Home Novel Thriller/Aksi Jangan Percaya!
Jangan Percaya!
Syaida Ilmuna
1/3/2015 12:13:19
68,265
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 20

BAB 20

RIZQI menuruni tangga. Dijenguknya ke dapur. Kelihatan Kaylina, isteri kesayangan sedang sibuk menyiapkan sesuatu. Perlahan-lahan Rizqi memijak lantai untuk mengelakkan Kay sedar akan kehadirannya.

“Buat apa tu?” tanya Rizqi mengejut.

Kay mengalihkan badannya. Peralatan memasak diletakkan ke tepi. Beberapa buku roti yang di susun ke atas pinggan cepat-cepat disusunnya rapi.

“Oh, awak ni! Selalu buat saya terkejut,” kata Kay sambil mengurut dada. Wajahnya yang sedikit berisi itu tampak cerah dan segar. Dia kelihatan lebih comel daripada minggu-minggu yang lepas.

“Buat apa ni? Sarapan pagi untuk saya?” Rizqi meneliti barang-barang yang tersusun di atas meja dapur. Ada ikan sardin yang sudah dikeluarkan dari bekasnya, sayuran seperti kobis dan sawi, bawang merah yang telah dihiris nipis, sos cili Kimball dan mayonis Thousand Island. Di hujung sebelah kiri tangan isterinya pula ada sebuah bekas kecil yang berisi benda hijau yang tidak diketahui Rizqi apa.

“Yalah,” Kay berkalih ke arah barang persiapan sarapannya semula. “Sandwich. Awak suka tak?” ujarnya manja.

“Sukalah… apa isteri saya buat. Semua saya suka!” balas Rizqi gembira. Badan Kay dirangkulnya dari belakang. Seperti biasa dia akan mengusap abdomen perut isterinya. Tak sabar menantikan cahaya mata yang dijangka lahir bulan September ini.

“Awak nak kena pergi kerja ke lepas ni?” soal Kay. Tangannya laju meletakkan sayuran ke atas roti dan kemudian mencedok tuna yang telah dihancurkan itu ke atas sayuran tadi pula.

“Ha’ah… Kan malam ni ANM. Anugerah Nusantara Muzik. Saya kenalah pantau semua. Awak duduk rumah tengok saya kat TV, okay?” bisik Rizqi ke telinga Kay. Matanya menjeling pada bekas kecil di sebelah kiri tangan Kay. Apa benda tu?

“Mesti ramai artis datang, kan? Bella ada sekali tak?” tanya Kay curiga. Walaubagaimanapun, api cemburunya masih dalam keadaan terkawal.

Rizqi mengangkat keningnya. Tak semena-mena fikirannya terlintas akan perilaku dia terhadap Bella semalam. Kejamkah aku? “Entah. Dia… kalau dia rasa dia nak kerja lagi dengan saya, dia datanglah. Kalau tak, dia tak datang.”

“Kenapa pulak macam tu?” Kay mengalihkan badannya berhadapan dengan Rizqi. Namun dalam pada masa yang sama, tangan kirinya sempat mengambil sesuatu dari bekas kecil di sebelahnya dan diselitkan ke dalam sandwich tadi.

“Sebab….” Mata Rizqi menangkap perlakuan Kay. “Apa benda tadi tu?”

“Apa?” Mata Kay membuntang besar. Ah! Dia perasan?

“Tu benda hijau yang awak masukkan dalam sandwich saya tu.” Jari Rizqi menuding ke arah bekas kecil yang diperhatikannya tadi.

“Oh tu….” Kay tersengih. Namun jantungnya berdegup kencang. “Sayur…. Anyway tadi, awak tak habis cakap lagi pasal Bella. Kenapa?”

“Bella? Ah, ya… dia mengelamun masa buat kerja. Jadi saya halau dia keluar dari konti.” Rizqi terus terlupa dengan apa yang mahu disoalnya lagi. Fikirannya diisi dengan Bella pula.

“Hmm… saya harap dia belajarlah dari kesilapan. Apa yang awak buat kepada dia pun untuk kebaikan kita sekeluarga, sayang…” ujar Kay yang membelai manja rerambut Rizqi. Sandwich yang telah disiapkannya tadi dihulurkan kepada Rizqi.

Rizqi menggigit sandwich tersebut tanpa was-was. Baginya, rasa sandwich ini luar biasa dari sandwich di kedai atau dibuat siapa-siapa. Terasa lebih crunchy dan segar. Mungkin kerana ia hasil air tangan si isteri agaknya.

“Ya. Untuk kebaikan kita bertiga,” kata Rizqi sambil memeluk Kay erat ke dada.

***

TIGA minggu sebelumnya….

Bahagian belakang kepala Rizqi berdenyut sakit. Bantal yang menyokong kepalanya pun tidak mampu berbuat apa-apa. Malah makin dia berbaring lebih lama, makin sakit kepalanya. Setelah hampir sejam tersedar dan terbaring di atas katil, Rizqi akhirnya bangun.

Dia menapak ke koridor luar kamar. Kelibat si isteri dicari. Dia masih lagi samar-samar dengan apa yang terjadi ke atas dirinya. Bangun-bangun saja sudah terbaring di atas katil. Walhal semalam rasanya dia bergaduh besar dengan Kay. Namun dia sendiripun sudah lupa apa sebab penyebab kepada pergaduhan mereka.

“Kay!” Kepala Rizqi terasa pening. Dia berhenti berjalan dan menyandar ke dinding koridor.

Dari hujung koridor Kay datang mendekati Rizqi dengan wajah yang tersenyum. Dia memapah Rizqi masuk ke dalam kamar semula dan tubuh Rizqi dibaringkan.

“Awak pengsan semalam. Awak ingat tak apa yang terjadi?” tanya Kay lembut. Rambut hadapan Rizqi diusap-usapnya perlahan.

“Entah. Saya jatuh ke? Belakang kepala ni sakit sangat!” rungut Rizqi.

“Hmm… awak balik-balik je awak marah-marah tentang anak-anak awak. Lepas tu awak stress sangat kot agaknya. Awak terjatuh lepas tu belakang kepala awak terhentak kerusi kat ruang makan,” kata Kay dalam nada sedih.

“Saya marah awak sebab anak-anak? Sebab Belina dan Riza?” tanya Rizqi keliru. Benarkah? Dia pun masih kurang mengingati apa yang dituturkannya semalam.

“Ya. Awak cakap Bella mengadu tentang Belina dan Riza. Bella tuduh saya pukul anak-anak awak. Tapi sumpah! Saya tak buat semua tu. Bella sengaja buat cerita supaya awak bencikan saya dan awak akan kembali pada dia. Anak-anak awak pulak ikut bersekongkol dengan dia,” kata Kay menambahkan perasa dalam cerita.

“Oh!” Rizqi seakan-akan teringat insiden di pejabat. Bella datang ke pejabatnya dan mengadu macam-macam mengenai Kay. Gambar-gambar Belina dan Riza yang dipukul ditunjukkannya. “Sampai hati Belle buat saya macam ni!”

“Orang yang dengki akan buat apa saja untuk musnahkan hubungan kita, Rizqi. Tapi kalau awak masih sayangkan dia… apa yang saya boleh buat? Saya terpaksa mengalah dan tinggalkan awak dengan dia….” Kay menggunakan taktik lain dalam menawan kepercayaan Rizqi. Fikiran serabut Rizqi digunakannya untuk mengaburi segala perlakuannya terhadap Belina dan Riza serta pertuduhan Bella terhadapnya.

“Jangan!” Rizqi menggenggam tangan Kay erat. “Saya sayangkan awak, Kay. Saya benci orang macam Belle. Memporak perandakan hubungan orang lain. Awak jangan tinggalkan saya! Awak cakap apa aje Kay… saya akan ikut, sayang.”

“Hmm, kalau macam tu….” Kay tersenyum simpul. Kali ini jeratnya mengena. “Awak janji dengan saya yang awak takkan lagi tegur Bella dan jangan biarkan dia dekati awak lagi. Jangan percaya cakap Bella sebab dia tu penipu. Awak juga jangan jumpa lagi dengan anak-anak awak tu sampailah budak-budak tu benar-benar rasa bersalah dengan tindakan dia orang pada saya. Faham?”

“Faham, sayang. Saya janji saya akan ikut cakap awak. Saya tak sanggup lagi ditinggalkan. Saya tak nak perkahwinan kali ini musnah, Kay!” ujar Rizqi bersungguh-sungguh.

***

Anugerah Nusantara Muzik berakhir dengan gemilangnya. Penamat di skrin televisyen bukanlah penamat di suasana majlis tersebut sendiri. Parti pasca majlis atau lebih dikenali sebagai Post Party ANM diadakan di Hotel Mayangsari yang berhadapan dengan Stadium Merawangsa. Kesemua artis termasuklah anggota produksi Anugerah Nusantara Muzik dijemput hadir. Bella dan Rizqi juga muncul sekadar menunjukkan muka. Hidup orang berkeluarga seperti mereka memang tidak sesuai dengan gaya hidup popular dan sosial dunia glamor. Majlis ini sudah semestinya akan menemui titik noktah pada jam dua tiga pagi.

Jam menunjukkan tepat pukul 12 malam. Bella hanya berminat untuk minum dua teguk air coke dan sepinggan spaghetti carbonara. Baginya, ini semua duniawi. Kalau boleh, memang dia ingin bergegas pulang ke rumah dan mengambil anak-anaknya dari rumah Zahlia sekarang juga. Tetapi atas jemputan beberapa rakan artis, Bella terpaksa datang tunjuk muka.

“Hey, Belle!”

Bella terkejut dengan kehadiran Amir Daniyal di sisinya. Eh, balik-balik muka dia ni. Apa yang dia nak dari aku?

“Ah, hai! Tak balik lagi?” soal Bella basa basi.

“Malam masih muda, kan?” jawab Amir ringkas. Segelas coke di tangannya diteguk.

“Hmm… saya dah nak kena balik. Anak-anak saya… you know. Tak boleh lama-lama kat sini,” balas Bella. Matanya meliar ke kiri dan kanan. Melihat-lihat jikalau Ainil masih lagi di sini. Tetapi setahu dia, Ainil itu patuh cakap suami. Kalau suaminya pulang, dia pun ikut sama.

“Oh, betullah. Tanggungjawab tu penting. Mak saya dulu pun single mother macam awak juga. Dia memang pentingkan kami. Sejak ayah tak ada, dia banyak berkorban masa dan tenaga untuk besarkan kami berdua. Pity her… she died early,” cerita Amir ringkas. Dia cuba untuk menahan Bella dari berlalu pergi. Entah mengapa, Bella begitu menarik perhatiannya sejak dari pagi tadi lagi.

“Maaf kalau Belle tanya. How old is she when she died?” tanya Bella teruja mendengar cerita Amir.

“Muda. Lebih kurang umur awak. Dalam 30-an. 37 tahun.”

“Oh, okay. Bapa awak meninggal umur berapa?” Bella jatuh kasihan mendengar kisah hidup Amir tanpa ibu bapa pada usia yang muda.

“Umm… Around 30 tahun macam tu,” kata Amir tanpa perasaan sedih terselit di hati lagi.

“Awak mesti hidup berdikari, kan? Saya tak tahu macam keadaan anak-anak saya kalau saya tak ada dalam dunia ni. Mereka berdua akan kehilangan arah.” Bella cuba membayangkan dia sebagai ibu Amir dan Amir pula anaknya. Bagaimana jikalau dia pergi dahulu? Siapa yang nak menjaga Riza yang masih lagi kecil? Mahukah Rizqi mengambil hak penjagaan itu jikalau sekarang pun Rizqi tak mahu mengambil tahu soal mereka sekeluarga lagi?

“Ya, tapi perkara dah lama berlalu. Saya pun tak ingin nak ingat lagi.”

“Kalau boleh saya tahu… sebab apa mak awak meninggal?” tanya Bella lagi.

“Tu… Rizqi asyik pandang awak.” Amir pantas menukar tajuk. Dia kalau boleh tidak mahu lagi mengingati kisah lampau. Rizqi yang asyik memerhati mereka sejak dari mula Amir berbicara dengan Bella dijadikan sasaran untuk mengubah topik perbincangan.

“Mana?” Bella menoleh. Matanya bertentang dengan mata Rizqi yang sedang berdiri dekat dengan susunan makanan spaghetti dan kek.

“Biarkan dia,” kata Bella tidak mengendahkan perilaku Rizqi. Dia kembali memandang Amir.

“Dia suka awak ke? Saya nampak dia macam orang cemburu. Asyik tenung awak macam orang gila,” telah Amir. Sebagai seorang lelaki, dia memahami reaksi seorang lelaki lain jikalau mereka meminati gadis yang sama.

“Biarlah orang gila tu. Saya tak kisah pun kalau dia nak tenung sampai nak tercabut mata. Bukan dia boleh buat apa-apa,” kata Bella sambil ketawa. Kepalanya sempat menoleh ke arah Rizqi dan menjeling lelaki itu tajam.

“Awak tahu tak… lelaki boleh bertindak gila kalau dah cemburu tau. Dia dah kahwin, kan?” Amir merasakan hubungan Bella dan Rizqi mungkin lebih dari seorang bos dan pekerja.

“Dah. Dua kali. Isteri pertama dah bercerai. Sekarang isteri kedua,” jawab Bella bernada malas. Dia belum bersedia untuk menceritakan hal sebenar kepada Amir. Orang baru kenal. Takkan nak beritahu semua hal soal hidup kita, kan?

“Oh… dia nak jadikan awak nombor tiga dialah kot?” Amir berseloroh.

Bella ketawa terbahak-bahak. Nombor tiga? Lawak antarabangsa apa ni? “Hopefully not! Okay… saya nak kena balik sekarang ni. Its getting late. Dah pukul satu. Jumpa minggu depan! Bye!

Sekali lagi Bella meninggalkan Amir dalam keadaan tergesa-gesa. Dia datang macam bayu, tetapi dia pergi macam ribut. Namun Amir tahu pasti ada hubungan istimewa di antara Bella dan Rizqi. Kalau tak, masakan Bella terlalu santai akan perilaku Rizqi yang semacam gila itu. Mengapa pula Rizqi bagai orang diamuk cemburu apabila melihat dia bersama Bella?

Previous: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.