Home Novel Cinta MAKE ME LOVE YOU
MAKE ME LOVE YOU
Pena Putera
29/5/2017 14:16:17
78,141
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 4

KAK LIN balik ke rumah akhirnya setelah selesai urusan kerja di luar bandar. Kasihan Kak Lin, terpaksa mengorbankan hujung minggunya untuk bekerja. Jadi, aku sediakan nasi goreng paling istimewa pagi ini sebagai hadiah kerja keras Kak Lin. Sepatutnya, boslah bagi extra OT. Tapi, aku ini adik yang baik. Memahami kakaknya. Ceh, puji diri sendiri!


“Kawan pejabat Kak Lin dah cuba baju kurung koleksi terbaru kamu itu. Dia kata, sedap pakai. Tak rasa panas. Kain dia pun lembut saja. Corak pun cantik. Berbakul-bakul dia puji, kamu tau?” Kak Lin cerita.


Apa lagi, Miya?


Waktu untuk kembangkan hidunglah!


“Alhamdulillah. Kalau kawan Kak Lin suka, Miya tumpang gembira juga. Kepuasan pelanggan, kepuasan Miya juga.” Aku sengih lebar sebelum menyuapkan sesudu nasi goreng ke dalam mulut. Sedap juga aku masak.


“Ayat macam ayat dalam iklan Facebook. Kepuasan anda, kepuasan kami juga. Oh ya, nanti kakak nak lagi lima pasang baju kurung yang koleksi terbaru ini. Kawan Kak Lin nak beli. Ada lagi tak stok?”


“Laku keras sangatlah Kak Lin. Yang koleksi terbaru ini kena minta tukang jahitnya buat yang baru lagi. Rasanya, petang ini boleh ambillah kut. Dah seminggu dekat sana. Alang-alang, ingat nak ambil stok novel. Lusa nak kena urus pasal pos pula. Nanti Kak Lin teman, ya?”


Kak Lin cuma angguk. Hari ini dia cuti, jadilah sekejap kuli aku.


Ingat senangkah nak jadi online seller dan penulis ini? Banyak kerja tau.


“Hujung minggu ini kamu ada event di bookstore pula, kan?”


Rasa nak tercekik nasi di kerongkong aku ini. Macam mana aku boleh lupa pasal event itu?


“Haah… Hujung minggu ini. Nasib baik Kak Lin ingatkan. Kalau tak, lupa terus Miya pasal itu.”


“Kesian peminat kamu nak jumpa penulis, penulis tak ada.”


Kak Lin gelak. Aku juga gelak. Kelakar juga. Boleh pula lupa nak datang. Marah bos besar nanti. Pasal penulis di bawah rumah penerbitannya boleh lupa pasal event itu.


“Kamu dah kenal dengan jiran baru kita ini.”


Aku rasa annoying bab ini.


“Dia itu… memang terlebih peramah ke, Kak Lin?”


“Kenapa kamu tanya macam itu?”


“Bukan apa, tetapi selalunya bila stranger jumpa stranger, tak akan mereka terus jadi friendly. Miya tak tahu satu pun pasal dia masa kami kenal mula-mula itu, tetapi dia boleh berlagak macam kami dah lama kawan. Kak Lin tahulah, Miya ini tak selesa sangat kalau jumpa orang yang Miya tak kenal pada permulaannya.”


Kak Lin gelak kemudian dia hirup secawan teh. Dia pandang aku semula.


“Kamu tak tahu lagi ke?”


“Tahu apa?” Aku mula keliru dengan soalan Kak Lin yang seperti membawa sesuatu maksud tersendiri. Mulalah aku tak boleh berhenti berfikir apakah maksud tersirat di sebalik soalan Kak Lin itu.


“Tak apalah. Lambat-laun nanti, kamu tahu juga.”


Hampeh!


“Dahlah, Kak Lin nak pergi tidur. Letih seharian kena kerah tenaga.” Kak Lin berlalu pergi untuk ganti masa tidurnya dengan masa yang telah digunakan untuk bekerja.


“Eloklah tidur pagi-pagi ini. Jangan lupa, tengah hari ini bangun. Teman Miya pergi ambil baju dengan stok novel!” Aku menjerit.


“Ya!” teriak Kak Lin.


Tapi serius, mengapa soalan Kak Lin tanya aku tak tahukah tadi seperti melekat di kepalaku?


Seolah membawa maksud yang mendalam.


Cerita pasal Damien ini, dia mesti dah pergi kerja. Yalah, dia kan cikgu. Nak pergi jenguk rumah dialah. Memang betullah, kereta dia pun dah tak ada dekat halaman rumahnya. Aku masih ingat peristiwa semalam. Entah kenapa semenjak bertemu dengan dia, aku rasa aku seperti telah jumpa sesuatu yang hilang.


Yang telah hilang sebelum ini dan aku tak tahu apakah itu.


Jangan merepeklah, Miya. Kau jangan nak berfikir bukan-bukan. Biasa-biasa sahaja, tak ada apa yang istimewa pun tentang lelaki itu, okay?




AWALNYA lepas selesai semua urusan, nak balik rumah. Tetapi, kita ini sebagai manusia biasa hanya mampu merancang tetapi Allah yang menentukan. Selepas ambil baju dan stok novel, Kak Lin terus melencong ke Pavillion. Mahu cuci mata. Aku ikut sahajalah. Naik kereta dia kan. Kalau naik kereta aku, memang tak jejaklah ke sini.


Balik rumah, peluk bantal sambil berselumbung dalam selimut. Kemudian, tidur.


Ini pun tumpang kereta Kak Lin. Besar sikit. Kak Lin pakai Exora, aku pakai Myvi saja. Tak muat nanti nak letak barang.


“Miya paling pantang betul datang sini,” ujarku sehingga mendapat perhatian Kak Lin.


“Kenapa?”


“Tak boleh tengok baju, beg dengan kasutlah, Kak Lin. Rasa nak beli saja semua.”


Kak Lin gelak. Kami berjalan masuk ke suatu butik beg. Ya Allah, tabahkanlah hati hamba-Mu ini. Tak tahan hamba melihat semua beg-beg yang cantik ini. Takut bocor pula poket di sini. Poket ini dahlah tak tebal mana.


Baru lepas berhabis masa bercuti di Langkawi hari itu.


“Sabar, Miya… sabar.” Aku pujuk diri sendiri. Tak tahan nafsu nak membeli ini.


“Rasa bersalah pula ajak kamu ke sini,” kata Kak Lin sambil tersengih. Nasib baiklah kakak aku, kalau tidak memang aku lenyek sampai jadi tempeyek. Macamlah kau itu berani. Silap-silap, sebelum buka langkah kau dah jatuh dulu.


“Kak Lin memang patut rasa serba-salah pun.”


Kak Lin gelak. Tak bertanggungjawab betul.


Tiba-tiba, perut aku memulas. Aduh, signal dah hantar itu. Tunggu apa lagi?


“Miya pergi tandas dulu, ya. Kak Lin kalau nak jalan-jalan lagi, pergilah. Nanti, Miya telefonlah Kak Lin. Miya rasa lama juga ini.” Aku tunjuk muka cemberut, tanda memang dah tahan sangat. Kak Lin sengih saja tengok aku sebelum dia angguk.


Terus aku pecut ke tandas dengan kelajuan Usain Bolt.


Selesai membuang apa yang patut, aku menuju ke sinki. Basuh tangan dengan sabun, lepas itu betulkan mekap sikit. Aku tak pakai tebal sangat pun mekap. Sapu BB cream dekat muka saja. Lip balm dekat bibir. Nampak natural sikit.


Sewaktu tengah membelek muka di sebalik cermin, ada bunyi telefon berdering dalam tandas. Aku check telefon aku, tetapi bukan. Aku pandang kiri kanan, tak ada orang. Tengok pintu tandas semua terbuka. Aku rasa aku seorang saja dalam tandas ini.


Mulalah datang perasaan takut aku itu.


Bunyi itu hilang. Aku tarik nafas lega. Mungkin bunyi dari luar tandas. Aku cuba sedapkan hati. Tak mahu fikir yang bukan-bukan.


Tapi, aku silap. Bunyi itu berdering lagi. Kali ini, aku cuba kuatkan diri untuk tengok dengan lebih terperinci dari mana bunyi itu datang. Dan, bingo! Rupanya ada sebiji I-Phone di hujung sinki. Ceh, menakutkan aku saja!


Tetapi, telefon siapa ya? Aku seorang sahaja dalam tandas ini. Agaknya ada orang tertinggal telefon kut. Aku cuba buat tidak peduli (baik sangat perangai aku ini) tetapi mana tahu, pemilik dia telefon guna nombor lain. Aku terus jawab panggilan tersebut.


“Hello,” ucapku.


“Hello. Boleh I tahu telefon ini ada dekat mana? I pemilik telefon itu,” kata pemanggil di hujung talian dengan nada berlagak. Hek eleh, bunyi pun dah kerek. Mesti orangnya pun kerek.


“Telefon cik ini ada di dalam tandas. Saya jumpa ada di sinki. Cik nak saya tunggu cik datang ambil ke?” Aku menawarkan bantuan. Tak apalah aku tunggu dia datang ambil telefon dia. 


“Nope. You tolong bawakan telefon I itu. I sekarang ada di Starbuck, so cepat sikit.”


Nasib baik aku dengar perkataan tolong dalam ayat kau, kalau tak memang aku tinggal saja dekat tandas ini. Suruh orang pula jumpa kau. Kenapa dia tak datang ambil saja. Pemalas betul!


“Okay. Nanti saya datang bawa sana.”


Talian dimatikan.


Sabar sajalah, Miya.




SAMPAI di Starbuck, aku mula cari pemilik IPhone ini. Suara dia macam suara perempuan. Tetapi, bukan seorang sahaja perempuan dalam kafe ini, tetapi lebih dari seorang. Manalah aku nak cari, ini? Dia pun tak bagitahu aku dia pakai apa. Senang sikit aku nak cam. Dah jadi kerja yang menyusahkan untuk aku nak cari dia.


“Cik ke yang pegang telefon girlfriend saya?”


Aku toleh belakang dan pandang pemilik suara itu.


Aku terkejut habis. Tubuhku kaku, mulutku membisu. Pandanganku hanya tertumpu pada dia.


“Cik?”


“Zahin?”


Lelaki itu, seakan hairan bila aku menyebut nama Zahin. Dia macam, tak kenal langsung nama itu. Tetapi, wajah dia dan wajah Zahin, memang serupa. Aku tak sangka aku akan berjumpa dia dengan hari ini. Face to face pula.


Previous: BAB 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.