Home Novel Cinta ANUGERAH TERINDAH
ANUGERAH TERINDAH
Angela Engkuan
8/8/2015 19:36:09
74,271
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 5

TENGKU DANIEL memberhentikan keretanya, pantas dia menarik brek tangan. Melalui cermin hadapan kereta dia menengadah memerhati alam semesta yang sedang ditimpa hujan. Langit sangat mendung. Terpegun dia tatkala terpandang ke arah bukit, air mengalir deras dari bukit. Bagaikan air terjun menimpa tebing jalan raya tidak jauh dari tempat dia berhenti.

Bagaimanalah hendak melanjutkan perjalanan? Jalan raya yang masuk ke kawasan kampung itu tidak dapat dipastikan keadaannya. Jalan di hadapan tampak penuh air mengalir deras ke bawah gaung. Hujan pula mencurah-curah, sangat lebat sehingga menyukarkan penglihatan. Hendak diredah jugakah hujan lebat itu? Tengku Daniel menghela nafas.

Tersentak tubuh tegap itu tatkala tiba-tiba bunyi dentuman disertai petir memancarkan kilat. Tengku Daniel mematikan enjin kereta. Tidak ada gunanya dia meneruskan perjalanan. Dalam keadaan cuaca buruk seperti itu memang tidak ada apa-apa yang mampu dilakukan jika tiba di perkampungan itu nanti.

Tengku Daniel menatap jam tangannya seketika, sudah hampir 5.30 petang. Sekali lagi dia menghela nafas, dalam dan berat. Mengapalah perjalanannya menempuh kesukaran tiba-tiba? Dia tiba di Kota Kinabalu dua hari yang lalu, segala-gala yang diurusnya berjalan lancar dan mudah. Hari ini, pukul 1.00 petang dia keluar dari rumah sewanya di Marina Court Resort Condominium tidak pula dia mengalami sebarang kesukaran sehinggalah tiba di pekan Ranau. Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya sebelum dia sempat tiba ke destinasinya.

“Tak boleh jadi ni...takkan nak tunggu kat sini aje. Nak tunggu berapa lama lagi?” bebel Tengku Daniel sambil menatap skrin telefon bimbitnya. Bar talian kosong saja. Tidak ada liputan! Pantas saja Tengku Daniel mengeluh berat.

Tengku Daniel memanjangkan lehernya. Melihat ke hadapan, sukarnya menjangka keadaan jalan raya ketika itu. Jalan raya dibanjiri air. Perlukan dia berkorban, keluar dari kereta memeriksa keadaan jalan raya, memastikan air itu dalam atau tidak?

“Kalaulah aku tahu keadaan cuaca tak elok macam ni, baik aku tak datang tadi,” omel Tengku Daniel lagi.

Sedang berkira-kira apa tindakan yang patut diambil, sebuah kenderaan dari arah belakang bergerak perlahan menghampiri keretanya. Tengku Daniel menghela nafas. Melalui cermin sisi, diperhatikan saja kereta itu berhenti tepat di belakang keretanya. Kereta Viva berwarna putih.

“Ehm, dia pun berhenti jugak. Agaknya dia pun sama macam aku, tak berani nak lalu jalan tu,” kata Tengku Daniel perlahan sambil matanya tidak lekang meninjau cermin sisi.

Tiba-tiba kereta itu membunyikan hon. Tengku Daniel mengerutkan dahi.

“Hah, apa hal pulak tu? Takkan nak suruh aku redah aje jalan tu? Tak nampak ke jalan tu penuh air...deras pulak tu. Alamat ke dalam gaung kereta cantik aku ni nanti!” rungut Tengku Daniel.

Hon kereta sekali lagi kedengaran. Sekali ini lebih panjang, disertai pula dengan isyarat lampu.

“Ya ALLAH...apalah kena dengan dia tu? Kalau nak jalan sangat...lalu ajelah!” rungut Tengku Daniel lagi.

Tengku Daniel merengus kasar. Hilang kesabaran Tengku Daniel tatkala isyarat lampu beberapa kali dipasangkan.

“Susah betullah dia ni! Tak nampak ke jalan kat depan tu banjir?” Tengku Daniel merungut geram.

Beberapa detik kemudian, bunyi hon kedengaran lagi. Tengku Daniel mencapai topi di tempat duduk belakang lalu dipakaikan ke kepalanya. Disarungkan juga jaket ke tubuh tegapnya. Tanpa berlengah dia keluar lalu diredah hujan lebat dengan perasaan geram.

Tengku Daniel hanya ingin memastikan, jalan raya yang dilimpahi air di hadapan itu tidak dalam dan boleh dilalui keretanya. Ditinjau-tinjaunya keadaan jalan raya. Memang agak sukar untuk mengagak dalam keadaan cuaca seperti itu. Sesungguhnya Tengku Daniel risau akan kereta mewahnya melalui jalan raya yang keadaannya membimbangkan itu. Saat itu baru timbul rasa kesal di hatinya. Keretanya itu tidak sesuai masuk ke kampung, jalan bukan hanya sempit tetapi juga banyak kawasan yang sudah rosak.

“Hei...hati-hati!”

Laungan itu hanya sempat disambar oleh pendengaran Tengku Daniel. Malang sungguh bagi Tengku Daniel lewat petang itu. Sedang tertinjau-tinjau, kakinya terpijak ranting rapuh lalu tidak dapat mengimbangi tubuhnya yang tinggi lampai itu. Dalam sekelip mata saja tubuhnya bagaikan melayang, gugur menghempap muka bumi. Permukaan tanah yang sedang dibanjiri air itu sangat licin. Tengku Daniel berusaha bangkit namun tergelincir lalu tubuhnya bagaikan dibawa arus deras. Meluncur tanpa ampun.

“Astaghfirullahalazim!”

Jeritan halus itu sempat menyusup ke lohong telinga Tengku Daniel. Sekelip mata saja tubuhnya sudah melayang lalu terbanting pada sesuatu.

“ALLAHuakbar...” Tengku Daniel sempat mengerang sambil mengucap beberapa kali sebelum dunianya menjadi kelam, gelap gelita.

***

TERGAMAM Fahmi memerhati Hani Fiqah dan Rizal bersusah payah memapah seorang lelaki bertubuh tegap masuk ke dalam rumah.

“Dia dah mati ke, kak long?” tanya Fahmi sambil meneliti wajah ‘tetamu’ mereka yang langsung tidak berkutik.

“Hisy...Fahmi ni! Taklah...dia hidup lagilah. Tak nampak ke dada dia bergerak...dia masih bernafas!” jawab Rizal sambil mencerlung mata pada adiknya.

“Habis tu kenapa dia tak gerak langsung, abang Riz?” tanya Farhana pula.

Mata jernih Farhana sudah berkaca-kaca. Rawan hati anak kecil itu melihat ‘tetamu’ itu langsung tidak berkutik. Wajahnya sangat pucat, putih bagaikan kapas. Agaknya ditoreh pun kulit itu tidak akan berdarah.

Farhana berusaha menyelit di tengah-tengah kedua abangnya. Dia ingin melihat lebih dekat lgi ‘tetamu’ yang sudah dibaringkan di atas katil abangnya itu. Air matanya sudah hampir menitis tatkala meneliti wajah pucat pasi itu.

“Kesiannya dia...janganlah dia mati. Adik tak nak dia mati!”

“Adik...Jangan sentuh dia!”

Farhana tersentak. Pantas saja dia menarik semula tangannya walhal tinggal seinci saja lagi jari-jemari halusnya sudah boleh menyentuh kulit wajah ‘tetamu’ itu. Terkebil-kebil matanya menatap wajah Hani Fiqah.

“Kak long...”

Farhana terus saja menangis. Laju air mata mengalir di pipi mulusnya.

“Ya ALLAH! Adik...kak long bukannya marah adik. Dah...dah...jangan nangislah,” pujuk Hani Fiqah lantas menarik perlahan adiknya. Didakap tubuh kecil adiknya itu.

“Kak long...dia dah nak mati ke? Kesiannya dia, kak long...” Teresak-esak Farhana.

“Taklah dik...dia cuma pengsan. Dia takkan apa-apa. Adik janganlah sedih. Adik pergi temankan umi, biar kak long dengan abang Riz bersihkan luka dia tu dulu, ya?”

“Dia takkan mati macam abah, kan kak long?” tanya Farhana lagi. Matanya yang bulat masih basah menatap wajah kak longnya.

“Insya-ALLAH tak...percayalah cakap kak long. Adik pergi masuk kamar umi dulu...kak long mesti rawat luka dia kalau tak nanti dia makin sakit,” pujuk Hani Fiqah dengan lembut.

Walaupun masih teragak-agak, anak kecil itu tetap mengangguk-anggukkan kepala. “Okey kak long. Adik pergi kamar umi dulu, ya.”

“Rizal, tolong kak long tanggalkan pakaian dia...sekejap lagi kak long datang. Kak long hantar adik ke bilik umi sekejap.”

“Okey kak long...”

“Rini dengan Fahmi tolong bawakan air bersih dengan kotak ubat ke sini...air tu biar suam sikit. Sekejap lagi kak long bersihkan luka dia.”

Norfarini dan Fahmi bergegas. Hana Fiqah menghantar adik bongsunya itu ke kamar umi mereka.

Di hadapan pintu kamar tidur Aleya, Hani Fiqah memanggil. “Umi...” Perlahan saja nadanya namun dia yakin uminya mampu mendengar suaranya.

“Masuklah Hani...” sahut Aleya dari dalam.

Hani Fiqah memulas tombol pintu, kaki kecil Farhana melangkah panjang tatkala daun pintu terkuak lebar.

“Umi baru selesai solat?” tanya Hani Fiqah sejurus berdepan dengan Aleya yang duduk di pinggir tempat tidurnya.

“Ha’ah, Hani. Eh, Hani kena hujan? Cepatlah mandi, salin baju tu.”

“Yalah, umi. Sekejap lagi Hani mandi...”

“Lah...adik ni kenapa nangis? Abang Fahmi usik adik lagi ke?” Digamit lengan anak bongsunya supaya duduk di sisinya. Dielus-elus rambut Farhana.

“Umi...orang tu macam dah mati...tak gerak-gerak macam abah dulu...”

“Astaghfirullahalazim...adik ni! Kan kak long dah cakap tadi...dia tak apa-apa. Dia cuma pengsanlah dik!”

“Hani...apa terjadi? Orang? Siapa dia tu? Kenapa umi tak tahu?” Bertubi-tubi pertanyaan Puan Aleya. Bulat matanya merenung wajah anak sulungnya.

“Umi...sebenarnya tadi ada kemalangan...”

“Kemalangan? Hani kemalangan? Ya ALLAH!” Kaget sungguh Aleya demi mendengar perkataan itu. Andai dia mampu berjalan, sudah diterpanya Hani Fiqah, diteliti keadaan tubuh anaknya itu.

“Er...umi...Hani tak apa-apa. Bukan Hani yang kemalangan. Umi sabarlah dulu, ya. Hani ceritakan pada umi sekejap nanti. Sekarang Hani perlu bersihkan luka dan bubuh ubat pada orang tu, bimbang nanti dia deman sebab kena jangkitan,” ujar Hani Fiqah. Dia tahu uminya sedang bimbang.

Aleya mengunci mulut. Dikulum pertanyaan dalam mulutnya. Sudah masak dengan sikap Hani Fiqah, jika katanya nanti maka nantilah juga jawapannya walau didesak sekali pun.

“Umi...umi masih simpan pakaian arwah abah, kan? Boleh tak pinjamkan kain dan baju arwah abah tu? Kesian kat orang tu umi...pakaian dia basah,” pinta Hani Fiqah.

Termangu sedetik Aleya. “Er, yalah. Hani ambiklah kat almari tu...” Tunjuknya.

Hani Fiqah bergegas keluar dari kamar tidur uminya setelah mendapatkan sehelai baju dan kain pelekat milik arwah abahnya dari almari. Dia terus masuk ke kamar tidur adik-adik lelakinya. Rizal dan Fahmi sedang berusaha menanggalkan pakaian lelaki yang masih belum sedarkan diri itu. Dia faham kesukaran Rizal kerana adiknya itu tidak berpengalaman.

“Rizal...”

“Hah, kak long...cepatlah!”

Berkat tugasnya sebagai jururawat di unit kecemasan, Hani Fiqah sudah tentu tidak menghadapi sebarang masalah melakukan tugas memberi bantuan kecemasan.

“Rini...Fahmi, keluarlah ya. Biar kak long dan abang Riz aje yang bantu dia,” arah Hani Fiqah sambil tangannya berusaha menanggalkan baju singlet dari tubuh lelaki itu.

“Okeylah kak long...”

Norfarini menggamit lengan Fahmi lalu kedua-duanya berlalu.

“Rini!”

Norfarini pantas berpaling. “Ya kak long?”

“Tutup pintu tu...jangan masuk kat sini selagi kak long tak suruh, ya?” arah Hani Fiqah lagi sambil tangannya sibuk pula membetulkan kain selimut yang menutupi tubuh lelaki itu.

“Okey kak long.”

Sejurus daun pintu terkatup rapat, Hani Fiqah memulakan tugasnya. Sepatutnya Hani Fiqah tidak sukar menanggalkan pakaiannya meskipun keadaan lelaki itu belum sedarkan diri. Namun, pakaian lelaki itu basah kuyup sebab itulah agak sukar ditanggalkan.

“Kak long...”

Hani Fiqah mendongak. “Ya?”

“Er...dia dah mula sedar ke? Dia gerakkan kepala dia,” bisik Rizal tekun memerhati.

Mata Hani Fiqah tertancap ke wajah pucat lelaki itu. Bola matanya sedang bergerak-gerak perlahan. Beberapa ketika kemudian kedengaran erangan perlahan. Hani Fiqah tetap meneruskan tugasnya. Seluar panjang lelaki itu juga sudah ditanggalkan. Hanya tinggal pakaian dalam. Buat beberapa ketika Hani Fiqah berpandangan dengan Rizal.

“Kak longlah yang buat...Riz tak boleh!”

“Pasal apa Riz tak boleh pulak?”

Rizal tersengih-sengih sambil menggelengkan kepala. “Seganlah...”

“Segan? Kata cita-cita nak jadi doktor tapi buat kerja mudah macam ni pun tak berani...”

“Eh, Kak long ni...Riz bukan tak beranilah tapi Riz kan masih budak-budaklah!”

“Dah nak masuk tujuh belas tahun umur Riz...budak-budak lagi ke?

Sindiran kak longnya tidak diendahkan. Dalam hati, sebakul pujian buat kak longnya itu. Tangkas saja tangan kakaknya itu menanggalkan seluruh pakaian lelaki itu.

“Kesian dia, kan kak long? Tentu dia rasa sejuk...”

“Takpe...lepas bersihkan badan dan luka dia, kita selimutkan dengan selimut bersih yang lebih tebal. Riz ambilkan air bersih tu sini...”

Rizal hanya memerhati kak longnya membersihkan tubuh lelaki itu. Usai itu, Hani Fiqah menyapu ubat dan membebat luka di bahagian kaki, lengan dan dahi lelaki itu. Cekap sungguh kak longnya.

“Kak long...”

“Ya?” Hani Fiqah mendongak, menatap seketika wajah Rizal. Adiknya itu tersengih-sengih.

“Er...kenapa kak long jadi nurse...kenapa tak pergi belajar jadi doktor aje?”

“Kak long sukalah nak jadi nurse!” jawab Hani Fiqah ringkas.

“Kenapa kak long suka jadi nurse? Kak long kan dapat keputusan cemerlang masa SPM dulu tu?” tanya Rizal lagi.

Hani Fiqah mendongak sekali lagi. Ditatap wajah ingin tahu adik lelakinya itu.

“Kak long minat...dah memang cita-cita kak long nak jadi nurse!”

“Tapi...kak long kan pelajar cemerlang, pasal apa tak...”

“Riz jangan banyak tanya lagi. Meh, pakaikan baju pada dia ni...dah menggigil tulang dia!”

Rizal terkebil-kebil. Menelan rasa ingin tahunya dengan perasaan tidak puas hati.

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan