Home Novel Cinta Cinta Yang Tertukar
Cinta Yang Tertukar
Hanan Rahman
25/5/2015 15:13:01
135,180
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

Izz berdehem dua tiga kali. Tapi papanya masih buat tidak tahu. Tetap sahaja memfokuskan pandangan pada akhbar di tangan. Semoga papa akan menerima alasannya ini. Kalau tidak, harapannya memang tipis untuk tidak berkahwin dengan Nea. Kalau sampai itu terjadi, entah macam mana warna dunianya selepas ini. Masih warna-warnikah? Atau akan gelap gelita? “Pa...”

“Hmm…”

“Err… minggu depan Izz tunang kan?”

“Yalah. Kenapa? Nak cepatkan lagi?”

Izz tersenyum kelat. Nak cepatkan? Nak batalkan adalah! “Eh bukan. Izz cuma nak… nak…”

“Nak apa?”

“Nak… nak minta tangguh. Boleh tak?”

“Tangguh? Tak. Mama tak setuju.”

Izz terkejut, pantas dia mengangkat wajah. Mama? Aik, sejak bila pula berani bersuara? Dan kelihatannya Tan Sri Khalid juga buat muka terkejut.

“Mama…”

“Izz jangan nak buat gila. Semua barang hantaran mama dah beli. Tinggal cincin tunang je tak ada lagi. Jadi tak ada sebab kamu nak tangguh.”

“Tapi ma, Izz belum nak tunang.”

“Tak ada, tak ada. Minggu depan, Izz tetap akan bertunang dengan Nea. Ingat, jangan nak lari pula. Tapi kalau nak lari juga, ikut sukalah. Yang nak sarung cincin dekat jari manis Nea tu mama. Jadi kamu ada atau tak ada, tak jadi masalah langsung,” kata puan sri Fatimah sambil meletakkan bekas berisi nasi goreng di atas meja.

“Tak ada kompromi ke ma?”

Namun Puan Sri Fatimah sudah berlalu ke dapur. Izz memicit tengkuknya. Kemudian Tan Sri Khalid di pandang. “Pa…”

“Nampaknya kali ni, Izz kena pujuk mama. Bukan papa. Yalah, papa pun terkejut bila mama cakap macam tu. Mama betul-betul nak menantulah tu,” kata Tan Sri Khalid sambil tersengih.

Izz meraup wajahnya. Pasti susah mahu memujuk mama yang nampak bersungguh-sungguh itu.

***

“Sekali lagi Nea minta benda mengarut ni, esok juga papa kahwinkan Nea dengan Izz. Faham?” Tegas Tan Sri Hisyam.

Nea tergamam. “Pa, Nea bukan minta banyak pun. Nea…”

“Sampai bila nak bantah cakap papa ni?”

“Bukan bantah cuma…”

Enough! Jadi orang, biar tahu bersyukur. Dah elok-elok ada yang nak, minta tangguh. Nanti kalau tak ada yang nak, Nea nak jadi apa? Andartu? Tak malu ke?”

Perbualannya bersama Tan Sri Hisyam sebentar tadi kembali bermain-main di kotak fikiran. Tanpa sedar, setitik air matanya mula mengalir lewat celah mata. Salahnya! Kenapa berani sangat? Sia-sia saja dia di herdik. Papa kata dia tidak tahu bersyukur. Dulu dia menolak Amir. Sekarang Izz pula. Tapi dia bukannya mahu membatalkan terus. Hanya mahu menangguhkan sahaja. Agaknya kalau dia minta Tan Sri Hisyam membatalkan pertunangan ini, entah apa yang akan jadi. Dia tidak berani mahu mengandaikan apa-apa.

“Nasib kaulah Nea. Kena bertunang dengan orang yang kau tak cinta,” keluhnya perlahan.

Akhirnya, Nea menghempaskan tubuhnya di atas katil. Tidak sangka lelaki yang paling di benci sejak dari universiti lagi akan menjadi tunangannya. Ah! Dia yang mencari penyakit. Terlepas dari Amir tapi terikat seumur hidup dengan Izz. Pujuk papa lagi? Memang dia tak mahulah. Ugutan papa itu bukannya saja-saja. Tidak pasal-pasal esok dia jadi isteri yang sah pula buat Izz. Itu bukan tangguh tapi makin cepat pula.

“Izz Anaqi…” Nama Izz di sebut sebelum dia mula memejamkan mata. Alangkah baiknya jika ini semua cuma mimpi.

***

Perlahan-lahan Izz mendekati Puan Sri Fatimah yang sedang sibuk di dapur. Tangan di tadah dan doa di baca agar mamanya akan berlembut hati. Setelah itu, doa pun di aminkan. “Hai ma.”

“Nak apa ni?” Tanya Puan Sri Fatimah tanpa berpaling.

Izz diam. Ketara sangatkah yang dia mahukan sesuatu? “Err… mama sibuk ke?”

“Izz kalau ada benda nak cakap, cakap je. Mama bukan tak kenal Izz. Tak payah nak basa-basi macam ni.”

“Oh, okey. Maknanya Izz boleh cakap teruslah kan? Great! Macam ni, Izz nak minta tangguh majlis tunang tu. Boleh tak?”

“Tak habis-habis lagi ke? Semalam minta tangguh, hari ni minta tangguh.”

Izz tersengih. Kalau boleh, hari-hari dia minta tangguh sampai mama bosan dan mahu mengikut permintaannya. “Boleh tangguh ke?”

“Tak boleh!”

“Tapi ma, Izz tak ready lagi. Kalau baru tunang pun Izz tak sedia, macam mana nak jadi suami? Betul tak?”

Puan sri Fatimah berpaling. “Sebab tu kena sediakan diri. Kalau tak cuba, bila nak sedia?”

“Ma, Izz cuma nak minta tangguh je. Bukan batalkan terus.”

“Sekarang memanglah nak minta tangguh. Tapi kalau asyik tangguh je, lama-lama boleh tak jadi tau,” kata Puan Sri Fatimah.

Izz menggaru kepalanya. Mama macam tahu-tahu saja apa yang ada di dalam fikirannya. Cadangnya memang mahu menangguhkan dahulu. Nanti kalau sudah tertangguh lama, kemungkinan untuk pertunangan ini tidak akan terjadi pasti ada. “Dulu masa papa sibuk nak jodohkan Izz dengan Shasha, mama tak macam ni pun.”

“Sebab dulu Izz tak cintakan Shasha. Tapi yang ni, Izz cintakan Nea. Jadi mama tak naklah Iz tangguh-tangguh. Apa yang kita buat ni perkara yang elok. Lagipun Izz tak takut ke Nea tu kena kebas dengan lelaki lain? Nea tu cantik tau.”

“Buat apa nak takut?”

Puan Sri Fatimah tergeleng-geleng. “Jangan cakap besar. Nanti bila betul-betul jadi, jangan sampai awak tu frust menonggeng depan mama sudahlah. Masa tu nanti, mama akan ingatkan apa yang Izz cakap masa ni.”

Izz mencebik. Tak mungkin dia akan frust menonggeng. Lebih-lebih pula mama ni. Dengan hati hampa, dia melangkah menuju ke ruang tamu. Iphone di poket seluar di keluarkan. Dia mahu tahu perkembangan dari sebelah Nea pula. Harap-harap adalah berita baik. Tapi setelah banyak kali mencuba, dia mengetap bibir. Tiada satu pun yang panggilannya yang bersambut.

“Mana pula si langsuir ni?”

Apabila dia mendail lagi, bunyi simpanan suara pula kedengaran. “Eh, dia off handphone pula. Memang nak kena dengan aku dia ni.”

Setelah itu, iphone di hempas ke atas sofa. Sakit pula hatinya memikirkan Nea.

“Ha, Izz. Esok jangan lupa pergi beli cincin dengan Nea,” pesan Puan Sri Fatimah yang tiba-tiba saja sudah ada di situ.

Izz mendengus. “Malaslah ma.”

“Kalau nak pergi beli untuk Shasha pun boleh juga,” ujar Puan Sri Fatimah lagi.

“Bergurau pula mama ni,” balas Izz sebal.

Puan Sri Fatimah ketawa kecil. Tidak suka benar Izz pada Shasha. Dia pula? Shasha atau Nea, sama saja. Dia terima siapa juga yang jadi menantunya. “Jangan lupa pesan dekat Nea.”

“Iya ma…” jawab Izz malas.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanan Rahman