Home Novel Thriller/Aksi Jangan Percaya!
Jangan Percaya!
Syaida Ilmuna
1/3/2015 12:13:19
67,961
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 7

BAB 7

BELLA AMIRA tersenyum lebar saat melihat kedua-dua orang anaknya turun dari tingkat atas bersama beg kecil yang bergantung di bahu. Ia telah menjadi rutin selama dua tahun kebelakangan ini di mana Bella menghantar Belina dan Riza ke rumah ibu mertuanya sekiranya kanak-kanak itu bercuti panjang. Pabila sekolah dibuka nanti, jadual Bella akan berubah. Awal pagi, dia akan menghantar anak-anaknya ke sekolah dan petang nanti dia akan mengambil mereka pulang dari rumah Fauziah. Selalunya pada musim cuti, anak-anak Bella lebih gemar tinggal bersama nenek mereka kerana dapat bermain bersama Natasya dan Haziq.

Namun hari ini, Bella bercadang untuk membawa anak-anaknya pulang untuk memberi ruang kepada ahli baru keluarga bekas mertuanya, Kay untuk bernafas. Nanti kalau Kay dan Rizqi sudah berlepas untuk berbulan madu, dia akan menghantar anak-anaknya semula ke sini.

“Belina, Riza!” Bella mencium dahi anak-anaknya sambil mengusap lembut kepala mereka berdua. Belina yang berusia 12 tahun itu kini sudah tinggi separas pinggangnya. Manakala Riza hanya dua jengkal rendah dari si kakak.

“Mama, hari ni tidur kat rumah kita, ye?” tanya Riza.

“Ya… barang-barang semua dah ambil tak?” Bella memeriksa beg anak-anaknya.

“Belle… duduk makan malam dulu.” Suara Fauziah tiba-tiba mencelah dari dapur. Dia menjenguk ke ruang tamu sambil menggamit tangannya supaya Bella mendekat.

Bella meninggalkan Belina dan Riza. “Kenapa mak? Belle ingat nak bawa budak-budak ni makan luar aje.” Berat hatinya nak menerima pelawaan Fauziah. Tambah-tambah pula kini Kay sudah sah menjadi ahli keluarga bekas ibu mertuanya. Bukan Bella tak boleh menerima kenyataan yang Rizqi sudah berkahwin, dia cuma… tidak serasi berganding dengan Kay. Bella sendiri tidak tahu apa sebabnya.

“Alahai… Belle! Marilah. Makan sekejap je. Lepas makan, Belle baliklah. Takkan Belle tak sudi nak makan masakan mak?” Fauziah memujuk.

Bella jadi serba salah. Dia tidak mahu mengecewakan hati bekas ibu mertuanya yang baik budi. “Hmm… baiklah! Tapi lepas makan, Belle kena terus balik tau.”

Fauziah tersenyum lebar. Dia dan Diana mula menghidang makanan ke ruang makan. Setelah semuanya selesai, ahli-ahli rumah yang lain dipanggil turun untuk menjamu selera.

Kay dan Bella sekali lagi semeja. Tetapi kali ini Bella memilih untuk duduk lebih jauh dari Rizqi dan Kay. Dia duduk bersebelahan bekas ibu mertuanya iaitu di hulu kanan meja. Manakala Rizqi pula duduk di hulu kiri meja tersebut dengan Kay duduk di sebelah kanannya.

Masing-masing hanya menumpukan perhatian untuk memenuhkan perut yang kosong. Setelah lebih 15 minit sepi dengan dentingan pinggan serta kutleri mengiringi mereka, Rizqi akhirnya bersuara.

“Belle, ada sesiapa beritahu awak tentang program CSR banjir ke pantai timur tak?” tanyanya.

Kedepang! Tulang ayam yang sedang digigit Bella terjatuh ke atas pinggan yang licin. Dia mengangkat kepalanya sambil mengerutkan dahi ke Rizqi. “Tak ada,” jawab Bella sepatah.

“Tak ada sesiapa Whatsapp awak atau email tentang hal ni?” Sekali lagi Rizqi bertanya.

Kay yang berada di sebelah Rizqi sudah berhenti dari mengunyah. Matanya difokuskan kepada Bella. Jantungnya berdegup kuat.

“Tak ada. Saya tak tahu apa-apa pun. Lagipun office lengang sebab kebanyakan staff masih bercuti.” Bella dapat merasakan bahawa semua mata di keliling meja itu terfokus pada dia dan Rizqi. Perbualan yang tidak dirancang. Tak ada masa lain ke nak berbincang tentang hal ni? Depan si Kay pulak tu!

“Oh… kalau macam tu, awak sampaikan kat budak-budak office yang ada besok supaya join program tu. Show support sikit. Jangan asyik nak pergi program hiburan aje. Yang CSR ni semua malas. Kalau Belle nak join pun boleh. Just contact Encik Saiful,” kata Rizqi lagak bos memberi arahan.

Bella mengangguk. “Okay. Esok saya beritahu. Tapi… saya maybe tak ikutlah. Sebab… you know… saya baru saja balik dari Australia.” Bella terasa perbualan mereka terbatas dek kerana menjadi perhatian semua orang termasuk bekas ibu mertuanya yang kini sudah berhenti makan. Masing-masing saling pasang telinga.

Nevermind. Saya beri pengecualian pada awak, Belle,” jawab Rizqi ringkas.

Brak! Kerusi Kay ditolak kasar. Dia bangun sambil mengangkat pinggannya yang separa kosong. Masih ada tersisa nasi dan ayam yang separuh bersentuh. “Saya dah selesai,” kata Kay yang seterusnya bangun menuju dapur.

Tindakan Kay memberi tamparan mengejut kepada Bella yang merasakan Kay cemburu dengan kata-kata yang dilontarkan Rizqi kepadanya. Kay merajuk? Akukah yang bersalah? Hati Bella bergolak.

“Kay..? Dia okay tak?” Diana menjeling pandang pada Bella yang berada di sebelahnya. Kemudian pandangannya beralih pada Rizqi yang selang satu kerusi darinya.

“Dia? Entah.” Rizqi menaikkan keningnya. Perasaan Rizqi bercampur baur. Antara pelik dan rasa bersalah. Kay merajuk? Tapi kenapa? Bukannya dia bercakap soal dari hati ke hati dengan Bella. Ia soal kerja.

“Takpe. Belle pergi tengok dia.” Bella menawarkan dirinya.

***

SUARA tangisan sedu sedan kedengaran di ceruk dapur. Bella mengintai perlahan-lahan dari balik dinding yang menghadangi dapur dan ruang makan.

“Kay?” panggil Bella. Satu persatu kakinya melangkah mendekati Kay dari arah belakang. Suara Kay tersedu-sedan kedengaran lebih kuat.

“Kay? Saya minta maaf kalau awak terasa,” kata Bella lagi. Kaki Bella berhenti melangkah. Tinggal lima tapak lagi antara dia dan Kay.

Kay berhenti menangis. Perlahan-lahan dia berkalih. Tangan kanan Kay memegang sebilah pisau tajam. Manakala telapak tangan kirinya berlumuran darah. Darah itu kini menitik-nitik jatuh ke lantai.

“Kay!” Bella separuh menjerit. Degupan jantungnya berdebar kencang. Kedua-dua belah tangan Bella menekup mulutnya yang hampir-hampir saja menghamburkan muntah. Darah likat pekat itu makin membasahi lantai dan Kay hanya terdiam merenung Bella bagai wanita psiko.

“Kay, what did you do to yourself?!” Bella merampas pisau tersebut dari tangan Kay. Pisau tersebut dicampak ke singki.

Kay tersenyum sinis. “Rizqi! Rizqi! Tolong saya!” jeritnya kuat. Air mata mula berhamburan jatuh.

Bella jadi cemas. Apa yang Kay cuba lakukan kepadanya?

Sebaik sahaja Rizqi masuk ke dapur, Kay berlari mendapatkan suaminya dan memeluk lelaki itu erat. Dia menangis semahu-mahunya. Bella pula tercengang tidak memahami apa yang sedang terjadi.

“Kenapa ni?” Rizqi jadi panik melihat tangan Kay yang berdarah teruk. Hirisan dalam pada telapak tangan Kay membuatkan darah memancut-mancut ke seluruh lengan wanita itu dan kini ia merebak ke baju Rizqi apabila Kay mendakapinya erat.

Fauziah dan Diana juga tercengang melihat apa yang terjadi. Natasya disuruh membawa kanak-kanak yang lain naik ke kamar. Fauziah tidak mahu cucu-cucunya fobia melihat darah yang sebegitu banyak.

“Belle? Apa yang jadi ni?” Rizqi menyoal dengan nada yang agak keras. Tangan isterinya ditekap dengan tuala yang tersimpan di laci dapur. Kay dipeluk erat.

“Saya… saya tak tahu, Rizqi. Saya masuk-masuk dapur je… tangan dia dah berdarah. I don’t know!”akui Bella.

“Sayang? Kenapa ni?” Rizqi mengangkat wajah isterinya dan merenung mata Kay yang berkaca dalam.

Kay tidak membalas. Dia hanya menangis. Menahan pedih di tangan dan di hatinya.

“Sayang! Tell me!” Rizqi mendesak. Matanya memicing penuh amarah.

“Bella… dia….” Kay tidak menghabiskan kata-katanya. Dia kembali menekup wajah ke dada Rizqi.

“Dia apa?!” Rizqi mula naik angin. Matanya kini pula tertumpu pada Bella. Manakala Diana dan Fauziah hanya berdiam melihat drama mereka bertiga.

“Dia buat….” Kay akhirnya meluahkan kata-kata.

Bella terpempan mendengar pengakuan Kay. Bagai nak luruh jantungnya menahan terkejut yang amat. Kay menipu!

“Ya ALLAH! Kay? Saya tak buat apa-apa pun dekat awak! It’s you! Awak yang pegang pisau tu!” Bella mempertahankan dirinya. Pandangan sayu dilayangkan ke arah Diana dan bekas ibu mertuanya. Kedua-dua mereka masih bingung dalam menilai siapa yang betul atau salah.

“Shut up, Belle! How could you do this to my wife?” Termometer amarah Rizqi meledak. Bella ditarik keluar dari dapur.

“Rizqi! Saya tak buatlah. Isteri awak tu… dia yang….”

“Diam!” Rizqi menjerkah ke muka Bella. “Awak nak cakap Kay menipu? Dia tipu saya?”

Bella terdiam mendengar bicara Rizqi. Bibirnya terketar-ketar. “Lepas tu… awak ingat saya tipu awak? Awak rasa… saya tergamak buat benda macam tu dekat dia?”

“Mana saya nak tahu awak tergamak ke tak? Kalau orang dah cemburu… dah benci… macam-macam dia orang boleh buat!” sembur Rizqi.

Bella tergeleng-geleng mendengar bicara Rizqi. “Sampai hati awak cakap saya macam tu…. Thanks for the dinner. I’m taking the kids home!” Hati Bella Amira terguris dalam.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.