Home Novel Cinta MAKE ME LOVE YOU
MAKE ME LOVE YOU
Pena Putera
29/5/2017 14:16:17
78,154
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 3

BERAT langkah aku mahu melangkah ke dalam. Aku hanya berdiri di luar, memerhati setiap sudut restoran itu. Apakah ini mimpi bagi aku? Restoran yang bercirikan masakan western itu sudah lama bertapak kira-kira lima tahun, hasil pencarianku dengan bantuan Encik Google. Tetapi, ini tak mungkin… Kalau betul itu dia, kenapa restoran ini sudah berusia lima tahun, sedangkan tidak sampai selama itu dia pergi.


Adakah itu dia? Dia benar-benar masih hidup? Tetapi, kalau itu dia, siapa pula yang aku lihat buat kali terakhir sebelum ini?


Zahin Ilman… Dia adalah pemilik hatiku sebelum ini.


Kami berkenalan dari universiti. Adat bercinta, mula-mula berkawan, bila sudah menyelami hati masing-masing dengan mendalam dan tertarik dengan keperibadiannya, maka cinta mula berputik. Tamat pengajian, kami terus bertunang dan sudah setahun. Malah, kami merancang untuk bernikah selepas dia pulang dari kursusnya.


 Tetapi, ketika dia pulang dari kursus kerjanya di luar negara, dalam perjalanan pulang ke rumah ibu bapanya, dia ditimpa kemalangan apabila teksi yang dinaikinya dilanggar sebuah lori.


Aku tak boleh lupakan detik-detik itu. Aku masih ingat, aku tidak lalu makan, aku tidak mampu berhadapan dengan sesiapa dan seakan separuh jiwaku melayang pergi. Hilang segala punca kekuatan aku ketika itu.


Kalau begitu, siapa pula lelaki yang mirip dengan Zahin yang muncul tiba-tiba dalam hidupku? Adakah dia Zahin, dan sebenarnya mayat itu bukannya Zahin? Tak, aku yakin dia bukan Zahin.


Lima tahun restoran ini dibuka, dan lima tahun lelaki itu membuka restoran ini. Walhal, baru dua tahun pemergian Zahin. Mustahil dia adalah Zahin.


Aku keliru.


Zahin tidak pernah memberitahu dia ada kembar, malah ibu bapanya juga tidak pernah menceritakan itu. Ada sesuatu yang tersembunyi daripada pengetahuan akukah? Mungkin Zahin sudah pergi, tetapi sebenarnya Zahin mempunyai seorang kembar, yang arwah sendiri tidak tahu?


Aku tak betah lagi di situ. Aku mahu pulang. Cukuplah kenangan lama diimbas lagi. Pedihnya amat terasa. Sesiapa pun lelaki itu, hanya wajahnya yang mirip dengan Zahin. Yang jelas, dia bukan Zahin.


Stay strong and be positive, Miya!


Satu mesej masuk ke dalam telefonku.


Amalin : Kau dah pergi restoran itu? Dah jumpa lelaki itu?


Aku tidak membalas, sebaliknya membiarkan sahaja soalan itu tidak berjawab.


Amalin : Beb, kau okay tak ini?


Amalin, aku betul-betul tak okay sekarang ini.




SEWAKTU aku balik ke rumah, Damien sedang sibuk menyiram pokok bunga di halaman rumahnya. Rajinnya lelaki itu siram pokok bunga petang-petang ini. Tak sangka Damien seorang lelaki yang ada ciri-ciri sukakan kehijauan alam. Tengok halaman rumah dia, bukan macam lelaki bujang yang duduk. Cantik saja dengan hiasan yang pelbagai.


“Hai, Dayana!” Damien tegur aku. Aku cuma senyum.


“Baru balik dari mana? Tak ajak saya pun jalan-jalan. Kalau tak, boleh ikut sekali.”


Perasaan aku jadi sebal. Suka hatilah aku nak pergi ke mana. Penting sangat aku nak ajak kau?


“Awak siapa sampai saya nak ajak awak jalan-jalan?”


“Saya masih baru di sini. Jadi, tak kenal sangat tempat-tempat menarik sekitar kawasan ini. Awak kan jiran saya, tak salah pun kalau tolong tunjukkan. Saya budak baru belajar.”


“Apalah yang awak merepek ini? Baru keluar dari gua sampai tak tahu tempat yang menarik sekitar sini? Google aje la!”


“Saya tak keluar dari gualah. Saya dari Kelantan dan berpindah ke sini.”


“Awak nak main-main?”


“Seriuslah! Saya tak tipu.” Dia tunjuk muka serius, seakan gaya orang sedang bercakap jujur. Betul ke mamat ini dari Kelantan? Jauhnya sampai dia pindah ke Kuala Lumpur. Mungkin dia cari rezeki kut di sini.


“Ooo… jadi awak datang sini cari kerjalah?”


“Mana ada. Saya dah kerjalah.”


“Awak kerja apa?”


“Cikgu.”


Aku ketawa besar. Mamat ini cikgu? Jangan buat lawaklah, bro.


“Saya seriuslah, dik non.” Dia mempertahankan jawapannya.


“Okay, okay… Kalau macam itu awak cikgu yang ajar subjek apa? Subjek loyar buruk?” Aku bantai gelak lagi. Memang aku lompat bintang sepuluh kali la kalau dia ini betul-betul cikgu. Mustahil, tengok gaya pun macam orang jual insurans saja. Ramah tak bertempat!


“Tak. Saya guru yang mengajar subjek-subjek berkaitan sains. As example, chemistry, phsyics, and also science for the lower form. Dan untuk pengetahuan awak, I really love science. It’s have a lot of fantastic things if you keep learn it even the beginning is maybe will be hard, but if you expert about that, you’ll fell something great about your knowledge.”


Aku terkedu. Keluar dah bahasa mat salleh dari mulut dia itu. Bukan calang-calang orang ini. Tapi, dia kata dia ajar subjek berkaitan sains. Boleh percaya ke Damien ini? Kalau betullah, biar aku test dia.


Nasib baiklah aku ini dulu SPM memang ambil aliran sains tulen. Jadi, tahulah apa itu keseimbangan persamaan kimia, kereaktifan bahan logam dan inersia bagai itu. Malah, aku pemegang Diploma of Science tau.


“Okay… Berikan saya apa itu hukum Newton yang pertama?”


Dia senyum sinis. Seakan nak cakap, kacang sangat!


“Hukum tersebut menyatakan bahawa suatu objek dalam keadaan pegun akan terus berada dalam keadaan pegun, atau jika bergerak akan terus bergerak dengan halaju tetap pada suatu garis lurus, keculi dikenakan suatu daya luar. Am I right?”


Tak mungkin. Dia memang tahu.


“Kalau macam itu… apa kata awak jawab yang ini pula. Ikatan kimia terbahagi kepada berapa?”


“Dua. Ikatan ion dan ikatan kovalen. Am I right, again?”


Wow! Dia betul-betul cikgulah. Menyesal aku gelakkan dia sebab sangka dia bukan. Manalah aku tahu, sebab tak akan seorang cikgulah perangai loyar buruk macam dia ini. Mustahil betul. Tapi, memang itu kenyataannya.


Mungkin luaran dia sahaja nampak berbeza. Tetapi, dalaman dia, memang bijak gila!


“Okay. Awak betul. Sekarang saya percaya awak seorang cikgu.”


“Thanks. Oh ya, awak ini dulu masa sekolah menengah ambil aliran sains tulen juga ke? Soalan yang awak tanya tadi itu, nampak macam gaya budak sains SPM.”


Aku angguk. Mengiyakan.


“Result SPM awak berapa?”


Eh eh… Melebih tanya result aku ini. Baru sehari kenal, dah sibuk nak tahu result SPM aku. Kenapa tak tanya CGPA aku masa universiti dulu? Aku ini pernah dapat dekan atau tidak?


“6A+, 2A, 1B+.”


“Hebatlah! Satu sahaja lagi nak jadi straight A, awak tau.”


Yalah, kalau Add Math aku itu sangkut, memang straight A dah. Menyesal aku tak tekan lagi kuat Add Math itu. Kalau dapat A- masa itu pun aku dah bersyukur. Tapi, rezeki jugalah kan? Ada kawan aku terus fail. 


“Sudahlah. Saya nak masuk dulu. Panas pula duduk dekat luar ini.”


“Mana ada panas. Sejuk sajalah. Macam musim salji dekat London!” Dia perli. Kurang asam betul. Dah mulalah gila mamat ini. Tetapi, entah kenapa, dia mampu buat aku tersenyum ketika ini. Ketika aku baru sahaja lepas berduka.


Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.