Home Novel Thriller/Aksi Ros Hitam
Ros Hitam
Amylieyhaizani
27/9/2014 17:04:44
55,615
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 4

Bab 4

Dato’ Irfan tidak senang duduk. Dia berjalan ke hulu ke hilir sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Kepalanya terasa sedikit pening kerana terlalu banyak berfikir. Sesekali dia mendengus kasar apabila setiap persoalan yang bermain di mindanya seakan menemui jalan yang buntu.

“ Tak mungkin wajah mereka serupa! Datang lagi dan kini untuk apa?” tutur Dato’ Irfan sendiri. Dia melabuh punggung ke atas kerusi yang empuk. Kenangan lama datang bersilih ganti. Namun semua itu dapat dipadamkan dengan mudah. Namun seraut wajah itu seakan menjadi mimpi ngeri baginya. Datang lagi seolah cuba membunuh ketenangan hatinya sejak sekian lama. Sangkanya apa yang terjadi sepuluh tahun yang lalu akan terkubur tanpa nisan, hilang terus dari ingatan dan terus lenyap dari memori hidupnya. Namun ternyata semua itu bagaikan sebuah mimpi yang datang bertandang sekali lagi.

“ Abang, saya nak keluar jumpa Datin Sufiah! Kalau abang izinkan, nanti saya telefon dia ambil saya kat rumah!” Tutur Datin Fiffy mengejutkan Dato’ Irfan yang masih dalam khayalan. Hampir gugur jantungnya disapa secara tiba-tiba. Mujur juga isterinya itu tidak perasan perubahan yang berlaku kepada dirinya. Wanita anggun itu sibuk membelek subang yang dipakai di hadapan cermin ruang tamu rumah mereka. Kadang kala senyuman dilemparkan untuk tatapan sendiri. Uh, perempuan! Perasanlah tu! Getus Dato’ Irfan sendiri.

“ Erm..yelah! Awak balik nanti pukul berapa?” wajah isterinya dipandang melalui cermin. Senyuman isterinya kini dilemparkan pula kepadanya. Cukup manis! Namun tidak semanis wanita yang dipujanya sepuluh tahun yang lalu.

“ Aik! Sejak bila pulak abang ni tanya jadual harian saya? Abang ni kenapa? Bermimpi ek?” kata-kata Datin Fiffy kedengaran begitu sinis. Kemudian dia melangkah dan duduk di sebelah suaminya yang sedikit menggelabah. Wajah suaminya ditatap lama. Peluh yang bermain di dahi suaminya dikesat lembut.

“ Saya rasa kat rumah kita ni sejuk bang! Ada aircond lagi. Kipas tak payah cakaplah banyak mana. Tapi kenapa dahi abang berpeluh ye?” kerutan jelas di dahi Datin Fiffy. Dato’ Irfan seakan kelu untuk berkata. Dadanya terasa sesak. Bebanan yang ditanggungnya bagaikan satu penyakit yang datang dengan pantas menguasai seluruh hidupnya. Ah, hanya kerana dosa semalam, aku terperangkap!

“ Emm..saya tak sihat!” Terlontar kata-kata itu tanpa dirancang.

“ Tak sihat? Atau ada sesuatu yang abang sorokkan daripada saya?” tingkah Datin Fiffy sambil merenung tajam wajah suaminya. Ternyata lelaki itu begitu pandai mengawal emosi. Tiada riak marah atau tersinggung dengan pertanyaannya yang penuh syak wasangka.

“ Awak tak jadi keluar ke? Saya nak keluar ni! Ada hal!” Ucap Dato’ Irfan tanpa menjawab soalan isterinya. Kemudian dia bangun dari tempat duduk dan merenung seraut wajah manis isterinya yang memandang tanpa segarit senyuman.

“ Abang kata tak sihat? Sekarang nak keluar? Pergi mana?” Datin Fiffy tidak berpuas hati.

“ Saya ada urusan! Bukan awak saja yang ada urusan. Sibuk ke hulu ke hilir. Satu lagi, tak perlu saya sorok apa-apa. Kalau ada pun, saya tahu, awak bukan jenis ambil kisah pasal suami. Dahlah! saya nak bersiap! Nak keluar.” Kata-kata Dato’ Irfan begitu sinis kedengaran di telinga Datin Fiffy. Dia menarik nafas panjang saat suaminya berlalu menuju ke dalam bilik. Hati wanitanya sedikit terguris dengan kenyataan suaminya sebentar tadi. Nyata apa yang dilakukan olehnya masih tidak akan berubah! Lelaki itu tidak pernah menyintainya dulu dan sekarang. Mungkin sehingga ke liang lahad!

****

Suasana kelab malam yang berada di Bukit Bintang itu seperti biasa gamat dengan muzik yang menyakitkan telinga. Di satu sudut kelihatan Dato’ Irfan asyik melayan perasaan. Jiwanya yang sentiasa sakit selama ini seakan terubat apabila melihat wajah salah seorang stafnya iaitu Murni. Gadis itu mengingatkannya kepada seseorang yang telah lama meninggalkan dunia. Seseorang yang amat dicintainya dengan sepenuh raga.

“ Tak sangka Dato’ Irfan yang ternama sanggup datang ke kelab murahan macam ni!” Kedengaran suara seseorang menyapa dirinya. Pantas matanya melekat kepada seraut wajah yang melempar senyuman mengejek.

“ Lalita! Kau jangan lupa aku ni bapa saudara kau. Jangan sebab kau berkawan dengan budak tak senonoh tu, kau nak berkurang ajar! Apa yang kau dapat berkawan dengan lelaki papa kedana tu?” pantas telunjuknya dituding ke arah Bros yang berada tidak jauh dari situ. Sakit hatinya dengan lelaki itu bukan sedikit. Kerana lelaki itulah, Lalita sanggup menolak cinta anak bujangnya terang-terangan.

“ Terima kasih atas nasihat Dato’ tu! Saya nak ingatkan Dato’, keluarga saya tak ada kena mengena dengan orang kaya macam Dato’ ni! Sombong dan berlagak!” Ucap Lalita sambil berlalu dengan hati yang puas.

“ Kurang ajar punya perempuan!” Dato’ Irfan menyumpah keras. Sakit hatinya dengan tingkah laku Lalita yang tidak tahu menghormati dirinya. Pantas dia duduk di atas kerusi dan membebel sendiri. Semuanya seakan rumit. Pergaduhan antara isterinya dan adik perempuannya iaitu emak Lalita cukup memeningkan kepalanya. Hanya kerana cinta anak bujangnya ditolak oleh Lalita, Datin Fiffy mula memandang rendah keluarga adiknya yang dianggap sombong dan berlagak. Sudahnya, hubungan antara mereka mula berantak Kekayaan yang ada pada mereka membuatkan hubungan darah bukan lagi perkara yang penting. Hanya ego dan lagak yang menjadi hiasan dalam kehidupan mereka. Sudahnya, sengketa yang berlarutan bagaikan barah yang menular ke seluruh tubuh! Dan rasa hormat telah lama padam antara mereka.

“ Seronok memikat buah muda Dato’?” tiba-tiba seseorang berbisik kepadanya. Pantas Dato’ Irfan memandang dengan dahi yang berkerut. Senyuman itu cukup memukau pandangannya. Namun wajah gadis yang berselubung itu kurang jelas tampak di mata kerana setiap sudut dihiasi cahaya lampu yang malap. Mata Dato’ Irfan tidak berkelip. Bagaikan ada magnet yang menghalang untuk dia memandang ke tempat lain.

“ Awak siapa?” Dato’ Irfan cuba menilik wajah gadis yang berjaket hitam itu. Namun keadaan yang suram membantaskan pandangan matanya.

“ Sungguh-sungguh Dato’ tak tahu?” gadis itu masih berbisik di dalam keriuhan kelab itu. Dato’ Irfan mendengus kasar. Perempuan di hadapannya itu seolah-olah bermain kata. Mungkin perempuan yang suka menggoda lelaki kaya! Sempat Dato’ Irfan berbisik di dalam hati. Malas dia melayan perempuan seperti itu.

“ Harta bukan segalanya Dato’! Bagaimana kalau aku minta Dato’ hidupkan orang yang telah mati? Boleh ke Dato’?” keras kata-kata gadis berjaket hitam itu. Nyata dia dapat membaca pemikiran lelaki separuh abad di hadapannya. Dato’ Irfan sedikit tersentak. Urusan apa yang mereka buat sebenarnya? Tiba-tiba ketawa gadis itu meletus seakan mengejek Dato’ Irfan yang terkebil-kebil tidak faham.

Just kidding Dato’!” tuturnya sambil berlalu. Dato’ Irfan mengurut dada. Gila! Getusnya sendiri. Sudahnya, dia hanya mampu menarik nafas dan melepaskannya dengan keluhan yang berat.

****

Lalita memandang kepada Bros yang mengetap bibirnya. Wajahnya yang muram dapat dilihat dengan jelas. Berkali-kali lelaki itu menyepak apa saja yang menghalang perjalanan mereka sejak keluar dari kelab. Mereka melangkah menuju ke arah Mc’Donald yang tidak berapa jauh dari situ.

“ Apahal dengan kau Bros?” pertanyaan Lalita terhembur saat mereka duduk di suatu tempat berhadapan dengan Mc’Donald. Wajah kawan baiknya dipandang lama. Dia pasti ada sesuatu yang merunsingkan hati lelaki itu. Manakan tidak, senyuman yang biasa dilemparkan kepadanya seakan hilang entah ke mana.

“ Aku tahu aku miskin! Aku anak yatim piatu!” Bentaknya tiba-tiba.

“ Jadi??” tutur Lalita tidak mengerti.

“ Apahal Dato’ Irfan nak sakitkan hati aku Lali? Aku tahu dia kutuk aku tadi kan?”

“ Ooo.. pasal Dato’ Irfan? Lelaki tua tu memang macam tu! Tapi aku tak rasa kau marah sebab tu kan?” Lalita serkap jarang. Dia tahu kenapa Bros berwajah muram. Sebagai seorang teman baik, Lalita tidak pernah salah menilai persaan lelaki itu. Perasaan yang turut menghancur lumatkan hatinya. Dalam hati, Lalita menyumpah keras. sakit hatinya bagai dihiris sembilu berbisa. Namun semua itu tidak mampu dizahirkan dengan pandangan mata. Bros telah buta kerana cinta! Dan kasih sayangnya kini sudah tiada bernilai walaupun sesen kurap!

“ Apa maksud kau ni Lali? Kau sekarang dah pandai fikir yang bukan-bukan!” Bros cuba melindungi rahsia hatinya sebenar.

“ Semuanya kerana peremuan berjaket hitam tu kan? Kau nampak dia goda Dato’ Irfan! Tu yang buat kau marah! Apa yang kau suka sangat kat betina tu?” jerkahan Lalita begitu kuat mengejutkan beberapa orang yang berada di situ. Matanya membutang luas. Pandangan matanya kini seakan kabur dek air jernih yang mula bermain di tubir mata. Mengapa begitu sakitnya perasaan ini?

“ Kau ni mabuk ke apa Lali? Atau kau datang bulan ni?” Bros cuba berlagak selamba walaupun hatinya sedikit sakit melihat kemarahan temannya yang tidak berasas.

“ Entahlah! Aku tak tahu! Aku nak balik!” Lalita bangun dari tempat duduk. Air matanya yang mula mengalir di sapu dengan kasar. Entah kenapa ada perasaan cemburu di hatinya. Cintakah aku pada kau Bros??

“ Ermm..jomlah! Tapi kau jangan macam ni Lali! Aku tak sukalah kau macam ni!”

“ Biarlah kesedihan aku seorang saja yang tanggung Bros! Kau memang suka buat aku menangis! Berapa kali aku cakap, aku tak suka perempuan tu! Dia bukan perempuan baik!”

“ Ok! Aku faham! Dahlah, kita balik ek!” Pujuk Bros dengan lembut.

“ Kau jangan dekati dia Bros!”

“ Aku janji Lali! Tapi apahal perempuan tu tegur Dato’ tadi?” soalan Bros yang tiba-tiba hanya dijawab oleh elengan Lalita. Sungguh, dia juga merasa hairan. Ada skandalkah lelaki berpangkat itu? Tidak takutkah dia dengan Datin Fiffy yang begitu kuat rasa cemburunya? Ah, lantaklah! Lalita malas untuk berfikir masalah mereka.

“ Mudah benar ada skandal kalau kita banyak duit ya Lali!” Terluah kata-kata itu dari mulut Bros. Wajahnya muram kembali. Agaknya memikirkan nasib diri yang hanya melukut di tepian gantang. Dan Lalita sebenarnya telah banyak membantunya yang serba kekurangan.

“ Apa guna ada skandal kalau menyakiti hati orang yang dekat dengan kita Bros! Tu, bini kat rumah entah jadi macam dia. Ada skandal sana-sini. Kalau satu yang buruk, tak mustahil yang lain turut buruk Bros!” balas Lalitha dengan keras.

“ Kau tak nak berbaik dengan dia orang ke Lali?” Bros menjungkit kening. Lalita memandang sekilas. Pandangan mereka bertaut tanpa suara. Sudahnya Lalita hanya menggelengkan kepala. Tiada jawapan untuk persengketaanyang bukan berpunca daripadanya.
Teringat dia tentang penghinaan Datin Fiffy kepada mereka. Kata wanita itu, mereka sekeluarga menumpang tuah dan kekayaan Dato’ Irfan. Harta yang mereka miliki sekarang adalah harta yang disedekahkan oleh suaminya yang kononnya berstatus jutawan. Setahu Lalita, tidak berdosa andainya seorang abang menolong adiknya sendiri untuk turut merasa nikmat kesenangan. Semuanya bertambah parah apabila Nazri mencurah rasa hati kepadanya dan meminta orang tuanya datang meminang. Pada Lalita, cintanya bukan untuk lelaki itu walaupun sekelumit. Sudahnya, perang dingin terus berlaku. Dan kali ini Dato’ Irfan turut memulaukan mereka sekeluarga.

“ Lali, aku nak ucap terima kasih kat kau sebab sanggup jadi kawan baik aku! Kalau tak aku tak ada tempat nak mengadu Lali! Aku keseorangan! Mujur juga tuhan pertemukan aku dan kau!”

“ Tahu juga kau bersyukur Bros. Aku ingat aku ni tiada nilai di mata kau. Apa pun Bros, aku ikhlas bersahabat dengan kau. Aku nak hubungan kita ni kekal sampai bila-bila ek!” tangan Bros di capai dan digenggam lama. Ada rasa kasih yang menjalar di dalam urat nadinya untuk lelaki itu.

“ Sampai bila-bila? Kau nak kahwin dengan aku ke Lali?” Bros tersengih tiba-tiba. Pantas Lalita melepaskan tangannya. Dia memalingkan pandangannya. Ada rasa getar di dalam hati mendengar kata-kata lelaki itu.

“ Aku guraulah! Kau jangan marah aku Lali. Jom..”

“ Aku tak marah kau Bros, aku….” Lalita mengetap bibir apabila Bros mula menghidupkan enjin motorsikalnya.

“ Cepatlah! Lambat aku tinggal!” Bros bersuara kuat dan tanpa berlengah, Lalita membonceng di belakang Bros sebelum berlalu meninggalkan kawasan itu.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.