Home Novel Thriller/Aksi Ros Hitam
Ros Hitam
Amylieyhaizani
27/9/2014 17:04:44
55,497
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 3

Bab 3

Ketika melangkah keluar dari perut kereta di tempat parking, Murni dapat merasakan seseorang memerhatikannya dari belakang. Pantas dia berpaling namun tiada sesiapa yang berada di situ. Murni berjalan laju ke pintu lif. Hatinya berdebar dan jantungnya berdegup dengan kencang.
Tiba-tiba bahu Murni ditepuk dari belakang. Dia menjerit ketakutan sebelum berpaling. Bibirnya terketar-ketar dan air matanya jatuh membasahi pipi.

“ Cik, Cik tak apa-apa? Saya cuma ingin bertanya di mana pejabat Dato’ Irfan!” seorang pemuda yang berwajah serius menilik wajah pucat Murni. Hairan juga dia apabila melihat gadis itu melangkah dengan tergesa-gesa. Rasa hairan semakin bertambah apabila gadis itu menjerit ketakutan apabila disapa.

“ Dato” Irfan?” soal Murni teragak-agak. Lelaki di hadapannya menganggukkan kepala. kemudian dia menghulurkan tangan untuk berjabat. Murni hanya memerhati tanpa berniat menyambut huluran tangan lelaki itu.

“ Pejabat Dato’ Irfan tingkat 5. Saya kerja di situ!” balas Murni yang masih memandang sekeliling. Hatinya masih berbisik bahawa ada seseorang yang mengekorinya sebentar tadi.

“ Boleh awak tunjukkan pejabat Dato’ Irfan? Itupun kalau awak tak keberatan!” tambah lelaki itu lagi. Matanya lama merenung seraut wajah gadis di hadapannya. Pucat dan tidak berdarah! Mungkin demam! Gumamnya sendiri.

“ Awak ni siapa?” Murni berbasi-basi. Dia melangkah ke pintu lif yang berhampiran. Dia cuba bersikap tenang walaupun ketakutan masih menghimpit dirinya saat itu.

“ Saya Fandey! Anak kawan kepada Dato’ Irfan. Awak?” lelaki yang bernama Fandey itu berterus terang. Murni menganggukkan kepala sebelum menjawab soalan Fandey.

“ Saya Murni. Salah seorang staf Dato’ Irfan,” ujar Murni mula melempar senyum. Lelaki itu tampak lega dengan sikap Murni yang mula menampakkan dirinya yang sebenar. Peramah dan murah dengan senyuman!

“ Nampaknya kita akan bekerjasama!” balas Fandey dengan mata yang bersinar. Murni mengerutkan dahinya tanda tidak faham.

“ Maksud awak? Awak akan kerja di pejabat Dato’ Irfan?” soal Murni ingin tahu.

“ Macam tulah niatya!” tutur Fandey sambil tergelak kecil. Murni mula menganggukkan kepalanya tanda faham. Kemudian dia melangkah ke dalam perut lif yang terbuka. Fandey yang turut serta mula mendiamkan diri. Dalam diam dia tertarik dengan gadis itu. Cinta pandang pertama! Getus Fandey dan tersenyum sendiri.

****

Ketika melabuhkan punggung di atas kerusi, Murni termenung lama. Matanya menatap tempat duduk Edzhar yang tidak berpenghuni. Tanpa sedar air mata Murni jatuh membasahi pipi. Kasihan kau Zahar! Getus Murni sendiri. Terbayang di matanya lenggok lentok lelaki lembut itu. Gayanya, caranya dan percakapannya walaupun terlebih dari seorang perempuan namun Edzhar mempunyai hati yang baik.

“ Maafkan aku, Zahar!” Murni meraup mukanya dengan penuh penyesalan. Dia tidak berdaya menyelamatkan lelaki itu dari kekejaman gadis berjaket itu.

“ Kau jangan tak tahu Murni, aku ini anak yatim piatu tahu..Kalau aku mati katak pun tak ada orang yang tahu..” ujar Edzhar apabila Murni mengatakan pasti ramai yang menyayangi lelaki sepertinya.

“ Kau jangan cakap macam tu Zahar! Sedih aku. Kalau tak ada orang yang kau, aku ada! Aku sayang kau sangat-sangat! Akupun anak yatim piatu juga,” balas Murni sambil menepuk bahu temannya itu.

“ Betul kau sayang aku ni? Seronok..mak dengar!” Edzhar tergelak halus sambil menutup mulutnya. Beberapa staf lain memandang seolah-olah mengutuk cara dan tingkahlaku lelaki lembut itu. Ada yang membutangkan mata seperti ingin menelan Edzhar yang terkebil-kebil sambil menjeling kepada Murni.

“ Betul..Aku sayang sangat kat kau! Kau kan kawan aku!” balas Murni jujur.

“ Kau tak takut kalau-kalau diorang tu kutuk kau? Silap haribulan, diorang kata kita ada skandal! Tak kuasa!” Edzhar tergelak lagi. Murni hanya tersenyum simpul. Kelakar juga jika digandingkan. Apa tidaknya lenggok Edzhar mengalahkan dirinya. Kadangkala lelaki itu tidak segan silu memakai bedak dan sedikit pelembap bibir. Katanya menjaga kulit dari menjadi kusam.

“ Biarlah diorang nak cakap apa pun Zahar. Kau jangan ambil hati. Kalau kau nak tahu, diorang tu jelous kau lembut dari diorang! Dahlah tu! Jangan kau rendahkan diri kau lagi. Yang penting, kau tak tersesat jalan sudah! Takut tak dapat masuk syurga,” jelas Murni sekadar memberi nasihat.

“ Lembut-lembut aku, aku lelaki tulen Murni! Aku bersyukur sebab Allah bagi aku peluang untuk hidup atas dunia ni. Kalau suatu hari aku tak ada…” Edzhar merenung ke dalam mata Murni lama. Ada air jernih bertakung di kolam matanya.

“ Bukan kau je yang tak ada! Aku juga! Dah, jangan cakap lagi. Kau buat aku rasa nak menangis!” ujar Murni sambil ketawa bagai dibuat-buat.

Tok, tok..tok,tok..Ketukan kuat di atas meja Murni menyebabkan dia tersedar dari lamunan. Senyuman sinis Nurul Akma selaku setiausaha kepada Dato’ Irfan dapat dilihat dengan jelas. Murni mendengus perlahan. Kenangan bersama Edzhar hilang sekelip mata.

“ Dato’ Irfan panggil kau!” Nurul Akma bersuara sedikit kasar. Benci betul dia kepada Murni kerana dianggap menghasut Edzhar agar terus berkelakuan lembut seperti perempuan. Bagi Nurul Akma, Murni sepatutnya menasihati Edzhar agar menjadi lelaki tulen. Bukan lelaki lembut yang nampak songsang di matanya.

“ Kenapa Dato’ Irfan nak jumpa Murni?” soal Murni dengan nada lembut. Wajah masam Nurul Akmal dipandang lama. Seingat Murni sepanjang sebulan dia bekerja di situ, hanya Edzhar yang melayannya dengan baik. Semua yang lain hanya memandangnya sebelah mata. Apa yang dibenci sangat oleh mereka, Murni malas ambil pusing.

“ Manalah aku tahu! Kau pergilah tanya sendiri! Kau dengan Edzhar tu samalah! Lembik semacam je aku tengok!” sergah Nurul Akma sebelum berlalu ke tempat duduknya. Entah kenapa benci benar dia kepada gadis polos situ. Semenjak Murni hadir di pejabat itu, Dato’ Irfan sentiasa memerhatikan gelagat gadis itu. Apa yang lebih menyakitkan hati Nurul Akma apabila Dato’ Irfan terlalu memanjakan Murni. Sikit-sikit sopan macam Murni! Sikit-sikit lembut macam Murni! Tak mustahil suatu hari gadis itu yang akan menggantikan tempatnya sebagai Setiusaha kepada lelaki separuh abad itu! Nurul Akma menarik nafas dan melepaskannya dengan keluhan yang berat. Murni yang memerhati Nurul Akma, bangun untuk ke bilik Dato’ Irfan. Hatinya benar-benar terluka dengan kata-kata gadis itu. Hatinya bertambah sakit apabila nama Edzhar disebut-sebut. “ Edzhar, kau bersemandilah di sana dengan aman!” luah Murni sebelum mengetuk pintu bilik majikannya itu.

“ Masuk!” kedengaran suara kasar dari dalam. Pantas Murni menolak pintu dan melangkah masuk. Tiba-tiba matanya bertentangan dengan lelaki yang memperkenalkan diri di tempat parking kereta sebentar tadi. Lelaki itu merenung lama kepada Murni dengan senyuman.

“ Dato’ panggil saya?” soal Murni sambil duduk apabila diarah. Fandey yang berada di sebelahnya terus merenung dengan penuh minat.

“ Murni..ini Fandey! Fandey akan gantikan tempat Edzhar . Nanti bolehlah Murni bekerjasama dengan dia!” lembut tutur kata Dato’ Irfan. Wajah polos Murni dipandang dengan penuh kasih.

“ Edzhar…” Murni sebak untuk bersuara. Tidak tahu bagaimana hendak memberitahu tentang nasib malang yang menimpa lelaki itu.

“ Edzhar dah berhenti. Ini Surat letak jawatannya. Tidak tahu kenapa dia tergesa-gesa. Surat ini pun diberikan oleh Nurul kepada saya,” balas Dato’ Irfan tanpa mengerti resah di hati Murni.

“ Berhenti kerja? Surat letak jawatan?” Murni mengerutkan dahinya. Sejak bila Zahar tulis surat berhenti kerja? Bukankah..

“ Ya! Surat letak jawatan! Kenapa? Edzhar tak cakap dengan awak?” Dato’ Irfan pula menjungkit kening. Fandey yang memasang telinga hanya memerhatikan percakapan mereka tanpa berniat untuk menyampuk.

“ Dia cakap nak pergi mana Dato’?” soal Murni ingin tahu. Rasa hairan masih menghimpit dirinya saat itu.

“ Dia tulis dalam ni nak balik kampung! Mungkin ada kerja yang lebih baik di sana!” balas Dato’ Irfan bersahaja. Murni menggigit bibir. Dia betul-betul hairan dengan apa yang telah berlaku. Kampung mana yang dimaksudkan sedangkan lelaki gempal itu tiada sesiapa lagi di muka bumi ini. Jika benar sekalipun, mustahil Edzhar tidak memberitahunya. Atau kematian Edzhar sebenarnya telah dirancang! Mustahil Zahar belum mati! Aku sendiri lihat..Murni menggelengkan kepalanya secara tiba-tiba.

“ Awak kenapa Murni?” sergahan Dato’ Irfan mematikan terus ingatan Murni kepada Edzhar.

“ Tak ada apa-apa Dato’. Kalau tak ada apa-apa lagi saya keluar dulu!” ujar Murni pantas. Fandey yang berada di sebelah tersengih sambil menatap terus wajah manis Murni.

“ Tunjukkan tempat Edzhar kepada Fandey! Satu lagi, awak jangan banyak melamun Murni. Nanti kahwin dengan orang tua sebaya saya!” Usik Dato’ Irfan namun kedengaran serius. Murni menganggukkan kepalanya sebelum mengajak Fandey keluar dari bilik itu.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.