Bab 17
Tiga
bulan yang lalu…
Di sebuah perkampungan yang berada di Hulu
Terengganu, Murni menganggukkan kepala setiap kali nenek Rubiah memberi nasihat
kepadanya. Matanya berkaca kerana tidak sanggup meninggalkan wanita yang sudah
lanjut usia itu. namun hatinya beria-ria untuk berhijrah ke Kuala Lumpur untuk
mengubah nasib mereka berdua.
“
Walau di mana Murni berada, nenek harap Murni dapat jaga diri Murni. Jangan
tinggalkan solat dan selalu ingatkan Allah..” tutur nenek Rubiah sambil
menggenggam tangan gadis itu. air mata Murni merembas jua dan jatuh membasahi
pipi.
“
Nek, Murni rindu mak dan ayah! Kalaulah mereka masih ada..” Murni membaringkan
diri ke atas peha nenek Rubiah. Matanya meliar melihat keadaan rumah yang
begitu usang. Setelah kehilangan ibubapanya, Murni tinggal bersama nenek Rubiah
iaitu jiran mereka ketika menetap di Pahang. Tidak lama kemudian mereka
berpindah ke Terengganu kerana mengikuti suami nenek Rubiah yang memang berasal
dari sana. Setelah beberapa tahun berada di situ akhirnya Tok Dollah selaku
suami nenek Rubiah meninggal dunia. Tinggallah mereka berdua di rumah yang
hampir roboh itu.
“
Allah lebih sayangkan mereka. Murni selalulah doakan untuk mak dan ayah Murni.
Jangan lupa doakan untuk nenek juga!” nenek Rubiah mengelus lembut rambut cucu
angkatnya itu.
“
Murni akan ubah nasib keluarga kita nek! Murni janji akan jadi orang yang baik.
Murni tak nak Allah benci pada Murni,” tokok Murni sebelum mencium lembut
tangan nenek Rubiah. Hatinya terasa berat untuk pergi namun untuk mengubah nasib,
dia harus berhijrah dan bukannya hanya menjadikan diri seperti katak di bawah
tempurung.
“
Murni sayang nenek!” bisik Murni lagi.
****
Kring..kring…Murni tersentak.
Lamunannya terhenti secara tiba-tiba. Murni mengucap panjang sambil mencapai
telefonnya. Sempat pula dia menjeling jam di dinding.
“ Helo..” suara Murni kedengaran
serak. Entah kenapa badannya juga terasa begitu lemah.
“ Perampas!” keras suara di corong
telefon. Murni kelihatan kaget. Nyata suara itu bukan kepunyaan Ros Hitam. Jauh
sekali suara lelaki tidak siuman bernama Andrey. Murni menelan air liur pula.
Namun ianya seakan tersekat di kerongkong.
“ Kau siapa? Siapa perampas?
Merampas siapa?” jerit Murni dengan geram. Semenjak dia berhijrah ke Bandar
besar itu, terlalu ramai manusia yang memusuhi dirinya. Itupun secara
sembunyi-sembunyi. Jiwa Murni pasti sakit seandainya panggilan misteri itu
terus memburunya.
“ Aku sayang dia..kau tak ada hak!
Kenapa kau rampas dia daripada aku?” kedengaran esakan kuat di corong telefon.
Murni seakan terpana dan tidak tahu apa yang perlu dikatakan lagi.
“ Awak dah salah nombor! Saya minta
maaf..” Murni ingin memutuskan panggilan namun sempat perempuan di corong
telefon menyergahnya kuat.
“ Kembalikan dia kepada aku! Kalau
tak, aku tak akan lepaskan engkau!” balas perempuan itu lagi.
“ Saya tak ada hubungan dengan
sesiapa pun! Awak jangan nak ugut-ugut saya! Saya bukannya terdesak untuk punya
kekasih!” ujar Murni mula berkasar. Sakit juga hatinya apabila dituduh sebegitu
oleh perempuan yang tidak dikenalinya.
“ Aku sayangkan dia! Dia dah jadi
sebahagian dari hidup aku! Kalau apa-apa terjadi kepadanya, aku tak akan
berdiam diri!” tutur perempuan itu lagi. Suaranya kedengaran penuh dengan
dendam. Kemudian terdengar esak tangis perempuan itu di pendengaran Murni.
“ Awak..saya tak ada hubungan
dengan sesiapa! Saya tak tahu siapa kekasih awak!” Murni seakan memujuk.
Simpati juga apabila mendengar tangisan perempuan tersebut yang beria-ria
meminta kekasihnya kembali.
“ Hari ini belum! Mungkin
esok..tiada siapa yang tahu! Jangan kau berani hampiri sesiapa!” gertak
perempuan itu lagi. Murni mula kehilangan punca untuk bersuara. Talian terputus
sebelum sempat dia membalasnya. Murni terduduk di tepi dinding. Bibirnya
bergetar sebelum air matanya jatuh membasahi pipi.
“ Gila..Semua orang dah gila!”
jerit Murni dengan kuat. Suaranya bergema kuat di dalam rumah miliknya. Dia
membalingkan telefon ke dinding dan tiba-tiba telefon itu berbunyi sekali lagi.
Murni menutup telinganya lama sebelum memeluk lututnya dengan kemas. Saat itu
Murni benar-benar rasa lemah dan tidak bermaya.