Home Novel Thriller/Aksi Ros Hitam
Ros Hitam
Amylieyhaizani
27/9/2014 17:04:44
13,693
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 18

Bab 18

Petang itu, Lalita pulang ke rumah orang tuanya yang berada di Bukit Antarabangsa. Sudah lama dia tidak menjejak kakinya ke situ semenjak berpindah untuk hidup sendiri. Hatinya lebih tenang tanpa mengharapkan kemewahan orang tuanya yang dikatakan hasil belas ehsan dari keluarga Dato’ Irfan. Hatinya masih tercalar dengan hinaan Datin Fiffy yang seolah menganggap mereka seperti melukut di tepi gantang. Walaupun telah keluar dari sangkar emas itu, papanya tidak pernah lupa memasukkan duit belanja ke dalam akaunnya termasuk membayar sewa apartmen yang didudukinya sekarang.

“ Lama Lali tak balik! Kat luar tu, berkawan dengan siapa pun mama tak tahu!” Tutur Puan Maliah kepada anak gadisnya yang asyik menonton televisyen sambil menguyah buah epal yang sedia terpotong di atas meja hiasan. Gaya lagaknya yang mengalahkan lelaki dipandang dengan perasaan resah. Naluri keibuannya benar-benar risau dengan sikap Lalita yang tidak menunjukkan sifat lemah lembutnya sebagai seorang perempuan.

“ Ala mama, takkan mama tak tahu Lali kawan dengan siapa? Siapa lagi kalau bukan Bros, mama..”

“ Tu yang mama tak suka! Mama tengok budak tu macam tak senonoh je! Selekeh semacam! Lali tak nampak ke semua tu?” ujar Puan Maliah tanpa bertapis. Pantas Lali memandang mamanya dengan pandangan tajam. Pantang benar baginya andai teman baiknya itu dihina sewenang-wenangnya.

“ Mama jangan hina Bros boleh tak? Sekurang-kurangnya Bros tu lebih baik daripada Nazri anak Dato’ Irfan tu! Bros sendiri tak pernah ambil kesempatan kat Lali, mama..” tutur Lalita dengan kasar.

“ Dia kawan dengan Lali mungkin kerana duit! Lali tak sedar ke? Jangan Lali cakap yang budak tu tak kikis duit Lali!” Puan Maliah sedikit marah dengan sikap Lalita yang terlalu melindungi lelaki yang tidak memiliki apa-apa itu.

“ Mama! Persahabatan Lali dan Bros lebih dari harta dunia lah mama! Tak sangka pulak Lali, mama rupanya sama dengan Dato’ Irfan! Pentingkan duit! Tapi mama jangan lupa mama, orang kat luar sana menganggap kita ni tak berduit. Semua ni kerana ehsan Dato’ Irfan kan? Tu pun mama dah lupa?” Lalita sedikit memberontak. Pantas dia bangun dari kerusi dan menuju ke arah tingkap. Sakit hatinya bagai dimamah. Orang tuanya sendiri yang menghina persahabatan mereka. Apa kata Bros kalau dia tahu?

“ Mama buat semua ni untuk Lali juga. Mama tak nak Lali jatuh cinta dekat budak tu! Budak tu tak kerjakan?” Puan Maliah seakan tertekan mengenagkan anak gadisnya itu. Menyesal juga di hatinya apabila menolak pinangan Datin Fiffy untuk Nazri waktu tika dahulu.

“ Dia kerja atau tidak, tu bukan urusan mama. Bila pula Lali cakap nak kahwin dengan Bros? Dahlah mama, Lali nak balik! Kirim salam kat papa!” Lalita mencapai beg tangannya yang berada di atas kerusi. Jiwanya sedikit tercalar dengan sambutan mamanya pada hari itu. Menghina Bros samalah menghina dirinya dan Lalita tidak sanggup menadah telinganya mendengar cemuhan yang dilontarkan kepada sahabat kesayangannya.

“ Tak tidur sini malam ni?” Puan Maliah menghampiri anaknya yang mula bergerak ke muka pintu.

“ Lain kalilah mama. Lagipun, siapa yang nak bagi duit kat Bros nanti kalau dia tak berduit. Mama dah anggap dia macam pengemis! Jadi, dah jadi tanggungjawab Lali sebagai kawan kena tolong dia!” Sinis kata-kata Lalita.

“ Apapun mama tak suka Lali kawan dengan budak tu!” Puan Maliah menggunakan kuasanya sebagai seorang ibu.

“ Lali balik dulu! Assalamualaikum…” Lalita menyalami mamanya dan berlalu dengan perasaan yang sakit. Saat keluar dari rumah, pandangannya berkalih kepada seseorang yang menunggu di seberang jalan. Lambaian lelaki itu seakan menarik manik-manik jernih untuk menyapa pipinya. Pantas dia membalas dengan senyuman yang hambar. Untuk kesekalian kalinya, Lalita merasa simpati kepada Bros. Dan Bros sendiri yang akan mengubah cara hidupnya dan bukan bergantung dengan dirinya lagi. Memikirkan semua itu, air mata Lalita mula mengalir dengan laju.

“ Lali, cepatlah! Kau kenapa berjalan macam perempuan ni!” Laung Bros dengan kuat. Lalita tersengih sambil menyapu air matanya. Kemudian dia bergegas mendapatkan Bros yang mula menarik muka tanpa diketahui sebabnya.

“ Kau kenapa? Tiba-tiba je tarik muka?” Lalita menolak bahu temannya itu.

“ Kau dah buat salah, tanya aku pulak!” balas Bros tidak berpuas hati.

“ Apa yang aku dah buat?” Lalita menjungkit kening dan Bros masih terus mencuka.

****

“ Kau kenapa Bros? Macam mana kau tahu aku ada kat sini ni?” pandangan Lalita jatuh pada seraut wajah Bros yang kelihatan mendung. Ada masalahkah sahabatnya itu? Ataukah Bros tahu hinaan dan cacian mamanya kepada lelaki itu? Ah, tak mungkin! Lalita menggelengkan kepalanya sendiri bagi menafikan perasaannya itu.

“ Kau kenapa? Tergeleng-geleng kepala tu! Aku tak cakap apa pun lagi.” Bros menjungkit kening dan memandang lama seraut wajah Lalita yang manis pada pandangannya. Dia bersandar ke arah motosikalnya sambil mencapai sebatang rokok yang berada di dalam poket seluarnya. Pantas rokok itu dinyalakan dan disedut perlahan dan dilepaskan asapnya ke udara.

“ Yelah kau tak cakap! Yang aku nak tahu, kenapa muka kau tu monyok je? Kau gaduh ek?”

“ Dengan siapa pulak aku nak gaduh Lali kalau tak dengan kau? Cuma aku terasa hati, kenapa kau tak ajak aku datang sekali rumah orang tua kau ni? Kau nak makan sorang-sorang je ke Lali?” Bros menarik muka merajuk. Mudah benar lelaki itu terasa hanya kerana perkara kecil sebegitu.

“ Makan apanya? Aku baru je sampai. Tak makan pun lagi! Kau dah makan?”Lalita cuba memujuk.

“ Belum lagi! Tadi aku pergi rumah kau nak tumpang makan! Sekali kau tak ada. Aku agak je kau datang sini. Sekarang, kau tak nak ajak aku masuk ke? Mama kau dah masak?” Bros galak bertanya. Lalita yang mendengar menjengilkan biji matanya dengan perangai teman baiknya itu. Tak tahu malu langsung! Straight the point! Dia tak tahu mama hina dia macam-macam.

“ Dah jangan nak ngada-ngada. Kalau lapar, jom kita pergi makan!” Lalita menolak Bros untuk mengambil helmet di dalam raga.

“ Mujur aku bawa helmet tu! Kau datang dengan apa tadi? Kaya-kayapun kau nak berkira Lali..”

“ Aku naik teksi! Bukan aku yang kaya! Mak bapak aku yang kaya. Nak harap kau tanggung aku, mati kelaparanlah aku Bros!” Omel Lalita sambil mengenakan helmet di kepalanya. Kemudian dia cuba mengikat tali helmet untuk mengemaskan lagi pemakaiannya. Pantas Bros membantu sambil merenung wajah gadis di hadapannya. Lalita yang tidak selesa direnung begitu cuba mengalih pandangan.

“ Hari ni aku belanja kau ye Lali..” ujar Bros dengan mata yang bersinar. Bibirnya mengukir senyuman yang bias menggetarkan jiwa Lalita.

“ Kau belanja? Kau biar betul! Mana kau ambil duit tu? Kau curi ke Bros?” Lalita bersuara ceria bagi menutup gundah di hatinya.

“ Kau ni Lali, pandang aku sebelah mata jelah! Duit simpanan aku lah!” Ujar Bros sambil mencubit pipi Lalita dengan kuat. Pantas Lalita menjerit. Rasa perit pipinya bukan dibuat-buat. Belum sempat dia membalas, Bros mula menghidupkan enjin motorsikal dan mengarahkan Lalita naik dan memegangnya pinggangnya dengan kemas.

“ Bros..aku minta maaf!” ucap Lalita dengan perasaan bersalah.

“ Pasal apa?”

“ Aku tak ada niat nak merendahkan kau! Aku gurau je!”

“ Aku tak rasa apa pun! Duit simpanan aku ni, duit yang kau bagi jugak!” Tutur Bros tanpa berselindung. Lalita yang mendengar hampir tergelak dengan sikap terus-terang lelaki itu. Terasa bagaikan semua itu hanyalah gurauan. Namun Bros bukan lelaki yang suka menipu. Dan sepanjang perjalanan mereka, Lalita tersenyum sendiri sambil memeluk Bros dengan erat. Apa yang dia tahu kini, Bros adalah teman terbaik yang pernah dia ada.
Tiba-tiba Lalita teringat kata-kata mamanya tentang kekurangan Bros dan halangan mamanya untuk berkawan dengan lelaki seperti Bros. Rasa sebak bermain di dadanya secara tiba-tiba. Walau apa yang akan berlaku, meninggalkan Bros tidak mungkin sama sekali. Bros adalah permata yang begitu berharga dalam hidupnya. Kehilangan Bros pasti meragut kebahagiaan yang dikecapinya kini.

“ Lali, nak makan kat mana?” Bros menjerit kuat menebus angin yang menemani perjalanan mereka.

“ Mana-manalah!” Lalita turut bersuara kuat.

“ Kita makan kat Paris nak?”

“ Mana?”

“ Paris! Paris!” Bros bersuara kuat sebelum dicubit kuat oleh Lalita yang mula mencebik mendengar kata-kata lelaki itu. Berangan je lebih!

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.