Home Novel Cinta MAKE ME LOVE YOU
MAKE ME LOVE YOU
Pena Putera
29/5/2017 14:16:17
78,149
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 1

PULAU LANGKAWI benar-benar mempunyai daya tarikan tersendiri. Sepanjang aku berada di sini, aku berasa amat gembira. Pelbagai aktiviti yang aku lakukan di sini. Sampaikan aku boleh tulis sebuah buku pengembaraanku di sini. Semenjak aku datang, memang tidak menghampakan.


Sayangnya aku perlu pulang apabila sudah tiba waktunya. Selama empat hari di sini, sudah banyak kenangan indah yang tercipta. Berat benar langkah mahu meninggalkan pulau ini. Pulau yang digelar Langkawi Permata Kedah ini memang sebuah permata tidak ternilai.


Sedihnya perasaanku ketika ini.


“Weh, kau tak apa-apa ke? Kalau nak menangis, boleh aje menangis. Jangan risau, aku cover line untuk kau,” seloroh Dania, kawan satu sekolah, satu geng dengan aku. Minah ini memang aku ganyang dengan cili juga. Nasib tak ada cili, tetapi rasanya kalau guna coklat, efektif juga.


Sebenarnya, aku datang ke Langkawi berlima. Empat lagi kawan-kawan aku, termasuklah Dania. Mereka semua kawan satu sekolah. Alhamdulillah, persahabatan kami tak pernah terputus. Sampai kami dah buat nama untuk kumpulan kami.


“Ahli Girlberry tak sepatutnya menangis kau tahu? Kau ini tak betullah Dania. Kita perempuan jangan mudah mengalah dengan lelaki. Tunjukkan yang kita ini lebih kuat, okay Miya?” sampuk Zahra tak pasal-pasal. Sejak bila aku nak menangis sebab lelaki ini pula?


“Kau baru lepas tengok drama mana pula ini? Sampai terbawa-bawa ke alam realiti,” tanya Dania dengan pandangan tajamnya. Gerun aku yang melihat ini.


“Habis, pasal apa?”


“Aku cuma sedih sikit pasal nak tinggalkan Langkawi ini,” jawabku jujur. Tak perlu berselindung semata-mata untuk menutup malu. Paling-paling pun, aku kena bantai. Sebab nampak sangat mengada.


“Seriuslah? Wah, kau ini sentimental juga. Baru nak tinggalkan tempat ini, rasa nak menangis. Babe, kau ada botol kosong tak?” Zahra mengajukan soalan kepada Dania.


“Nak buat apa?”


“Nak tampung air mata kawan kita ini!”


Mereka ketawakan aku. Cis! Kurang asam punya kawan. Tak memahami hati aku yang berseni ini. Sekurang-kurangnya, hati aku tak sekeras batu. Aku buat selamba kemudiannya.


“Eh, mana Amalin dan Hidayah? Aku tak nampak pun batang hidung mereka.” Zahra mencari-cari lagi dua kelibat kawan baik kami.


“Mereka pergi cuci matalah dekat airport ini sebelum balik KL nanti.” Aku tolong jawabkan.

Suasana menjadi sepi tiba-tiba.


“Aku dengar novel aku masuk carta best seller dekat kedai buku. Tahniah, Miya. Aku suka betul dengan buku kau. Memang menarik habis. Jalan cerita dia pun saspens. Comeback kau kali ini memang betul-betul thriller.” Dania puji novel keluaran terbaru aku yang bertemakan thriller. Aku menghadiahkan senyuman.


Kembang sudah hidung ini.


Thank you, darling.” Suaraku menjadi gedik.


“Tapi, macam mana kau uruskan masa kau? Yalah, kau itu buka butik atas talian, lepas itu menulis lagi… Butik atas talian kau itu pun tengah meletup sekarang. Bagitahulah rahsia kau. Aku sendiri pun tak dapat nak uruskan masa aku dengan baik.” Zahra meminta pendapat tentang urusan masa.


Aku pun bukan pakar sangat dalam hal seperti ini. Tetapi, cuma satu sahaja prinsip yang aku pegang. Dan mungkin inilah penyebab aku berjaya uruskan masa aku dengan baik.


“Kalau kau nak buat sesuatu, jangan tangguhkan. Utamakan yang penting, dan yang tak penting itu, kau boleh buat semuanya kemudian. Pasti masa kau akan teratur dengan pelbagai perkara dan kelak, kau sendiri tak akan ada masalah nak menguruskannya.”


“Wah… seperti yang dijangka, penulis kita ini memang ada bakat jadi kaunselor!”


Pujian Zahra buat hidung aku kembang lagi. Sudah-sudahlah itu puji aku.


Aku ini bukanlah sempurna dan tak layak untuk semua pujian ini.


Gee gee gee gee baby baby baby


“Bunyi telefon siapa itu? Telefon kau ke Zahra?” Dania pandang Zahra.


Gulp!


“Bukan telefon akulah. Telefon kau ke?” Zahra tanya Dania pula.


“Bukan aku punya juga.”


Dania dan Zahra pandang aku, dengan pandangan yang lain daripada yang lain.


Aku mengeluarkan telefon bimbit dari beg dan berlalu pergi dari mereka untuk mencari ruang privasi menjawab panggilan tersebut. Nama Kak Lyn, kakakku tertera di skrin telefon.


“Assalamuaikum, Kak Lyn. Kenapa telefon Miya ini?”


“Waalaikumusalam. Nak tanya, kamu dah berlepas ke dari sana?”


Kedengaran suara Zahra dan Damia sedang menyanyi lagu Gee di belakang aku. Seolah-olah mahu mempermainkan aku. Sabar sajalah Miya.


“Belum lagi. Ada sejam sebelum kami bertolak.”


“Kak Lyn sebenarnya serba salah nak beritahu kamu, tetapi Kak Lyn tak boleh jemput kamu dekat KLIA nanti. Boleh tak kalau kamu ambil teksi untuk balik rumah? Kak Lyn ada urusan kerja dan kena outstation hari ini. Esok baru Kak Lyn balik.”


Aku mengeluh, tetapi tak mengapalah. Bukannya Kak Lyn sengaja nak lakukan itu. Dia pun terpaksa melaksanakan tugasnya sebagai seorang pekerja.


“Tak apalah macam itu. Habis, kunci rumah macam mana?”


“Kak Lyn tinggalkan dekat jiran sebelah rumah. Kamu tak perlu risau.”


Jiran sebelah rumah… maknanya Mak Som la.


“Okay.”


“Dahlah, Kak Lyn kena gerak sekarang ini. Nanti lambat pula. Jaga diri elok-elok. Kak Lyn dah masak untuk kamu. Balik nanti, kamu tinggal panaskan balik sahaja lauk-pauk itu.”


“Baik, Kak Lyn.”


Aku kembali ke tempat duduk setelah talian dimatikan. Sebenarnya, aku rasa kecewa yang amat. Belakangan ini, Kak Lyn terpaksa bekerja keras semenjak dia dinaikkan pangkat. Waktu pulang ke rumah pun tidak menentu.


“Kenapa?” Amalin pandang aku. Dah ada rupanya dua orang ini.


“Kakak aku tak boleh jemput aku. Dia suruh aku naik teksi saja.”


“Tak apa. Kau tumpang kami saja, Miya. Tak payah susah-susah pun.”


Aku mencebik. “Korang pun balik naik teksi. Nak tumpang apanya?”


Mereka ketawa besar selepas itu. Pakat-pakat orang sekeliling pandang kami. Dah macam kanak-kanak ribena kami berlima ini.


“Oh ya… Hidayah, kau ada pinjam pelembab aku tadi, bukan? Mana pelembab aku?” Aku minta semula pelembab yang aku pinjamkan kepada Hidayah.


“Alamak! Baru aku teringat. Aku tertinggalkan pelembab itu di tandas. Miya… boleh tak kalau kau ambil sendiri? Kaki aku tak laratlah nak berjalan.”


Aku betul-betul naik angin. Sudahlah pelembab itu jenama Mary Kay. Kak Lyn hadiahkan kepada aku.


“Kau ini, tak bertanggungjawab betul. Aku nak kau ambil sekarang!”


“Aku memang minta maaf sebab tertinggalkan pelembab itu. Tetapi aku pun nak minta maaf sebab kaki aku tak larat nak pergi ambil. Maaf ya?”


Aku menahan diri daripada marah.


Kalau tidak, memang ada free drama dekat airport ini.


Sepanjang perjalanan aku ke tandas yang ditunjukkan Hidayah tadi, selama itu juga aku menyumpah seranah. Berbakul-bakul aku menyumpah sendirian. Mahu tak berangin satu badan. Pelembab jenama Mary Kay itu!


Sebelum ini pakai yang biasa saja. Tak pernah pakai yang mahal.


Tiba-tiba, aku terlanggar dengan seorang wanita. Kami berdua sama-sama terjatuh. Aku cuba bangun dan menahan sakit di belakang tubuh akibat terjatuh tadi. Aku memandang wanita yang aku langgar aku.


“Saya minta maaf ya, cik. Saya betul-betul tak sengaja.”


Perempuan itu sedaya-upaya cuba untuk bangun dengan kasut tumit tinggi yang disarungkan pada kakinya. Dia memandang aku di sebalik cermin mata hitamnya itu. Gaya pakaian yang dia pakai macam lagak seorang model. Tetapi, wajah memang ada rupa model pun.


“Haih… Lain kali, mata jangan letak dekat lutut. I don’t like it.”


Amboi, sinisnya suara dia memerli aku.


“Saya betul-betul minta maaf.” Nasib baiklah aku ini diajar untuk meminta maaf atas kesalahan yang aku lakukan. Memang salah aku juga. Tetapi salah dia juga. Tak akanlah tak nampak aku jalan tadi?


“Lain kali, jangan buat macam itu lagi. Melainkan, kalau di tengah jalan. Biar kena langgar dengan lori.” Wanita itu berlalu pergi setelah meninggalkan kata-kata yang amat pedas. Aku cuma ketap gigi sekuat-kuatnya. Memang nak kena ini.


Aku pandang dia semula.


Tetapi, jantung aku hampir berhenti berdegup.


Ini tak mungkin…


Wanita itu bersama dengan seorang lelaki. Dan lelaki itu, aku benar-benar terkejut melihat wajahnya. Tak mungkin… Mustahil!


Bukankah dia sudah tiada?


Mengapa dia ada di sini, di hadapan aku?


Bahuku dilanggar seseorang.


“Maaf, cik.” Wanita yang melanggar bahuku meminta maaf. Aku hanya mengangguk sahaja. Mengendahkan perkara itu. Mataku cuba memandang semula lelaki itu. Tetapi, hampa yang aku peroleh. Mereka berdua hilang daripada padangan. Aku mengeluh.


Tetapi… bagaimana kalau benar memang itu dia?


Atau hanya aku yang bermimpi di siang hari?




AKHIRNYA! Sampai juga aku di rumah yang benar-benar indah bak mahligai ini. Rindu nak peluk bantal atas katil sendiri yang empuk. Tetapi, sebelum itu, aku perlu dapatkan kunci untuk masuk ke dalam rumah. Kak Lyn kata, dia tinggalkan kunci pada jiran sebelah rumah. Siapa lagi kalau bukan Mak Som?


Aku pandang rumah sebelah kanan rumahku. Setahu aku, rumah itu kosong. Tidak berpenghuni semenjak penyewanya sebelum ini berpindah ke tempat lain. Tetapi, ada sebuah kereta yang terparkir di kawasan perkarangan rumah itu.


Sudah ada penyewakah?


Malas mahu ambil pusing, mata pun mengantuk minta ditutup, aku berlalu ke rumah Mak Som. Aku tekan punat loceng. Beberapa kali aku tekan, sampai nyaring telinga aku dengan bunyi ding dong itu, tetap sahaja tiada jawapan. Pintu rumah pun berkunci. Mak Som tiada di rumahkah?


“Assalamualaikum, Mak Som! Miya dah balik ini! Miya nak minta kunci rumah,” jeritku. Tetapi, tak nampak juga kelibat Mak Som. Rasanya Mak Som tak adalah di rumah. Pintu rumah dengan pintu pagar pun terkunci.


Ya Allah! Aku hampir terlupa. Mak Som ada kata yang dia balik ke kampung halaman selama dua minggu. Maknanya, Mak Som belum balik lagi.


Kalau begitu, siapa pula jiran sebelah rumah yang Kak Lyn maksudkan itu?


Dengan siapa dia tinggalkan kunci rumah itu?


“Ini Cik Miya ke?”


Aku terkejut dengan sapaan itu sehingga aku hampir terjatuh. Tetapi, cepat-cepat aku dipapah oleh seseorang sebelum aku terjatuh. Mataku memandang matanya. Matanya juga memandang mataku.


Pendek kata, mata kami bertentangan.


Jatungku berdebar kencang.


Siapa pula lelaki ini?

Previous: PROLOG
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.