Home Novel Thriller/Aksi Ros Hitam
Ros Hitam
Amylieyhaizani
27/9/2014 17:04:44
55,475
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 8

Bab 8

Dato’ Irfan keluar dari kereta setelah terlena di dalam kereta ketika memberhentikannya di bahu jalan. Jam di tangan menunjukkan pukul 8.00 pagi. Dia mendengus kecil dan menguap beberapa kali kerana masih mengantuk. Dari jauh kelihatan seorang gadis memandang kepadanya dengan senyuman sinis. Gadis berjaket hitam itu melangkah menghampiri Dato’ Irfan yang bersandar tubuhnya ke dinding kereta. Wajahnya yang serius dapat dilihat dengan jelas. Ada rasa benci yang tumbuh di hatinya sejak sekian lama. Matanya tajam memandang lelaki separuh abad yang tidak menyedari kehadirannya itu.

“ Kenapa Dato’? Ada sesuatu yang merunsingkan Dato’?” sapa Ros Hitam sambil melemparkan senyuman sinis. Terkejut beruk Dato’ Irfan dengan kehadiran gadis itu yang tidak disangka-sangka. Dia memandang sekeliling. Siapa gerangan gadis berjaket hitam itu? Wajahnya yang tersembunyi di sebalik penutup kepalanya membuatkan Dato’ Irfan tertanya-tanya motif sebenar perempuan yang tidak diketahui namanya itu.

“ Awak? Macam mana awak tahu saya kat sini? Agaknya awak ekori saya tak?” sinis kata-kata Dato’ Irfan. Dia cuba mengawal perasaannya agar tidak dapat dihidu oleh gadis itu tentang perasaannya yang mula dilanda resah.

“ Kuala Lumpur ni bukannya besar Dato’! Setakat lelaki kaya macam Dato’ bukan susah untuk dicari. Cuma, apa yang meresahkan Dato’ sejak akhir-akhir ni? Agak-agak ada kenangan lama yang bermain di kepala Dato’?” kata-kata gadis itu menyentap tangkai jantung Dato’ Irfan.

“ Awak siapa? Awak jangan main-main dengan saya! Kalau tak..”

“ Kalau tak Dato’ nak bunuh saya?” sinis soalan gadis berjaket hitam itu. Dato’ Irfan menelan air liur. Hairan dengan soalan yang tidak terfikir dek akalnya.

“ Tiada apa-apa! Awak siapa sebenarnya? Awak sengaja muncul di hadapan saya. Betul?” tekan Dato’ Irfan

“ Dato’, Dato’! Dato’ jangan lupa tentang rasa hati Dato’. Antara kita ada rasa cinta! Jangan Dato’ cuba menipu! Kalau tak..”

“ Kalau tak?” Dato’ Irfan seakan diperbodohkan.

“ Kalau tak, aku tak akan ganggu Dato’ lagi!” Ros Hitam tersenyum manis tanpa dapat dilihat oleh Dato’ Irfan. Dia berlari laju meninggalkan lelaki separuh abad itu. Dalam hati dia menjerit keras.

****

Dari dalam kereta, seseorang yang mengintip pergerakan Dato’ Irfan dan Ros Hitam menghentak stereng kereta. Sakit hatinya bagai ditoreh. Dia membebel sendiri saat lelaki tua itu memasuki ke perut keretanya. Tanpa berlengah, gear kereta dimasukkan dan meluncur laju menghampiri kereta waja milik Dato’ Irfan. Pantas dia menghimpit kereta tersebut bertalu-talu dengan perasaan yang geram.

“ Eh, awak ni gila ke apa?” laung Dato’ Irfan yang terkejut dengan apa yang sedang berlaku. Namun tiada jawapan. Keretanya yang meluncur laju terus dihimpit tanpa diketahui sebab dan alasan. Dalam keadaan cemas tersebut, Dato’ Irfan cuba mengawal kenderaannya dari melanggar sesuatu yang boleh mengakibatkan kemalangan. Dia cuba melihat pemandu kereta tersebut, namun cermin gelap menyukarkannya untuk mengecam wajah manusia yang cuba membunuhnya itu. Nasibnya baik kerana kereta itu terus meluncur laju tanpa menghimpit keretanya lagi.

“ Gila! Nak bunuh orang agaknya!” Dato’ Irfan mengurut dadanya. Dia memberhentikan keretanya, dan bergegas keluar dari perut kereta. Matanya membulat melihat keretanya yang remuk dibahagian tepi. Sakit hatinya mengenangkan sikap pemandu terbabit. Mabuk agaknya! Gumam Dato’ Irfan sendiri. Kemudian dia meloloskan kembali tubuhnya ke perut kereta. Niatnya ingin berjumpa dengan Dato’ Farid bagi menghilangkan tekanan yang membelenggu dirinya saat itu. Dan entah mengapa gadis berjaket hitam tadi datang menerpa kembali secara tiba-tiba.

****

Jam 12.00 malam, Dato’ Irfan pulang ke rumah setelah seharian berjumpa dengan Dato’ Farid. Dari dalam kereta dia dapat melihat isterinya yang menunggu di muka pintu.

“ Abang pergi mana baru balik?” Datin Fiffy berdiri di hadapan pintu utama sambil memandang suaminya yang menanggalkan kasut yang dipakainya. Kemudian matanya berkalih ke arah kereta Dato’ Irfan yang terdapat kesan calar yang bukan sedikit. Pantas dia membelek kereta suaminya.

“ Ada kerja sikit!” Singkat kata-kata Dato’ Irfan tanpa memandang isterinya yang asyik membelek kesan calar pada keretanya.

“ Kereta abang ni kenapa? Ada orang langgar abang ke?” soal Datin Fiffy lagi.

“ Entah! Orang gila mana! Awak tak tidur lagi kenapa? Nazri ada?” Dato’ Irfan malas bercerita.

“ Emm..saya tunggu abanglah! Abang tu selalu keluar dan lupa nak balik . Nazri pun sama! Pagi-pagi dah menghilang! Sekarang belum balik lagi!” Datin Fiffy mengambil peluang mengenakan suaminya. Namun lelaki itu hanya berlalu memasuki rumah tanpa mengendahkan kata-katanya.
Datin Fiffy bergegas masuk dan melabuhkan punggung di sebelah suaminya yang kelihatan penat. Wajah suaminya dipandang lama. Bagai ada sesuatu yang disembunyikan oleh lelaki separuh abad itu.

“ Apa yang awak tengok? Tak puas lagi tilik muka saya ni?” Dato’ Irfan bersuara sinis. Datin Fiffy menarik muka mendengar kata-kata kasar suaminya. Tidak pernah lelaki itu berbicara lembut dengannya.

“ Saya tengok, sejak akhir-akhir ni, abang macam ada masalah je! Balik selalu lewat. Banyak sangat ke kerja abang tu?” duga Datin Fiffy dengan syak wasangka.

“ Banyak tu tak adalah! Dah habis kerja, ada janji temu dengan kawan pulak! Biasalah borak-borak! Awak ni kenapa banyak sangat tanya? Nak jadi penyiasat?” bidas Dato’ Irfan sambil bangun dan berlalu ke bilik tidur. Datin Fiffy yang melihat gelagat suaminya hanya mampu mengetap bibir tidak berpuas hati. Sakit juga hatinya apabila dikenakan berkali-kali. Bukan dia tidak pernah mengambil hati lelaki itu. namun semuanya umpama mencurah air ke daun keladi. Ternyata kesilapan yang dilakukannya mengundang derita buat dirinya sendiri.

“ Awak tak nak tidur?” tiba-tiba Dato’ Irfan keluar semula sambil menjungkit keningnya kepada wanita anggun di hadapannya. Simpati juga di hatinya melihat isterinya yang tidak pernah merasa kasih sayang daripadanya. Sungguh, apa yang dilakukan oleh Datin Fiffy benar-benar meninggal kesan hitam dalam hidupnya. Namanya menjadi perbualan orang. Seorang Dato’ ditangkat khalwat masih teriang-iang di telinganya. Rasa marah, benci dan malu menjadi satu tersemat di hati.

“ Awak tidurlah! Saya nak tunggu Nazri. Entah pergi mana tak balik lagi!” balas Datin Fiffy seakan mengeluh.

“ Ini Kuala Lumpur! Tahulah dia balik! Agaknya tengah berseronok!” tutur Dato’ Irfan bersahaja. Datin Fiffy merenung wajah suaminya sekilas.

“ Saya takut dia buat benda tak senonoh nanti bang!” Datin Fiffy bersuara sedikit risau.

“ Dia kan anak awak! Buat apa awak nak risau? Paling tidak, dia perangkap anak gadis orang!” Dato’ Irfan seakan menyindir. Kemudian dia masuk semula ke dalam bilik. Datin Fiffy hanya mampu menarik nafas dan melepaskannya dengan dengusan yang kuat. Dia berbaring di atas sofa dan terkebil-kebil memandang kipas. Tanpa sedar, dia terlena bersama mimpi yang belum pasti.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.