Home Novel Thriller/Aksi Ros Hitam
Ros Hitam
Amylieyhaizani
27/9/2014 17:04:44
13,209
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 6

Bab 6

Fandey yang berada di hadapan rumah Murni membunyikan hon beberapa kali. Tidak lama kemudian kelibat gadis itu kelihatan di pintu utama. Pantas Fandey melemparkan senyuman kepada Murni yang melangkah menuju kepadanya.

“ Lama tunggu? Maaf, pagi tadi kemaskan rumah! Maklumlah rumah bujang!” tutur Fandey setelah Murni berada di sebelahnya. Wajah gadis itu dipandang sekilas sebelum meluncur laju meninggalkan kawasan rumah tersebut.

“ Awak duduk dengan siapa? Sorang?” soal Murni setelah lama mendiamkan diri. Fandey yang mendengar, tersenyum sebelum menganggukkan kepala.

“ Duduk ramai-ramai ni serabutkan kepala! Lagilah kalau tak sekepala dengan kita. Saya ni bukannya suka sangat kemaskan rumah. Silap hari bulan kena sembur! Tak ke nayer!” Fandey tergelak kecil. Murni yang mendengar menganggukkan kepala tanda setuju. Sebab itu juga dia lebih selesa tinggal sendiri dari berteman.

“ Sekarang kita nak pergi mana?” Murni mengalihkan topik cerita. Matanya memandang ke arah luar. Kenderaan yang bertali arus melambatkan perjalanan mereka. Jam di tangannya sudah menunjukkan pukul 3.00 petang. Tiba-tiba Murni ternampak seseorang yang merenung tajam kepadanya di sebelah jalan sana.

“ Kita pergi minumlah ya!” balas Fandey tanpa menyedari ketakutan di wajah Murni. Dia memandang wajah Murni yang pucat tidak berdarah. Pantas dia memberhentikan keretanya di bahu jalan. Murni yang memandang kepadanya menunjukkan sesuatu di hujung jalan. Tanggannya terketar-ketar sebelum menangis tersedu-sedu. Fandey yang tidak mengerti hanya menarik nafas panjang sebelum meredakan tangisan Murni yang semakin kuat dengan tiba-tiba.

****

“ Kenapa dengan awak Murni? Saya tengok awak macam ada masalah! Kalau ada, beritahulah pada saya. Insya’Allah saya akan bantu awak!” Fandey memandang Murni yang asyik memusingkan straw yang berada di dalam gelas. Lama dia melamun memikirkan apa yang berlaku kepadanya sejak akhir-akhir ini.

“ Mungkin saya demam!” gumam Murni sendiri. Fandey menatap wajah gadis manis itu. Terasa ada sesuatu yang disembunyikan oleh Murni daripadanya. Mungkin masalah peribadi! Sempat Fandey membuat tanggapan tanpa mengetahui perkara sebenar yang telah berlaku.

“ Sejak bila awak kerja dengan Dato’ Irfan? Dah lama?” Fandey mengalihkan topik perbualan. Nyata Murni kelihatan senang apabila perbualan yang menjurus kepada masalahnya itu tadi tidak lagi bermain di bibirnya.

“ Dah sebulan! Sebelum ni saya duduk dengan nenek kat kampung. Datang Kuala Lumpur nak cari kerja. Entah macam mana boleh bertembung dengan Dato’ Irfan ketika nak melintas jalan. Masa tu dia tolong saya cari rumah dan kerja!” balas Murni dengan senyuman. Fandey mengerutkan dahinya buat seketika. Senang dah mudah gadis itu mendapat kerja! Mungkin kerana ehsan Dato’ Irfan!

“ Baiknya Dato’ Irfan! Agakanya dia nak ayat awak tak?” Fandey ketawa bagai dibuat-buat sedangkan di hatinya mula keresahan. Mungkinkah lelaki separuh abad itu menyukai Murni? Fandey boleh nampak dengan jelas pandangan mesra Dato’ Irfan terhadap gadis itu ketika pertama kali mereka berjumpa.

“ Mengarutlah Fandey ni! Dato’ tu sebaya ayah saya kalau ayah saya masih hidup! Tapi umurnya tak panjang. Mak pun dah lama meninggal dunia!” luah Murni kelihatan tenang walaupun di hatinya bergelora. Dia rindukan kedua ibu bapanya itu. Kalaulah mereka masih ada..Murni melepaskan keluhan yang berat.

“ Allah lebih sayangkan mereka Murni. Sekarang jangan sedih-sedih lagi! Lepas makan, saya nak bawa awak jalan-jalan pusing KL! Cuci mata. Nak tak?” Fandey kelihatan gembira. Murni hanya menganggukkan kepala sebelum melemparkan senyuman manis kepada lelaki di hadapannya itu.

****

Ketika Murni meminta diri untuk ke tandas, di suatu sudut kelihatan Ros Hitam memandang lama kepada Fandey. Entah kenapa dia cukup tertarik kepada lelaki tampan itu. Cukup padan dengan Murni! Getusnya sendiri. Tiba-tiba dia teringatkan Dato’ Irfan. Dendamnya kepada lelaki tua itu akan terbalas tidak lama lagi. Dia cukup benci apabila mengetahui Murni bekerja dengan lelaki tua itu. Baginya perempuan lembut seperti Murni tidak sepatutnya mengabdikan diri untuk Dato’ Irfan. Sebulan yang lepas, Ros Hitam telah berjanji tidak akan membiarkan perempuan lembut seperti Murni dipermainkan! Kerana itu dia membunuh Edzhar yang cuba rapat dengan Murni.
“ Kau cuba bercerita tentang kau kepada lelaki yang baru kau kenal! Kau tak tahu lelaki ini macam mana! Pasti kau akan jadi mangsa macam aku!” Ros Hitam mengetap bibirnya. Dalam jahatnya masih ada timbang rasa. Apa yang pasti dia bukan dajal! Namun dia juga bukan malaikat! Ros Hitam tersengih sendiri. Dia berlalu dari situ apabila melihat Murni yang mula menuju menghampiri Fandey.

****

Di dalam kereta berhadapan Restoran Murni dan Fandey menjamu selera, Norashima Kirana menyapu air mata yang menitis. Rasa cemburunya kepada gadis yang berada di sebelah sahabat baiknya itu begitu mendalam. Sudah lama dia memadam cinta yang hadir namun tidak berjaya. Berkali juga diluahkan rasa cinta kepada lelaki itu, namun Fandey tidak pernah sekali memberinya peluang. Kata Fandey Bestfriend forever! Sedangkan di hatinya telah tercipta rasa cinta yang bukan sedikit buat temannya itu.

“ Shima, Fandey minta maaf! Fandey dah anggap Shima kawan baik Fandey! Kita berkawan macam biasa. Okey?” lembut tutur kata Fandey sedangkan air mata Norashima Kirana sudah bergenang di tubir mata.

“ Shima sayangkan Fandey! Kenapa Fan tak pernah bagi Shima peluang? Shima akan bahagiakan Fen! Shima tak sanggup lihat perempuan lain mempermainkan cinta Fen nanti!” balas Norashima Kirana dengan ikhlas. Ada sinar cinta yang mendalam dalam anak matanya itu.

“ Insya’Allah Fen akan cari kekasih baik macam Shima! Dahlah jangan nangis k!” Air mata Norashima Kirana disapu lembut oleh lelaki itu. Nyata kasih sayang antara mereka sekadar sahabat cuma.

Tok,tok..cermin kereta diketuk dari luar. Pantas Norashima Kirana menyapu air matanya. Kenangan tadi lenyap sekelip mata. Pantas dia menurunkan cermin kereta. Seorang wanita muda bertanya sesuatu kepadanya. Pantas dia mengelengkan kepala dan berlalu dari situ dengan hati yang ralat. Fen..selamanya Shima sayangkan Fen!

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.