Home Novel Thriller/Aksi Ros Hitam
Ros Hitam
Amylieyhaizani
27/9/2014 17:04:44
14,563
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 19

Bab 19

Berkali-kali Murni menjeling kepada Nurul Akma yang asyik menyiapkan kerjanya. Air muka gadis itu kelihatan tenang tidak seperti hatinya yang kegelisahan. Perlukah aku tanya? Murni berkira-kira sambil mendecit beberapa kali. Kepalanya pening memikirkan tentang Edzhar yang masih menjadi persoalannya sehingga kini. Siapa yang menggunakan telefon lelaki itu? Adakah Andrey yang memperkenalkan diri ada hubung kait dengan Ros Hitam? Kenapa mereka berdua memusuhi Edzhar? Kata Ros Hitam dia tidak suka lelaki gemuk itu! Ah, kasihan kau Edzhar!
Murni bangun dan memberanikan diri menghampiri Nurul Akma yang langsung tidak menghiraukan keadaan sekeliling. Wajahnya kelihatan tegang. Entah apa yang sukar dalam tugasannya, Murni sendiri malas ambil peduli.

“ Erm..Nurul..Murni nak tanya..” Nurul Akma menjeling Murni dengan tajam sebelum gadis itu menghabiskan kata-katanya. Sakit hatinya dengan Murni bukan sedikit apabila majikan mereka melebihkan Murni dalam setiap hal! Katanya Murni seorang yang baik dan berlemah lembut! Ah, macam bagus sangat! getus Nurul Akma spontan.

“ Panggil aku Cik Nurul! Kau nak tanya apa?” kasar tutur kata Nurul Akma. Murni hanya mampu tersenyum paksa apabila diherdik begitu oleh Setiausaha Dato’ Irfan itu.

“ Hari tu, siapa yang bagi surat letak jawatan Edzhar kepada Cik Nurul? Dato’ kata surat tu Cik Nurul yang bagi kepada dia,” jelas Murni tanpa berselindung. Kelihatan wajah gadis di hadapannya itu tersenyum sinis. Mungkin mengata tentang dirinya dan Edzhar.

“ Surat tu? Aku nak tanya kau, apasal Edzhar tu berhenti tak cakap dengan kau? Kau kan girlfriend dia?” soal Nurul Akma sambil menjungkit kening.

“ Murni tak pasti pasal tu Cik Nurul. Apa yang Murni nak tahu, siapa yang bagi surat tu pada Cik Nurul?” Murni masih berharap jawapan yang pasti. Nurul Akma mendiamkan diri buat seketika. Hairan juga dia dengan hubungan gadis di hadapannya itu dengan Edzhar. Macam sesuai! Nurul Akma tersenyum secara tiba-tiba tanpa mempedulikan pandangan sayu Murni.

“ Aku tak tahu pasal surat tu! Mungkin dia letak sendiri atas meja aku! Manalah aku tahu! Takkan hantu buat kerja ni!” ulas Nurul Akma mula penat melayan. Wajah Murni mulai tegang dengan jawapan gadis di hadapannya itu. Kurang ajar!

“ Cik Nurul memang sengaja..” Murni mengetap bibir menahan geram.

“ Sengaja apa? Dah! Jangan kacau aku buat kerja. Kau dengan Edzhar tu sepatutnya sama-sama bungkus keluar dari pejabat ni!” Nurul Akma menyergah kuat. Beberapan mata memandang kepada mereka. Murni menarik nafas dan bergegas ke tempat duduknya. Air matanya menitis perlahan dan mulai laju apabila wajah Edzhar terbayang di mata.

“ Awak okey?” Fandey yang entah dari mana datang menyapa. Pantas Murni menyapu manik jernih di pipinya. Wajah lelaki itu dipandang sekilas sebelum menganggukkan kepalanya.

“ Awak dari mana? Baru sampai?” Murni menjeling jam di dinding. Hampir jam 10.30 pagi.

“ Tadi ada kerja sikit. Dato’ dah sampai?” Fandey menjenguk kepalanya ke arah bilik Dato’ Irfan.

“ Belum..Tak tahu datang ke tidak hari ni..Awak ada hal apa tadi?” Murni merenung wajah Fandey lama sebelum menunduk secara tiba-tiba. Dia mengucap di dalam hati apabila terikut perasaannya untuk menatap wajah lelaki tampan itu.

“ Kenapa? Murni dah rindu Fen?” Fandey tergelak kecil sedangkan Murni hanya mampu menunduk menahan malu.

“ Bercinta ke?” Nurul Akma tiba-tiba bersuara. Wajahnya yang begitu mahal dengan senyuman memandang Murni dan Fandey dengan pandangan yang sinis. Entah kenapa matanya naik berbulu dengan mereka berdua. Apa yang menyakitkan hatinya dengan sikap Murni yang suka melayan Fandey dan Dato’ Irfan. Ada skandalkah mereka?

“ Orang normal, mesti nak bercinta Cik Nurul! Lainlah kalau orang tak..” Fandey memandang Murni yang meletakkan jarinya ke mulut tanda menyuruhnya diam. Matanya sempat melirik wajah Nurul Akma yang bengis mengalahkan harimau betina.

“ Orang apa? Kau nak cakap aku ni tak siuman?” Nurul Akma mulai panas. Belum sempat dia bangun, kelihatan Dato’ Irfan di muka pintu. Pantas dia duduk dan membebel sendiri. Fandey pula berlalu dari meja Murni dan melabuhkan diri di tempat duduknya.

“ Murni, masuk bilik saya sekejap!” arah Dato’ Irfan sambil sempat menjeling Setiausahanya yang bermuka masam. Entah apa masalah mereka dia malas untuk ambil pusing. Apa yang pasti sekarang, Dato’ Irfan mulai cemburu apabila melihat kemesraan Murni dan Fandey!

****

Saat berada di hadapan Dato’ Irfan, Murni merasa rimas apabila anak mata lelaki separuh abad itu merenung lama kepadanya. Apa yang meresahkan Murni ialah dengan sikap Dato’ Irfan yang semakin mengambil berat tentang dirinya.

“ Kenapa Dato’ panggil saya?” Murni cuba melemparkan senyuman namun wajah serius lelaki separuh abad itu mematikan terus senyumannya.

“ Saya ikhlas Murni!” ujar Dato’ Irfan tanpa menjelaskan apa yang tersirat. Murni mengerutkan dahinya tanda tidak faham dengan kata-kata lelaki di hadapannya itu.

“ Maksud Dato’? Saya tak faham!” Murni berterus terang sedangkan Dato’ Irfan kelihatan begitu gelisah.

“ Saya serius sukakan awak Murni! Sudi tak awak jadi isteri saya?” tutur Dato’ Irfan sambil menatap lama wajah Murni yang ayu. Rasa kasihnya kepada gadis itu tidak dapat dibendung lagi. Kini rasa itu telah bertukar cemburu! Cemburu jika Murni jatuh ke tangan lelaki lain.

“ Dato’..Dato, kan dah ada keluarga. Ada anak..Saya tak nak orang cakap..” kata-kata Murni terhenti apabila Dato’ Irfan memberi isyarat supaya dia tidak meneruskan kata-katanya.

“ Tiada sesiapa yang akan bercakap Murni! Tiada sesiapa!” keras kata-kata Dato’ Irfan. Murni terdiam buat seketika. Dia memandang lelaki separuh abad itu. Entah kenapa hatinya merasa berat namun nalurinya seakan memaksa untuk dia menerima Dato’ Irfan.

“ Saya fikir dulu ya Dato’! Pasangan hidup bukan boleh dicari semudah yang kita sangka!” balas Murni sambil tersenyum. Dato’ Irfan yang mendengar seakan tidak percaya. Sekurang-kurangnya ada juga harapan yang masih tersimpan! Mungkin jua akan menjadi kenyataan suatu hari nanti.

“ Saya harap..awak tidak akan hampakan saya Murni!” tokok Dato’ Irfan dengan penuh berharap. Murni menganggukkan kepalanya sambil meminta izin untuk keluar. Dia bangun dan melangkah meninggalkan Dato’ Irfan. Belum sempat kakinya melangkah sehingga ke pintu, Murni berpaling dan tersenyum penuh makna.

****

“ Cakap apa dengan Dato’?” soal Fandey setelah Murni melabuhkan diri di atas kerusi. Wajah Murni secara tiba-tiba berubah apabila disoal begitu oleh lelaki di hadapannya itu.

“ Tak ada apa-apa! Dia tanya saya pasal kerja!” jelas Murni sambil membelek fail yang berada di atas meja. Fandey mengerutkan dahinya. Pasal kerja? Kenapa asyik Murni yang dipanggil? Kenapa tidak Nurul Akma, Mastura atau juga pekerja yang lain? Fandey merenung wajah gadis idamannya itu. Terasa ada sesuatu yang disembunyikan oleh Murni dari pengetahuannya.

“ Dato’ sukakan awak?” Fandey serkap jarang. Pantas Murni merenung lelaki di hadapannya itu. Kemudian perlahan-lahan dia menggelengkan kepala sambil tersenyum manis.

“ Uh! Lega saya dengar! Okey! awak siapkan kerja okey!” Fandey turut tersenyum dan berlalu ke tempat duduknya. Murni pula menarik nafas lega apabila tiada lagi soalan yang dikeluarkan oleh lelaki yang telah mencuri hatinya itu.

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.