Home Novel Thriller/Aksi Ros Hitam
Ros Hitam
Amylieyhaizani
27/9/2014 17:04:44
13,208
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 2

Bab 2

Dia..Ros Hitam kembali semula ke bangunan usang dengan berjaket hitam yang menutupi kepala. Matanya meliar mencari mayat lelaki yang dibunuhnya sebentar tadi. Kemudian dia merengus dengan geram apabila mangsanya itu tiada lagi di situ. Pantas Ros Hitam mencari tali yang digunakan untuk membunuh mangsanya dengan kejam. Nyata tali tersebut masih berada di situ.
Ros Hitam melilau lagi. Dia melangkah dengan perlahan. Sesekali dia menampar kuat parasit yang menggigitnya sesuka hati. Kemudian dia mengendap ke dalam semak samun yang berada di situ. Nyata apa yang dicari tidak menampakkan bayang. Yang ada hanyalah bau busuk dari sampah yang dibuang di kawasan itu. Bangunan usang itu juga kelihatan tidak terurus. Sana sini diselaputi dengan lumut yang kelihatan kotor dan berhabuk.

“ Aku tidak akan lepaskan siapa yang menyakiti aku!” tutur Ros Hitam dengam mata yang bersinar. Bibirnya diketap menahan segala amarah yang bermain di jiwa. Kemudian dia mengumam sendiri. Suaranya kedengaran kasar. Matanya meliar di setiap penjuru. Tubuh lelaki gempal itu hilang entah ke mana. Mungkin di bawa anjing liar! Getus Ros Hitam membuat anadaian. Dia melangkah keluar dari kawasan itu dan mendapatkan kereta Wira berwarna hitam yang berada tidak jauh dari situ. Kemudian dia membuka bonet kereta dan menyimpan tali yang berada di dalam gengamannya. Setelah berdiri di situ agak lama, Ros Hitam mula meloloskan diri ke dalam perut kereta sebelum memecutnya dengan laju. Dalam perjalanan dia membebel seorang diri sebelum melirik senyum seorang diri. Tidak lama kemudian Ros Hitam menangis teresak-esak sebelum melepaskan tawa yang panjang. Nyata kebahagiaan itu miliknya kini!

****

Seusai pulang dari klinik Doktor Liza, Murni berselimut tebal untuk menghilangkan rasa sejuk yang mula menyerangnya. Badannya sedikit panas dan tubuhnya benar-benar terasa lemah. Dia menggigil kesejukan dan cuba bangun untuk mengambil air di dapur. Ketika berada di dapur, Murni duduk di atas kerusi sambil menghirup air yang sedikit panas. Matanya terkebil-kebil sebelum kolam matanya mula dihiasi manik jernih. Dia meraup mukanya lama. Ingatannya kepada Edzhar tidak lekang dari akal dan fikirannya.

“ Zahar..Murni minta maaf! Murni tak berdaya. Murni takut!” Murni menggigit bibirnya kuat bersama air mata yang mula merembas keluar. Wajah Edzhar yang pucat masih jelas di matanya. Tubuh lelaki itu yang menggeletek kesakitan juga masih diingati oleh Murni. Pasti Zahar terseksa! Getus Murni sendiri. Tiba-tiba terfikir di benaknya untuk pergi semula ke bangunan usang itu. Pasti mayat Edzhar masih di situ! Pasti…Murni bergegas untuk menukar pakaian. Dia tidak menghiraukan tubuhnya yang lemah dan tidak bermaya. Apa yang pasti mayat Edzhar perlu disemandikan dengan sewajarnya.

Kring,kring…kring, kring…Telefon yang berbunyi pantas disambar oleh Murni. Matanya membutang luas apabila tertera nama Edzhar di skrin telefon. Hatinya tiba-tiba menjadi kecut. Terasa mukanya pucat tidak berdarah. Siapa yang menghubunginya saat itu. Atau Edzhar masih hidup!

“ Helo..siapa di sana?” tutur Murni terketar-ketar. Dia duduk di birai katil sambil memeluk tubuh.

“ Helo Murni..Awak sihat?” kedengaran suara garau di hujung telefon. Murni meneliti suara tersebut. Nyata bukan suara lelaki lembut itu.

“ Kau siapa? Bagaimana telefon Edzhar ada dengan kau?” jerkah Murni dengan kuat. Hilang sedikit rasa takut di dalam hati. Apa yang diingatkan olehnya sekarang adalah nasib Edzhar. Adakah Edzhar masih hidup!

“ Murni..kau tak kenal aku siapa? Aku dah lama tengok kau! Kau cantik..Aku tak suka kau dengan budak gempal tu! Sekarang..tiada siapa yang dapat halang kita lagi ya sayang..” ujar pemanggil di corong telefon. Murni mengetap bibir. Pemanggil itu seakan menduga kesabarannya saat itu.

“ Kau dan perempuan tu bersubahat untuk hancurkan hidup aku! Malah hidup Edzhar! Kau berdua takkan terlepas! Aku akan report polis!” ugut Murni mula berani walaupun air matanya kini membasahi pipi. Dia tidak teragak-agak untuk melakukannya demi persahabatannya dengan lelaki lembut itu.

“ Perempuan mana ni Murni? Nak aku kejar dia? Demi kau, aku sanggup Murni..Lelaki gemuk tu dah mati! Sekarang kau nak suruh aku bunuh siapa?” balas lelaki itu sedikit keras. Murni menarik nafas panjang. Siapa lelaki yang menghubunginya itu? Edzhar? Tak mungkin!

“ Kau memang dah gila! Aku akan…” Murni menghentikan kata-katanya apabila lelaki itu melepaskan tawa secara tiba-tiba. Meremang bulu roma Murni dengan apa yang sedang berlaku. Mungkin dia juga akan hilang akal dengan permainan lelaki yang tidak dikenalinya itu.

“ Kau berani?” sergah lelaki itu selepas mendiamkan diri beberapa saat. “ Jangan buat macam tu Murni. Kalau tak..”

“ Kalau tak apa? Kau nak bunuh aku?” soal Murni dengan marah.

“ Jangan sesekali berani melakukannya Murni! Aku bagaikan bayang-bayang kau! Kau adalah hak aku!” ulas lelaki itu mulai berang. Dia memutuskan talian sebelum sempat Murni bersuara.

“ Jangan sesekali berani melakukan? Jangan bercerita? Ah! ini kerja orang gila! Sakit jiwa!” Murni menjerit sekuat hati sebelum menangis tersedu-sedu. Dalam hati dia cukup yakin yang Edzhar telah tiada. Lelaki itu telah meninggalkan dunia yang fana ini. Itu Murni cukup yakin.

****

Di sebuah perkampungan yang berada di Banting Selangor, Andrey menyanyi kecil sambil merenung potret yang berada di atas meja. Kemudian dia mencapainya dan menyentuh lembut seraut wajah seorang gadis yang melempar senyum dengan senyuman manis.

“ Suraya..” Andrey tersengih apabila teringatkan gadis itu. Suraya adalah kekasihnya yang telah lama bersemandi di liang lahad. Kematiannya tiada siapa yang tahu puncanya. Apa yang keluarga gadis itu tahu, Suraya telah mati kerana kemalangan. Lebih tepat Suraya dilanggar lari!
Andrey meletakkan semula potret tersebut. Kemudian dia menundukkan kepalanya dan membebel sendiri. Wajah Suraya terbayang di matanya. Ingatannya tiba-tiba teralih kepada kekasih hatinya itu.

“ Sayang, apa semua ni? lelaki ni siapa?” soal Andrey apabila melihat Suraya berpimpinan tangan dengan lelaki lain di sebuah pusat membeli belah. Pantas dia menarik tangan kekasihnya itu.

“ I nak putus!” balas Suraya dengan selamba. Tiada langsung riak bersalah di wajah cantiknya.

“ Kenapa? Apa salah abang?” Andrey seakan terpana dengan permintaan Suraya. Sangkanya cinta gadis itu hanya untuk dirinya seorang. Ternyata anggapan itu salah sama sekali.

“ I dah tawar hati dengan You! You tak ada apa-apa!” balas Suraya sebelum berlalu bersama kekasih baru. Andrey yang melihat hanya mampu menangis di dalam hati. Tidak disangka olehnya Suraya seorang gadis yang tamakkan harta benda dari cinta sejati. Tergamak juga Suraya membuangnya setelah berjanji setia untuk bersama-sama mendirikan mahligai bahagia.
Andrey meraup mukanya. Kenangan itu amat menyakitkan hati. Cukup mengguris jiwanya yang perlukah kasih sayang dan perhatian. Sebagai anak yatim piatu, Andrey terlalu mengharapkan kehadiran Suraya dapat mengubat kesunyian hatinya. Namun sayang semuanya hancur berkecai sekelip mata.

“ Padam muka kau! Sekarang kau menjawablah di sana!” getus Andrey kedengaran keras. Kemudian dia menatap lagi potret tersebut sebelum melepaskan tawa yang panjang. Tidak lama kemudian Andrey menangis teresak-esak persis budak kecil yang perlukan perhatian. Dalam hati dia merasa puas! Puas kerana dia penyebab kematian Suraya!

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.