Bab 7
Dato’ Irfan tidak dapat melelapkan matanya. Jam
didinding hampir jam 1 pagi. Dia benar-benar resah dan gelisah. Sesekali dia
menatap lama wajah isterinya yang putih bersih. Kepalanya bercelaru dengan
pelbagai persoalan. Kenangan sepuluh tahun datang lagi tanpa dipaksa.
Wajah yang manis itu dipandang
lama. Senyuman wanita yang diminatinya itu menjadi igauan setiap masa. Urusan
pembelian tanah yang sepatutnya mengambil masa dua minggu ditambah lagi
sehingga menjadi dua bulan lamanya. Tiada siapa yang tahu rasa hatinya yang
mula berkecamuk. Pandangan pertamanya mengundang cinta di hatinya dan tersemat
kukuh di sanubari.
“ Saya dah ada suami Dato’! Tolong jangan
ganggu laluan saya. Saya perlu bekerja untuk menampung perbelanjaan kami
sekeluarga. Kalau macam ni cara Dato’, saya rasa baik Dato’ lupakan hasrat
Dato’ untuk terus berada di sini.” Kata-kata wanita itu cukup tegas. Tiada lagi
senyuman yang biasa dilemparkan. Kerja sehariannya menorah getah di hujung
kampung memberi ruang untuk Dato’ Irfan
menggoda wanita cantik itu.
“ Saya sukakan awak Suriani! Kenapa awak tak
faham? Saya boleh beri apa yang saja yang awak inginkan. Perempuan secantik
seperti awak tidak seharusnya membuat kerja macam ni!” Dato’ Irfan terus
memujuk. Hasrat hatinya benar-benar membutakan akal dan fikirannya. Dia tidak
kisah andai wanita itu sudah berpunya.
“ Dato’ faham tak? Saya ni isteri orang! Apa
Dato’ tak ada agama? Tak tahu yang mana halal dan yang mana haram? Sebelum saya
cerita pada orang kampung pasal Dato’, baik Dato’ lupakan niat tak baik Dato’
tu!” Suriani benar-benar marah. Wajahnya
yang putih bersih merona merah. Risau juga andai pertembungan tidak sengaja itu
menjadi buah mulut orang kampung.
“ Saya akan bagi awak kemewahan Suriani! Awak
minta cerai dengan suami awak ye!”
Tangan wanita itu dipegang kemas. Pantas Suriani menarik kuat. Sakit
hatinya diperlakukan sedemikian rupa.
“ Dato’ jangan buat saya macam tak ada agama!
Kalau apa-apa yang terjadi kepada saya, nahas Dato’!” Pandangan mata Suriani
mula berkaca. Ada rasa bersalah di dalam hati Dato’ Irfan. Namun cintanya
kepada Suriani tidak dapat dipadam sekelip mata. Dia tidak pernah menyintai
sesiapa sebelum ini. Biar seribu orang yang datang merayu, namun hatinya tidak
terbuka untuk bercinta. Namun dengan Suriani, hatinya menjadi kacau dan resah.
Ah, cinta rupanya begitu menyakitkan.
“ Abang tak tidur lagi?” tiba-tiba Datin Fiffy
bersuara sambil menggosok matanya beberapa kali. Dia memandang jam yang berada
di dinding dan berkalih semula kepada suaminya yang hanya mendiamkan diri.
“ Abang!” Sergahnya sedikit kuat. Pantas Dato’
Irfan memandang isterinya. Dia mengurut dada apabila disergah sebegitu. Hampir
gugur jantungnya mendengar suara Datin Fiffy yang mengejutkannya dari lamunan
sebentar tadi.
“ Emm..ada apa?” Dato’ Irfan malas untuk
menjawab.
“
Dah jam berapa ni? Abang tak tidur lagi?” Datin Fiffy mengerutkan dahinya. Suaminya kelihatan
begitu resah. Sejak dua tiga hari lepas, lelaki itu tidak dapat melelapkan
mata. Ada apa masalah sebenarnya?
“ Abang panas! Tak boleh nak tidur!” Selamba tutur kata Dato’ Irfan. Mata Datin
Fiffy terkebil-kebil memandang suaminya. Bagaikan tidak percaya mendengar
alasan yang tidak masuk dek akal. Bilik yang dipasang penghawa dingin itu tidak
mungkin membuatkan seseorang merasa tidak selesa atau rimas. Jadi apa
sebenarnya yang mengganggu ketenangan lelaki itu?
“ Abang panas? Abang biar betul?” tingkah Datin
Fiffy dengan geram.
“ Awak ni kenapa? Tak percaya cakap saya?
Sudahlah! Awak tidur jelah! Kalau saya mengantuk, tahulah saya tidur!” Marah Dato’ Irfan yang mula bosan dengan
persoalan isterinya. Sudahlah dia terbeban dengan kehadiran masa silam yang
seakan menduga hatinya. Ditambah pula dengan persoalan isterinya yang dianggap
cukup meloyakan.
“ Kenapa abang berkasar dengan Fiffy ni bang?
Kenapa abang tak pernah cintakan Fiffy?
Sejak kahwin, abang layan Fiffy macam apa! Fiffy ni isteri abang!” Datin
Fiffy bersuara perlahan. Ada kelukaan dalam tutur katanya. Air matanya seakan
ingin mengalir. Sampai bila dia harus menunggu cinta daripada suaminya sendiri.
“ Awak yang nak sangat kahwin dengan saya?
Sekarang awak nak tanya pulak! Dahlah, saya rimas nak jawab soalan remeh macam
ni!” Tutur Dato’ Irfan sambil bangun dan meninggalkan isterinya yang mula
menarik muka.
“ Apa pun saya isteri abang! Abang jangan
lupa!” jerit Datin Fiffy kepada suaminya.
“ Ya, saya takkan lupa apa yang awak buat pada
saya!” Kata-kata Dato’ Irfan cukup menambah luka di hati Datin Fiffy. Dia
menangis teresak-esak saat suaminya mula hilang dari pandangan. Walau apa pun
alasan, cintanya tetap untuk suami tercinta dan untuk berpaling tidak
sekali-kali.
****
“ Tolonglah daddy, Fiffy nak kahwin dengan
abang Irfan jugak!” Fiffy merengek-rengek sambil menarik tangan Tan Sri Jamil
yang asyik menbaca surat khabar Kosmo. Patah hatinya apabila cintanya ditolak
mentah-mentah oleh Irfan. Cintanya kepada lelaki itu telah terlalu lama. Namun
hanya tangannya yang bertepuk di angin lalu.
“ Orang tak suka, mana boleh dipaksa-paksa!
Fiffy cari je orang lain! Anak Tan Sri mana? Boleh daddy masuk meminang.” Ujar
Tan Sri Jamil sambil menutup surat khabar yang dibacanya. Rimas juga dia
mendengar anak manjanya yang cukup berkeras untuk mendapatkan sesuatu benda.
“ Tak nak! Fiffy nak abang Irfan jugak! Kalau
daddy tak dapatkan abang Irfan, Fiffy tak nak kahwin!” Rajuk Fiffy dengan nada
yang keras. Cintanya hanya untuk Irfan. Untuk mengahwini lelaki lain tidak
mungkin sama sekali.
“ Apa yang daddy boleh buat? Pujuk Irfan tu?
Fiffy kan tahu, Irfan tu susah nak jatuh cinta. Kalau tak dah lama dia terima
Fiffy. Fiffy janganlah nak paksa-paksa dia. Tak manis dilihat orang.” Tan Sri
Jamil bangun untuk berlalu. Fiffy yang mendengar mencebik tidak berpuas hati.
Tiba-tiba terlintas sesuatu di kepalanya. Kemudian dia tersenyum lama dan bangun untuk menjalankan misinya. Pasti
rancangannya akan berjaya walaupun terpaksa mencalarkan imej keluarganya. Apa
yang dia tahu, hatinya telah buta kerana cinta. Dan cinta itu akan digenggam
kemas walaupun hati Irfan bukan miliknya. Memikirkan apa yang bakal dilakukan,
Fiffy tersenyum lagi. Lelaki ego seperti Irfan akan tersungkur jua di dalam pelukannya
dan akan terus menjadi miliknya. Itu Fiffy cukup pasti.
****
Fiffy menghubungi Irfan dengan sabar. Dari tadi
tangannya tidak penat bermain dengan telefonnya. Sesekali dia menghantar mesej
namun tidak dibalas oleh lelaki itu. Dia bergolek-golek di atas tilam sambil
memikirkan rancangan yang bermain di kepalanya. Kemudian dia menghubungi lagi
lelaki yang begitu rapat dengan daddynya itu. Nasibnya baik kerana panggilannya
dijawab oleh Irfan walaupun tiada kemesraan seperti mana yang diharapkan.
“ Emm..Fiffy, apahal kau call aku ni?” kedengaran suara garau Irfan di corong telefon. Mata
Fiffy bersinar mendengar suara insan yang dicintainya itu. Pantas dia bangun
dari pembaringan dan berdiri di tepi jendela kamarnya.
“ Fan you
kat mana?” pantas soalan itu meluncur dari bibir Fiffy.
“ I baru balik dari Pahang pasal pembelian
tanah. Kenapa? You rindukan I ke?” Irfan pula sengaja mengejek rasa hatinya.
Bukan lelaki itu tidak tahu rasa hati Fiffy yang telah diluah berkali-kali.
Namun hanya kata-kata yang menyakitkan sering menjadi santapan telinganya.
“ I nak jumpa you Fan! Boleh tak? Malam ni?”
“ Ok! Tapi nak jumpa kat mana?”
“ Emm..nanti I bagitahu! Apa pun pastikan you
datang Fan.” Fiffy benar-benar berharap. Besar harapannya untuk berjumpa lelaki
itu dan memudahkan rancangannya untuk memerangkap Irfan.
“ Ok! See
you tonight!” Talian diputuskan tanpa sempat Fiffy bersuara. Dia mengetap
bibir dan melabuh punggungnya di birai katil. Tiba-tiba senyuman terukir di
bibirnya tanpa dipaksa. Pasti semuanya akan menjadi berita yang paling hangat
diperkatakan!
Dan malam itu, seperti yang
dirancangkan, Fiffy meletakkan sesuatu
di dalam air minuman Irfan ketika mereka berjumpa di sebuah hotel terkemuka di
ibu kota. Tanpa disedari lelaki itu, malam itu Fiffy membawanya ke sebuah bilik
di hotel tersebut. Dan saat lelaki itu tersedar, mereka telah dikerumuni oleh
beberapa orang dari jabatan agama. Saat mereka dituduh berkhalwat, Irfan
terpingga-pingga kehairanan, sedangkan Fiffy pula tersenyum penuh makna. Dan
kerana tangkapan itu mereka terpaksa disatukan untuk menutup aib keluarga.
****
Bunyi enjin kereta di luar rumah mengejutkan Datin
Fiffy dari lamunan. Dia mengurut dada dan bangun menghampiri jendela. Kelihatan
kereta Waja milik suaminya keluar dari halaman rumah dan meluncur laju entah ke
mana. Kemudian kereta milik anak bujangnya pula memasuki halaman rumah. Pantas
dia bergegas turun ke tingkat bawah dan menuju ke pintu utama.
Kelihatan Nazri keluar dari
perut kereta dan memandangnya dengan senyuman. Pantas pintu kereta ditutup kuat
sebelum dia melangkah menuju ke arah Datin Fiffy yang memandang dengan wajah
yang kelat.
“ Kenapa ni mama? Muka tu masam je! Gaduh
dengan daddy ek?” Nazri bersuara tanpa sempat wanita anggun itu bersuara. Dia
masuk ke dalam rumah dan melabuh punggung di atas sofa. Datin Fiffy turut
melabuh punggung di sebelah anak bujangnya yang kelihatan begitu penat.
“ Dah jam berapa ni? Baru balik?” tutur Datin
Fiffy sedikit keras.
“ Ala mama ni! macam tak biasa pulak! Ni kan KL
mama..Setakat jam 2.00 pagi tu biasalah. Daddy mana? Dah tidur?” soal Nazri
sambil membalikkan tubuhnya di atas sofa tersebut. Hilang sedikit rasa penat
yang dirasainya.
“ Baru je keluar! Entah pergi mana pun mama tak
tahu! Agaknya jumpa betina lain kat luar! Naz rasa daddy tu ada orang lain
tak?” tanpa diduga soalan itu yang terluah oleh Datin Fiffy. Nazri yang
mendengar tersengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“ Maksud mama, daddy ada skandal dengan orang
lain? Macam tu?” gelak Nazri pula.
“ Tak adalah..Cuma mama hairan, sejak kebelakangan
ni daddy Naz tu asyik resah je! Tidur pun tak lena. Mama risau kalau-kalau
daddy ada perempuan lain kat luar tu!” Luah Datin Fiffy tanpa berselindung.
“ Mama nak Naz intip daddy ke? Ala mama, daddy
tu kan Dato’! Pasti ramai yang nak tackle daddy! Yang mama pulak, risau sangat
kenapa? Mama pun carilah boyfriend
lain.” Selamba kata-kata yang dituturkan oleh Nazri. Baginya, curang itu
perkara biasa. Kalau nak diikutkan dosa, Nazri tidak pernah melihat mama dan
daddynya sujud di tikar sejadah. Jauh sekali untuk mengajarnya solat atau
mengaji. Sudahnya dia sendiri yang tergapai-gapai dalam mencari hala tuju yang
sebenar.
“ Naz jangan nak mengarut boleh tak? Sudahlah
mama nak tidur. Cakap dengan Naz bukan menyenangkan hati mama. Nak tidur tu,
mandi dulu! Baru segar badan tu!” Ujar Datin Fiffy sebelum melangkah naik ke
tingkat atas. Nazri yang mendengar hanya menganggukkan kepalanya sebelum
terlena di atas sofa.