Home Novel Cinta MAKE ME LOVE YOU
MAKE ME LOVE YOU
Pena Putera
29/5/2017 14:16:17
78,143
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

SELEPAS selesai membayar bil, Damien memandu semula. Sepanjang perjalanan, kami hanya membisu saja. Muzik yang diputarkan oleh stesen radio menjadi pengisi kesunyian. Sampailah aku tengok dia mula memandu ke jalan lain, bukan jalan pulang ke rumah.


“Awak nak pergi mana pula ini?” tanyaku ingin tahu. Mana tahu, dia nak culik aku? Aku mula bimbang. Aku pegang erat-erat beg tangan. Jantungku mula berdegup laju.


“Saya nak pergi makan.”


Aku berasa lega sebentar. Kejap? Mamat ini nak pergi makan? Aku menjeling ke arahnya sekilas.


“Awak nak pergi makan di mana pula ini? Dah nak Maghrib ini. Kita balik sajalah,” bantahku yang ingin pulang.


“Tak apalah. Kita sembahyang di luarlah. Saya tetap nak makan di luar juga,” tegas Damien yang masih tidak mahu berubah keputusan.


“Kalau awak risau sebab tak ada telekung, dekat restoran sana nanti ada juga sediakan telekung. Tak perlu risau. Awak ini terlebih risau pula. Lagipun, kalau kaki awak tak larat nak jalan, saya suruhlah sesiapa tolong awak. Pokoknya, saya mahu makan di luar juga.”


Degil!


“Tak payah susah-susah. Saya bukannya boleh sembahyang pun.”


“Awak ini, baru kaki terseliuh sikit, dah tak boleh nak sembahyang?”


“Bukan sebab kaki, tetapi sebab A.B.C. Dulu awak belajar biologi dengan pendidikan Islam, kan? Mesti awak tahu.” Aku membuang pandang ke luar tingkap.


“Kalau macam itu, tak adalah susah nanti. Kita makan di luar ya?”


“Saya cakap tak pun, awak tetap bawa saya pergi sana.”


Yup!”


“Awak belanja?”


Yup!”


“Okay.”


Kami kembali diam dan Damien kembali fokus dengan pemanduannya.


Setibanya di restoran yang dituju, Damien membukakan pintu untukku. Aku bersusah payah cuba berdiri dengan tongkat. Terima kasih jugalah kepada Damien sebab dia pinjamkan aku tongkat ini walaupun aku tak tahu macam mana tongkat ini boleh ada dalam rumah dia.


Aku memandang restoran yang Damien bawa. Inikan restoran Adam? Tak sangka, hari ini aku akan melangkah masuk ke sini. Rasa seperti tidak kuat pula mahu masuk ke dalam.


“Kenapa ini? Jomlah,” arah Damien. Aku berhenti mengelamun dan ikut dia masuk. Sekurang-kurangnya, dengan Damien aku ada sedikit kekuatan. Kami pilih untuk duduk di depan dapur. Dapur restoran dia terbuka. Jadi, sesiapa yang datang makan di sini, boleh tengok live chef-chef di sini memasak.


Waduh, ganteng bangat chef-chef di sini. Bikin aku jadi terpesona sama mereka.


“Tengok apa itu?” tanya Damien. Aku memandang mukanya yang kelihatan kesal. Tak akanlah marah sebab chef-chef di sini lebih hensem dari dia? Tak apa Damien, di mata saya, awak pun ada kelebihannya sendiri.


“Cuci mata.”


“Saya ajak awak ke sini nak makan, bukan suruh cuci mata.”


“Habis hensem sangat chef-chefnya. Tak boleh terlepas tengok.”


Damien hanya mengeluh halus. Suka pula aku tengok dia macam itu. Comel! Macam budak-budak comel yang merajuk. Rasa mahu pujuk, tetapi bila teringatkan namanya Daim Damien, aku terus lupakan niat.


“Selamat datang. Boleh saya ambil pesanan encik berdua?” Seorang pelayan menyapa kami dan menyerahkan menu kepada kami. Alahai, pelayannya pun boleh tahan juga.


Restoran ini namanya Adam Kitchen atau Handsome Kitchen?


“Saya nak nasi goreng USA dengan jus tembikai. Dayana, awak pula?”


Mataku tertumpu kepada Damien semula dan dia mengangkat keningnya, tanda mahu mengambil pesananku. Cepat-cepat aku ambil buku menu dan tengok senarai makanan dan minuman yang terdapat di sini.


“Saya pula nak… spagetti carbonara satu dengan cuppocino ice.


“Baik. Sila tunggu sehingga hidangan kami sampai sebentar lagi. Kalau ada apa-apa, boleh panggil pelayan-pelayan yang bertugas,” ujar pelayan itu sebelum berlalu pergi. Kalau muka semua pekerja di sini pun macam hero novel, sehari pun aku sanggup menunggu.


Asyik mencuci mata, aku melihat Adam sudah masuk ke ruangan dapur. Dia dengan pakaian chef, memang menambahkan lagi segaknya! Aku terasa dia memang sesuai dengan pakaian seragam itu. Walhal, arwah Zahin sebelum ini lebih segak berkot hitam dengan pakaian pejabat.


Adam ternampak akulah!


Aku larikan mata dan sembunyikan muka. Malulah pula tenung anak teruna orang lama-lama. Nanti kena cop gatal pula.


“Hai!”


Aku tolehkan kepala. Dia sudah terpacak di sebelah mejaku. Bibirnya menguntum senyuman manis kepadaku. Matanya merenung aku dengan pandangan yang mampu memukau.


Sorry, tetapi boleh saya tahu, ada urusan apa encik datang ke meja ini?” soal Damien yang tidak mengenali siapa Adam. Wajahnya seperti sangsi dengan kehadiran lelaki itu.


“Sebenarnya, saya nak jumpa dengan kawan saya. Miya, it’s you right?


Aku mengangkat muka dan hanya tersenyum kepada dia.


“Hai, Adam,” sapaku lembut. Automatik aku berubah sifat seolah-olah perempuan Melayu terakhir. Sopan saja dudukku. Sempat aku menjeling Damien sekilas. Reaksi wajahnya berubah hairan melihat aku yang berubah mendadak ini.


“Tak sangka kita jumpa sekali lagi. Pleasure to meet you, Miya. Don’t worry, saya akan pastikan hidangan awak berdua akan menepati cita rasa. Kalau ada apa-apa masalah atau sebarang bantuan yang diperlukan, jangan segan-segan panggil saya atau staf lain.”


“Baik, Adam,” balasku sopan.


“Okay. Have a nice dinner!” Usai melayan kami, Adam terus berlalu ke dapur untuk menyambung kerjanya sebagai salah seorang chef. Mataku tidak terlepas dari melihat lelaki itu pergi.


“Hey, awak ini dah kenapa tiba-tiba jadi sopan sangat ini? Nak muntah tau saya tengok awak berubah jadi perempuan Melayu terakhir ini. Kelakar betul lakonan awak.” Damien gelak selepas dia melontarkan soalan.


“Kalau saya nak jadi perempuan Melayu terakhir pun kenapa? Yang awak ini kisah sangat kenapa? Menyusahkan awak?”


“Yalah. Menyusahkan mata saya nak menengoknya.”


“Kalau macam itu, jangan tengok.”


“Macam mana saya tak nak tengok bila ada bidadari sedang duduk di hadapan saya ini?”


“Awak baru kata yang awak nak termuntah bila awak tengok saya jadi perempuan Melayu terakhir. Sekarang ini, awak tak terasa nak tercirit ke tengok saya ini macam bidadari.”


Damien diam. Kalah lagi dalam pertarungan kata.


“Apa pun, terima kasih sebab kata saya macam bidadari walaupun saya tak ambil serius sangat akan hal itu,” sambungku lagi. Senyuman Damien mula hidup kembali.


Tidak lama kemudian, azan Maghrib berkumandang dari masjid berdekatan. Sama juga dengan siaran televisyen yang dipasang. Damien terus menyising lengan bajunya ke paras siku. Dia membuka jam tangan di tangannya. Tak tahulah kenapa mamat ini nampak segak bila dia buat begitu.


“Saya nak sembahyang sekejap. Kalau makanan dah sampai, awak nak makan dulu pun tak apa. Jangan tunggu saya. Takut perut awak lapar pula tunggu saya,” pesan Damien sebelum dia meninggalkan aku sendirian di meja.


Terasa macam ada orang mengambil berat pula akanku.


Pandanganku teralih kepada dapur. Tiga orang chef termasuk Adam dan juga staf lain mula meninggalkan dapur dan menuju ke arah surau berada. Hanya ada dua orang chef sahaja yang tinggal. Pastinya mereka membuat giliran untuk solat Maghrib dan melayan pelanggan yang ada.


Baguslah kalau amalan ini diterapkan dalam sesebuah perniagaan. Barulah diberkati Allah kalau begini. Tak adalah sibuk sangat kerja sampai lupa akhirat. Satu contoh yang bagus.



MAKANAN sudah sampai terhidang. Kali ini, Adam sendiri yang menghantarnya. Aku ingat pelayan hensem tadi hantar pesanan kami. Tak apalah, tak ada rezeki dengan dia, dengan Adam pun boleh. Uiks… orang punya itu Miya. Nanti perempuan bedak tebal itu datang serang kau, jerebu Malaysia ini lepas aku tampar muka bedak dia itu.


“Selamat menjamu selera. Kalau ada apa-apa masalah, boleh panggil kami. Jangan segan-silu pula. You’re both are our special guest. Especially you, Miya,” ucap Adam sebelum dia pergi ke dapur semula.


Aku memandang hidangan di depanku. Spagetti carbonara dan juga cuppocino ice. Nampak benar-benar menyelerakan. Aku harap hidangan ini dapatlah membuka seleraku pada malam ini. Sekaligus memuaskan perutku yang sudah berkeroncong ini.


Baru sahaja aku mahu melahap, Damien berdehem terlebih dahulu. Ops! Lupa. Kita sebagai umat Islam mestilah baca doa sebelum makan dahulu.


Damien menadah tangan, aku juga ikut sama.


Bismillahirahmanirrahim.”


Selesai membaca doa makan, aku mula memegang sudu dan merasa kuah spagetti. Masak spagetti ini, kuahnya memainkan peranan penting selain kelembutan spagettinya. Kalau kuahnya tak sedap, tak ada gunanya makan walaupun spagettinya lembut.


Tetapi, fikiranku silap. Memang lazat dan yummy! Aku gaulkan spagetti dengan kuahnya. Biar sedap tambah sedap, jadi sedap kuasa dua! 


Aku perasan, Damien tersengih merenung aku makan yang dah serupa setahun tak makan. Aku peduli apa. Kalau dia fikir aku ini gelojoh ke apa ke, aku tak mahu ambil kisah. Yang penting, kelazatan spagetti ini memang membuatkan aku seakan terbang di langit sekarang.


Uhuk! Uhuk!


Aku tercekik. Itulah, makan laju sangat.


“Awak okay tak?” tanya Damien lalu dia hulurkan airku ke tanganku. Aku capai dan teguk. Telan sampai hilang rasa tercekik itu.


“Habis comot mulut awak.”


Damien ambil tisu dari kotaknya. Tangannya menyapu mulutku yang comot.


Aku terkejut dengan kelakuannya. Kemudian, tiba-tiba pandangan Damien teralih kepada mataku. Dia diam tidak berkutik. Mata kami bertentangan. Mulut kami membisu. Suasana sekitar kami menjadi awkward sekali.


Tetapi, kenapa aku merasa sebaliknya.


Ada getaran yang hebat sedang bergetar di dadaku.


Cepat-cepat dia tarik tangannya dari menyentuh mulutku. Dia terbatuk atau buat-buat batuk, tetapi jelas sekali kelihatan buat-buat. Aku tahu, dia pasti berasa bersalah. Menyentuh bibir anak dara orang walaupun berlapik dengan tisu.


Sudah pasti berdosa.


“Saya minta maaf. Saya tak sengaja lakukannya.”


Aku diam, tidak membalas. Namun, getaran itu masih terasa.



SEBELUM kami pulang setelah selesai membayar, Adam datang bertemu dengan kami.


“Ini untuk awak berdua.” Adam serahkan dua keping baucar kepada kami. Damien ambil, aku juga ambil. Tergamam aku melihat isi baucar itu. Free one meal with one drink.


“Tetapi, kenapa awak berikan kami baucar ini?”


“Sebagai hadiah saya untuk novel awak yang menarik. Saya betul-betul suka membacanya dan nak berkongsi perasaan gembira saya dengan awak. Ini mungkin tak seberapa. Tapi, terimalah seikhlasnya dari hati saya.”


Aku menilik sekali lagi baucar itu. Serba-salah mahu mengambilnya. Adam melayan kami terlalu baik sekali. Aku tak tahu apa tujuan dia, tetapi aku tidak mahu menolak ini pada masa yang sama. Malah, aku senang bila dia seperti mahu merapatkan hubungan antara kami.


“Dan, saya doakan semoga awak akan cepat sembuh, Miya.”


Hanya senyuman yang dapatku berikan sebagai balasan ketika ini. Aku tak tahu apa yang perlu dikatakan ketika ini.


Tetapi, melihatkan wajah Adam, ada suatu persoalan yang bermain di fikiranku.


Adam dan arwah Zahin… Mereka sebenarnya ada pertalian darah atau tidak?

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.