak-kanak itu ke Tadika pagi tadi, Tengku Daniel terasa sangat tertarik dengan telatahnya.

“Awak sungguh-sungguh ke ni? Tak okey ke duduk sini? Lagipun doktor suruh awak berehat kat wad sehari dua aje,” jelas Hani Fiqah.

“Tak okey! Saya tak suka duduk di wad.” Terus terang Tengku Daniel. Rimas sungguh dia berada di situ.

“Ya ke? Apa kata saya tolong semak wad kelas satu...kat wad tu lebih selesa,” cadang Hani Fiqah.

“Tak usah! Saya nak balik...lebih selesa duduk kat rumah,” balas Tengku Daniel.

“Oh...” Hani Fiqah terangguk-angguk.

“Hani tolong cakap pada doktor, ya? Saya sungguh-sungguh nak balik!”

Hani Fiqah serba salah. Simpati pula hatinya. “Er, tapi rumah awak kat mana? Ada sesiapa yang boleh jemput awak balik ke?”

Tengku Daniel terdiam. Terkebil-kebil menatap wajah Hani Fiqah.

“Awak perlu hubungi keluarga awak, Daniel. Beritahu keadaan awak. Nanti saya cuba jelaskan pada doktor. Kalau awak boleh keluar wad, keluarga awak bolehlah jemput awak balik.”

Sesungguhnya sejak semalam Hani Fiqah ingin menghubungi keluarga lelaki itu namun niatnya tidak kesampaian kerana lelaki itu tidak sedar diri beberapa jam semalam. Setelah lelaki itu sedar daripada pengsan, dia tidur pula sepanjang malam dalam keadaan kurang sihat.

Suhu badannya naik, semalaman Tengku Daniel demam. Pagi tadi setelah lelaki itu terjaga, Hani Fiqah terlupa niatnya hendak bertanya tentang keluarganya kerana terlalu sibuk mengurus adik-adiknya, dengan ternakan dan tanam-tanaman. Sementelah alat komunikasi lelaki itu masih berada di dalam keretanya sendiri.

“Er, Hani...tak perlulah beritahu keluarga saya. Saya tak apa-apa...lagi pun saya takde keluarga kat sini,” beritahu Tengku Daniel perlahan.

Terjongket kening Hani Fiqah. Bulat matanya menatap wajah kacak di depannya itu.

                                                                     ***

FARHANA yang baru saja terjaga petang itu terpisat-pisat bangkit. Menyedari uminya sedang berada di bilik air, Farhana terus keluar dari kamar tidur uminya itu. Dia menghalakan langkah ke ruang tamu. Peti televisyen sedang terpasang dengan suara yang perlahan. Hanya Tengku Daniel yang berada di situ.

Terjinjit-jinjit perlahan Farhana menghampiri tetamu itu seolah-olah bimbang kehadirannya mengganggu. Menyedari kehadiran seseorang, Tengku Daniel berpaling.

“Eh Nana...Nana dah bangun? Sini...” panggil Tengku Daniel dengan senyuman lebar. Ditepuknya perlahan sofa di sampingnya.

“Abang...” sahut Farhana dengan suara halusnya.

Farhana ragu-ragu menghampiri Tengku Daniel namun disambutnya huluran tangan Tengku Daniel yang mengajak duduk di sisinya. Bimbang jika tersentuh kaki Tengku Daniel yang berbalut tebal, Farhana hanya duduk di pinggir sofa.

“Kaki abang sakit sangat ke?” tanya Farhana sambil matanya yang redup ralit menatap kaki Tengku Daniel yang tebal dengan balutan putih.

Tengku Daniel tertawa perlahan. “Taklah...sakit sikit aje, Nana.” beritahunya.

“Kesian abang...tentu abang susah nak jalan...” Mata redup Farhana berkaca-kaca. Simpati sungguh melihat keadaan kaki tetamu mereka itu.

Tersentuh hati Tengku Daniel dengan perhatian anak kecil itu. Ah, seisi keluarga itu sangat lembut hati, penuh dengan keprihatinan rupanya. Rambut Farhana yang panjang dan lembut diusap perlahan-lahan.

Tengku Daniel tersenyum. “Abang tak apa-apa. Abang tak sakit...abang masih boleh berjalan lagi, Nana. Nana jangan susah hati, okey.” Dipujuk lembut kanak-kanak itu.

“Betul ke tak sakit, abang? Tapi kaki abang bengkak...” Berhati-hati dan ragu-ragu Farhana menyentuh permukaan plaster itu seakan-akan bimbang kaki Tengku Daniel terasa sakit dengan sentuhannya.

Tengku Daniel ketawa lagi. Kakinya yang dibungkus dengan plaster itu disangka bengkak. Dijulurkan kaki kirinya itu lalu diangkat perlahan-lahan.

“Tengok...kaki abang kan boleh gerak lagi ni, Nana. Tak sakit pun...” kata Tengku Daniel untuk meyakinkan Farhana.

“Astaghfirullahalazim! Adik, kenapalah ganggu abang tu? Kaki abang tu mana boleh gerak suka-suka!”

Mungkin terkejut dengan teguran Hani Fiqah, Farhana terus menyepi. Kecut sungguh kerana dia telah menyentuh kaki Tengku Daniel yang sakit itu. Air jernih sudah mula bertakung di tubir matanya. Diketap rapat bibir bawahnya.

“Hani...tak perlulah menakut-nakutkan adik ni. Kaki saya tak apa-apa...bukannya sakit sangat pun!” Tengku Daniel pantas merangkul bahu kecil Farhana. Diusap-usap lembut.

Hani Fiqah tergamam. Bulat matanya menatap wajah keruh Tengku Daniel. Sebenarnya dia terkejut melihat lelaki itu mengangkat-angkat kakinya.

“Nana...jangan sedih, okey. Kaki abang tak sakit...kan Nana tengok tadi, kaki abang boleh gerak, kan? Dah...jangan sedih!” Dipujuknya dengan lembut kanak-kanak itu.

Mata berkaca Farhana menatap wajah Tengku Daniel seketika lalu beralih ke wajah kakaknya. Tatapannya terpaku di situ. Akhirnya bibir Hani Fiqah mengukir senyum.

“Kak long tak marah adiklah, sayang. Dahlah, jangan sedih lagi. Jom...adik pergi mandi, sekejap lagi kita nak solat, okey.” Hani Fiqah menghulurkan tangan lalu disambut oleh Farhana.

Sebelum berlalu, Farhana berpaling menatap wajah Tengku Daniel. Serta-merta bibir Tengku Daniel mengukir senyuman barulah kanak-kanak itu turut tersenyum.

Tengku Daniel menarik nafas lega sejurus Hani Fiqah dan Farhana hilang daripada pandangan. Entah mengapa hatinya terasa tenang dan damai berada di tengah-tengah keluarga itu walhal mereka baru berkenalan semalam!

Belum pernah bersua sebelum ini tetapi hatinya bagaikan sudah tertambat, menyukai seisi keluarga itu. Tengku Daniel juga mengagumi kesederhanaan keluarga itu. Dengan umi Aleya, hatinya benar-benar tertawan. Hatinya bagai direnjis air dingin dengan sifat keibuan penuh kelembutan dalam diri wanita itu. Terasa lapang dan tenang setiap kali berbicara dengan Aleya.

Sesungguhnya Tengku Daniel sangat bersimpati. Melihat Aleya yang kehilangan daya untuk berjalan, memerhati Hani Fiqah yang bersusah payah mengurus keluarga dan mengurus ladang serta memandang kepatuhan Rizal, Norfarini, Fahmi dan Farhana. Tengku Daniel benar-benar kagum. Apatah lagi menyaksikan Hani Fiqah yang masih sangat muda itu mampu menjadi 'ketua keluarga'.

“Assalamualaikum, abang.”

Pantas kepala Tengku Daniel terdongak sambil mulutnya menjawab salam. Rizal dan Fahmi terpacak memerhatikan dirinya dengan wajah ceria. Dia sempat menangkap kelibat Norfarini yang sudah masuk ke dalam.

“Rizal dan Fahmi dah balik?” tanya Tengku Daniel dengan senyuman di bibirnya.

“Ha’ah, bang. Hari ni ada aktiviti kokurikulum kat sekolah sebab tu lambat balik,” beritahu Rizal dengan sopan.

“Eh, kaki abang patah ke?” Terbelalak mata Rizal dan Fahmi memandang kaki Tengku Daniel. Serentak mereka menghampiri lelaki itu.

“Taklah...cuma retak sikit aje. Tak teruk sebenarnya tapi doktor bungkus plaster ni supaya cepat pulih.” Mata Tengku Daniel turut tertancap pada kakinya.

“Alhamdulillah...syukurlah abang tak cedera teruk,” ucap Rizal perlahan.

“Abang minta maaf sebab masih tumpang kat sini. Tentu Rizal dan Fahmi rasa tak selesa sebab abang ganggu tempat tidur Fahmi...” ujar Tengku Daniel dengan rasa bersalah.

“Eh, taklah abang. Kami lagi suka abang tinggal sini...” sambut Rizal dengan wajah ceria.

“Ha’ah abang...Fahmi suka abang tinggal lagi lama kat sini,” tambah Fahmi pula.

“Ya ke? Tapi Fahmi terpaksa tidur dengan abang...tentu tak selesa terpaksa tidur kongsi katil, kan?” Ditenung wajah kedua-duanya.

“Alah, tak mengapa abang. Kami okey aje...abang jangan risau.” Rizal tulus berkata-kata.

“Kami masuk dululah abang...nak mandi, sekejap lagi dah masuk waktu solat,” sambung Rizal.

Tengku Daniel menganggukkan kepala. “Okey...masuklah, abang menyusul nanti...”

“Eh, abang boleh ke solat...kaki macam tu?” tanya Fahmi sambil mata tertancap pada kaki Tengku Daniel.

“Boleh...ada cara abang nanti nak solat dengan kaki robot ni.”

Rizal dan Fahmi ketawa mendengar kata-kata Tengku Daniel. Kedua-duanya bergegas masuk ke kamar.

Hani Fiqah yang baru keluar dari kamar tidur uminya sempat melihat adik-adiknya beredar daripada ruang tamu. Fahmi yang melihat kakak sulungnya itu segera memberi salam. Hani Fiqah membalas perlahan.

“Beruntung Hani...” ujar Tengku Daniel perlahan tatkala Hani Fiqah melintasinya untuk ke dapur.

Langkah Hani Fiqah yang perlahan itu terus berhenti lalu dipandangnya Tengku Daniel dengan tatapan hairan. Tiba-tiba berkata pasal 'beruntung'. Apakah yang diperolehnya hingga buat dia beruntung?

“Er, kenapa awak cakap macam tu?” tanya Hani Fiqah dengan kening sedikit terjongket.

Tengku Daniel tersenyum. “Hani beruntung sebab ada adik-adik yang sangat baik. Saya kagum sangat pada Hani...Hani didik adik-adik dengan sempurna.”

Buat beberapa detik Tengku Daniel dan Hani Fiqah bertatapan. Hani Fiqah berdeham perlahan.

“Terima kasih...” ucap Hani Fiqah.

“Saya sepatutnya berterima kasih...terima kasih sebab sudi tumpangkan saya kat rumah awak ni, Hani. Saya menyusahkan awak sekeluarga...”

“Alah, perkara kecil aje. Awak tak menyusahkan...jangan risaukan, okey.”

“Awak sekeluarga sangat baik, Hani. Saya terhutang budi sangat...tak tahu macam mana nak balas...”

“Eh, janganlah cakap macam tu...kami bantu awak dengan ikhlas. Dahlah...tak usah fikirkan sangat. Ehm, saya ke dapur dulu...nak sediakan makan malam.”

Tengku Daniel pegun menatap Hani Fiqah berlalu, meneruskan langkahnya ke dapur.

Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan