Bab11
Sesampai sahaja di rumah, Datin Fiffy menghempaskan tubuhnya
ke atas kusyen. Air matanya berhemburan lagi tanpa dapat ditahan. Dia menangis
semahu-mahunya sebelum bangun dan membalingkan beberapa barang yang berada
berdekatannya.Hatinya cukup sakit dan terguris. Mungkin benar dia berdosa
kerana memerangkap Dato’ Irfan. Namun semua itu telah lama berlalu. Tiba-tiba
pintu ditolak dari luar. Seorang gadis memeluk erat bahu anak bujangnya tanpa
rasa malu. Dia tersenyum melihat Datin Fiffy yang kelihatan tidak terurus.
Setelah meletakkan Nazri yang kelihatan mabuk di atas kusyen, gadis itu berlalu
tanpa bersuara.
“
Nazri! Bangun Nazri! Kau kenapa? Dah pandai mabuk-mabuk ni!” Datin Fiffy
benar-benar hilang sabar. Sakit hatinya masih belum hilang, ditambah pula
dengan sikap Nazri yang dianggap keterlaluan.
“ Apa ni mama! Wanda mana ma?” Nazri
membulatkan matanya sambil tersenyum. Dia cuba bangun, namun terjatuh semula ke
atas kusyen. Dia tergelak-gelak sendiri sambil menyanyi. Entah apa lagu, Datin
Fiffy sendiri tidak pasti.
“ Wanda? Perempuan tadi tu namanya Wanda?
Perempuan macam tu Nazri nak jadikan bini?” Jerkah Datin Fiffy tanpa dapat
ditahan lagi.
“ Naz yang godanya mama! Bukan dia yang goda
Naz! Dulu..daddy goda mama, atau mama goda daddy?” soal Nazri dengan mata
tertutup. Kepalanya seakan melayang-layang ke udara. Soalan Nazri bagai
menyentap hati Datin Fiffy. Dia terduduk
tanpa bersuara. Apa yang telah berlaku seakan mengekorinya kini.
“ Atau mama yang jerat daddy?” Nazri bangun dan
terjatuh ke lantai dan terlena di situ. Datin Fiffy bangun menuju ke biliknya.
Air matanya mengalir lagi. Tiba di bilik, dia
menghempaskan dirinya ke atas tilam yang empuk. Tidak lama kemudian,
kedengaran deruan enjin kereta Dato’ Irfan masuk ke halaman rumah. Dan saat
itu, Datin Fiffy terasa sebuah kehilangan. Kehilangan yang mungkin akan
terjadi.
****
Saat melangkah masuk ke dalam rumah, mata Dato’
Irfan membutang luas melihat rumahnya yang berselerak. Kelihatan Nazri
tertiarap di atas lantai. Sangka Dato’ Irfan rumah mereka mungkin dimasuki
perompak. Pantas dia mengangkat Nazri dan membaringkannya di atas kusyen.
Matanya mencari-cari kelibat Datin Fiffy yang tidak kelihatan.
“ Baru sekarang awak nak balik!” Sergah Datin
Fiffy di anak tangga. Matanya yang bengkak dapat dilihat dengan jelas oleh
Dato’ Irfan.
“ Apa kena dengan rumah ni? Berselerak sana
sini..Masuk perompak ke apa?” Dato’ Irfan belum mengerti kemarahan isterinya.
“ Abang pergi mana?” Datin Fiffy bersuara
keras. Sakit hatinya dengan sikap lelaki di hadapannya.
“ Mana lagi! Jumpa kawanlah! Yang awak
marah-marah ni kenapa? Rumah ni kenapa berselerak sampai macam ni?” Dato’ Irfan
melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Penatnya belum hilang, ditambah pula
dengan bebelan isterinya benar-benar menyakitkan telinga.
“ Kawan mana? Atau awak jumpa anak ikan?”
bentak Datin Fiffy sambil menghampiri suaminya yang memandang tajam kepadanya.
“ Apa awak merepek ni? Tak habis-habis
menyakitkan hati saya kenapa?” tempelek Dato’ Irfan pula.
“ Siapa perempuan yang saya nampak dengan abang
dekat Bukit Bintang tadi? Siapa bang?” terjah Datin Fiffy tanpa dapat dibendung
lagi. Kelihatan wajah Dato’ Irfan merah padam. Pantang olehnya jika diintip
sesuka hati.
“ Jadi awak mengendap saya? Nak jadi spy?”
“ Jadi betullah? Perempuan tu kekasih gelap
awak? Macam tu?” Datin Fiffy masih tidak berpuas hati.
“ Saya tidak cakap saya ada hubungan dengan
sesiapa. Yang awak main tuduh kenapa? Awak nak sangat?” balas Dato’ Irfan
dengan geram.
“ Jadi perempuan tu siapa??” tekan Datin
Fiffy pula.
“ Manalah saya tahu! Malas saya nak layan awak.
Balik rumah menyakitkan hati suami.” Tutur Dato’ Irfan sambil berlalu ke
tingkat atas. Datin Fiffy mengejar Dato’ Irfan dengan perasaan marah.
“ Baik awak bagitahu saya! Siapa budak tu?” jerkah
Datin Fiffy mula hilang hormat terhadap suaminya itu.
“ Kenapa awak nak tahu?” soal Dato’ Irfan
bersahaja.
“ Saya perlu tahu sebab awak suami saya! Saya
tak suka awak ada skandal dengan orang lain! Awak ingat itu tak berdosa ke
Dato’ Irfan?” Jerit Datin Fiffy tanpa dapat ditahan lagi.
Dato’ Irfan memandang lama
wanita dihadapannya. Dia menarik nafas panjang sebelum melepasnya dengan
keluhan yang berat.
“ Itu lebih mulia dari memerangkap anak bujang
orang! Lebih mulia dari ditangkap khalwat! Dan lebih mulia dari menjadi suami
kerana terpaksa! Awak faham?” Dato’ Irfan melepas kata. Dia berlalu
meninggalkan Datin Fiffy yang terduduk di birai tilam. Beberapa minit kemudian,
kedengaran enjin keretanya menderu sebelum hilang dari pendengaran Datin Fiffy.
“ Aku cintakan kau Irfan! Kenapa aku hukum aku
sampai macam ni! kenapa?” Datin Fiffy teresak-esak lagi. Lelah dia menanti
cinta daripada lelaki itu. Namun hanya hempedu yang diberi. Puas dia merintih,
namun tiada siapa yang peduli. Dato’ Irfan seolah-olah membencinya sepenuh
hati.
“ Mama kenapa??” tiba-tiba Nazri tersembul di
muka pintu. Dia merenyeh matanya berulang kali. Sakit kepalanya masih
menunjal-nunjal. Dia duduk di birai katil kamar orang tuanya.
Datin Fiffy memandang lama
anak bujangnya. Hanya Nazri satu-satunya cahaya mata penyeri rumah tangga
mereka walaupun kehadirannya sebenarnya tidak dirancang. Dato’ Irfan berjanji
tidak akan menyentuhnya, jauh sekali untuk memberi zuriat seperti yang
sepatutnya. Kata Dato’ Irfan, dia tidak mahu keturunannya memiliki darah
perempuan hina dan tiada harga. Dan perempuan itu adalah dirinya yang
memerangkap lelaki itu satu ketika dahulu.
Kerana sakit hati dengan sikap
Dato’ Irfan yang menyeksa batinnya, pelbagai kata hinaan dilemparkan oleh Datin
Fiffy. Katanya, Dato’ Irfan hanya seorang lelaki yang lemah. Tidak mampu
memberi zuriat kepadanya. Dan apa yang paling teruk, kata Datin Fiffy, Dato’
Irfan sebenarnya mati pucuk! Berang dengan tuduhan sebegitu, akhirnya Dato’
Irfan tewas dengan kata-katanya sendiri. Mungkin kehadiran Nazri hanya tercipta
dari rasa benci dan dendam seorang lelaki bernama suami.
“ Daddy
Naz ada orang lain!” tutur Datin Fiffy dengan hiba.
“ Ala mama ni, buat apa pening-pening, mama
carilah juga orang lain!” Nazri bersuara selamba. Beberapa kali dia menguap dan
membaringkan tubuhnya ke atas tilam empuk.
“ Apa Naz cakap ni? Naz tak kasihan pada mama?”
Datin Fiffy naik berang.
“ Naz gurau la mama! Daddy tu mana ada orang
lain mama. Mama yang tuduh Daddy bukan-bukan!”
“ Naz, mama nampak dengan mata kepala mama
sendiri. Daddy dengan betina tu bergelak ketawa dekat Bukit Bintang! Kalau Naz
tak percaya, Naz tanya Lalita dengan boyfriend dia yang papa kedana tu!” luah
Datin Fiffy dengan geram. Perasaan
malunya cukup menebal apabila kecurangan suaminya menjadi tontonan gadis itu.
Apa yang paling menyakitkan, keluarga mereka bagaikan tiada harga di mata anak
saudara suaminya itu.
“ Naz dah agak! Mesti ada yang merasuk mama!
Perempuan macam Lalita tu hanya sengaja mencari pasal! Nak menjahanamkan
keluarga kita!” ujar Nazri denagn geram.
“ Tapi mama nampak Naz!” bantah Datin Fiffy.
“ Perempuan tu pegang tangan daddy ke mama?”
Nazri bersuara lembut tetapi kedengaran agak keras.
“ Tak! Tapi…”Datin Fiffy tidak tahu perkataan
apa yang perlu diucapkan lagi.
“ Agaknya, Daddy hanya menyapa perempuan tu!
dan Lalita ambil kesempatan untuk sakitkan hati mama!” luah Nazri dengan
perasaan marah. Mabuknya sebentar tadi mulai hilang. Perasaanya kini hanya memikirkan
perempuan bernama Lalita. Sakit hati dan dendam menjadi satu tersemat di
kalbunya.
“ Perempuan tadi siapa?” Datin Fiffy
mengalihkan tajuk.
“ Perempuan mana?” Nazri mengerutkan dahinya.
“ Yang hantar Naz sebentar tadi?”
“ Emm….Julia mama..” Nazri bangun dan duduk
semula di birai katil. Pandangan tajam mamanya hanya dipandang tanpa rasa
bersalah.
“ Julia atau Wanda?” keras tutur kata Datin
Fiffy. Lupa seketika masalah yang melanda dirinya.
“ Em…Naz tak pastilah! Mungkin Wanda, Julia,
Mimi or Suriya? Kenapa mama? Mama tak berkenan?” uji Nazri dengan sengihan
memanjang.
“ Berubahlah Naz! Berubah!” tekan Datin Fiffy.
“ Berubah? Apa maksud mama? Berubah? Cari yang
lain ke?” Nazri benar-benar tidak faham.
“ Sampai bila Naz nak terus bergelumang dosa
macam ni? Naz tak takut?” Datin Fiffy cuba menyedarkan anak bujangnya. Wajah
anaknya dipandang dengan penuh harapan. Tanpa disangka, Nazri tergelak besar
secara tiba-tiba.
“ Mama, sejak bila mama nak jadi ustazah? Dosa?
Mama tahu ke tentang dosa? Mama tengok dalam cermin, mama akan nampak siapa
yang lebih berdosa ma! Dahlah, Naz nak tidur! Nak mimpi Wanda, Julia..dan..”
Nazri menjungkit keningnya dan berlalu sebelum melemparkan senyuman. Entah apa
maksud senyuman itu, Datin Fiffy sendiri
tidak pasti. Apa yang dia tahu, sememangnya dia tidak layak untuk menasihati
Nazri. Mereka yang mencorakkan kehidupan
anak mereka dengan titik hitam. Mereka yang tidak menunjukkan nilai-nilai murni
untuk dijadikan teladan buat Nazri.
“ Memang aku yang berdosa! Aku yang tidak
mendidik anak aku dengan sewajibnya!” tutur Datin Fiffy sambil berjalan
mengadap ke arah cermin. Lama dia memerhati dosa yang dikatakan Nazri.
Rambutnya yang dulu hitam telah diwarnai dengan warna keperangan. Pakaian yang
dipakainya juga menampakkan lekuk tubuhnya. Wajahnya yang cantik dek kerana
alat solek yang mewah harganya. Tiada air sembahyang yang pernah membasahi
wajahnya. Tiada cahaya atau sinar! Yang ada hanyalah kepuraan dan kesombongan!
Dan yang paling benar dari yang benar, cahaya keimanan tidak pernah wujud dalam
dirinya atau keluarganya.
****
Jam 11 pagi Nazri tercegat di hadapan rumah Lalitha
dengan wajah yang mencuka. Berkali-kali dia mengentuk rumah sepupunya, namun
tiada tanda-tanda pintu akan dibuka. Kemudian Nazri melaung kuat tanpa ada
perasaan malu.
“ Apa ni Bros!” jerkah Lalita kuat.
“ Apa Beruk-beruk? Kau pekak ke? Aku panggil
tak jawab.” Nazri membutangkan matanya seolah-olah ingin menelan gadis di
hadapannya.
“ Ooo…anak Dato’ Irfan! Apahal aku mimpi datang
sini? Ada aku jemput?” sergah Lalita lagi. Terperanjat juga dia melihat Nazri
yang merah padam berada di luar pagar rumahnya. Entah apa mimpi lelaki itu
bertandang ke rumahnya secara tiba-tiba.
“ Lalita, aku nak tanya kau! Kenapa kau tuduh
daddy aku ada skandal dengan perempuan lain? Kau sengaja nak jahanamkan
keluarga aku? Macam tu?” Nazri menjengilkan matanya.
“
Bila masa aku tuduh? Ada kau dengar? Kau ingat aku suka campur hal rumah tangga
bapak kau tu!” tutur Lalitha dengan kasar.
“ Mama aku cakap…”
“ Cakap apa? Mama kau cakap, aku buat cerita?
Atau mama kau yang nampak bapak kau tu ada skandal dengan perempuan tu?Uh!
kalau dah orang tua gatal, gatal juga! Jangan kau nak salahkan orang pula
Nazri!” marah Lalita dengan jelingan yang tajam. Dia ingin melangkah masuk
semula ke dalam rumahnya, namun terhalang dengan kata-kata Nazri.
“ Kalau bapak aku ada skandal sekalipun, lebih
baik dari hubungan kau dengan siapa tu? Brok?” Nazri melepaskan tawa dengan
tiba-tiba.
“ Brok kepala otak kau! Dah malas aku nak
layan! Baik kau baliklah Nazri.. Kau dan aku tiada apa-apa perhubungan. Jangan
rosakkan nama baik aku kat sini! Baliklah!” Ujar Lalita dengan geram.
“ Ok! Tapi kau kena ingat Lalita, kalau apa-apa
berlaku dalam keluarga aku, kau aku cari!” gertak Nazri.
“ Kenapa? Nak masuk meminang aku? Lupakan
jelah!” jawab Lalita bersahaja.
“ Uh! Mujur aku tak bertunang dengan kau!
Sombong dan bongkak!” tutur Nazri tanpa bertapis. Sakit hatinya dengan sikap
kurang ajar gadis itu. Apa yang paling menyakitkan, cintanya kepada Lalita
tidak pernah pudar. Biar seribu gadia yang diusungnya ke sana ke mari, namun
hanya sepupunya itu yang menjadi pilihan hati.
“
Sombong aku kerana keluarga kau juga Nazri! Kerana harta, sanggup putuskan
perhubungan!” jerkah Lalita mula hilang sabar.
“ Kau yang menghina keluarga aku dengan menolak
peminangan kami! Buruk sangat ke aku ni Lalita sampai kau tergamak menolak aku
hanya kerana jantan tak guna tu! Apa yang kau dapat?” sinis kata-kata Nazri.
Merah padam muka Lalita dengan hinaan yang diberikan kepada Bros tanpa
mempedulikan erti persahabatan mereka.
“ Apa yang aku dapat? Kau tanya apa yang aku
dapat Nazri? Dia, lelaki yang bukan pentingkan diri sendiri. Dia bukan seperti
kau dan Dato’ Irfan yang bongkak kerana harta!”
“ Dah jantan tu tak ada kerja! Bolehlah kau
cakap!” getus Nazri perlahan.
“ Sekurang-kurangnya dia ada hati! Dia tahu
menghargai persahabatan kami! Sudahlah! Penat aku layan lelaki macam kau ni!
lebih baik kau balik, tengok apa agaknya Datin Fiffy tu tengah buat..agaknya tengah
meroyan!” Lalita masuk ke dalam rumah dan menghempaskan pintu dengan kuat.
Nazri yang masih berada di luar terkebil-kebil sendiri. Sudahnya, hendak atau
tidak, dia terpaksa pergi sebelum menjadi buah mulut orang sekeliling.
“ Bodoh punya perempuan! Jaga kau Lalita!
Tengoklah nanti…” Nazri membebel sendiri. Tiba-tiba dia teringatkan hubungan
yang dikaitkan dengan daddynya. Siapa perempuan yang tergilakan Dato’ Irfan?
Adakah kerana harta? Apa yang penting, Nazri bertekad akan menyiasat siapa
perempuan yang bakal menghancurkan rumah tangga orang tuanya.