SHERINA
duduk di kerusi kayu berdekatan dapur sambil memerhati tingkah Aira. Aira
seperti tidak punya dosa, sibuk membersihkan pinggan mangkuk yang berselerak di
dalam singki. Semalam, Kak Lara tidak membenarkan Aira membasuh semua pinggan
itu kerana bimbang Aira terkena selesema. Waktu malam sejuk. Jadi eloklah
membasuh pada waktu pagi. Waktu matahari sudah mula naik.
Entah mengapa Kak Lara sayang sangat
dengan Aira. Malah melebih-lebih pula. Tidakkah dia sedar Aira ini bagai duri
dalam daging? Hal yang terjadi semalam pun Sherina masih diam mengenainya.
Namun setiap kali dia bertentang mata dengan Abang Asfahan, abangnya itu pasti
akan menunduk malu. Ah, sudah! Jangan cakap abang terjatuh hati pada si Aira tu
pula! Dah lupa Kak Lara tu tengah hamilkan anak dia?
Bunyi
derap kaki turun dari tingkat atas mematikan monolog dalaman Sherina. Dia
tersenyum melihat Cita yang sudah kemas berbaju sekolah. Manakala Kak Lara pula
cantik memakai meksi warna biru cair dengan shawl warna biru gelap. Abang
Asfahan turun sedikit lambat dari mereka. Dia memakai baju kemeja berwarna
hitam dengan spek gelap tertancap di mata.
“Akak nak ke pejabat?” tanya Sherina
sambil mengusap kepala Cita yang mendekatinya.
“Ya, hari ini akak ikut abang ke
pejabat. Ada mesyuarat. Nak minta tolong Sherie hantarkan Cita ke sekolah
boleh? Sherie ke hospital pukul berapa?” Lara menjenguk ke dapur. Dia tersenyum
melihat Aira sedang fokus mengemas.
“Dalam pukul sembilan pagi. Along the way boleh je hantar si kecil
ni.”
“Ah, syukurlah! Akak dengan abang
nak kena cepat ni,” jawab Lara lega.
Sherina mencempung Cita dukung. Dia
menarik tangan Lara ke depan. “Ikut saya jap kak,” bicaranya sambil mengerling
ke Asfahan dan kemudian ke Aira pula yang kini secara tidak sengaja mencuri
pandangnya.
Asfahan dan Aira sekali lagi
berdua-duan di dapur. Aira tersenyum bahagia. Peluangnya sudah terbuka luas.
***
“ADA
apa ni?”
Lara memberhentikan langkahnya
apabila mereka di porch kereta. Sherina meletakkan Cita turun. Dia memasukkan
anak kecil itu di dalam keretanya. Tapi pintu keretanya tidak ditutup untuk
membiarkan udara masuk ke dalam kenderaan tersebut.
“Kak… akak tak rasa pelik ke dengan
Aira tu?” Sherina bertekad untuk menceritakan ketidakpuasan hatinya kepada
Lara.
“Dah kenapa pulak?” Lara mengerutkan
dahi. Mengapa semua orang tak sukakan Aira? Apa salah anak gadis itu?
“Malam sahur semalam. Sherie
ternampak Aira dengan abang berdua-duaan kat dapur ni. Aira tengah bisik something ke telinga abang. Nampak intim
sangat. Abang pun semacam je kak. Akak tak takut ke nanti si Aira tu dengan
abang tetiba ada apa-apa pulak?” bicara Sherina.
Terpempan seketika Lara mendengar
cerita Sherina. Suaminya dan Aira? Takkanlah pulak!
“Ah, Sherie ni… janganlah nak
merepek. Nak stresskan akak pulak. Abang okay je dengan akak. Aira pun nampak
rajin je buat kerja rumah. Sherie tersilap tengok kot…” Lara mula rasa tidak
sedap hati. Namun sengaja dia balas begitu supaya tidak terikut-ikut dengan
perasaan.
“Kak, Sherie ni cuma ingatkan je
tau. Kalau Sherie salah, Sherie minta maaf. Tapi Sherie memang serius tak boleh
percaya dengan si Aira tu. Macam ada yang tak kena. Dia tu macam pelik sangat.
Entahlah… mungkin akak tak rasa. Tapi…” Sherie menggeleng-geleng. Kalau boleh,
dia nak sangat Lara bawa Aira ke balai polis sekarang. Biar polis uruskan hal
perempuan tu. Entah-entah si Aira tu bermasalah dan membawa masalah. Tiba-tiba
saja beriya-iya nak tinggal di rumah mereka. Mentang-mentanglah mereka orang
berada sikit.
“Dahlah jangan merepek Sherie! Cita
dah lambat tu. Hantarkan dia, okay?”
Sherina terpaksa akur dengan
kata-kata Lara. Manakala Lara pula sebaik sahaja Sherina keluar dari
perkarangan rumah, dia terus masuk ke dapur semula.
Aira menjengketkan kakinya untuk
mendekati Asfahan Redza. Kolar lelaki itu yang terlipat sedikit itu cuba
dibetulkan. Badannya begitu hampir dengan tubuh Asfahan yang kaku tidak mampu
berbuat apa-apa itu. Lelaki itu bagaikan patung pula. Terasa terpasung dan
tidak mampu bergerak.
“Asfahan Redza!”
Asfahan pantas menolak tubuh Aira ke
belakang. Hampir sahaja gadis kecil molek itu terjatuh terlentang ke lantai.
Matanya terbeliak melihat Lara yang bercekak pinggang di hadapan.
“Cepat! Kita dah lambat!” Suara Lara
berubah garang. Mimik mukanya pun berubah bengis apabila melihat Aira dan
Asfahan.
Aira hanya tersenyum dan kembali ke
dapur. Manakala Asfahan pula bagai lipas kudung ke porch kereta.
Lara berjalan masuk ke dapur. Pedih
sungguh hati dia. Sherina mungkin bercakap benar! Tapi takkanlah pula Aira yang
semuda itu sanggup berbuat begitu kepadanya?
“Aira, awak masak untuk berbuka
nanti ya. Um, kalau Cita dah balik nanti… awak tengokkan dia. Kalau dia mengadu
lapar, awak bagi je dia makan tau. Saya balik lewat sikit tapi sebelum
berbuka,” kata Lara tegas sebelum keluar dari dapur.
Aira pula hanya tersenyum sumbing.
Dia mahu Asfahan. Dia juga mahu Lara dan yang lain-lain disingkirkan!
***
CITA
pulang ke rumah dalam keadaan letih. Lemah longlai tubuhnya. Dahagakan air dan
laparkan nasi bersama lauk. Tak jadilah nak puasa hari ini. Dia nak berbuka!
“Kak Aira!” jerit Cita sebaik sahaja
dia menapak ke dapur. “Cita lapar…”
Langkah kaki Cita terhenti apabila
dia melihat Aira sedang mengasah parang. Sambil itu Aira mendukung kucing
kesayangan Cita, Blues di bahunya.
“Blues! Kak Aira nak buat apa dengan
dia?” tanya Cita yang takut-takut.
“Nak main-main kejap. Cita lapar ye?
Akak tak masak apa-apa lagi kecuali… sayur. Nak makan sayur dengan nasi putih
tak?” Aira menyimpul senyuman. Dia melepaskan Blues masuk ke kandang semula dan
dia bergerak ke peti sejuk. Bekas berisi sesuatu berwarna hijau dikeluarkan.
“Apa-apapun bolehlah Kak Aira!” Cita
terpaksa setuju. Perutnya sudah pedih menahan lapar. Dia terus berlalu masuk ke
ruang tamu semula.
Aira tersenyum senget. Dia
memasukkan isi bekas hijau itu ke dalam masakan sayur yang sudah siap tersedia
di dalam oven. Nasi putih dipanaskan. Setelah semuanya selesai. Dia menggaulkan
sayuran yang sudah bercampur dengan cebisan bahan berwarna hijau itu bersama
dengan nasi.
Cita melihat nasi itu dengan wajah
pelik. Dia mula menyuap sekali. Rasa aneh tapi sedap juga. “Sayur apa ni kak?”
Aira menjegilkan mata. “Eh, makan je
lah! Dah penat orang masak ni!”
Terdiam Cita mendengar bicara kasar
Aira. Dah kenapa pula kakak ni? Semalam bukan main baik dengan mama. Hari ini
garang pulak?
Aira bingkas ke dapur dan menutup
pintu yang menghadang bahagian dapur basah dan kering. Dia mengeluarkan Blues
dari kandang. Kemudian parang yang terletak di atas para dicapainya.
“Nak masak untuk berbuka ye? Ini ada
lauk istimewa,” ujar Aira sambil ketawa terkekek-kekek. Dia menghunus parang
itu tepat ke muka Blues. Blues yang ketakutan melompat dan menayangkan
taringnya.
Aira hanya menggeleng dan tersenyum
sumbing. Parang pantas dibaling tepat mengena kepala Blues.
Meow! Kucing itu nyaring menjerit.
Darah terceruak ke mana-mana. Blues terkulai di atas lantai tidak bernyawa.
***
LARA
memendam rasa. Bertambah sakit hatinya apabila Asfahan langsung tidak mengambil
kesempatan untuk menjelaskan apa-apa. Daripada perjalanan pergi ke pejabat,
semasa rehat tengah hari sehinggalah dalam perjalanan pulang dari pejabat…
Asfahan diam semata. Bertentang mata dengannya pun tidak.
“Dah tak ada mulut?” Lara menyindir
tajam. Asfahan yang fokus memandu kereta ditenungnya tajam.
Asfahan menelan air liur perit.
Bukan dia tidak mahu berbicara, dia cuma tidak mahu mereka bertikam lidah.
Sumpah demi ALLAH dia memang bencikan Aira! Tetapi keadaan tadi itu membuatkan
dia tergamam dengan tindakan melulu Aira. Tiba-tiba saja nak bermesra dengannya.
Bukan tidak mahu tepis tetapi dia pula rasa tiba-tiba seperti orang bodoh tidak
mampu berbuat apa-apa!
“Awak okay ke?” tanya Asfahan cuba
memberanikan diri.
“Awak rasa? Selepas saya tengok awak
dengan dia pagi tadi… awak ingat saya akan rasa apa?” Amarah Lara tiba-tiba
memuncak.
“Cuba awak bawa bertenang. Sebab
tulah saya cakap dengan awak awal-awal lagi… saya tak nak dia tinggal kat rumah
kita. Awak yang over nak sangat. Ni
tengoklah dah jadi hal macam ni.”
“Awak nak mengaku salah awak ke,
awak nak gaduh?” Lara berpeluk tubuh. Bagai disiat-siat hatinya rasa.
“Dahlah, tak elok bergaduh ni. Awak
kan tengah mengandung. Sebab saya tak nak gaduhlah saya diam. Balik ni, lepas
berbuka kita terus bawa dia pergi bawa dia ke balai polis. Biar polis uruskan
dia. Cari keluarga terdekat dia atau buat apa-apa sajalah dengan dia,” balas
Asfahan yang cuba menahan amarah. Emosi Lara memang macam-macam sekarang ini.
Mungkin kerana Lara berbadan dua. Terpaksalah dia mengalah dengan rela.
Lara diam tidak mahu membalas
apa-apa. Baginya Asfahan sengaja membiarkan persoalannya tidak berjawab oleh
kerana apa yang dipersoalkannya itu benar. Asfahan mungkin sudah jatuh suka
pada gadis lugu seperti Aira. Yalah kan, sejelita mana pun dia… wajahnya kini
sudah berparut akibat terkena torehan pisau Datin Linda dulu. Aira pula masih
mulus wajahnya tidak tercela. Masih muda dan remaja. Dia? Lara mengeluh
sendiri.
Sebaik sahaja Asfahan Redza memakir
kenderaan mereka di porch, Lara terus meluru masuk ke dalam rumah. Kedengaran
suara Cita menangis di ruang tamu. Berguling-guling di atas lantai.
“Ya ALLAH, kenapa dengan anak mama
ni? Cita!” Lara mendakap Cita erat ke dada. Anak kecil itu merengek tak
henti-henti sambil menggosok perutnya.
“Sakit… sakit perut…” rintih Cita
terseksa.
“Kenapa ni?” Asfahan yang baru
menjengah ke ruang tamu mendekati Lara dan Cita.
“Entah! Dia mengadu sakit perut,”
jawab Lara, risau. Dia menoleh ke dapur. Kosong. Tidak terlihat pula dia Aira
di situ.
“Sayang dah makan tak ni? Cakap
dengan Kak Aira tak, Cita lapar?” tanya Asfahan lagi. Dia mengusap-ngusap
kepala Cita. Air mata yang berlinangan di pipi anaknya dilap menggunakan sapu
tangannya sendiri.
“Dah…” sebut Cita lemah. “Tapi…
sayur tak sedap. Kak Aira masak pelik. Tak sedap. Sakit perut!”
“Awak pegang Cita. Bawa dia masuk
kereta. Saya nak tengok Aira. Lepas ni kita terus bawa dia pergi hospital,”
arah Lara dengan nada marah bercampur sakit hati. Apa pula perempuan tu dah
buat dengan anaknya?
“Aira! Aira!” Lara naik angin. Dia
mencari ke dapur. Tidak ditemui batang hidung gadis yang kononnya lugu itu.
“Dia tak ada!” Lara kembali ke ruang
tamu. Pada saat itu, Asfahan sudah mencempung Cita keluar dari rumah.
“Macam mana ni?” Asfahan masuk
semula ke dalam rumah setelah Cita dimasukkan ke dalam kereta. “Awak ikut saya
pergi hospital. Kunci semua pintu ni. Nanti saya textSherina beritahu dia yang kita ke hospital.”
***
ASFAHAN
memeluk Lara erat ke dadanya. Lara tak henti-henti menangis. Penat dia memujuk
supaya Lara bertenang. Dia yakin Cita baik-baik sahaja. Walaupun dia sempat
curi-curi tengok reaksi wajah doktor apabila sedang memeriksa Cita. Wajah
doktor tampak tegang, serius dan risau.
Hatinya bagai ditimpa batu! Asfahan
tidak mahu memikirkan yang buruk-buruk. Bibirnya tak habis-habis berdoa yang
muluk-muluk buat Cita. Harapnya doa di bulan Ramadan ini dimakbulkan ALLAH.
Cita satu-satunya anak dia dan Lara. Takkanlah saat mereka dikurniakan rezeki
untuk mendapat cahaya mata seorang lagi, yang ini pula bakal pergi. Dia tidak
kuat! Dia juga tahu Lara rapuh melalui detik ini!
“Lara, awak jangan nangis banyak
sangat.” Asfahan mengelus pipi merah isterinya. “Think about our baby.”
“Cita…
she’s our baby too. Saya baru nak bermanja kasih dan sayang dengan dia.
Saya tak nak kehilangan dia, Asfa.” Tangis Lara mengendur sedikit. Walaupun
begitu, air matanya tetap lebat menitis.
“I
know. I love her too. Kita doakan yang baik-baik sahaja okay?” Asfahan
melepaskan rangkulannya terhadap Lara. Dia memeriksa telefon pintar. Sudah
hampir waktu berbuka. Lalu dikeluarkan kotak kurma dari beg plastik yang sudah
sedia di tepi kerusi. Kurma itu sempat dia beli di lobi hospital tadi.
“Nah, this is for you. Kejap lagi nak azan dah.” Asfahan menghulurkan
sebiji kurma ke tangan Lara. Namun Lara menggeleng.
“Makanlah sayang. You and your baby need this,” pujuk
Asfahan.
Lara lambat-lambat mengambil kurma
dari tangan Asfahan. Dia mengucapkan beberapa patah doa pada detik mustajab
sementara menanti waktu berbuka itu.
Azan bergema dari telefon bimbit Asfahan
Redza. Lara dan suaminya menyuapi kurma dengan rasa tidak bermaya.
“Maaf, ini Encik Asfahan, kan? Anak
encik, Jelita dah sedarkan diri.”
Bercahaya pandangan Asfahan dan Lara
melihat doktor bertag nama Gina itu di hadapan mereka. Ya ALLAH, doa mereka
telah dikabulkan!
***
SHERINA
menolak pintu utama rumah. Gelap. Tiada orangkah? Kemana semua orang pergi?
Abang Asfahan dan Kak Lara kata
hendak berbuka di rumah. Pagi tadi pun si Aira yang separuh gila itu nampaknya
sudah bersedia dengan bahan masakan bagai. Tak ada siapa pun yang beritahu dia
bahawa mereka akan keluar atau ke mana-mana. Gigih dia bawa kereta selaju yang
mungkin kerana nak berbuka bersama. Untung juga nasib dia malam ini tiada on
call!
Tapi,
ini pula yang dia dapat. Dia disambut dengan rumah yang kelam dan tiada
berpenghuni.
Sherina menapak ke bahagian dapur.
Lampu terbuka di situ. Kelihatan meja makan yang sudah penuh dengan juadah
berbuka tetapi masih tidak bersentuh. Ada ikan, sayur dan juga… eh itu ayam
atau apa? Ayam agaknya kot. Sherina mencubit rasa. Ah, sedap! Ayam masak merah.
Dia mengambil nasi dan duduk di
meja. Ah, lantaklah dengan semua orang! Penat-penat dia balik dari hospital.
Dah berbuka dengan air mineral aje dalam kereta. Sekarang dia nak makan
puas-puas. Lalu diambilnya ayam masak merah tadi dua ketul. Kemudian sayur
sedikit. Ikan goreng tidak disentuhnya.
Sesuap, dua suap kemudian tiga suap.
Sherina mula rasa pelik. Semacam aje rasa ayam masak merah ni. Sedap memang
sedap tapi rasa dagingnya tu. Entahlah. Macam ada yang tak kena! Kenyal semacam
pun ada. Tak macam ayam biasa.
Sherina tidak mahu menghabiskan nasi
di pinggan. Dia membasuh tangan dan bergerak ke dapur basah. Pintu ke dapur
basah cuba ditolak tetapi ia berkunci. Sejak bila pula Kak Lara kuncikan pintu
ini? Mak Cik Fuziah langsung tak pernah tutup pun pintu ini!
Sherina menghentam pintu itu
menggunakan bahunya berkali-kali. Masih tidak berhasil juga. Lalu dia capai
napkin tebal di dapur dan juga penukul yang tersimpan di stor. Napkin tebal
dialaskan pada tombol pintu. Kemudian dengan kiraan sampai tiga, penukul
diketuk pada tombol pintu yang beralas itu. Bam! Pintu yang terkunci itu serta
merta terbuka.
Bau hanyir mula menusuk ke dalam
hidung Sherina. Mual! Rasa meloya. Tapi Sherina gagahkan juga. Bukan dia tak
pernah bau darah. Di hospital dah bergelen-gelen darah dia bau. Eh, tapi darah?
“Ya ALLAH!” Terbeliak mata Sherina
melihat keadaan dapur. Berceramuk darah di mana-mana. Di dinding, di meja
memotong, di pinggan mangkuk, di kuali dan di singki usah cakaplah! Dah macam
orang mandi darah di dalam dapur itu.
Sherina menguatkan hatinya untuk
melihat apa yang ada di dalam singki. Matanya dikecil dan kemudian dibesarkan.
Takut.
“Blues?” Sherina kaku. Kejang semua
kaki tangannya. Kepala Blues terbiar di dalam singki yang penuh dengan darah.
Daging dan usus Blues pun masih ada di situ. Tiba-tiba sahaja Sherina teringat
akan daging ayam yang dimakannya tadi. Mungkinkah itu… Blues?
Meluru Sherina keluar dari bahagian
dapur itu. Dia termuntah di singki dapur kering. Berpinar-pinar kepalanya
seketika. Siapa punya angkara ini? Siapa yang sekejam ini? Siapa yang gila
boleh buat perkara psiko seperti ini?
“Kenapa muntahkan balik makanan tu?
Sedap tak lauk kucing tu?”
Sherina mengangkat kepalanya dari
singki. Aira tersenyum sinis padanya sambil memegang parang yang berlumuran
darah.
“Kau? Kau buat apa ni? Mana Kak
Lara? Mana abang? Mana Cita? Kau jangan cakap kau dah bunuh dorang semua!”
marah Sherina. Dia membasuh mulut yang bersisa muntah tadi. Menggigil-gigil
kaki tangannya melihat parang di tangan Aira.
“Dorang dah keluar. Cita tiba-tiba
sakit perut lepas makan sayur belalang aku tu,” jawab Aira selamba.
“What?!”
Sherina mahu muntah lagi. Tapi mulut ditahan dengan telapak kanannya yang menekup
rapat.
“Kenapa?” Aira buat-buat tidak
mengerti. “Kau yang beritahu Kak Lara tentang aku dengan abang kau malam hari
tu, kan? Kenapa kau mulut celupar sangat?”
“Kau ni siapa? Apa yang kau nak
dengan keluarga kami? Aku nak kau keluar dari sini!” radang Sherina. Dia
mencapai pisau kecil yang terselit di tepi singki. Diacukan ke muka Aira.
“Aku takkan keluar selagi aku tak
dapat Asfahan! Aku nak dia. Aku nak jadi Kak Lara kau!” Aira mengangkat
parangnya tinggi. Dia langsung tidak takut dengan ugutan pisau kecil Aira.
Setakat ugut-ugut takut tu, apa perempuan berstatus doktor ini boleh buat?
“Ah!” Sherina menjerit ketakutan.
Dia berlari naik ke tingkat atas. Manakala Aira pula ikut mengejar dari
belakang.
Sherina mengunci pintu biliknya
rapat. Dia duduk di ceruk kamarnya sambil memeluk kedua-dua belah kaki. Pintu
biliknya kedengaran diketuk kuat. Kemudian bunyi parang pula kedengaran
berdesing ke lantai. Seakan-akan Aira sedang menguji tahap psiko mindanya pula.
Dalam sedu sedan Sherina mencapai
telefon pintarnya yang terselit di poket seluar. Ya ALLAH bantuilah aku!
***
LARA
memeluk Cita erat ke dada. Cerita anaknya itu terlalu sukar untuk dia percaya.
Aira masakkan lauk sayur belalang pada Cita. Cita kata yang dia jumpa kaki dan
badan belalang di dalam makanannya. Takkanlah Cita nak menipu pula?
Asfahan pun keliru juga. Kalaulah
betul cerita Cita ini, maknanya memang Aira betul-betul gila! Dan dia pula
hampir-hampir terjerumus ke lembah cinta gadis psiko itu.
“Cita, papa dengan mama tak sangka Aira
tu boleh buat macam tu,” kata Asfahan setelah sekian lama berdiam mendengar
cerita Cita.
“Dia ambil Blues, papa. Dia kuncikan
Blues dalam dapur,” sambung Cita akan ceritanya tadi.
“Dia nak buat apa dengan Blues?”
tanya Lara pula. Pandangan matanya bertembung dengan Asfahan.
“Dia nak bunuh Blues. Cita nampak
dia bawa masuk parang dalam dapur. Lepas tu Blues mengiau banyak kali. Lepas
tu… Blues terus diam. Blues dah mati ke mama?” Cita petah berbicara.
Lara menekup wajahnya. “Mama tak
tahu…”
“Kita kena beritahu polis. Sekarang
juga!” Asfahan sudah tidak boleh tahan sabar. Dia mengeluarkan telefon
bimbitnya dari kocek. Tiba-tiba ada panggilan pula yang masuk.
“Sherina?” Asfahan memandang telefon
itu buat beberapa ketika sebelum menjawab panggilan adiknya.
“Helo? Kenapa ni? Aira buat apa?
Sekarang ni? Sherie tunggu situ! Abang datang.”
Lara makin tidak sedap hati apabila
melihat tingkah Asfahan yang secara mengejut jadi kelam kelibut. Suaminya itu
mencapai kunci kereta dan segera hendak berlalu dari pintu wad.
“Awak nak ke mana ni?” Lara menahan
lengan Asfahan dari terus berlalu darinya tanpa sebarang pamitan.
“Sherie dalam bahaya! Aira gila tu
dah mengamuk sebab apa entah. Dia nak parangkan Sherie,” jelas Asfahan, kusut.
“Saya nak ikut!” Lara bingkas
mencapai beg tangannya.
“Eh, jangan. Tak payah! Biar saya
aje yang pergi. Awak tengokkan Cita.”
“Tak nak! Saya nak ikut! Cita nanti
ada nurseyang boleh tengokkan dia.
Awak? Siapa yang nak tengokkan awak?” bantah Lara.
“Oh,
Lara come on! Saya bukan budak kecil!” Asfahan menghembus nafas kasar.
Overprotective pula si Lara ni tiba-tiba.
“Saya nak ikut! Cita tinggal dengan nurse, eh? Mama janji, mama pergi
sekejap je tau,” kata Lara yang kemudiannya terus keluar dari kamar wad
tersebut.
***
PINTU
bilik Sherina berjaya dipecahkan Aira. Dia tersengih melihat wajah ketakutan
Sherina yang mengerekot di sudut kamar. Parang dihunuskan tepat ke muka
Sherina. Seperti yang dia lakukan sebelum ini kepada Blues. Kepada semua-semua
mangsanya yang menggangu rancangan hidupnya. Termasuklah kepada ibunya sendiri.
Yang tergamak mahu menghantarnya ke doktor psikitari. Ibu dan abangnya, Amir
langsung tidak menyayanginya. Mereka hanya mahu dia lenyap! Dia pembawa masalah
besar di dalam hidup mereka!
“You
deserve to die!” Aira mengangkat parangnya tinggi. Matanya membuntang
besar. Sakit hatinya pada abang, ibu dan kepergian ayah secara mengejut itu
menyatu. Dia hanya mahu bahagia. Dia hanya mahu merasa bagaimana hidup dengan
keluarga yang saling sayang menyayangi. Mungkinkah semua itu hanyalah dusta
belaka?
“Aira!” Asfahan memeluk tubuh Aira
dari belakang dan menarik gadis itu dari mendekati adiknya, Sherina.
Aira bergelut dengan Asfahan di
tangga. Manakala Lara pula tidak mampu melakukan apa-apa. Parang yang dipegang
Aira tajam. Boleh mencederakan dia dan Asfahan. Ataupun mereka berdua!
Dengan kekuatan luar biasa, Aira
menolak Asfahan jatuh dari tangga. Tergeletak lelaki itu di atas lantai tangga
dan tidak sedarkan diri. Darah mulai mengalir di dahi dan bibir Asfahan.
“Aira!” Lara bagaikan tidak percaya.
Aira mula mendekatinya. Parang tajam dihunuskan ke mukanya pula.
“Kau, satu hari nanti… aku akan jadi
seperti engkau,” sebut Aira perlahan tetapi garang.
Lara tidak mampu menahan pukulan
emosinya yang bergelora. Pandangannya jadi kelam dan kemudian… Lara pitam.
***
Raya pertama, 2016
TERLEPAS
tangan Bella Amira dari bersentuhan dengan Lara. Hampir-hampir juga Bella
tumbang. Namun lekas-lekas Rizqi menyambut tubuh Bella.
“Belle! Awak buat apa ni?” Rizqi
sudah dapat mengagak. Dia memeluk Bella erat ke sisinya. Sudah dia pesan
berkali-kali jangan cuba-cuba Bella gatal nak melayan firasatnya. Tapi degilnya
Bella ini bukan boleh dihalang.
“Lara… Lara Jelita?” Bella menyebut
nama itu spontan. Matanya merenung ke iris Lara yang paling dalam. Dia dapat
menyelami isi hati wanita itu. Sakit hati Lara pada Kaylina yang masih
bersarang sehingga kini.
“How
do you know that name?” Lara terkejut bukan kepalang. Dia tak sebut
langsung tentang nama samarannya Jelita. Nama yang telah lama dia lupakan dan
hanya disebut jikalau ia berkaitan dengan anaknya, Cita.
“Kay… maksud saya Aira, dia dah
banyak menyusahkan awak sekeluarga, kan? Saya bagi pihak dia nak minta maaf
sangat-sangat. Kami kenal dia. Kami pun pernah hidup bersama dengan dia. Perkara
yang lepas tu saya rasa eloklah kita lupakan saja. Dia… dia dah tak ada pun.
Dah dekat dua tahun,” kata Bella Amira tenang. Rizqi yang ada di sebelahnya
sudah terasa tidak selesa.
Rizqi tahu Bella lemah. Lemah dan
sakit selepas mendapat firasat itu. Jikalau kebiasaannya, Bella sudah tentu
rebah dan pengsan. Tambah-tambah pula Bella sedang sarat mengandung begini. Tetapi
kali ini Bella tidak menampakkan kelemahannya. Bicaranya masih kuat. Walaupun tubuhnya
agak lemah.
“I
think, that’s it. Tolong jangan ganggu isteri saya lagi. Dia tak sihat. Jom
Belle, kita balik. Esok-esok boleh datang kemaskan lagi.” Rizqi ingin
menamatkan pertemuan itu secepatnya. Dia tidak mahu lagi berbicara tentang
Kaylina dan masa lampau. Semua itu cukup menyakitkan hatinya.
Asfahan dan Lara serta Sherina yang
berada di belakang mereka hanya tercengang melihat Rizqi dan Bella Amira
melangkah pergi. Rizqi perlahan-lahan memapah Bella melalui lorong-lorong di
tepi kuburan.
“Saya dah cakap dengan awak, kan. Jangan
layankan firasat tu,” ucap Rizqi dengan nada separa berbisik.
“Rizqi, bukan saya sengaja nak buat
macam tu. Kalau perkara tu nak datang, ia datang jugak. Tak boleh nak
halang-halang,” balas Bella Amira tegas walaupun bernada perlahan.
Lara pantas berpaling apabila dia
menangkap kata-kata Bella tadi. Dia mengekori pasangan suami isteri itu.
“Tunggu!” Lara menghadang laluan
mereka dari depan. “Awak ni siapa? Awak buat apa dengan saya tadi? Did you just read my mind? My thoughts?
Awak… awak ni siapa?”
Bella tersenyum kecil. “Ia cuma satu
daripada kelebihan saya, Puan Lara.”
“Tapi…” Lara mengerling ke arah
Asfahan dengan wajah yang keliru. “Saya nak tahu apa yang awak tahu tentang
Aira. Saya ada banyak perkara yang tak puas hati dengan dia!”
“Apa yang awak lalui Puan Lara cuma
sedikit. Tapi saya dah lalui lebih dari tu. Why
don’t you come to our house? Lagi pun hari ni raya, kan? Takkan nak
bersembang dekat tanah perkuburan?” Bella Amira dengan senang hati membuat
keputusan. Rizqi di sebelahnya terpaksa akur.
Asfahan dan Sherina mendekati Lara. “Um,
saya rasa tu idea yang lebih baik. Kami nak ambil anak kami, Cita dengan Anggun
dekat rumah dulu. How about Encik…
Rizqi beri nombor telefon dan hantar
location rumah melalui WhatsApp?”
“Sure,
why not.”
Rizqi dan Asfahan bertukar nombor
telefon. Dua keluarga itu berpecah sebaik sahaja keluar dari tanah perkuburan
tersebut.
Sepanjang perjalanan pulang ke rumah
mereka, Bella Amira diam tidak banyak bicara. Rizqi yang sedikit risau memecah
kesunyian dengan pertanyaannya.
“Kenapa jemput dia orang tu datang
rumah?”
“Saya rasa saya dan Lara ada
persamaan. We can be good friends,”
balas Bella Amira dengan senyuman menguntum di bibir.
TAMAT