BAB 16
SAKIT
kepala Rizqi dua hari lepas membawa ke hari ini. Masih tidak kebah-kebah
malahan makin bertambah sakit denyutannya. Entah mengapa, sakit ini bermula
sebaik sahaja dia bangun tidur dan akan perlahan-lahan lenyap bila menjelang
petang nanti. Kemudian bangun saja dari tidur, dia akan kembali sakit kepala
dan begitulah seterusnya.
Hari ini hari pertama dia memulakan
kerja pada awal tahun 2015. Setelah hampir seminggu berehat bersama isteri
tersayang, dia kembali cergas memulakan tugas sebagai penerbit eksekutif bagi rancangan
hiburan dan travel. Banyak perkara yang perlu diselesaikannya. Banyak juga
mesyuarat yang perlu dihadirinya. Perancangan isi rancangan baru bagi setiap
program harus diteliti. Dia juga perlu berbincang dengan pihak atasan
termasuklah unit branding bagi
mencambahkan idea baru yang akan ditampilkan bagi setiap program televisyen di
bawah kelolaannya.
Namun sakit kepala yang kian
berdengung-dengung ini membuatkan mood tersebut hilang ditiup angin. Apa yang
Rizqi mampu lakukan kini hanya bersandar di kerusi malasnya sambil menatap
skrin komputer yang kosong.
Tok! Tok! Pintu pejabat Rizqi
bergetar.
“Masuk!”
Bella menjenguk di balik pintu
dengan wajah seriusnya. “Boleh saya jumpa Encik Rizqi sekejap?” soal Bella
acah-acah berprotokol.
“Masuklah… What’s up Puan Bella?” Rizqi merubah mimik wajah tenang.
Kesakitannya disimpan seketika.
“Awak free ke? Saya ada perkara nak cakap dengan awak ni.”
Rizqi mengulum senyuman. “Cakap
ajelah apa bendanya. Tapi sebelum tu… saya nak minta maaf sebab tak dapat nak
jemput awak masa awak balik dari Kelantan hari tu. Belle dah sihat?” tanya
Rizqi prihatin.
Wajah Bella yang serius tadi berubah
menjadi gembira. Rizqi masih peduli tentang dirinya. “Oh, tak apa! Kak Long
cakap awak tak sihat. Saya dah okay dah. Anyway,
dua hari lepas awak ada rumah tak?”
“Bila? Hari yang awak balik KL tu
ke? Saya ada je kat rumah. Kan saya tak sihat. Tak boleh nak keluar ke
mana-mana pun,” jawab Rizqi tanpa curiga kepada soalan yang diajukan Bella.
“Oh….” Bella terangguk-angguk. Sah!
Sudah terang lagi bersuluh. Kay memang kaki auta.
“Kenapa?” soal Rizqi dengan wajah
yang berkerut. Kepalanya yang berdenyut-denyut itu tidak dapat dibendung lagi
kesakitannya. Rizqi menggenggam tangannya kuat.
“Saya dan Kak Long datang ke rumah
awak. Tapi Kay tak bagi masuk. Dia cakap kami tak boleh ganggu awak.” Bella
mula mengatur bicaranya. Dia mahu Rizqi siasat siapa sebenarnya Kay. Isterinya
itu syaitan bertopengkang manusia! Penipu!
“Eh ye ke?” Rizqi terkejut dengan
pernyataan yang dilemparkan Bella terhadap Kay. Kenapa pula Kay menghalang
mereka datang ke rumahnya? Bila pula mereka datang sampaikan dia tidak sedar
akan kehadiran mereka?
“Iyelah. Saya datang sebenarnya nak
adukan perkara penting dekat awak. Tapi Kay halang saya dan Kak Long dari jumpa
awak.”
“Perkara apa ni? Saya tak tahu
menahu pun!” Kepala Rizqi bertambah pusing. Tangan kirinya memegang meja kaca
utuh.
“Awak… memanglah tak tahu. Sebab dia
nak rahsiakan dari awak!” Bella mencucuk jarum kebenciannya pada Rizqi dengan
harapan lelaki itu akan membenci Kay.
“Rahsia apa ni Belle? Cuba cakap tu
biar terang sikit!”
“Awak tengok ni. Nilailah sendiri!”
Bella mengeluarkan telefon pintarnya dari kocek seluar jeans biru. Gambar
tangan dan belakang badan Riza terpapar di skrin. Kemudian skrin tersebut
dikuis ke kanan. Gambar telapak tangan Belina pula yang bercalar dipamerkan.
“Astaghfirullah! Ni badan Riza,
kan?” Rizqi seakan-akan tidak percaya. Fizikal anak-anaknya yang tercela. Kesan
merah dan calar balar tersebut nampak teruk sekali.
“Ya, badan Riza, tangannya dan
telapak tangan Belina. Awak ingat siapa yang buat semua ni?” soal Bella yang
berbaur provokasi.
“Saya tak tahu! Demi ALLAH saya tak
buat semua ni, Belle! Awak tahukan yang saya tak pernah jentik pun anak-anak
kita. Kalau nak pukul macam ni memang jauh sekalilah!” Tangan Rizqi
berpeluh-peluh. Bibirnya tak semena-mena menjadi pucat.
“Awak tanyalah Kay apa yang dia buat
dekat anak-anak kita….”
Tersandar Rizqi ke kerusi mendengar
pertuduhan Bella terhadap isterinya. “Kay? No!
No way she did all this! I know her, Belle. Dia jenis lemah lembut. Dia takkanlah
nak pukul budak-budak macam ni.”
“Menangkanlah dia, Rizqi. I don’t mind with whom are you married to
right now. What matters me most is my children! Kalau dia sentuh
budak-budak ni, dia akan kena dengan saya. Saya tak nak cakap lebih. Awak
tanyalah dia sendiri.”
Bella merengus kencang. Pintu pejabat dihempas kuat.
***
PINTU
utama rumah tolak perlahan. Gelap. Rizqi yang baru pulang dari kerja
terpinga-pinga melihat keadaan rumahnya. Ruang tamu tidak berlampu. Tingkat
atas juga kelam tanpa disimbah sebarang cahaya. Tak bayar bil elektrik ke? Tak
silap dia, baru dua minggu lepas dia telah melangsaikan bil tersebut. Blackout? Setahu dia cuaca cerah dan
terang sepanjang pagi sehinggalah senja ini. Tiada pula tanda-tanda cuaca buruk
yang telah mengakibatkan bekalan elektrik terputus.
Rizqi menapak satu persatu langkah
masuk ke dalam ruang tamu dan berjalan ke arah ruang makan yang kelihatan
samar-samar tanpa lampu. Dia hanya berpandukan cahaya telefon pintarnya sahaja.
Bimbang juga dia jikalau ada apa-apa yang berlaku terhadap Kay, isterinya.
Sudahlah Kay tinggal seorang di dalam rumah sebesar ini.
“Kay? Saya dah balik ni. Kenapa
rumah gelap?” panggil Rizqi.
Senyap sunyi tiada bunyi. Ketakutan mula mengocak
kolam hati Rizqi. Entah apa pula yang terjadi kali ini. Sudahlah tadi pagi dia
pening memikirkan pertuduhan Bella terhadap Kay yang dikatakan mendera
anak-anaknya. Pulang ke rumah, tak sangka ini pula yang terjadi.
“Kay?” panggil Rizqi lagi.
Kechak! Bunyi batang mancis berlaga dengan kotaknya.
Tiba-tiba sahaja meja ruang makan bercahaya dengan nyalaan lilin sebatang.
Mancis yang masih lagi bercahaya itu memberi gambaran kepada tangan dan
kemudian wajah yang berada di hujung meja. Seorang wanita berambut panjang
hingga ke dada yang memakai dress tidak berlengan berwarna merah.
“Rizqi,” sebut wanita itu.
“Kay? Kenapa….” Kata-kata tumpul dari lidah Rizqi
apabila melihat penampilan Kay. Gayanya berubah seratus peratus. Setahu Rizqi,
Kay yang lemah lembut itu suka memakai pakaian yang sopan dan tradisional. Hari
ini lain pula gayanya.
Mancis yang berada di tangan Kay ditiup lembut.
Kepulan asap kecil naik bergulung ke atas siling.
Kechak! Sekali lagi mancis dinyalakan. Kali ini Kay
sudah berada di hadapan Rizqi dan menyalakan sebatang lagi lilin yang di hujung
meja sebelah Rizqi.
“Dah lama balik?” tanya Kay menggoda.
Mancis yang bernyala itu dipadamkan Kay. Dia menolak
tubuh Rizqi untuk duduk di kerusi. Kemudian pinggan berwarna putih disusun di
hadapan Rizqi. Periuk dan bekas aluminium yang tersusun di atas meja pula
diangkat buka. Aroma ayam panggang dan nasi tomato menujah ke hidung Rizqi.
“Apa semua ni?” tanya Rizqi bingung. Dalam hatinya
hanya ada satu perkara sahaja. Dia tidak sabar-sabar ingin bertanyakan Kay
tentang soal Belina dan Riza. Persiapan makan malam ini langsung tidak menarik
perhatiannya.
“Candlelight
dinner kita berdua,” jawab Kay manja. Ayam panggang diletakkan ke atas
pinggan Rizqi. Air yang kurang Rizqi perasan warna apa dituangkan pula ke dalam
gelas kaca. “Makanlah,” ajak Kay pula.
“No! Wait!
Buka lampu ni,” arah Rizqi tegas. Sikap manja Kay diketepikan.
“Rizqi… sayang! Jamahlah sikit,” paksa Kay. Ayam
panggang itu dipotong kecil. Ia kemudian disuapkan ke dalam mulut Rizqi secara
paksaan.
“Ish, apa ni Kay!” Rizqi cuba menolak namun
kelincahan tangan Kay membuatkan dia terpaksa menelan cebisan ayam panggang
tersebut.
“Makanlah… saya masak untuk awak ni,” balas Kay
dalam nada yang sama. Lembut dan penuh ketenangan.
“I’m not in
the mood to eat anything! Saya nak tanya awak pasal anak-anak saya ni!”
tegas Rizqi.
“What is it?”
Tangan Kay pantas menyuapkan sepotong daging ayam ke dalam mulut Rizqi secara
paksa. Dia seolah-olah tidak mengendahkan tentang apa yang ingin ditanyakan
Rizqi kepadanya.
“Awak pukul anak-anak saya, ye? Belle mengadu kat
saya pagi ni dan…” Tak sempat Rizqi menghabiskan kata-katanya, sekali lagi Kay
menyumbat mulutnya dengan daging ayam panggang. Kali ini dicicah pula dengan
sos barbeque.
“Sedap tak saya masak? Pujilah saya sikit,” ujar Kay
sambil tersengih manja. Mulut Rizqi yang comot itu dilap-lap dengan napkin.
“Eh, what’s
wrong with you ni? Awak tak faham ke apa yang saya cakap?” Rizqi menepis
tangan Kay dari terus mengelap bibirnya. Dia bangun dari kerusi yang diduduki.
“Kenapa dengan awak ni? Saya layan awak elok-elok…
awak tiba-tiba marah saya?” tanya Kay kembali. Nada suaranya berubah sedikit
tinggi dari tadi. Mata Kay kini berat dengan air yang menanti masa untuk
melimpah turun.
Rizqi melepaskan keluhan kecil.
Dahinya digosok-gosok. ‘Kay ni betul ke tak? Dia faham ke tak dengan apa yang
aku nak cakapkan ni?’ getus hati Rizqi.
“Kay!” Rizqi mencengkam bahu
isterinya kuat. “Awak pukul anak-anak saya ke? Belle adu dekat saya yang awak
buat macam tu! Awak tak beritahu saya pun masa dia dan kakak saya datang ke
rumah kita semalam. Kenapa awak buat macam ni?”
Kay diam tidak berbicara. Matanya
halus memandang tepat ke mata Rizqi. Biasan lilin yang menyala itu bermain-main
di iris matanya. Menggambarkan amarah dan nyalaan api di dalam hati yang bagai
sekam membakar dalam diam.
“Kay cakaplah dengan saya!” Rizqi
menggoncangkan bahu Kay. “Kenapa awak pukul anak-anak saya?”
“Mereka degil. Mereka cakap yang
bukan-bukan tentang saya. Mereka benci saya kahwin dengan awak! Mereka
bandingkan saya dengan bekas isteri awak!” bicara Kay tegang. Dadanya naik
turun menahan alur nafas yang kian tidak terkawal.
“Astaghfirullah….” Rizqi
menggeleng-geleng. Dia tidak menyangka mulut anak-anaknya berbisa seperti itu.
Sebelum ini Riza dan Belina tidak pernah pandai memberi ulasan tentang siapa
bagus dan siapa yang mereka tidak suka. Dia tidak pernah mendidik anak-anaknya
juga bersikap judgemental terhadap
orang lain.
“Tapi ini bukannya alasan untuk awak
pukul mereka. Sebelum awak buat sesuatu perkara melibatkan anak-anak saya… tolong,
tolonglah jangan melulu! Biar saya saja yang pukul mereka atau ajar mereka.
Tapi awak… jangan!” sambung Rizqi lagi.
“Awak dan Belle beri muka sangat
dekat mereka. Sampaikan benda kecil pun nak merengek. Awak dan Belle memang tak
reti nak jaga anak!” Kay mula meletuskan amarahnya. Kalau boleh dia memang
tidak suka untuk naik angin di hadapan Rizqi. Tapi… kali ini dia benar-benar
benci apabila….
“Sudah! Jangan awak pertikaikan cara
saya dan Belle menjaga anak-anak. Belle tahu apa yang dia buat dan saya percayakan
dia. Dia ibu yang baik untuk anak-anak saya. Dan awak terlalu muda untuk faham tentang
soal anak-anak ni semua!” Rizqi menarik nafasnya tinggi. Dia tahu dia sudah
terlepas cakap. Tapi apa yang dituturkannya mengenai Bella adalah kebenaran
yang sudah lama dia akui. Itu satu perkara yang Kay perlu tahu mengenainya.
Air mata berhamburan turun dari
kolam mata Kay. Hatinya terguris. Benar-benar terguris dalam. “Awak sayangkan
Belle lebih dari saya, kan? Awak bencikan saya, kan?!”
Rizqi terkedu dengan pertanyaan Kay.
Dia berkalih dari terus memandang wajah Kay. Terlanjur kata bukanlah seperti
perahu yang boleh diundur kembali.
“Antara saya dan Belle… kami tak ada
apa-apa. Kasih sayang dan prihatin saya kepada dia berbeza dengan awak, Kay. I am… I’m sorry,” jawab Rizqi
teragak-agak.
Kay tersenyum paksa. Pinggan putih
kosong yang tersusun di atas meja dicapai. “Saya tahu awak masih menyimpan
perasaan terhadap dia. And I’m going to put an end to this.”
Bam! Rizqi jatuh tersungkur ke
lantai. Kay hanya tersenyum nipis dengan tangannya memegang utuh pinggan putih
yang tercalit darah merah di sisi.
“Diam,” sebutnya lembut.
***