Home Novelet Komedi/Romantik Komedi ANTARA CINTA
ANTARA CINTA
MaMoSa
21/11/2017 18:37:34
41,903
Kategori: Novelet
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 15

 

Suasana sepi di sekelilingnya seolah-olah memberi tenaga baru pada Adriana. Kedinginan udara pagi terasa seperti jarum halus yang menusuk ke tulung, membuatkan Adriana tidak mahu meninggalkan keselesaan katil yang di huninya semenjak semalam. Dia menarik selimut, menyelimuti diri dari udara dingin. Dia cuba melelapkan mata untuk menghilangkan lelah yang masih bersisa daripada penerbangan terus dari KL semalam, tetapi bila mengenangkan yang dia masih belum solat subuh, digagahnya juga bangun dan berwuduk.

 

Melangkah ke kamar mandi tanpa memakai sepatu kamar, memang mengundang masalah. Masalah kesejukan yang teramat. Bagaikan disimbah dengan air dingin, Adriana menarik kakinya secara spontan. Matanya yang tadi masih mogok, tiba-tiba sahaja terasa segar. Segera dia mencari sepatu kamar.Digagahi juga dirinya melangkah kekamar mandi. Terasa bahagia dengan kesunyian yang melanda. Segera diputar kepala paip untuk mengangkat wuduk. Ah..dingin sungguh suasana disini, keluhnya. Tapi sungguh nyaman. Ia tersenyum sendirian sambil menyarung telekung.Memang sikap manusia, tidak pernah puas dengan kurniaan illahi. Dicelah kedinginan subuh, Adriana menunaikan rukun Islam yang kedua dengan penuh khusyuk dan tawadduk. Sewaktu menadah tangan untuk memohon doa, tanpa disedari, airmatanya turun membasahi pipi tanpa disedarinya. Disekanya air mata yang merembes, dengan hujung telekungnya.Terasa shahdu yang amat sangat. Benarlah seperti yang sering diperkatakan, bila di uji dengan masalah, kita semakin hampir dengan Allah. Terasa malu mengadu dengan Allah sedangkan sewaktu gembira, dia seolah-olah melupakannya. Terdengar ketukan perlahan pintu. Segera dia menyeka airmata yang masih bersisa.

 

Terdengar suara Maksu Aina, adik bongsu ibunya  yang memangil untuk bersarapan. Beliau telah bermastautin di bumi Dubai ini hampir 10 tahun. Sendirian, meninggalkan keluarga untuk menambah rezki. Tahun pertama berhijrah ke bumi Arab ini, maksunya sering berulang-alik antara Dubai dan Kuala Lumpur, atau suaminya yang akan datang ke Dubai. Hanya 7 jam sahaja penerbangan pulang, jawapnya setiap kali persoalan dilemparkan oleh ahli keluarga yang lain.

 

Tahun kedua, kekerapannya pulang semakin berkurang, Cuma sekali setiap 2 hingga 3 bulan. Kekangan kerja menyebabkan dia terpaksa melupakan hasrat untuk sering pulang. Benarlah kata pepatah, wang bukan segalanya. Akhirnya Maksu terpaksa akur yang tanggungjawabnya sebagai isteri ibarat tidak lagi diperlukan. Anaknya semakin menjauh darinya, dan perhubungan dengan suaminya semakin jarak. 

Mereka seolah-olah dua insan yang tidak mempunyai persamaan dan tiada apa lagi untuk diperkatakan.  Menyedari hakikat tersebut, mereka berdua bersepakat untuk berpisah dengan cara baik. Sedih dengan keputusan tersebut, Maksunya terus bekerja dan menetap di sini sehingga sekarang.

 

Pintu dibuka. Maksunya berdiri dihadapan pintu kamarnya sambil tersenyum. Pada usia 45 tahun, maksunya masih cantik dan bergaya, walaupun hanya mengenakan abaya hitam polos. Polisi pejabat bagi pegawai-pegawai yang beragama Islam, katanya. Bagi yang bukan Islam, mereka dibenarkan memakai sut dan harus mengenakan selendang, di waktu pejabat.

 

“Haaa dah bangun pun, mari bersarapan” Adriana mengikutnya dari belakang. Sarapan pagi telah tersedia diatas meja.

 

“Maksu harus kepejabat hari ni, ada mesyuarat. Would you be ok to be alone?” Adriana hanya tersenyum. Pasti ibunya telah memberitahu Maksunya apa yang terjadi padanya.

 

“Kalau masih penat, rehatlah dulu. Ini ada beberapa brosur restoran yang menyediakan khidmat penghantaran makanan.Kalau lapar, Adriana Cuma perlu telefon saja untuk pesan makanan, 15 minit,makanan sampai.”

 

“Makanan segera?” celah Adriana.

 

“Makanan panas... anything you want! Nasi Arab, Mee Goreng, semua boleh dihantar tanpa caj tambahan. Kalau nak beli barang-barang dapur pun boleh dipesan melalui telefon saja. Beli telur sebiji pun dihantar” terang Maksunya dengan panjang lebar sambil tergelak.

Begitulah adat orang berduit, dengan wang segalanya menjadi mudah, membuatkan manusia menjadi malas. Terbeliak mata Adriana sambil memandang Maksunya, tidak percaya apa yang didengarnya. Dia tersenyum, sambil menggeleng-gelengkan kepala.


Bila bersendirian, Adriana mengutip kembali saat-saat sewaktu dia dan Adam hampir di ijabkabulkan. Hampir! Satu perkataan yang telah merubah keseluruhan masa hadapannya. Gelap rasanya hidup. Luka dihati ibarat dilapah dengan kejam tanpa belas. Terlalu sakit untuk diingat tapi realiti harus juga dilalui. Benarlah manusia hanya merancang namun Allah menentukan segalanya.

 

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh MaMoSa