Home Novel Thriller/Aksi Ros Hitam
Ros Hitam
Amylieyhaizani
27/9/2014 17:04:44
55,386
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 17

Bab 17

Tiga bulan yang lalu…

Di sebuah perkampungan yang berada di Hulu Terengganu, Murni menganggukkan kepala setiap kali nenek Rubiah memberi nasihat kepadanya. Matanya berkaca kerana tidak sanggup meninggalkan wanita yang sudah lanjut usia itu. namun hatinya beria-ria untuk berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengubah nasib mereka berdua.

“ Walau di mana Murni berada, nenek harap Murni dapat jaga diri Murni. Jangan tinggalkan solat dan selalu ingatkan Allah..” tutur nenek Rubiah sambil menggenggam tangan gadis itu. air mata Murni merembas jua dan jatuh membasahi pipi.

“ Nek, Murni rindu mak dan ayah! Kalaulah mereka masih ada..” Murni membaringkan diri ke atas peha nenek Rubiah. Matanya meliar melihat keadaan rumah yang begitu usang. Setelah kehilangan ibubapanya, Murni tinggal bersama nenek Rubiah iaitu jiran mereka ketika menetap di Pahang. Tidak lama kemudian mereka berpindah ke Terengganu kerana mengikuti suami nenek Rubiah yang memang berasal dari sana. Setelah beberapa tahun berada di situ akhirnya Tok Dollah selaku suami nenek Rubiah meninggal dunia. Tinggallah mereka berdua di rumah yang hampir roboh itu.

“ Allah lebih sayangkan mereka. Murni selalulah doakan untuk mak dan ayah Murni. Jangan lupa doakan untuk nenek juga!” nenek Rubiah mengelus lembut rambut cucu angkatnya itu.

“ Murni akan ubah nasib keluarga kita nek! Murni janji akan jadi orang yang baik. Murni tak nak Allah benci pada Murni,” tokok Murni sebelum mencium lembut tangan nenek Rubiah. Hatinya terasa berat untuk pergi namun untuk mengubah nasib, dia harus berhijrah dan bukannya hanya menjadikan diri seperti katak di bawah tempurung.

“ Murni sayang nenek!” bisik Murni lagi.

****

Kring..kring…Murni tersentak. Lamunannya terhenti secara tiba-tiba. Murni mengucap panjang sambil mencapai telefonnya. Sempat pula dia menjeling jam di dinding.

“ Helo..” suara Murni kedengaran serak. Entah kenapa badannya juga terasa begitu lemah.

“ Perampas!” keras suara di corong telefon. Murni kelihatan kaget. Nyata suara itu bukan kepunyaan Ros Hitam. Jauh sekali suara lelaki tidak siuman bernama Andrey. Murni menelan air liur pula. Namun ianya seakan tersekat di kerongkong.

“ Kau siapa? Siapa perampas? Merampas siapa?” jerit Murni dengan geram. Semenjak dia berhijrah ke Bandar besar itu, terlalu ramai manusia yang memusuhi dirinya. Itupun secara sembunyi-sembunyi. Jiwa Murni pasti sakit seandainya panggilan misteri itu terus memburunya.

“ Aku sayang dia..kau tak ada hak! Kenapa kau rampas dia daripada aku?” kedengaran esakan kuat di corong telefon. Murni seakan terpana dan tidak tahu apa yang perlu dikatakan lagi.

“ Awak dah salah nombor! Saya minta maaf..” Murni ingin memutuskan panggilan namun sempat perempuan di corong telefon menyergahnya kuat.

“ Kembalikan dia kepada aku! Kalau tak, aku tak akan lepaskan engkau!” balas perempuan itu lagi.

“ Saya tak ada hubungan dengan sesiapa pun! Awak jangan nak ugut-ugut saya! Saya bukannya terdesak untuk punya kekasih!” ujar Murni mula berkasar. Sakit juga hatinya apabila dituduh sebegitu oleh perempuan yang tidak dikenalinya.

“ Aku sayangkan dia! Dia dah jadi sebahagian dari hidup aku! Kalau apa-apa terjadi kepadanya, aku tak akan berdiam diri!” tutur perempuan itu lagi. Suaranya kedengaran penuh dengan dendam. Kemudian terdengar esak tangis perempuan itu di pendengaran Murni.

“ Awak..saya tak ada hubungan dengan sesiapa! Saya tak tahu siapa kekasih awak!” Murni seakan memujuk. Simpati juga apabila mendengar tangisan perempuan tersebut yang beria-ria meminta kekasihnya kembali.

“ Hari ini belum! Mungkin esok..tiada siapa yang tahu! Jangan kau berani hampiri sesiapa!” gertak perempuan itu lagi. Murni mula kehilangan punca untuk bersuara. Talian terputus sebelum sempat dia membalasnya. Murni terduduk di tepi dinding. Bibirnya bergetar sebelum air matanya jatuh membasahi pipi.

“ Gila..Semua orang dah gila!” jerit Murni dengan kuat. Suaranya bergema kuat di dalam rumah miliknya. Dia membalingkan telefon ke dinding dan tiba-tiba telefon itu berbunyi sekali lagi. Murni menutup telinganya lama sebelum memeluk lututnya dengan kemas. Saat itu Murni benar-benar rasa lemah dan tidak bermaya.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.