Home Novel Cinta MAKE ME LOVE YOU
MAKE ME LOVE YOU
Pena Putera
29/5/2017 14:16:17
78,140
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 20

“ZAZA itu kawan baik mak cik. Kami dulu pergi sekolah menengah yang sama. Tetapi, walaupun kami berkawan baik, kami berdua jauh berbeza. Macam langit dan bumi. Dia dulu, kalau tak dapat apa yang inginkan, mesti dia akan mengamuk. Sebab perangai dia itu, hanya mak cik sahaja yang sudi berkawan dengannya. Walaupun begitu, hari demi hari, dia tetap tidak berubah. Mak cik cuba untuk bimbing dia, tetapi dia degil,” cerita Mak Cik Hanum tentang persahabatannya dengan Datin Zaza.


Setelah selesai melakukan ujian DNA, aku menghantar Mak Cik Hanum pulang. Dia sendiri yang buka mulut cerita pada aku, walhal aku tak tanya pun. Tapi bagus juga. Sekurang-kurangnya, ada sesuatu yang aku boleh korek dengan senang.


Aku tak tahu pula kisah silam Mak Cik Hanum ada kena-mengena dengan Datin Zaza. Tapi, bab sikap Datin Zaza yang tak berubah itu memang aku tak terkejut sangat. Memang perangai yang ditunjukkan sekarang itu pun nampak macam perangai sebenar dia.


“Habis itu, kenapa Miya tengok Datin Zaza macam ada dendam dengan mak cik. Memangnya mak cik pernah buat salah dekat dia?”


Aku perasan Datin Zaza memang pandang Mak Cik Hanum seperti mahu telan orang. Pasti saja ada sesuatu yang membuatkan Datin Zaza marah kepada Mak Cik Hanum.


“Mak cik sendiri tak tahu. Selepas habis SPM, mak cik terus berkahwin. Dia terus menghilang. Tadilah kali pertama mak cik melihat wajah dia selepas berpuluh tahu tak jumpa.”


Pelik.


Habis, kalau Datin Zaza terus menghilang selepas itu, maknanya mereka tak pernah berjumpa. Bagaimana pula dengan misteri Adam dan arwah Zahin? Tiba-tiba, terlintas satu soalan di dalam kepalaku.


“Kalau tak keberatan, boleh mak cik ceritakan macam mana mak cik lahirkan arwah Zahin dulu?” Aku jadi penyiasat. Dulu, pernahlah menulis novel bertemakan penyiasatan. Nak buat novel bertemakan penyiasatan, aku kena banyak belajar dan buat kajian.


Jadi, adalah belajar sikit-sikit skill penyiasat itu.


“Mak cik pun tak berapa nak ingat. Tapi, apa yang mak cik boleh ceritakan. Masa itu mak cik dengan perut yang memboyot baru balik dari rumah mak mentua mak cik dan dalam perjalanan balik. Suami mak cik pula tiada. Kerja di luar.”


“Bahayanya mak cik jalan seorang diri.”


“Mak cik ini dulu memang berani. Terlebih berani. Kalau sebut nama mak cik, satu kampung kenal. Percaya tak, dulu mak cik bukannya macam anak perempuan lain? Kalau budak perempuan lain, selalunya main congkak atau batu seremban. Tetapi, mak cik pula boleh terjun sungai, main lumpur, panjat pokok… Macam budak lelaki dah mak cik ini.”


Aku ketawa kecil. Lasak rupanya Mak Cik Hanum ini. Kalau aku, memang taklah. Menghabiskan masa dengan main congkak bersama Kak Lin. Lagi baik. Pernah dulu arwah abang tarik aku mandi lumpur. Meraung aku. Tak pasal ibu marah arwah abang.


Arwah abang…


Tiba-tiba aku rindukan dia. Sebak mula terasa.


“Sedang mak cik berjalan, tiba-tiba perut mak cik terasa sakit. Apa yang mak cik boleh ingat, masa itu mak cik nampak darah mengalir di kaki. Memang sakit sangat. Sampai mak cik pitam. Sedar-sedar sahaja, mak cik ada di rumah mak cik. Dan…”


“Dan apa…”


“Mak cik nampak suami mak cik tengah pegang arwah Zahin yang masih bayi ketika itu. Hanya dia seorang sahaja. Tiada lagi bayi yang lain di sisi mak cik. Hanya Zahin seorang sahaja. Sebab itulah…”


Aku memandang Mak Cik Hanum yang sudah berlinangan air mata. Mesti dia sedih mengenangkan peristiwa indah itu.


“Sebab itu bila mak cik lihat Adam… mak cik rasa seperti ada harapan yang mak cik tak boleh halang daripada terus berharap. Mak cik rasakan sesuatu tentang Adam. Yang mak cik sendiri tidak yakin.”


Mak Cik Hanum tidak bercerita lagi. Sebaliknya, dia mendiamkan diri.


Aku pula, tidak tahu mahu cakap apa lagi. Kerana aku sendiri tidak faham dengan apa yang berlaku dan tidak tahu bagaimana mahu mencantumkan cerita yang seperti tidak lengkap ini.


Ada kepingan puzzle yang hilang.



BALIK dari rumah Mak Cik Hanum setelah menghantarnya pulang, aku terus memandu pulang. Sewaktu aku mahu memasuki rumah, kereta Damien tiada di halaman rumah. Ke mana agaknya lelaki itu pergi?


Aku ini dah kenapa? Lelaki itu nak pergi mana suka hati dialah. Sibuk saja nak tahu.


Selepas mengunci pintu, aku merebahkan diri di atas sofa. Melepaskan penat seharian ini. Otak aku pun dah letih, minta berehat. Mahu tidur. Aku menilik jam di dinding. Dah nak masuk asar ini. Orang tua-tua kata, tak baik tidur lepas asar.


Tapi aku bukannya nak tidur lama. Sekejap.


Sepuluh minit saja.


Tak lama pun.




KONONNYA tak lama. Tetapi, nak sepuluh minit lagi pukul tujuh baru aku bangun. Itu pun sebab Kak Lin balik. Kalau tak, terlelap sampai terlepas solat asar. Bayangkan, kelam-kabut aku mandi, sembahyang… Mandi kerbau aje la hari ini. Jarang benar aku mandi kerbau. Kalau tak, memang ambil masa sejam aku mandi. Biar betul-betul bersih dan tak ada kuman hatta satu peratus.


Sembang!


Mana ada sabun yang boleh bunuh bakteria seratus peratus.


Sebab itu aku sabun dua kali. Hehe. Boleh pula macam itu. Biar kuman lagi satu peratus itu fed up dan mati sendiri.


Aku turun setelah selesai solat asar. Lagi dua puluh minit saja nak masuk maghrib pula. Tetapi, degil juga nak turun bawah. Nak tengok drama sekejap. Yalah, sekejap. Nanti, jadi macam tadi, baru tahu kelam-kabut.


Kak Lin ada juga tengah layan drama. Walaupun matanya menonton televisyen, aku tak rasa Kak Lin betul-betul tengok TV. Gayanya macam tengah memikirkan sesuatu masalah. Dari air muka aku boleh dapat agak.


Memang lain dari yang selalunya.


“Hah! Tengok TV atau mengelamun ini?” Aku menyergah Kak Lin. Terkejut dia sampai tangannya mengurut dada.


“Kamu ini… Buat Kak Lin terkejut saja. Mana ada mengelamunlah. Kak Lin tengah tengok TV ini. Pandai saja kamu buat cerita.”


“Yalah itu. Kalau betul Kak Lin tengok TV, cuba cerita apa yang berlaku dalam drama itu tadi? Boleh tak?”


Kak Lin mula blur. Nampak sangat tak fokus pada TV pun tadi.


“Kak Lin ini ada masalah ke? Kalau ada masalah, cuba share dengan Miya. Mana tahu, Miya boleh tolong? Kalau pendam seorang diri nanti, jadi masalah lain pula. Sharing is caring, you know?”


“Masalah kecil saja. Kak Lin boleh selesaikan sendiri. Kamu tak perlu masuk campur pun. Nanti menyusahkan diri kamu pula.”


“Jangan tipulah. Miya ini bukannya budak kecil lagi. Daripada air muka Kak Lin itu Miya boleh agak yang Kak Lin ini ada masalah lebih besar dari itu. Kak Lin jangan segan nak cerita. Kita adik-beradik dan Miya janji, kalau masalah itu nampak macam kelakar pun, Miya tak akan gelak.” Aku angkat tangan kanan, seperti mahu mengangkat sumpah.


“Tak apalah Miya. Kak Lin boleh handle masalah ini.”


“Betul boleh handle? Tak perlukan pertolongan Miya? Nasihat pun tak nak?”


Kak Lin cuma menggeleng sambil tersenyum. Tetapi, itu tak dapat membuatkan hati aku berasa lega lagi. Melihatkan Kak Lin begitu, hatiku susah sekali. Aku tahu Kak Lin sedang memendam masalahnya sendirian.


Baru aku teringat.


Raziq!


Masalah Kak Lin ada kaitan dengan Raziqkah?

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.