Home Novel Thriller/Aksi Ros Hitam
Ros Hitam
Amylieyhaizani
27/9/2014 17:04:44
55,496
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 7

Bab 7

Dato’ Irfan tidak dapat melelapkan matanya. Jam didinding hampir jam 1 pagi. Dia benar-benar resah dan gelisah. Sesekali dia menatap lama wajah isterinya yang putih bersih. Kepalanya bercelaru dengan pelbagai persoalan. Kenangan sepuluh tahun datang lagi tanpa dipaksa.
Wajah yang manis itu dipandang lama. Senyuman wanita yang diminatinya itu menjadi igauan setiap masa. Urusan pembelian tanah yang sepatutnya mengambil masa dua minggu ditambah lagi sehingga menjadi dua bulan lamanya. Tiada siapa yang tahu rasa hatinya yang mula berkecamuk. Pandangan pertamanya mengundang cinta di hatinya dan tersemat kukuh di sanubari.

“ Saya dah ada suami Dato’! Tolong jangan ganggu laluan saya. Saya perlu bekerja untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga. Kalau macam ni cara Dato’, saya rasa baik Dato’ lupakan hasrat Dato’ untuk terus berada di sini.” Kata-kata wanita itu cukup tegas. Tiada lagi senyuman yang biasa dilemparkan. Kerja sehariannya menorah getah di hujung kampung memberi ruang untuk Dato’ Irfan menggoda wanita cantik itu.

“ Saya sukakan awak Suriani! Kenapa awak tak faham? Saya boleh beri apa yang saja yang awak inginkan. Perempuan secantik seperti awak tidak seharusnya membuat kerja macam ni!” Dato’ Irfan terus memujuk. Hasrat hatinya benar-benar membutakan akal dan fikirannya. Dia tidak kisah andai wanita itu sudah berpunya.

“ Dato’ faham tak? Saya ni isteri orang! Apa Dato’ tak ada agama? Tak tahu yang mana halal dan yang mana haram? Sebelum saya cerita pada orang kampung pasal Dato’, baik Dato’ lupakan niat tak baik Dato’ tu!” Suriani benar-benar marah. Wajahnya yang putih bersih merona merah. Risau juga andai pertembungan tidak sengaja itu menjadi buah mulut orang kampung.

“ Saya akan bagi awak kemewahan Suriani! Awak minta cerai dengan suami awak ye!” Tangan wanita itu dipegang kemas. Pantas Suriani menarik kuat. Sakit hatinya diperlakukan sedemikian rupa.

“ Dato’ jangan buat saya macam tak ada agama! Kalau apa-apa yang terjadi kepada saya, nahas Dato’!” Pandangan mata Suriani mula berkaca. Ada rasa bersalah di dalam hati Dato’ Irfan. Namun cintanya kepada Suriani tidak dapat dipadam sekelip mata. Dia tidak pernah menyintai sesiapa sebelum ini. Biar seribu orang yang datang merayu, namun hatinya tidak terbuka untuk bercinta. Namun dengan Suriani, hatinya menjadi kacau dan resah. Ah, cinta rupanya begitu menyakitkan.

“ Abang tak tidur lagi?” tiba-tiba Datin Fiffy bersuara sambil menggosok matanya beberapa kali. Dia memandang jam yang berada di dinding dan berkalih semula kepada suaminya yang hanya mendiamkan diri.

“ Abang!” Sergahnya sedikit kuat. Pantas Dato’ Irfan memandang isterinya. Dia mengurut dada apabila disergah sebegitu. Hampir gugur jantungnya mendengar suara Datin Fiffy yang mengejutkannya dari lamunan sebentar tadi.

“ Emm..ada apa?” Dato’ Irfan malas untuk menjawab.

“ Dah jam berapa ni? Abang tak tidur lagi?” Datin Fiffy mengerutkan dahinya. Suaminya kelihatan begitu resah. Sejak dua tiga hari lepas, lelaki itu tidak dapat melelapkan mata. Ada apa masalah sebenarnya?

“ Abang panas! Tak boleh nak tidur!” Selamba tutur kata Dato’ Irfan. Mata Datin Fiffy terkebil-kebil memandang suaminya. Bagaikan tidak percaya mendengar alasan yang tidak masuk dek akal. Bilik yang dipasang penghawa dingin itu tidak mungkin membuatkan seseorang merasa tidak selesa atau rimas. Jadi apa sebenarnya yang mengganggu ketenangan lelaki itu?

“ Abang panas? Abang biar betul?” tingkah Datin Fiffy dengan geram.

“ Awak ni kenapa? Tak percaya cakap saya? Sudahlah! Awak tidur jelah! Kalau saya mengantuk, tahulah saya tidur!” Marah Dato’ Irfan yang mula bosan dengan persoalan isterinya. Sudahlah dia terbeban dengan kehadiran masa silam yang seakan menduga hatinya. Ditambah pula dengan persoalan isterinya yang dianggap cukup meloyakan.

“ Kenapa abang berkasar dengan Fiffy ni bang? Kenapa abang tak pernah cintakan Fiffy? Sejak kahwin, abang layan Fiffy macam apa! Fiffy ni isteri abang!” Datin Fiffy bersuara perlahan. Ada kelukaan dalam tutur katanya. Air matanya seakan ingin mengalir. Sampai bila dia harus menunggu cinta daripada suaminya sendiri.

“ Awak yang nak sangat kahwin dengan saya? Sekarang awak nak tanya pulak! Dahlah, saya rimas nak jawab soalan remeh macam ni!” Tutur Dato’ Irfan sambil bangun dan meninggalkan isterinya yang mula menarik muka.

“ Apa pun saya isteri abang! Abang jangan lupa!” jerit Datin Fiffy kepada suaminya.

“ Ya, saya takkan lupa apa yang awak buat pada saya!” Kata-kata Dato’ Irfan cukup menambah luka di hati Datin Fiffy. Dia menangis teresak-esak saat suaminya mula hilang dari pandangan. Walau apa pun alasan, cintanya tetap untuk suami tercinta dan untuk berpaling tidak sekali-kali.

****

“ Tolonglah daddy, Fiffy nak kahwin dengan abang Irfan jugak!” Fiffy merengek-rengek sambil menarik tangan Tan Sri Jamil yang asyik menbaca surat khabar Kosmo. Patah hatinya apabila cintanya ditolak mentah-mentah oleh Irfan. Cintanya kepada lelaki itu telah terlalu lama. Namun hanya tangannya yang bertepuk di angin lalu.

“ Orang tak suka, mana boleh dipaksa-paksa! Fiffy cari je orang lain! Anak Tan Sri mana? Boleh daddy masuk meminang.” Ujar Tan Sri Jamil sambil menutup surat khabar yang dibacanya. Rimas juga dia mendengar anak manjanya yang cukup berkeras untuk mendapatkan sesuatu benda.

“ Tak nak! Fiffy nak abang Irfan jugak! Kalau daddy tak dapatkan abang Irfan, Fiffy tak nak kahwin!” Rajuk Fiffy dengan nada yang keras. Cintanya hanya untuk Irfan. Untuk mengahwini lelaki lain tidak mungkin sama sekali.

“ Apa yang daddy boleh buat? Pujuk Irfan tu? Fiffy kan tahu, Irfan tu susah nak jatuh cinta. Kalau tak dah lama dia terima Fiffy. Fiffy janganlah nak paksa-paksa dia. Tak manis dilihat orang.” Tan Sri Jamil bangun untuk berlalu. Fiffy yang mendengar mencebik tidak berpuas hati. Tiba-tiba terlintas sesuatu di kepalanya. Kemudian dia tersenyum lama dan bangun untuk menjalankan misinya. Pasti rancangannya akan berjaya walaupun terpaksa mencalarkan imej keluarganya. Apa yang dia tahu, hatinya telah buta kerana cinta. Dan cinta itu akan digenggam kemas walaupun hati Irfan bukan miliknya. Memikirkan apa yang bakal dilakukan, Fiffy tersenyum lagi. Lelaki ego seperti Irfan akan tersungkur jua di dalam pelukannya dan akan terus menjadi miliknya. Itu Fiffy cukup pasti.

****

Fiffy menghubungi Irfan dengan sabar. Dari tadi tangannya tidak penat bermain dengan telefonnya. Sesekali dia menghantar mesej namun tidak dibalas oleh lelaki itu. Dia bergolek-golek di atas tilam sambil memikirkan rancangan yang bermain di kepalanya. Kemudian dia menghubungi lagi lelaki yang begitu rapat dengan daddynya itu. Nasibnya baik kerana panggilannya dijawab oleh Irfan walaupun tiada kemesraan seperti mana yang diharapkan.

“ Emm..Fiffy, apahal kau call aku ni?” kedengaran suara garau Irfan di corong telefon. Mata Fiffy bersinar mendengar suara insan yang dicintainya itu. Pantas dia bangun dari pembaringan dan berdiri di tepi jendela kamarnya.

“ Fan you kat mana?” pantas soalan itu meluncur dari bibir Fiffy.

“ I baru balik dari Pahang pasal pembelian tanah. Kenapa? You rindukan I ke?” Irfan pula sengaja mengejek rasa hatinya. Bukan lelaki itu tidak tahu rasa hati Fiffy yang telah diluah berkali-kali. Namun hanya kata-kata yang menyakitkan sering menjadi santapan telinganya.

“ I nak jumpa you Fan! Boleh tak? Malam ni?”

“ Ok! Tapi nak jumpa kat mana?”

“ Emm..nanti I bagitahu! Apa pun pastikan you datang Fan.” Fiffy benar-benar berharap. Besar harapannya untuk berjumpa lelaki itu dan memudahkan rancangannya untuk memerangkap Irfan.

“ Ok! See you tonight!” Talian diputuskan tanpa sempat Fiffy bersuara. Dia mengetap bibir dan melabuh punggungnya di birai katil. Tiba-tiba senyuman terukir di bibirnya tanpa dipaksa. Pasti semuanya akan menjadi berita yang paling hangat diperkatakan!
Dan malam itu, seperti yang dirancangkan, Fiffy meletakkan sesuatu di dalam air minuman Irfan ketika mereka berjumpa di sebuah hotel terkemuka di ibu kota. Tanpa disedari lelaki itu, malam itu Fiffy membawanya ke sebuah bilik di hotel tersebut. Dan saat lelaki itu tersedar, mereka telah dikerumuni oleh beberapa orang dari jabatan agama. Saat mereka dituduh berkhalwat, Irfan terpingga-pingga kehairanan, sedangkan Fiffy pula tersenyum penuh makna. Dan kerana tangkapan itu mereka terpaksa disatukan untuk menutup aib keluarga.

****

Bunyi enjin kereta di luar rumah mengejutkan Datin Fiffy dari lamunan. Dia mengurut dada dan bangun menghampiri jendela. Kelihatan kereta Waja milik suaminya keluar dari halaman rumah dan meluncur laju entah ke mana. Kemudian kereta milik anak bujangnya pula memasuki halaman rumah. Pantas dia bergegas turun ke tingkat bawah dan menuju ke pintu utama.
Kelihatan Nazri keluar dari perut kereta dan memandangnya dengan senyuman. Pantas pintu kereta ditutup kuat sebelum dia melangkah menuju ke arah Datin Fiffy yang memandang dengan wajah yang kelat.

“ Kenapa ni mama? Muka tu masam je! Gaduh dengan daddy ek?” Nazri bersuara tanpa sempat wanita anggun itu bersuara. Dia masuk ke dalam rumah dan melabuh punggung di atas sofa. Datin Fiffy turut melabuh punggung di sebelah anak bujangnya yang kelihatan begitu penat.

“ Dah jam berapa ni? Baru balik?” tutur Datin Fiffy sedikit keras.

“ Ala mama ni! macam tak biasa pulak! Ni kan KL mama..Setakat jam 2.00 pagi tu biasalah. Daddy mana? Dah tidur?” soal Nazri sambil membalikkan tubuhnya di atas sofa tersebut. Hilang sedikit rasa penat yang dirasainya.

“ Baru je keluar! Entah pergi mana pun mama tak tahu! Agaknya jumpa betina lain kat luar! Naz rasa daddy tu ada orang lain tak?” tanpa diduga soalan itu yang terluah oleh Datin Fiffy. Nazri yang mendengar tersengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“ Maksud mama, daddy ada skandal dengan orang lain? Macam tu?” gelak Nazri pula.

“ Tak adalah..Cuma mama hairan, sejak kebelakangan ni daddy Naz tu asyik resah je! Tidur pun tak lena. Mama risau kalau-kalau daddy ada perempuan lain kat luar tu!” Luah Datin Fiffy tanpa berselindung.

“ Mama nak Naz intip daddy ke? Ala mama, daddy tu kan Dato’! Pasti ramai yang nak tackle daddy! Yang mama pulak, risau sangat kenapa? Mama pun carilah boyfriend lain.” Selamba kata-kata yang dituturkan oleh Nazri. Baginya, curang itu perkara biasa. Kalau nak diikutkan dosa, Nazri tidak pernah melihat mama dan daddynya sujud di tikar sejadah. Jauh sekali untuk mengajarnya solat atau mengaji. Sudahnya dia sendiri yang tergapai-gapai dalam mencari hala tuju yang sebenar.

“ Naz jangan nak mengarut boleh tak? Sudahlah mama nak tidur. Cakap dengan Naz bukan menyenangkan hati mama. Nak tidur tu, mandi dulu! Baru segar badan tu!” Ujar Datin Fiffy sebelum melangkah naik ke tingkat atas. Nazri yang mendengar hanya menganggukkan kepalanya sebelum terlena di atas sofa.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.