Home Novel Thriller/Aksi Ros Hitam
Ros Hitam
Amylieyhaizani
27/9/2014 17:04:44
55,639
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 11

Bab11

Sesampai sahaja di rumah, Datin Fiffy menghempaskan tubuhnya ke atas kusyen. Air matanya berhemburan lagi tanpa dapat ditahan. Dia menangis semahu-mahunya sebelum bangun dan membalingkan beberapa barang yang berada berdekatannya.Hatinya cukup sakit dan terguris. Mungkin benar dia berdosa kerana memerangkap Dato’ Irfan. Namun semua itu telah lama berlalu. Tiba-tiba pintu ditolak dari luar. Seorang gadis memeluk erat bahu anak bujangnya tanpa rasa malu. Dia tersenyum melihat Datin Fiffy yang kelihatan tidak terurus. Setelah meletakkan Nazri yang kelihatan mabuk di atas kusyen, gadis itu berlalu tanpa bersuara.

“ Nazri! Bangun Nazri! Kau kenapa? Dah pandai mabuk-mabuk ni!” Datin Fiffy benar-benar hilang sabar. Sakit hatinya masih belum hilang, ditambah pula dengan sikap Nazri yang dianggap keterlaluan.

“ Apa ni mama! Wanda mana ma?” Nazri membulatkan matanya sambil tersenyum. Dia cuba bangun, namun terjatuh semula ke atas kusyen. Dia tergelak-gelak sendiri sambil menyanyi. Entah apa lagu, Datin Fiffy sendiri tidak pasti.

“ Wanda? Perempuan tadi tu namanya Wanda? Perempuan macam tu Nazri nak jadikan bini?” Jerkah Datin Fiffy tanpa dapat ditahan lagi.

“ Naz yang godanya mama! Bukan dia yang goda Naz! Dulu..daddy goda mama, atau mama goda daddy?” soal Nazri dengan mata tertutup. Kepalanya seakan melayang-layang ke udara. Soalan Nazri bagai menyentap hati Datin Fiffy. Dia terduduk tanpa bersuara. Apa yang telah berlaku seakan mengekorinya kini.

“ Atau mama yang jerat daddy?” Nazri bangun dan terjatuh ke lantai dan terlena di situ. Datin Fiffy bangun menuju ke biliknya. Air matanya mengalir lagi. Tiba di bilik, dia menghempaskan dirinya ke atas tilam yang empuk. Tidak lama kemudian, kedengaran deruan enjin kereta Dato’ Irfan masuk ke halaman rumah. Dan saat itu, Datin Fiffy terasa sebuah kehilangan. Kehilangan yang mungkin akan terjadi.

****

Saat melangkah masuk ke dalam rumah, mata Dato’ Irfan membutang luas melihat rumahnya yang berselerak. Kelihatan Nazri tertiarap di atas lantai. Sangka Dato’ Irfan rumah mereka mungkin dimasuki perompak. Pantas dia mengangkat Nazri dan membaringkannya di atas kusyen. Matanya mencari-cari kelibat Datin Fiffy yang tidak kelihatan.

“ Baru sekarang awak nak balik!” Sergah Datin Fiffy di anak tangga. Matanya yang bengkak dapat dilihat dengan jelas oleh Dato’ Irfan.

“ Apa kena dengan rumah ni? Berselerak sana sini..Masuk perompak ke apa?” Dato’ Irfan belum mengerti kemarahan isterinya.

“ Abang pergi mana?” Datin Fiffy bersuara keras. Sakit hatinya dengan sikap lelaki di hadapannya.

“ Mana lagi! Jumpa kawanlah! Yang awak marah-marah ni kenapa? Rumah ni kenapa berselerak sampai macam ni?” Dato’ Irfan melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Penatnya belum hilang, ditambah pula dengan bebelan isterinya benar-benar menyakitkan telinga.

“ Kawan mana? Atau awak jumpa anak ikan?” bentak Datin Fiffy sambil menghampiri suaminya yang memandang tajam kepadanya.

“ Apa awak merepek ni? Tak habis-habis menyakitkan hati saya kenapa?” tempelek Dato’ Irfan pula.

“ Siapa perempuan yang saya nampak dengan abang dekat Bukit Bintang tadi? Siapa bang?” terjah Datin Fiffy tanpa dapat dibendung lagi. Kelihatan wajah Dato’ Irfan merah padam. Pantang olehnya jika diintip sesuka hati.

“ Jadi awak mengendap saya? Nak jadi spy?”

“ Jadi betullah? Perempuan tu kekasih gelap awak? Macam tu?” Datin Fiffy masih tidak berpuas hati.

“ Saya tidak cakap saya ada hubungan dengan sesiapa. Yang awak main tuduh kenapa? Awak nak sangat?” balas Dato’ Irfan dengan geram.

“ Jadi perempuan tu siapa??” tekan Datin Fiffy pula.

“ Manalah saya tahu! Malas saya nak layan awak. Balik rumah menyakitkan hati suami.” Tutur Dato’ Irfan sambil berlalu ke tingkat atas. Datin Fiffy mengejar Dato’ Irfan dengan perasaan marah.

“ Baik awak bagitahu saya! Siapa budak tu?” jerkah Datin Fiffy mula hilang hormat terhadap suaminya itu.

“ Kenapa awak nak tahu?” soal Dato’ Irfan bersahaja.

“ Saya perlu tahu sebab awak suami saya! Saya tak suka awak ada skandal dengan orang lain! Awak ingat itu tak berdosa ke Dato’ Irfan?” Jerit Datin Fiffy tanpa dapat ditahan lagi.
Dato’ Irfan memandang lama wanita dihadapannya. Dia menarik nafas panjang sebelum melepasnya dengan keluhan yang berat.

“ Itu lebih mulia dari memerangkap anak bujang orang! Lebih mulia dari ditangkap khalwat! Dan lebih mulia dari menjadi suami kerana terpaksa! Awak faham?” Dato’ Irfan melepas kata. Dia berlalu meninggalkan Datin Fiffy yang terduduk di birai tilam. Beberapa minit kemudian, kedengaran enjin keretanya menderu sebelum hilang dari pendengaran Datin Fiffy.

“ Aku cintakan kau Irfan! Kenapa aku hukum aku sampai macam ni! kenapa?” Datin Fiffy teresak-esak lagi. Lelah dia menanti cinta daripada lelaki itu. Namun hanya hempedu yang diberi. Puas dia merintih, namun tiada siapa yang peduli. Dato’ Irfan seolah-olah membencinya sepenuh hati.

“ Mama kenapa??” tiba-tiba Nazri tersembul di muka pintu. Dia merenyeh matanya berulang kali. Sakit kepalanya masih menunjal-nunjal. Dia duduk di birai katil kamar orang tuanya.
Datin Fiffy memandang lama anak bujangnya. Hanya Nazri satu-satunya cahaya mata penyeri rumah tangga mereka walaupun kehadirannya sebenarnya tidak dirancang. Dato’ Irfan berjanji tidak akan menyentuhnya, jauh sekali untuk memberi zuriat seperti yang sepatutnya. Kata Dato’ Irfan, dia tidak mahu keturunannya memiliki darah perempuan hina dan tiada harga. Dan perempuan itu adalah dirinya yang memerangkap lelaki itu satu ketika dahulu.
Kerana sakit hati dengan sikap Dato’ Irfan yang menyeksa batinnya, pelbagai kata hinaan dilemparkan oleh Datin Fiffy. Katanya, Dato’ Irfan hanya seorang lelaki yang lemah. Tidak mampu memberi zuriat kepadanya. Dan apa yang paling teruk, kata Datin Fiffy, Dato’ Irfan sebenarnya mati pucuk! Berang dengan tuduhan sebegitu, akhirnya Dato’ Irfan tewas dengan kata-katanya sendiri. Mungkin kehadiran Nazri hanya tercipta dari rasa benci dan dendam seorang lelaki bernama suami.

“ Daddy Naz ada orang lain!” tutur Datin Fiffy dengan hiba.

“ Ala mama ni, buat apa pening-pening, mama carilah juga orang lain!” Nazri bersuara selamba. Beberapa kali dia menguap dan membaringkan tubuhnya ke atas tilam empuk.

“ Apa Naz cakap ni? Naz tak kasihan pada mama?” Datin Fiffy naik berang.

“ Naz gurau la mama! Daddy tu mana ada orang lain mama. Mama yang tuduh Daddy bukan-bukan!”

“ Naz, mama nampak dengan mata kepala mama sendiri. Daddy dengan betina tu bergelak ketawa dekat Bukit Bintang! Kalau Naz tak percaya, Naz tanya Lalita dengan boyfriend dia yang papa kedana tu!” luah Datin Fiffy dengan geram. Perasaan malunya cukup menebal apabila kecurangan suaminya menjadi tontonan gadis itu. Apa yang paling menyakitkan, keluarga mereka bagaikan tiada harga di mata anak saudara suaminya itu.

“ Naz dah agak! Mesti ada yang merasuk mama! Perempuan macam Lalita tu hanya sengaja mencari pasal! Nak menjahanamkan keluarga kita!” ujar Nazri denagn geram.

“ Tapi mama nampak Naz!” bantah Datin Fiffy.

“ Perempuan tu pegang tangan daddy ke mama?” Nazri bersuara lembut tetapi kedengaran agak keras.

“ Tak! Tapi…”Datin Fiffy tidak tahu perkataan apa yang perlu diucapkan lagi.

“ Agaknya, Daddy hanya menyapa perempuan tu! dan Lalita ambil kesempatan untuk sakitkan hati mama!” luah Nazri dengan perasaan marah. Mabuknya sebentar tadi mulai hilang. Perasaanya kini hanya memikirkan perempuan bernama Lalita. Sakit hati dan dendam menjadi satu tersemat di kalbunya.

“ Perempuan tadi siapa?” Datin Fiffy mengalihkan tajuk.

“ Perempuan mana?” Nazri mengerutkan dahinya.

“ Yang hantar Naz sebentar tadi?”

“ Emm….Julia mama..” Nazri bangun dan duduk semula di birai katil. Pandangan tajam mamanya hanya dipandang tanpa rasa bersalah.

“ Julia atau Wanda?” keras tutur kata Datin Fiffy. Lupa seketika masalah yang melanda dirinya.

“ Em…Naz tak pastilah! Mungkin Wanda, Julia, Mimi or Suriya? Kenapa mama? Mama tak berkenan?” uji Nazri dengan sengihan memanjang.

“ Berubahlah Naz! Berubah!” tekan Datin Fiffy.

“ Berubah? Apa maksud mama? Berubah? Cari yang lain ke?” Nazri benar-benar tidak faham.

“ Sampai bila Naz nak terus bergelumang dosa macam ni? Naz tak takut?” Datin Fiffy cuba menyedarkan anak bujangnya. Wajah anaknya dipandang dengan penuh harapan. Tanpa disangka, Nazri tergelak besar secara tiba-tiba.

“ Mama, sejak bila mama nak jadi ustazah? Dosa? Mama tahu ke tentang dosa? Mama tengok dalam cermin, mama akan nampak siapa yang lebih berdosa ma! Dahlah, Naz nak tidur! Nak mimpi Wanda, Julia..dan..” Nazri menjungkit keningnya dan berlalu sebelum melemparkan senyuman. Entah apa maksud senyuman itu, Datin Fiffy sendiri tidak pasti. Apa yang dia tahu, sememangnya dia tidak layak untuk menasihati Nazri. Mereka yang mencorakkan kehidupan anak mereka dengan titik hitam. Mereka yang tidak menunjukkan nilai-nilai murni untuk dijadikan teladan buat Nazri.

“ Memang aku yang berdosa! Aku yang tidak mendidik anak aku dengan sewajibnya!” tutur Datin Fiffy sambil berjalan mengadap ke arah cermin. Lama dia memerhati dosa yang dikatakan Nazri. Rambutnya yang dulu hitam telah diwarnai dengan warna keperangan. Pakaian yang dipakainya juga menampakkan lekuk tubuhnya. Wajahnya yang cantik dek kerana alat solek yang mewah harganya. Tiada air sembahyang yang pernah membasahi wajahnya. Tiada cahaya atau sinar! Yang ada hanyalah kepuraan dan kesombongan! Dan yang paling benar dari yang benar, cahaya keimanan tidak pernah wujud dalam dirinya atau keluarganya.

****

Jam 11 pagi Nazri tercegat di hadapan rumah Lalitha dengan wajah yang mencuka. Berkali-kali dia mengentuk rumah sepupunya, namun tiada tanda-tanda pintu akan dibuka. Kemudian Nazri melaung kuat tanpa ada perasaan malu.

“ Apa ni Bros!” jerkah Lalita kuat.

“ Apa Beruk-beruk? Kau pekak ke? Aku panggil tak jawab.” Nazri membutangkan matanya seolah-olah ingin menelan gadis di hadapannya.

“ Ooo…anak Dato’ Irfan! Apahal aku mimpi datang sini? Ada aku jemput?” sergah Lalita lagi. Terperanjat juga dia melihat Nazri yang merah padam berada di luar pagar rumahnya. Entah apa mimpi lelaki itu bertandang ke rumahnya secara tiba-tiba.

“ Lalita, aku nak tanya kau! Kenapa kau tuduh daddy aku ada skandal dengan perempuan lain? Kau sengaja nak jahanamkan keluarga aku? Macam tu?” Nazri menjengilkan matanya.

“ Bila masa aku tuduh? Ada kau dengar? Kau ingat aku suka campur hal rumah tangga bapak kau tu!” tutur Lalitha dengan kasar.

“ Mama aku cakap…”

“ Cakap apa? Mama kau cakap, aku buat cerita? Atau mama kau yang nampak bapak kau tu ada skandal dengan perempuan tu?Uh! kalau dah orang tua gatal, gatal juga! Jangan kau nak salahkan orang pula Nazri!” marah Lalita dengan jelingan yang tajam. Dia ingin melangkah masuk semula ke dalam rumahnya, namun terhalang dengan kata-kata Nazri.

“ Kalau bapak aku ada skandal sekalipun, lebih baik dari hubungan kau dengan siapa tu? Brok?” Nazri melepaskan tawa dengan tiba-tiba.

“ Brok kepala otak kau! Dah malas aku nak layan! Baik kau baliklah Nazri.. Kau dan aku tiada apa-apa perhubungan. Jangan rosakkan nama baik aku kat sini! Baliklah!” Ujar Lalita dengan geram.

“ Ok! Tapi kau kena ingat Lalita, kalau apa-apa berlaku dalam keluarga aku, kau aku cari!” gertak Nazri.

“ Kenapa? Nak masuk meminang aku? Lupakan jelah!” jawab Lalita bersahaja.

“ Uh! Mujur aku tak bertunang dengan kau! Sombong dan bongkak!” tutur Nazri tanpa bertapis. Sakit hatinya dengan sikap kurang ajar gadis itu. Apa yang paling menyakitkan, cintanya kepada Lalita tidak pernah pudar. Biar seribu gadia yang diusungnya ke sana ke mari, namun hanya sepupunya itu yang menjadi pilihan hati.

“ Sombong aku kerana keluarga kau juga Nazri! Kerana harta, sanggup putuskan perhubungan!” jerkah Lalita mula hilang sabar.

“ Kau yang menghina keluarga aku dengan menolak peminangan kami! Buruk sangat ke aku ni Lalita sampai kau tergamak menolak aku hanya kerana jantan tak guna tu! Apa yang kau dapat?” sinis kata-kata Nazri. Merah padam muka Lalita dengan hinaan yang diberikan kepada Bros tanpa mempedulikan erti persahabatan mereka.

“ Apa yang aku dapat? Kau tanya apa yang aku dapat Nazri? Dia, lelaki yang bukan pentingkan diri sendiri. Dia bukan seperti kau dan Dato’ Irfan yang bongkak kerana harta!”

“ Dah jantan tu tak ada kerja! Bolehlah kau cakap!” getus Nazri perlahan.

“ Sekurang-kurangnya dia ada hati! Dia tahu menghargai persahabatan kami! Sudahlah! Penat aku layan lelaki macam kau ni! lebih baik kau balik, tengok apa agaknya Datin Fiffy tu tengah buat..agaknya tengah meroyan!” Lalita masuk ke dalam rumah dan menghempaskan pintu dengan kuat. Nazri yang masih berada di luar terkebil-kebil sendiri. Sudahnya, hendak atau tidak, dia terpaksa pergi sebelum menjadi buah mulut orang sekeliling.

“ Bodoh punya perempuan! Jaga kau Lalita! Tengoklah nanti…” Nazri membebel sendiri. Tiba-tiba dia teringatkan hubungan yang dikaitkan dengan daddynya. Siapa perempuan yang tergilakan Dato’ Irfan? Adakah kerana harta? Apa yang penting, Nazri bertekad akan menyiasat siapa perempuan yang bakal menghancurkan rumah tangga orang tuanya.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.