Bab
18
Petang itu, Lalita
pulang ke rumah orang tuanya yang berada di Bukit Antarabangsa. Sudah lama dia
tidak menjejak kakinya ke situ semenjak berpindah untuk hidup sendiri. Hatinya
lebih tenang tanpa mengharapkan kemewahan orang tuanya yang dikatakan hasil
belas ehsan dari keluarga Dato’ Irfan. Hatinya masih tercalar dengan hinaan
Datin Fiffy yang seolah menganggap mereka seperti melukut di tepi gantang.
Walaupun telah keluar dari sangkar emas itu, papanya tidak pernah lupa
memasukkan duit belanja ke dalam akaunnya termasuk membayar sewa apartmen yang
didudukinya sekarang.
“ Lama Lali tak balik!
Kat luar tu, berkawan dengan siapa pun mama tak tahu!” Tutur Puan Maliah kepada
anak gadisnya yang asyik menonton televisyen sambil menguyah buah epal yang
sedia terpotong di atas meja hiasan. Gaya lagaknya yang mengalahkan lelaki
dipandang dengan perasaan resah. Naluri keibuannya benar-benar risau dengan
sikap Lalita yang tidak menunjukkan sifat lemah lembutnya sebagai seorang
perempuan.
“ Ala mama, takkan mama
tak tahu Lali kawan dengan siapa? Siapa lagi kalau bukan Bros, mama..”
“ Tu yang mama tak suka! Mama tengok budak tu
macam tak senonoh je! Selekeh semacam! Lali tak nampak ke semua tu?” ujar Puan
Maliah tanpa bertapis. Pantas Lali memandang mamanya dengan pandangan tajam.
Pantang benar baginya andai teman
baiknya itu dihina sewenang-wenangnya.
“ Mama jangan hina
Bros boleh tak? Sekurang-kurangnya Bros tu lebih baik daripada Nazri anak Dato’ Irfan tu! Bros sendiri tak pernah ambil
kesempatan kat Lali, mama..” tutur Lalita dengan kasar.
“ Dia kawan dengan Lali mungkin kerana duit! Lali tak sedar ke? Jangan
Lali cakap yang budak tu tak kikis duit Lali!” Puan Maliah sedikit marah dengan
sikap Lalita yang terlalu melindungi lelaki yang tidak memiliki apa-apa itu.
“ Mama! Persahabatan
Lali dan Bros lebih dari harta dunia lah mama! Tak sangka pulak Lali, mama
rupanya sama dengan Dato’ Irfan! Pentingkan duit! Tapi mama jangan lupa mama,
orang kat luar sana menganggap kita ni tak berduit. Semua ni kerana ehsan Dato’
Irfan kan? Tu pun mama dah lupa?” Lalita sedikit memberontak. Pantas dia bangun
dari kerusi dan menuju ke arah tingkap. Sakit hatinya bagai dimamah. Orang
tuanya sendiri yang menghina persahabatan mereka. Apa kata Bros kalau dia tahu?
“ Mama buat semua ni
untuk Lali juga. Mama tak nak Lali jatuh cinta dekat budak tu! Budak tu tak
kerjakan?” Puan Maliah seakan tertekan mengenagkan anak gadisnya itu. Menyesal
juga di hatinya apabila menolak pinangan Datin Fiffy untuk Nazri waktu tika
dahulu.
“ Dia kerja atau
tidak, tu bukan urusan mama. Bila pula Lali cakap nak kahwin dengan Bros?
Dahlah mama, Lali nak balik! Kirim salam kat papa!” Lalita mencapai beg
tangannya yang berada di atas kerusi. Jiwanya sedikit tercalar dengan sambutan
mamanya pada hari itu. Menghina Bros samalah menghina dirinya dan Lalita tidak
sanggup menadah telinganya mendengar cemuhan yang dilontarkan kepada sahabat
kesayangannya.
“ Tak tidur sini malam ni?” Puan Maliah
menghampiri anaknya yang mula bergerak ke muka pintu.
“ Lain kalilah mama. Lagipun, siapa yang nak
bagi duit kat Bros nanti kalau dia tak berduit. Mama dah anggap dia macam
pengemis! Jadi, dah jadi tanggungjawab Lali sebagai kawan kena tolong dia!”
Sinis kata-kata Lalita.
“ Apapun mama tak suka
Lali kawan dengan budak tu!” Puan Maliah menggunakan kuasanya sebagai seorang
ibu.
“ Lali balik dulu!
Assalamualaikum…” Lalita menyalami mamanya dan berlalu dengan perasaan yang
sakit. Saat keluar dari rumah, pandangannya berkalih kepada seseorang yang
menunggu di seberang jalan. Lambaian lelaki itu seakan menarik manik-manik
jernih untuk menyapa pipinya. Pantas dia membalas dengan senyuman yang hambar.
Untuk kesekalian kalinya, Lalita merasa simpati kepada Bros. Dan Bros sendiri
yang akan mengubah cara hidupnya dan bukan bergantung dengan dirinya lagi.
Memikirkan semua itu, air mata Lalita mula mengalir dengan laju.
“ Lali, cepatlah! Kau
kenapa berjalan macam perempuan ni!” Laung Bros dengan kuat. Lalita tersengih
sambil menyapu air matanya. Kemudian dia bergegas mendapatkan Bros yang mula
menarik muka tanpa diketahui sebabnya.
“ Kau kenapa?
Tiba-tiba je tarik muka?” Lalita menolak bahu temannya itu.
“ Kau dah buat salah,
tanya aku pulak!” balas Bros tidak berpuas hati.
“ Apa yang aku dah
buat?” Lalita menjungkit kening dan Bros
masih terus mencuka.
****
“ Kau kenapa
Bros? Macam mana kau tahu aku ada kat
sini ni?” pandangan Lalita jatuh pada seraut wajah Bros yang kelihatan mendung.
Ada masalahkah sahabatnya itu? Ataukah Bros
tahu hinaan dan cacian mamanya
kepada lelaki itu? Ah, tak mungkin! Lalita menggelengkan kepalanya sendiri bagi
menafikan perasaannya itu.
“ Kau kenapa?
Tergeleng-geleng kepala tu! Aku tak cakap apa pun lagi.” Bros menjungkit kening
dan memandang lama seraut wajah Lalita yang manis pada pandangannya. Dia
bersandar ke arah motosikalnya sambil mencapai sebatang rokok yang berada di
dalam poket seluarnya. Pantas rokok itu dinyalakan dan disedut perlahan dan
dilepaskan asapnya ke udara.
“ Yelah kau tak
cakap! Yang aku nak tahu, kenapa muka kau tu monyok je? Kau gaduh ek?”
“ Dengan siapa
pulak aku nak gaduh Lali kalau tak dengan kau? Cuma aku terasa hati, kenapa kau
tak ajak aku datang sekali rumah orang tua kau ni? Kau nak makan sorang-sorang
je ke Lali?” Bros menarik muka merajuk. Mudah benar lelaki itu terasa hanya
kerana perkara kecil sebegitu.
“ Makan apanya?
Aku baru je sampai. Tak makan pun lagi! Kau dah makan?”Lalita cuba memujuk.
“ Belum lagi! Tadi aku pergi rumah kau nak
tumpang makan! Sekali kau tak ada. Aku agak je kau datang sini. Sekarang, kau
tak nak ajak aku masuk ke? Mama kau dah masak?” Bros galak bertanya. Lalita
yang mendengar menjengilkan biji matanya dengan perangai teman baiknya itu. Tak
tahu malu langsung! Straight the point! Dia tak tahu mama hina dia macam-macam.
“ Dah jangan nak ngada-ngada. Kalau lapar, jom
kita pergi makan!” Lalita menolak Bros untuk mengambil helmet di dalam raga.
“ Mujur aku bawa helmet tu! Kau datang dengan
apa tadi? Kaya-kayapun kau nak berkira Lali..”
“ Aku naik teksi! Bukan aku yang kaya! Mak
bapak aku yang kaya. Nak harap kau tanggung aku, mati kelaparanlah aku Bros!”
Omel Lalita sambil mengenakan helmet di kepalanya. Kemudian dia cuba mengikat
tali helmet untuk mengemaskan lagi pemakaiannya. Pantas Bros membantu sambil
merenung wajah gadis di hadapannya. Lalita yang tidak selesa direnung begitu
cuba mengalih pandangan.
“ Hari ni aku belanja kau ye Lali..” ujar Bros
dengan mata yang bersinar. Bibirnya mengukir senyuman yang bias menggetarkan
jiwa Lalita.
“ Kau belanja? Kau biar betul! Mana kau ambil
duit tu? Kau curi ke Bros?” Lalita bersuara ceria bagi menutup gundah di
hatinya.
“ Kau ni Lali, pandang aku sebelah mata jelah!
Duit simpanan aku lah!” Ujar Bros sambil mencubit pipi Lalita dengan kuat.
Pantas Lalita menjerit. Rasa perit pipinya bukan dibuat-buat. Belum sempat dia
membalas, Bros mula menghidupkan enjin motorsikal dan mengarahkan Lalita naik
dan memegangnya pinggangnya dengan kemas.
“
Bros..aku minta maaf!” ucap Lalita dengan perasaan bersalah.
“ Pasal apa?”
“ Aku tak ada niat nak merendahkan kau! Aku
gurau je!”
“ Aku tak rasa apa pun! Duit simpanan aku ni,
duit yang kau bagi jugak!” Tutur Bros tanpa berselindung. Lalita yang mendengar
hampir tergelak dengan sikap terus-terang lelaki itu. Terasa bagaikan semua itu
hanyalah gurauan. Namun Bros bukan lelaki yang suka menipu. Dan sepanjang
perjalanan mereka, Lalita tersenyum sendiri sambil memeluk Bros dengan erat.
Apa yang dia tahu kini, Bros adalah teman terbaik yang pernah dia ada.
Tiba-tiba Lalita teringat
kata-kata mamanya tentang kekurangan Bros dan halangan mamanya untuk berkawan
dengan lelaki seperti Bros. Rasa sebak bermain di dadanya secara tiba-tiba.
Walau apa yang akan berlaku, meninggalkan Bros tidak mungkin sama sekali. Bros
adalah permata yang begitu berharga dalam hidupnya. Kehilangan Bros pasti
meragut kebahagiaan yang dikecapinya kini.
“ Lali, nak makan kat mana?” Bros menjerit kuat
menebus angin yang menemani perjalanan mereka.
“ Mana-manalah!” Lalita turut bersuara kuat.
“ Kita makan kat Paris nak?”
“ Mana?”
“
Paris! Paris!” Bros bersuara kuat sebelum dicubit kuat oleh Lalita yang mula
mencebik mendengar kata-kata lelaki itu. Berangan je lebih!