Home Novel Thriller/Aksi Ros Hitam
Ros Hitam
Amylieyhaizani
27/9/2014 17:04:44
55,493
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 5

Bab 5

Murni berjalan laju apabila merasakan ada seseorang mengikuti langkahnya. Dia cuba berlari namun kakinya terasa begitu berat. Tiba-tiba seseorang menyergahnya dengan kuat. Pantas Murni berpaling dan seraut wajah lelaki separuh abad merenung kepadanya dengan sengihan yang panjang. Giginya yang kekuningan dapat dilihat jelas oleh Murni.

“ Tolong jangan apa-apakan saya! Awak siapa?” Murni terketar-ketar. Entah kenapa begitu ramai yang suka mengganggu hidupnya. Lelaki separuh abad itu ketawa terbahak-bahak sebelum mencekik Murni dengan kuat.

“ Kau menyusahkan hidup aku!” jerkahnya kuat. Murni terkapai-kapai untuk bernafas. Tiba-tiba satu tolakan membuatkan tubuhnya terasa begitu sakit. Matanya terpejam dan..

Kring, kring…kring..kring..Murni membuka mata. Air matanya jatuh membasahi pipi. Mungkin telefon lelaki tua yang berbunyi! Sempat Murni berbisik. Namun apabila melihat kawasan sekeliling, Murni mengucap panjang. Nyata dia sedang bermimpi dan kini dia berada di atas lantai! Lantai bilik tidurnya. Pantas Murni mencapai telefonnya dan menekan butang hijau.

“ Helo! Murni, Murni buat apa tu?” kedengaran suara lelaki yang menggunakan telefon milik Edzhar.

“ Kau? Kau nak apa? Mana kau letak mayat Edzhar?” jerit Murni dengan kuat. Ketakutan yang menghimpit dirinya sebentar tadi kini dipenuhi dengan kebencian terhadap lelaki yang mengganggu hidupnya kini.

“ Andrey!” lelaki itu bersuara singkat.

“ Andrey? Siapa Andrey?” tutur Murni sedikit keliru.

“ Nama saya Andrey! Murni tak perlu berkau-kau lagi dengan saya. Bagaimana dengan Murni? Sihat?” suara lelaki itu kedengaran bersahaja.

“ Aku sihat! Tapi aku rasa kau yang tak sihat!” Murni masih berkasar. Lelaki di corong telefon itu seolah-olah sengaja menyakiti hatinya.

“ Murni, Murni..Macam mana Murni tahu saya tak sihat? Otak saya sakit Murni! Tapi.. semua tu tak penting! Apa yang penting, jangan cuba membuka pintu hati Murni buat orang lain lagi. Saya tak suka!” lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Andrey menjerkah kuat.

“ Tak suka? Kenapa?” Murni sedikit bingung. Apa masalah lelaki itu. Antara mereka tiada sebarang hubungan. Jauh sekali hubungan cinta.

“ Ada yang telah menanti!”

“ Aku tak bercinta dengan sesiapapun!” Murni bersuara geram.

“ Jangan cuba mendekati walaupun sekadar suka-suka!” balas Andrey lagi.

“ Tak apalah lelaki bernama Andrey! Aku ada hal! Jangan ganggu aku okey?” tiba-tiba rasa takut menjengah perasaan Murni. Fikirannya mula memikirkan perkara yang bukan-bukan.

“ Murni, ingat! Dia tiada keistimewaan! Tiada apa yang perlu dibanggakan! Jangan kerana darjat, Murni tersungkur sendiri! Atau jangan sampai dia terluka!” gertak Andrey sambil ketawa terbahak-bahak. Murni yang mendengar kecut perut. Nyata dia sedang berbual dengan lelaki yang tidak siuman!

“ Dia tu siapa? Kau jangan berbelit-belit boleh tak?” Murni mula menjerit. Penat telinganya menadah kata-kata mengarut daripada lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Andrey itu.

“ Oklah Murni! Jaga diri. Jangan buta untuk menilai cinta yang berada di hadapan mata. Bye!” talian diputuskan tanpa salam. Murni termenung seketika sebelum melangkah semula ke dalam bilik. Kepalanya terasa pening dengan panggilan lelaki sebentar tadi. Kata-kata lelaki itu bagaikan menyimpan seribu satu rahsia. Namun tidak dapat dirungkaikan oleh fikirannya.
Murni melihat jam di dinding. Jarum jam menunjukkan jam 5.00 pagi. Dia beristighfar panjang. Suara lelaki yang memperkenalkan dirinya Andrey masuih teriang-iang di telinga. Dalam hati Murni berbisik. Adakah gadis berjaket hitam itu dan Andrey sengaja memburunya? Jika benar, apa sebabnya? Dan kenapa Edzhar yang menjadi mangsa!

****

Di sebuah apartmen yang berada di Puchong Maju Jaya, Fandey sibuk mengemas rumah. Dia membersihkan setiap sudut ruang hadapan sambil menyanyi kecil. Kadang kala dia tersenyum sendiri apabila teringatkan Murni yang begitu manis pada pandangan matanya. Wajah gadis itu sering hadir di dalam mimpinya sejak akhir-akhir ini. Setiap kali terjaga, Fandey dapat merasakan jiwanya bergetar hebat. Nyata cinta yang hadir benar-benar mencuri ketenangan dirinya.
Selesai membersihkan ruang tamu,Fandey melangkah ke dapur dan menyediakan secawan kopi. Dia melangkah kembali ke hadapan dan duduk di atas sofa sambil menyedut perlahan kopinya yang masih panas. Pantas juga telefon yang berada di atas meja kaca dicapainya.

“ Telefon ke tidak?” Fandey bersuara sendiri. “ Erm..telefonlah!” Fandey membuat keputusan untuk menghubungi Murni. Dia mencari nama gadis itu dan menekan butang hijau. Satu, dua..

“ Helo..Assalamualaikum..” kedengaran suara Murni di talian. Fandey menarik nafas lega dan tersenyum.

“ Waalaikumussalam..Murni. Murni buat apa tu?” soal Fandey dengan perasaan gembira. Lupa untuk dia memperkenalkan diri.

“ Siapa ni?” soalan Murni kedengaran serius. Fandey yang mendengar tersenyum lagi.

“ Murni, saya Fandey! Awak dah lupa?” ujar Fandey dengan harapan gadis itu tidak melupai dirinya. Tiba-tiba kedengaran gelak tawa Murni di corong telefon.

“ Erm..takkan saya boleh lupa dengan lelaki hensem macam Fandey! Kenapa awak call saya ni?” soalan Murni membuatkan Fandey kehilangan kata-kata. Kemudian dia tersengih sendiri.

“ Jom keluar! Saya boringlah cuti-cuti ni!” Fandey sempat mencari idea. Besar harapannya agar gadis itu sudi keluar bersama. Entah kenapa dia benar-benar menyukai Murni yang kelihatan sopan dan lembut. Pasti sesuai dijadikan isteri! Getus Fandey sendiri.

“ Keluar pergi mana? Nanti girlfriend Fandey marah macam mana?” serkap Murni pantas.

“ Saya tak ada girlfriend! Murni siap, nanti saya ambil!” balas Fandey bersahaja.

“ Alamat saya..”

“ Jalan 9/33 Jalan Puchong Perdana kan?” balas Fandey sebelum sempat Murni menghabiskan kata-katanya. Murni yang berada di hujung sana tergelak kecil. Fandey yang mendengar menarik nafas lega sebelum memutuskan talian setelah selesai memberi salam.

****

Di sudut sebuah rumah, seorang lelaki yang terikat dan mulutnya disumbat dengan kain kelihatan begitu lemah. Air matanya sudah penat mengalir dan membasahi pipi. Hanya doa dan harapan yang tidak putus-putus menjadi rutin hariannya kini. Sudah tiga hari dia berada di situ. Entah kenapa lelaki gila itu mengurungnya. Sudahlah kesakitan kerana dijerut dengan tali oleh perempuan kejam itu masih dirasainya sehingga kini. Adakah dua manusia berlainan jantina itu bersubahat untuk membunuhnya? Jika benar apa yang disangka, apakah yang mampu dilakukan oleh lelaki lembut sepertinya sehingga diseksa sedemikian rupa! Dia bukannya orang kaya atau berharta.
Edzhar memandang sekeliling rumah usang itu. Keadaan yang bersepah dan tidak terurus menjadi tatapannya. Kemudian matanya terpacak di dinding rumah tersebut. Gambar-gambar perempuan yang ditampal di situ menarik minat Edzhar. Tiba-tiba pintu ditolak kasar dari luar. Edzhar cepat-cepat menutup mata dan berpura-pura tidur sambil mencuri pandang seorang lelaki tampan walaupun kelihatan bengis. Sempat dia berbisik di dalam hati dengan mengatakan lelaki itu tidak waras atau lebih tepat digelar sakit jiwa.

“ Suraya..Suraya pergi mana? Lama abang cari! Sayang dah makan?” tutur lelaki itu sambil menyentuh lembut gambar seorang gadis yang ditampal di dinding. Beberapa gambar lain turut menjadi tatapan mata liarnya. Kemudian lelaki berkumis nipis itu menghampiri Edzhar dan menarik kain yang disumbat ke mulut mangsanya itu.

“ Kau pun laparkan? Sekarang kau makan!” kasar tutur kata lelaki yang berada seinci di hadapan Edzhar.

“ Kenapa kau buat aku macam ni? Kau bersubahat dengan perempuan jahat tu?” Edzhar bersuara lemah. Andrey yang mendengar tergelak kecil sebelum kedengaran tangisan kecil dari mulutnya. Dia bangun dan menatap lagi wajah Suraya.

“ Siapa yang lebih jahat daripada Suraya? Tak ada lagi! Betul tak sayang?” Andrey menyentuh gambar Suraya lama. Kemudian dia memandang Edzhar dengan pandangan tajam.

“ Kau pun jahat! Kau rampas Murni daripada aku!” tutur Andrey tiba-tiba. Dia kembali merapati Edzhar yang masih berikat. Pantas dia meleraikan tali yang mengingkat tangan lelaki gempal itu. Wajah Edzhar dipandang dengan tajam. Ingin sekali dia menghapuskan lelaki yang cuba merampas Murni daripadanya.

“ Aku tiada hubungan dengan Murni! Dia..”

“ Diam..aku kata diam! Sekarang kau makan kalau kau tak nak mati!” jerkah Andrey kuat. Dia duduk di hadapan lelaki itu. Hendak atau tidak Edzhar terpaksa menjamah makanan di hadapannya. Risau tubuhnya yang lemah akan bertambah. Pasti dia akan mati katak di situ. Pasti juga lelaki gila seperti Andrey hanya bertepuk tangan melihat dia lenyap di muka bumi. Dan kerana itu Edzhar tidak akan mengaku kalah!

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.