Home Novel Cinta ANUGERAH TERINDAH
ANUGERAH TERINDAH
Angela Engkuan
8/8/2015 19:36:09
74,259
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 2

TENGKU HALIM menghela nafas beberapa kali sebelum menutup sebuah album di pangkuannya. Setiap kali menyelak album lama itu, dadanya terasa sendat. Setiap kali itulah juga peristiwa silam menghambat perasaannya. Bertahun-tahun dia berusaha, membuang peristiwa silam itu dari kotak memorinya namun semakin melekat pula bila usia sudah semakin menginjak senja itu.

Tingkah Tengku Halim diperhatikan Tengku Khalidah sejak tadi, tidak diganggu suaminya itu. Sejak beberapa tahun, begitulah tingkah suaminya. Apakah sudah terbit bibit-bibit penyesalan di hati suaminya itu? Tengku Khalidah bukan berharap rasa penyesalan itu menghambat nurani suaminya namun jika rasa itu mampu menginsafkan, salahkah dia berharap demikian?

25 tahun yang lalu, Tengku Halim begitu tega melihat sepasang kaki Tengku Amani melangkah longlai keluar dari rumah hanya sehelai sepinggang. Sedikit pun tiada riak simpati di wajah lelaki itu. Betapa remuk hatinya sebagai seorang wanita yang bergadai nyawa melahirkan zuriat itu namun hanya dengan seringkas kata, Tengku Halim melahirkan kata-kata usiran terhadap seorang anak. Terasa malap dunianya ketika itu.

Tengku Khalidah tahu, anaknya melakukan kesilapan tapi benarkah anaknya bersalah? Bersalahkah jika mencintai dan dicintai seseorang? Namun, apa pun kesilapan Tengku Amani bukan tidak boleh dimaafkan. Tengku Amani hanya keras hati, tidak mahu kehendaknya ditegah. Itu sahaja!

Kalaulah masa itu dapat diundurkan semula. Kalaulah...Namun sudah 25 tahun berlalu, sebenarnya tidak pernah ada istilah 'kalaulah'. Masa tetap akan berlalu tanpa hentinya. Sekian lama berlalu, rasa kesal di hatinya tidak pernah luput. Sebagai ibu yang melahirkan Amani, sudah tentu hatinya masih terasa sangat sakit. Luka hatinya tidak pernah sembuh sehingga kini!

“Sudah 25 tahun Amani tinggalkan kita...”

Tengku Halim mengangkat dagu, tatapan anak matanya Tengku Khalidah tepat ke matanya.

“Abang tahu...abang sudah berusaha, Idah tapi...” jawab Tengku Halim, lemah nadanya.

“Sepanjang tempoh lebih 25 tahun...langsung tiada khabar berita daripada Amani. Entah berada di mana Amani sekarang...entah bagaimana kehidupan dia. Idah kesal sangat...”

“Idah...”

“Abang tak pernah faham perasaan Idah...penderitaan hati Idah. Sakit perasaan Idah ni abang tak pernah tahu!”

Tengku Halim menghela nafas. Sesungguhnya selama ini bukan dia tidak pernah mengambil kisah keadaan isterinya namun apa lagi yang mampu dia lakukan. Perkara itu sudah terjadi, sudah terlalu lama terjadi. Terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata???

“Abang tak pernah tahu...jiwa Idah selama ini tak pernah tenang. Andainya Idah tutup mata esok-esok...tentu terkilan roh Idah sebab tak sempat tatap Amani buat kali terakhir!”

“Idah!”

Tiba-tiba bunyi loceng pagar kedengaran nyaring. Tengku Halim dan Tengku Khalidah sama-sama terdiam. Daripada ruang dapur, tergesa-gesa salah seorang pembantu rumah keluar ke ruang tamu. Pandangan Tengku Halim dan Tengku Khalidah terpaku di muka pintu, menunggu siapa gerangan yang akan muncul. Tidak lama kemudian muncul seorang pemuda dengan senyuman ramah di bibirnya.

“Assalamualaikum atuk..nenek...” seru pemuda itu.

Hampir serentak Tengku Halim dan Tengku Khalidah membalas salam.

Tengku Daniel melangkah lebar menghampiri datuk dan neneknya. Dicium penuh hormat tangan kedua-dua orang tua itu.

“Daniel seorang aje ke? Papa dan umi tak datang sekali?” tanya Tengku Khalidah sejurus anak muda itu melabuhkan punggung di sofa, di sampingnya.

“Ha’ah, Daniel seorang aje nek...daddy dan mummy ada jemputan kahwin,” beritahu Tengku Daniel.

Senyap seketika. Mata Tengku Halim singgah sebentar merenung wajah isterinya. Tenang saja wajah itu kini. Bijak sungguh isterinya menyembunyikan kesuraman wajah di hadapan cucu mereka walhal beberapa ketika tadi, wajah itu bagaikan diselaputi kabus tebal, sungguh mendung. Dihelakan nafasnya perlahan.

“Daddy dan mummy kirim salam kat atuk dan nenek...kalau takde aral melintang, esok petang daddy dan mummy nak datang makan malam bersama atuk dan nenek,” beritahu Tengku Daniel lagi.

Sekali lagi Tengku Halim dan Tengku Khalidah hampir serentak membalas salam.

“Hmm, eloklah daddy Daniel datang esok...atuk nak ajak daddy bincang sesuatu,” ujar Tengku Halim perlahan.

Tengku Daniel hanya mengangguk-anggukkan kepala tanpa berniat bertanya tentang perkara yang ingin dibincangkan oleh Tengku Halim dengan daddynya, Tengku Farid.

Milah, salah seorang pembantu rumah masuk dengan penuh adab, memberitahu majikannya bahawa makan malam sudah siap dihidangkan.

Tengku Khalidah terlebih dahulu berdiri, mendahului Tengku Halim dan Tengku Daniel melangkah ke ruang makan.

“Daniel, macam mana perkembangan urusan niaga kat Sabah tu?” Tengku Halim bertanya sejurus mengaminkan doa makan.

“Abang, Daniel...biar habis makan dulu barulah cerita pasal perniagaan,” sampuk Tengku Khalidah. Nadanya sangat perlahan dan lembut namun sungguh dalam maknanya.

Kurang senang jika bab perniagaan diselitkan dalam acara makan malam, terasa kurang nikmat pula makanan rasanya.

Tengku Daniel tidak jadi memberi jawapan pada pertanyaan datuknya. Dia tersengih menatap wajah tenang neneknya. Sebenarnya, memang sangat banyak ingin dilaporkan kepada datuknya tentang perkembangan perniagaan mereka.

“Hmm...lepas makanlah kita bincang ya, Daniel?”

Anak muda itu hanya mengangguk.

                                                                     ***

USAI makan malam, Tengku Halim sudah mengajak cucu sulungnya itu ke dalam bilik kerja. Dia lebih selesa berbincang di dalam bilik kerjanya berbanding di ruang tamu, di depan isterinya. Tengku Khalidah tidak akan tenang jika hal-hal perniagaan dibincangkan di depannya. Sejak dahulu lagi, isterinya paling tidak berminat untuk mengetahui hal-hal perniagaan. Tengku Halim pernah bertanya namun jawapan isterinya ringkas sahaja. Tidak berminat! Jadi tak usahlah didesak, begitu kata hati Tengku Halim.

“Atuk...Daniel rasa kita perlu segerakan pembukaan tanah kat Kundasang tu.”

Belum pun sempat Tengku Halim melabuhkan punggung di kerusinya, Tengku Daniel sudah menyuarakan hasrat.

“Tanah kat Kundasang? Maksud Daniel kat Sabah tu ke?” tanya Tengku Halim, lurus pandangannya menatap wajah tampan cucu yang sering dibangga-banggakannya itu.

“Ha’ah atuk. Dah lama sangat tanah tu terbiar, apa kata kita bina resort, bangunkan hotel kat sana.” Lancar Tengku Daniel meluahkan perancangan.

“Ehm, Daniel berminat dengan tanah tu ke? Betul-betul semangat nak usahakan tanah tu?” tanya Tengku Halim dengan nada teruja. Senang hatinya, satu-satu cucu yang dia ada itu sangat berbakat dalam bidang perniagaan. Bangga dengan keturunannya itu. Ke manakah tumpahnya kuah jika tidak ke nasi?

Tengku Daniel mengangguk laju. Lebar senyumannya. Jika sambutan datuknya sedemikian, itu tanda ‘lampu hijau’ sedang menyala. Petanda yang sangat baik!

“Daniel berminat sangat...Daniel sudah tinjau dan pantau kawasan tu, atuk. Kalau atuk izinkan...tanah tu akan Daniel usaha bangunkan sedaya upaya.”

Tengku Halim terangguk-angguk dengan senyuman tidak lekang di bibir. Tanah itu sudah lama menjadi miliknya. Lebih 20 tahun tahun yang lalu, dibelinya tanah itu melalui seorang kenalan di Sabah. Hanya berpandukan pelan lakaran lokasi tanah yang dibawa oleh kenalannya itu akhirnya Tengku Halim bersetuju dengan harga yang ditawarkan. Geran tanah seluas lebih 30 hektar itu diserahkan kepadanya setelah urusan tukar milik selesai.

“Okeylah...atuk serahkan pada Daniel, uruslah tanah tu ikut kehendak Daniel. Atuk akan beri sokongan dan modal sekali,” ujar Tengku Halim tanpa perlu berfikir panjang. Selama ini cucunya itu tidak pernah mengecewakannya.

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, Tengku Daniel benar-benar teruja. Datuknya memang tidak pernah menghampakan apa sahaja permintaannya selama ini dan begitu juga sebaliknya. Semenjak balik ke tanah air, Tengku Daniel terus berkhidmat di syarikat datuknya. Menimba ilmu berniaga daripada datuk dan ayahnya sendiri. Tidak sukar bagi Tengku Daniel untuk menguasai selok-belok perniagaan, apa yang dipelajarinya di universiti itulah yang dimanfaatkannya. Sementelah Tengku Farid tidak pernah jenuh membimbingnya.

“Daniel kemukakan kertas kerja...seperti biasa. Atuk nak tengok kertas kerja Daniel. Kena ikut prosedur, cadangan Daniel perlu diluluskan dalam mesyuarat ahli lembaga. Kertas kerja kemukakan sebelum atuk dan nenek berangkat ke Australia minggu depan,” ujar Tengku Halim.

“Insya-ALLAH, atuk. Daniel akan kemukakan kertas kerja tu secepat mungkin, hanya tinggal sikit lagi nak siap. Terima kasih sebab mempercayai Daniel, atuk.” Lebar senyuman Tengku Daniel. Terlalu gembira.

Tengku Halim ketawa perlahan. “Daniel ni...atuk nak percayakan siapa lagi kalau bukan darah daging atuk sendiri. Atuk dah tua, Daniel. Tak lama lagi atuk nak serahkan tampuk pengurusan pada daddy Daniel. Daniellah harapan atuk untuk bantu daddy...”

Terangguk-angguk kepala anak muda itu. Jika Tengku Halim tidak sering mengingatkan pun, dia tetap akan sentiasa ingat. Tengku Farid merupakan anak sulung dalam keluarga Tengku Halim, sudah pasti Tengku Farid sudah bersedia memikul tanggungjawab memastikan kemajuan syarikat keluarga itu berterusan. Dan, sudah tentu Daniel akan sentiasa bersama daddynya.

“Atuk...tanah kat Sabah tu luas tapi tanah bukit. Sebahagian dari tanah tu bukit curam, atuk. Atuk pernah tengok tak tanah tu?” Tengku Daniel menatap wajah tua datuknya.

Tengku Halim menggeleng perlahan. “Tak pernah...atuk tak pernah sampai ke sana walau pun atuk kerap kali ke Sabah.”

Jauh di lubuk hatinya, Tengku Halim merintih. ‘Alangkah baiknya andai ayah tahu di mana Amani berada...ayah sudah berusaha menjejaki Amani tapi ayah gagal!’

Tertawa perlahan Tengku Daniel. Sekian lama memiliki harta itu, bagaimana datuknya langsung tidak berminat untuk menjenguk tanah itu? Tengku Halim memberikan salinan geran tanah itu setahun yang lalu dan Tengku Daniel tidak pernah bertangguh. Setahun yang lalu, daripada kejauhan saja dia memandang lokasi tanah itu namun tahun ini dia berazam, dia harus menerokai tanah itu walau dengan apa cara sekalipun. Istilah ‘sukar’ itu biar dia ketepikan, yang penting dia hendak majukan tanah itu.

“Atuk, Daniel dah tinjau-tinjau tanah atuk tu...ada potensi untuk dimajukan tapi memang perlukan modal yang tinggilah atuk.”

Terangguk-angguk kepala Tengku Halim. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu.

“Ehm, kalau atuk tak silap...kawan atuk pernah beritahu atuk. Ada orang sewa beberapa hektar tanah tu, buka kebun sayur...atuk tak pasti ada lagi ke tak masih orang sewa...”

“Orang sewa? Daniel tak tahu...masa Daniel melawat tanah tu, Daniel tak masuk pun kawasan tanah tu. Tanah tu luas, atuk. Tak ada dokumen perjanjian sewa ke, atuk?”

“Takde...atuk suruh kawan tu urus dan sewanya pun atuk suruh simpankan untuk bayar cukai tanah tu. Atuk pun tak pernah minta lagipun atuk tak ingat langsung tentang tanah tu...dah terlalu lama.” Tengku Halim cuba menyelongkar memorinya, mengingati seraut wajah kenalannya itu.

Termangu seketika Tengku Daniel. Rasa hairan menyapa benaknya. Mengapa datuknya tidak mengambil kisah tentang tanah itu? Disewakan dan diharapkan saja kepada orang tanpa pertalian untuk memungut hasil sewaan? Pelik pula tindakan datuknya!

“Minggu depan Daniel akan ke Sabah, atuk. Atuk nak pergi dengan Daniel tak, atuk?” pelawa Daniel.

Buat seketika Tengku Halim menimbang pelawaan cucunya namun akhirnya dia menggeleng perlahan.

“Minggu depan atuk dah janji dengan nenek...nak pergi melawat sepupu daddy kamu kat Australia, Daniel.”

Ketukan di pintu kedengaran tidak lama kemudian. Tersembul wajah Milah sambil tersenyum sopan. Wanita muda itu sudah lebih tiga tahun bekerja sebagai pembantu rumah di rumah Tengku Halim itu.

“Er, maaf mengganggu Tengku. Tengku Daniel, Tengku Fatin datang...sekarang ada kat ruang depan,” beritahu Milah.

“Ya ke? Apa hal pulak datang ke sini?” tanya Tengku Daniel spontan.

Terkebil-kebil Milah diajukan pertanyaan begitu.

“Sudah tentulah cari Daniel...takkan nak cari atuk atau nenek pulak?” seloroh Tengku Halim lalu ketawa.

“Tak apalah Milah...sekejap lagi saya keluar.” Tengku Daniel menghela nafas. Rasa terganggu kerana masih ada lagi yang ingin dibincangkan dengan Tengku Halim.

“Daniel pergilah jumpa Fatin tu...nanti muncung dia panjang sedepa pulak!”

Terasa hangat kulit wajah Tengku Daniel. Meskipun dengan nada bergurau namun bagi Tengku Daniel gurauan itu mengandung makna bahawa gadis itu punyai sikap yang kurang menyenangkan hati datuknya.

“Atuk bergurau aje...Daniel janganlah ambik hati.” Tengku Halim ketawa lagi.

“Eh, taklah atuk...Daniel faham.” Daniel tersengih.

“Ehm, Daniel dah tetapkan tarikh ke?” Entah sudah acap kali pertanyaan itu meniti bibir Tengku Halim. Cucunya itu sudah hampir genap 28 tahun. Saudara maranya yang lain, lebih muda daripadanya sudah lama mengendong anak.

Daniel menggelengkan kepala. “Daniel tak terfikir lagilah atuk...nantilah!”

“Aik, nak tunggu berapa lama lagi? Fatin tu pun dah hampir 28 tahun umur dia...lama-lama hilang pulak seri dia kalau asyik tunggu Daniel aje!”

“Fatin tu, bukan atuk tak tahu...sibuknya mengalahkan kita! Macam mana nak jadi isteri kalau kerja dia asyik terbang ke luar negara? Tak lekat kat rumah...yang tinggal kat rumah Daniel juga sorang. Agaknya kalau dah kahwin pun nanti Daniel masih asyik balik rumah daddy dan rumah atuk ni!”

Tengku Halim ketawa mendengar omelan cucunya.

“Alah, bila dah kahwin nanti tahulah Fatin tu kedudukan dia kat mana, Daniel. Daniel kan ketua keluarga...pandai-pandailah bimbing dia nanti. Atuk doakan yang terbaik buat Daniel. Jodoh itu ketentuan takdir, perlu terima pasangan kita seadanya dengan hati terbuka. Dah kahwin nanti, perlulah saling penuhi dan melengkapkan kekurangan masing-masing, Daniel.”

Nada suara Tengku Halim berubah sayu. Seandainya begitu pandangan dan pengertiannya tentang takdir jodoh suatu ketika dahulu, sudah tentu dia tidak akan kehilangan insan yang begitu disayangi dalam hidupnya. Hatinya sudah tentu tidak berasa kesal berpanjangan.

‘Amani...Amani berada di mana? Kembalilah Amani...jangan biarkan ayah menanggung kekesalan sepanjang hayat ayah, Amani. ALLAH...ringankanlah beban ini,’ bisik hati tua Tengku Halim. Gumpalan kekesalan kian menghambat jiwa.

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan