Bab 8
Dato’ Irfan keluar dari kereta setelah terlena di
dalam kereta ketika memberhentikannya di bahu jalan. Jam di tangan menunjukkan
pukul 8.00 pagi. Dia mendengus kecil dan menguap beberapa kali kerana masih
mengantuk. Dari jauh kelihatan seorang gadis memandang kepadanya dengan
senyuman sinis. Gadis berjaket hitam itu melangkah menghampiri Dato’ Irfan yang
bersandar tubuhnya ke dinding kereta. Wajahnya yang serius dapat dilihat dengan
jelas. Ada rasa benci yang tumbuh di hatinya sejak sekian lama. Matanya tajam
memandang lelaki separuh abad yang tidak menyedari kehadirannya itu.
“ Kenapa Dato’? Ada sesuatu yang merunsingkan
Dato’?” sapa Ros Hitam sambil melemparkan senyuman sinis. Terkejut beruk Dato’
Irfan dengan kehadiran gadis itu yang tidak disangka-sangka. Dia memandang
sekeliling. Siapa gerangan gadis berjaket hitam itu? Wajahnya yang tersembunyi
di sebalik penutup kepalanya membuatkan Dato’ Irfan tertanya-tanya motif
sebenar perempuan yang tidak diketahui namanya itu.
“ Awak? Macam mana awak tahu saya kat sini?
Agaknya awak ekori saya tak?” sinis kata-kata Dato’ Irfan. Dia cuba mengawal
perasaannya agar tidak dapat dihidu oleh gadis itu tentang perasaannya yang
mula dilanda resah.
“ Kuala Lumpur ni bukannya besar Dato’! Setakat
lelaki kaya macam Dato’ bukan susah untuk dicari. Cuma, apa yang meresahkan
Dato’ sejak akhir-akhir ni? Agak-agak ada kenangan lama yang bermain di kepala
Dato’?” kata-kata gadis itu menyentap tangkai jantung Dato’ Irfan.
“
Awak siapa? Awak jangan main-main dengan saya! Kalau tak..”
“
Kalau tak Dato’ nak bunuh saya?” sinis soalan gadis berjaket hitam itu. Dato’
Irfan menelan air liur. Hairan dengan soalan yang tidak terfikir dek akalnya.
“ Tiada apa-apa! Awak siapa sebenarnya? Awak
sengaja muncul di hadapan saya. Betul?” tekan Dato’ Irfan
“ Dato’, Dato’! Dato’ jangan lupa tentang rasa
hati Dato’. Antara kita ada rasa cinta!
Jangan Dato’ cuba menipu! Kalau tak..”
“ Kalau tak?” Dato’ Irfan seakan diperbodohkan.
“ Kalau tak, aku tak akan ganggu Dato’ lagi!” Ros Hitam tersenyum manis tanpa dapat dilihat oleh Dato’
Irfan. Dia berlari laju meninggalkan lelaki separuh abad itu. Dalam hati dia
menjerit keras.
****
Dari dalam kereta, seseorang yang mengintip
pergerakan Dato’ Irfan dan Ros Hitam menghentak stereng kereta. Sakit hatinya
bagai ditoreh. Dia membebel sendiri saat lelaki tua itu memasuki ke perut
keretanya. Tanpa berlengah, gear kereta dimasukkan dan meluncur laju
menghampiri kereta waja milik Dato’ Irfan. Pantas dia menghimpit kereta
tersebut bertalu-talu dengan perasaan yang geram.
“ Eh, awak ni gila ke apa?” laung Dato’ Irfan
yang terkejut dengan apa yang sedang berlaku. Namun tiada jawapan. Keretanya
yang meluncur laju terus dihimpit tanpa diketahui sebab dan alasan. Dalam
keadaan cemas tersebut, Dato’ Irfan cuba mengawal kenderaannya dari melanggar
sesuatu yang boleh mengakibatkan kemalangan. Dia cuba melihat pemandu kereta
tersebut, namun cermin gelap menyukarkannya untuk mengecam wajah manusia yang
cuba membunuhnya itu. Nasibnya baik kerana kereta itu terus meluncur laju tanpa
menghimpit keretanya lagi.
“ Gila! Nak bunuh orang agaknya!” Dato’ Irfan
mengurut dadanya. Dia memberhentikan keretanya, dan bergegas keluar dari perut
kereta. Matanya membulat melihat keretanya yang remuk dibahagian tepi. Sakit
hatinya mengenangkan sikap pemandu terbabit. Mabuk agaknya! Gumam Dato’ Irfan
sendiri. Kemudian dia meloloskan kembali tubuhnya ke perut kereta. Niatnya
ingin berjumpa dengan Dato’ Farid bagi menghilangkan tekanan yang membelenggu
dirinya saat itu. Dan entah mengapa gadis berjaket hitam tadi datang menerpa kembali secara tiba-tiba.
****
Jam 12.00 malam, Dato’ Irfan pulang ke rumah setelah seharian berjumpa
dengan Dato’ Farid. Dari dalam kereta dia dapat melihat isterinya yang menunggu
di muka pintu.
“
Abang pergi mana baru balik?” Datin Fiffy berdiri di hadapan pintu utama
sambil memandang suaminya yang menanggalkan kasut yang dipakainya. Kemudian
matanya berkalih ke arah kereta Dato’ Irfan yang terdapat kesan calar yang
bukan sedikit. Pantas dia membelek kereta suaminya.
“ Ada kerja sikit!” Singkat kata-kata Dato’
Irfan tanpa memandang isterinya yang asyik membelek kesan calar pada keretanya.
“ Kereta abang ni kenapa? Ada orang langgar
abang ke?” soal Datin Fiffy lagi.
“ Entah! Orang gila mana! Awak tak tidur lagi
kenapa? Nazri ada?” Dato’ Irfan malas bercerita.
“ Emm..saya tunggu abanglah! Abang tu selalu keluar
dan lupa nak balik . Nazri pun sama! Pagi-pagi dah menghilang! Sekarang belum
balik lagi!” Datin Fiffy mengambil peluang mengenakan suaminya. Namun lelaki
itu hanya berlalu memasuki rumah tanpa mengendahkan kata-katanya.
Datin Fiffy bergegas masuk dan
melabuhkan punggung di sebelah suaminya yang kelihatan penat. Wajah suaminya
dipandang lama. Bagai ada sesuatu yang disembunyikan oleh lelaki separuh abad
itu.
“ Apa yang awak tengok? Tak puas lagi tilik
muka saya ni?” Dato’ Irfan bersuara sinis. Datin Fiffy menarik muka mendengar
kata-kata kasar suaminya. Tidak pernah lelaki itu berbicara lembut dengannya.
“ Saya tengok, sejak akhir-akhir ni, abang
macam ada masalah je! Balik selalu lewat. Banyak sangat ke kerja abang tu?” duga
Datin Fiffy dengan syak wasangka.
“ Banyak tu tak adalah! Dah habis kerja, ada
janji temu dengan kawan pulak! Biasalah borak-borak! Awak ni kenapa banyak
sangat tanya? Nak jadi penyiasat?” bidas Dato’ Irfan sambil bangun dan berlalu
ke bilik tidur. Datin Fiffy yang melihat gelagat suaminya hanya mampu mengetap
bibir tidak berpuas hati. Sakit juga
hatinya apabila dikenakan berkali-kali. Bukan dia tidak pernah mengambil hati
lelaki itu. namun semuanya umpama mencurah air ke daun keladi. Ternyata
kesilapan yang dilakukannya mengundang derita buat dirinya sendiri.
“ Awak tak nak tidur?” tiba-tiba Dato’ Irfan
keluar semula sambil menjungkit keningnya kepada wanita anggun di hadapannya.
Simpati juga di hatinya melihat isterinya yang tidak pernah merasa kasih sayang
daripadanya. Sungguh, apa yang dilakukan oleh Datin Fiffy benar-benar meninggal
kesan hitam dalam hidupnya. Namanya menjadi perbualan orang. Seorang Dato’
ditangkat khalwat masih teriang-iang di telinganya. Rasa marah, benci dan malu
menjadi satu tersemat di hati.
“ Awak tidurlah! Saya nak tunggu Nazri. Entah
pergi mana tak balik lagi!” balas Datin Fiffy seakan mengeluh.
“ Ini Kuala Lumpur! Tahulah dia balik! Agaknya
tengah berseronok!” tutur Dato’ Irfan bersahaja. Datin Fiffy merenung wajah
suaminya sekilas.
“ Saya takut dia buat benda tak senonoh nanti
bang!” Datin Fiffy bersuara sedikit risau.
“ Dia kan anak awak! Buat apa awak nak risau?
Paling tidak, dia perangkap anak gadis orang!” Dato’ Irfan seakan menyindir.
Kemudian dia masuk semula ke dalam bilik. Datin Fiffy hanya mampu menarik nafas
dan melepaskannya dengan dengusan yang kuat. Dia berbaring di atas sofa dan
terkebil-kebil memandang kipas. Tanpa sedar, dia terlena bersama mimpi yang
belum pasti.