Home Novel Cinta MAKE ME LOVE YOU
MAKE ME LOVE YOU
Pena Putera
29/5/2017 14:16:17
78,129
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15
MALAM yang terasa sunyi. Tiada bintang yang terbentang indah di langit. Kosong. Hanya bulan sahaja yang menyinar malam ini. Sepinya aku rasa. Kepalaku berat memikirkan masalah siang tadi. Tak tahu apa yang perlu aku lakukan selepas ini. Hanya jalan buntu yang aku lihat kini.


Adakah ini penghujungnya? Inilah penamatnya? Aku sendiri tidak tahu. Adam semestinya kesal dengan apa yang sudah berlaku apa tadi. Malah, kasihan pada Mak Cik Hanum kerana pastinya dia bertambah sedih mengenangkan semua ini.


Panggilan masuk dalam telefonku. Nama Damien tertera. Tak tahulah kenapa mamat ini telefon aku. Dan tak tahulah kenapa aku ini teruja sangat dengan dia. Lekas-lekas aku menjawab panggilannya.


“Kenapa telefon saya malam-malam ini?” tanyaku sambil cuba berlagak biasa, tidak mahu dia syak bukan-bukan.


“Saya tertekan nombor awak.”


“Kenapa tak tamatkan saja. Perlu ke tunggu sampai saya jawab?” Tetapi hatiku berharap sebaliknya. Janganlah Damien betul-betul matikan taliannya.


“Alang-alang dah tertekan nombor awak, saya ingat nak sembang dengan awak. Tak salah, kan? Lainlah kalau awak tiba-tiba rasa menyampah dengar suara saya malam-malam ini. Nanti jatuh pula bintang-bintang yang berkelipan di langit itu.”


Tak, Damien. Tiba-tiba, mata saya terlihat bintang-bintang yang berkelipan di langit walaupun tadi tak ada pun. Mesti aku berkhayal. Tak apalah. Buat masa ini, bagi menghilangkan rasa stres aku.


Bestnya awak dekat kampung. Saya rasa nak balik kampung pula sekarang ini.”


“Apa yang best di kampung? Cuba awak beritahu saya?”


“Best la. Boleh ronda-ronda satu kampung. Ambil udara segar. Jalan-jalan beli belah. Makan sedap-sedap. Bila pagi itu, sejuk saja. Boleh tidur lena.”


“Itulah. Kesian dekat awak. Nampaknya, sayalah kena tolong buat semua itu memandangkan saya di kampung. Seronoknya.”


Ceh, saja nak sakitkan hati aku!


“Awak balik ini ada kenduri apa? Kenduri kahwin ke?” Aku menukar topik.


“Sepupu saya kahwin. Sekarang ini saya ada di rumah mak cik saya. Akad nikahnya malam ini. Baru saja selesai. Esoklah kendurinya. Jadi, saya ini baik hati tolonglah mak cik-mak cik saya kupas bawang, potong cili, dan macam-macam kerja lagilah. Biasalah, contoh bakal menantu yang mithali.”


“Eleh… Puji diri sendiri pula dia. Habis, sekarang awak telefon ini? Tengah potong timun?”


“Taklah. Saya lari dari buat kerja. Tak tahan kena buli dengan mak cik-mak cik. Ambil kesempatan pula bila saya buat baik. Kalau saya masih buat kerja dapur sekarang ini, mahu tinggal saya seorang. Mak cik-mak cik lain dah sibuk bergosip.”


Aku ketawa. Simpati pula aku rasa kepada Damien. Buat baik, orang pula ambil kesempatan. Tapi, memang betulkah yang dia buat semua kerja itu? Macam tak percaya pula.


“Serius awak buat kerja dapur tadi? Macam tak percaya pula saya. Selalunya lelaki ini tak biasa buat kerja-kerja dapur kalau waktu persiapan kenduri. Jarang saya nampak. Tapi, awak boleh pula tolong kupas bawang.”


“Benda baik, bukannya tak baik. Menolong orang dapat pahala. Tak adalah sakit belakang mak cik-mak cik asyik duduk mengupas bawang saja. Ringanlah sikit beban mereka.”


“Memang saya tabiklah. Tetapi, kalau awak masih buat kerja-kerja itu sampai sekarang, takut awak pula yang sakit belakang.”


Kedengaran suaranya ketawa di hujung talian. Tiba-tiba, aku terasa ketawanya menyenangkan hatiku malam ini. Hilang segala gundah-gulana yang berada di hati.


“Malam ini, awak tak publish pun novel awak di blog. Rindulah saya nak baca.”


“Saya publish setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad saja. Itu hari cuti blog saya.”


“Manuskrip awak belum siap lagi? Tak sabar saya nak beli novel baru awak.”


“Tak lama lagi nak siaplah. Lepas itu, saya nak semak balik dan edit apa yang patut diperbetulkan. Fakta-fakta kena check kesahihannya, takut tak betul pula. Banyak kerja saya kena buat sebelum hantar. Kalau tak, kena reject manuskrip saya nanti.”


“Saya yang dengar ini pun rasa banyak kerja yang awak kena lakukan. Memang susah juga nak seorang penulis.”


“Kalau awak ada semangat dan keinginan yang kuat dalam menulis, perkara macam ini akan menjadi suatu kebiasaan untuk awak. Lama-lama, sepuluh ribu patah perkataan pun awak boleh tulis dalam masa sehari, tau!”


“Awak pernah tulis sepuluh ribu perkataan sehari ke?”


“Itu cuma hiperbola saja. Awak ingat saya boleh tahan duduk depan laptop, tulis sepuluh ribu patah perkataan sehari? Seribu pun rasa nak menangis.”


“Haha… Awak ini kelakar betul, Dayana. Sebab itu saya sukakan awak. You have funny side,” ujarnya sebelum menyambung tawanya lagi.


“Tapi, kerja awak mesti susah lagi. Yalah, sekarang tugas seorang cikgu bukan senang. Nak kena masukkan kehadiran dalam sistem online. Nak masukkan itu, masukkan ini semuanya guna internet. Belum lagi sesi pembelajaran yang stres. Kemudian, itulah… inilah…” Aku bercerita tentang kesukaran menjadi seorang guru pula. Mahu bersembang tentang dia pula.


“Macam awak kata, kalau ada semangat dan keinginan yang kuat, semua ini akan menjadi kebiasaan. Pejam mata pun awak boleh ajar pelajar macam mana nak seimbangkan persamaan kimia, tau!”


“Hiperbola lagi?”


Dia ketawa lagi, untuk kali yang seterusnya. Semakin dia ketawa, semakin aku suka mendengarnya. Aku mula ketagih untuk mendengar suara dan ketawanya. Ah, dia bagaikan dadah ketika ini. Membuatkan aku semakin ketagih dengannya!


“Kerja apa pun susah, Cik Dayana. Mana ada kerja senang dalam dunia ini.”


“Adalah. Kerja tidur dan makan. Senang saja nak buat.”


“Kalau mata awak tak mengantuk, macam mana awak nak tidur? Kalau tekak awak tak berselera, macam mana awak nak makan? See? It’s became hard, right?”


“Tapi, selalunya tak akan berlaku macam itu pun. Kalau orang dah biasa lakukan, tak jadi susah pun untuk buat. Setakat tidur dan makan… kacang sangat!” Dengan yakin aku menjawab.


“Awak memang tak nak mengalah, ya?”


“Yes.” Aku mengaku. Ini Miya kut. Malaslah nak kata dan ulang lagi… but always win with words.


“Baiklah, malam ini saya beri chance awak untuk menang. Tetapi, lain kali, saya akan pastikan saya menang.” Damien mengangkat bendera putih. Tahu pun macam mana nak mengalah. Kalau tak tahu, memang aku ajar lagi.


“Tapi, baik bersiap-sedialah. Jangan terlalu yakin awak boleh menang.”


“Suka hati awaklah. Dahlah, saya mengantuk ini. Nak tidur.”


“Seorang saja?”


“Ada ini dekat sebelah.”


“Siapa?” Aku pula berasa marah tiba-tiba. Dah kenapa aku ini?


“Sepupu sayalah.”


“Lelaki ke perempuan?”


“Kenapa awak tanya jantina sepupu saya pula? Saya belum gila nak tidur dengan sepupu perempuan. Saya retilah nak beza halal dan haram. Dah sah-sah sepupu lelaki. Awak ini pun… atau awak cemburu?”


Pipi aku mula merona merah bila dia berkata begitu. Kenapa aku rasa blushing sangat ini? Kalau dia nampak aku begini, pasti dia akan ketawakan aku. Aku pun satu… yang tanya dia lebih-lebih itu kenapa? Sah Damien dah syak bukan-bukan.


“Saya cuma buat langkah pencegahan saja. Sebagai peringatan sesama saudara Islam.”


“Tak sangka awak ambil berat pasal saya. Untungnya saya. Terasa dihargai pula.”


Mulalah dia bermain ayat puitisnya.


“Okaylah. Saya nak tidur ini. Boleh tak saya tutup telefon, saya nak tidur cepat-cepat dan mimpikan awak pula.”


“Eh, siapa suruh awak mimpikan…”


“Assalamualaikum, Dayana.”


Talian dimatikan. Tak sempat aku nak habiskan kata-kataku, dia dah terlebih dahulu letak telefon. Mamat ini memang kurang asam betul. Boleh pula dia kata dia nak mimpi aku? 


“Waalaikumusalam.”


Tetapi salam wajib dijawab.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.