“APA
kekecohan tu?” Inspektor Shahila yang berbaju t-shirt lengan panjang masuk ke
dalam bilik kawalan KL Sentral sambil ditemani Supritendan Yusof.
Sarjan Suresh menggeleng-geleng.
“Ada sesuatu yang berlaku. Ada pergelutan dan tembakan. Saya tak pasti apa yang
terjadi tetapi saya sudah hantarkan skuad kita untuk berjaga-jaga di sana.”
Telefon pintar Supritendan Yusof
berdering. Pegawai polis yang berusia akhir 30-an itu menjawab panggilan.
“Hello. Waalaikumussalam. Ya, saya
bercakap. Bagaimana keadaan di sana?”
Supritendan Yusof menutup mulutnya
sebaik sahaja mendapat suatu perkhabaran. “Bawa mereka ke sini. Saya ingin
dapatkan keterangan dari mereka semua. Berapa orang yang terlepas?”
“19? Baiklah, waalaikumussalam,”
kata Supritendan Yusof sebelum mematikan panggilan.
“Bagaimana tuan? Ada perkembangan
terbaru?” tanya Inspektor Shahila tidak sabar ingin mengetahui butiran
perbualan sebentar tadi.
“19 orang tebusan tersebut berjaya
melepaskan diri. Mereka akan dibawa ke sini. Suresh, jangan lupa panggil ahli
keluarga mangsa yang terlibat untuk buat pengecaman,” arah Supritendan Yusof
yang seterusnya keluar dari bilik kawalan tanpa mengajak Inspektor Shahila bersama.
Inspektor Shahila mengerti. Memang
Supritendan Yusof mahukan dia berehat. Tetapi baginya, ini bukanlah masanya.
***
MELILAU
mata Farid ke sana ke mari. Namun kelibat adik kesayangannya, Fatin Nura masih
belum kelihatan. Takkanlah Fatin masih lagi menjadi mangsa tebusan? Ataupun
Fatin di antara yang terkorban di dalam nahas tren itu?
Farid cemas. Keadaan sekeliling yang
dipenuhi ahli keluarga mangsa saling berpelukan dengan mangsa tebusan itu
membuatkan hatinya bertambah pedih. Fatin Nura tiada! Takkanlah dia sudah
pulang? Dia pun tahu bahawa abangnya menunggu di sini untuk mengambilnya
berjumpa dengan ibu.
“Sarjan Suresh!” Farid memanggil
kuat apabila terlihat tubuh sarjan yang tegap itu sedang melekatkan sesuatu di
papan tanda.
Sarjan Suresh berpaling. Dia
mengangguk dan menggamit supaya Farid mendekatinya.
“Sudah jumpa adik awak?”
Farid menggeleng lemah. “Belum.
Sebab tu saya panggil sarjan tadi. Saya tak jumpa dia di mana-mana. Ada tak
orang bernama Fatin Nura dalam senarai nama ni?”
“Awak tengoklah sendiri. Tapi setahu
saya tiada. Sebenarnya hanya 18 orang tebusan saja yang terlepas. Lagi seorang
itu, wartawan Mentari Harian yang menceroboh kawasan kejadian tanpa pengetahuan
polis. Ada lagi dua tebusan yang belum dilepaskan. Seorang bernama Dani,
ataupun Dani Ihsan. Dia pelajar tahun akhir kejuruteraan elektrik. Keluarganya
juga tadi ada melaporkan bahawa mereka masih belum menemuinya. Dan lagi
seorang… kemungkinan adik awak, Fatin Nura,” jelas Sarjan Suresh.
“Ada lagi tebusan yang kita tidak
tahu, sarjan? Mungkin yang dah mati dan tidak diketahui ada di dalam tren tu?”
Farid terasa berbelah bahagi.
“Kemungkinan itu besar ada kerana
ada lima lagi keluarga yang mencari ahli keluarga mereka. Saya tahu Dani masih
hidup pun kerana pemandu tren itu sendiri yang mengesahkannya kepada keluarga
mangsa. Tetapi, mengenai adik awak saya tak pasti. Awak boleh tanya
mangsa-mangsa yang lain… mungkin mereka kenal adik awak,” jawab Sarjan Suresh
simpati.
“Saya ingin jumpa dengan pemandu
tren.” Farid menunduk. Nama adiknya tiada di dalam senarai.
“Baiklah, ikut saya.” Sarjan Suresh
membawa Farid ke sudut dewan. Yunus, pemandu tren sibuk berbicara dengan
anak-anaknya.
“Encik Yunus, ini Encik Farid. Dia
nak bertanyakan Encik Yunus sama ada encik kenal dengan adiknya yang juga ada
di dalam tren tersebut.” Sarjan Suresh memulakan bicara.
Yunus menurunkan anaknya yang
berusia enam tahun dari pangkuan. Dia menyuruh isterinya membawa kedua-dua
orang anak kecilnya jauh sikit dari tempat mereka berbicara. Dia tidak suka
anaknya mendengar soal jenayah ini kerana ia adalah detik paling hitam di dalam
hidupnya sepanjang menjadi seorang pemandu tren.
“Adik encik yang mana satu?”
Farid mengeluarkan iPhone 6
miliknya. Ditayangkan gambar Fatin Nura tersenyum riang berbaju kurung moden.
“Ini budak perempuan yang diikat bom
pada badannya,” kata Yunus spontan.
“Dia diikat dengan bom?” Farid
cemas. Dia duduk bertinggung ke lantai. Kepalanya diketuk-ketuk. Kalaulah aku
tahu perkara ini akan berlaku…
“Ya, encik… sarjan. Penjenayah tu
ikat bom pada badan dia. Ada lebih kurang….” Yunus melihat jam tangan yang
melingkar di tangan. “Lagi satu jam sebelum bom meletup.”
“Satu jam?” Sarjan Suresh
tercengang.
Farid bingkas berdiri.
“Sarjan!”
Dia mencengkam kolar Sarjan Suresh kuat. “Sarjan, adik saya akan mati! Sarjan
kena tolong dia! Tolonglah sarjan!”
Terkedip-kedip
mata Sarjan Suresh melihat tingkah laku Farid berubah mendadak. “Baik, baiklah.
Saya akan laporkan hal ini dengan Inspektor Shahila dan Supritendan Yusof.”
***
“ADUH…”
Fatin Nura memicit betisnya yang semakin banyak mengeluarkan darah. Dia
menggeliat ke kiri dan kanan tanpa mempedulikan lagi bom yang berada di
dadanya.
“Awak sabarlah. Saya ambilkan kain
dan ikat pada betis awak ni ya. Mungkin ia dapat menghentikan aliran darah.”
Dani cuba mententeramkan Fatin. Dia mengambil sapu tangan di dalam poketnya
lalu dililit ke betis kurus Fatin Nura.
Dalam pada masa yang sama Ah Ping
juga menahan kesakitan yang dialaminya. Peluru yang terbenam di dalam peha
membuatkan langkah kakinya terbantut.
“Celaka itu wartawan!” Ah Ping
mengeji. Sambil itu tangannya cuba menekup luka yang semakin parah. Oleh kerana
faktor usia, badannya kian lemah.
Ah Fang tidak banyak bicara. Dia
duduk merenung kesemua mereka dengan mata yang sudah merah. Pistol kejap
dipegang pada tangannya. Siapa yang berani buat gila akan ditembaknya mati.
Termasuklah Ah Ping sendiri.
“Fang, kau hubungi bilik kawalan
mereka di sana. Katakan yang kita masih ada dua orang tebusan. Kalau mereka
tidak bertindak menyerahkan wang itu cepat…. Kita bunuh mereka berdua,” arah Ah
Ping. Dia terhincut-hincut berjalan ke kerusi biru. Disandarkan badannya. Lega
walaupun masih sakit.
“Aku tak mahu lagi kita buat semua
ni!”
Ah Ping mendongakkan kepalanya. “Kau
kenapa? Gila?”
“Aku rasa kita sudah jauh
menyimpang. Aku tak suka membunuh orang. Asal rancangan kita hanyalah dapatkan
wang tebusan dan lari. Kenapa harus sampai jadi macam ni?” Ah Fang sudah mulai
menangis. Dia menekup wajahnya rapat. Pistol yang ada di tangan di letakkan ke
peha.
Fatin Nura dan Dani hanya menjadi
pemerhati. Mereka saling berpandangan.
“Pemandu tren itu bodoh. Aku suruh
dia hentikan tren tapi dia tidak pandai hentikan tren betul-betul. Kemudian dia
cuba melawan cakap aku. Bila tren tidak dihentikan betul-betul, terjadi
kemalangan ini. Lepas itu, tebusan-tebusan ini semua degil orangnya! Aku tak
bersalah langsung. Mengapa kau asyik salahkan aku, Fang?” Ah Ping meluahkan
rasa amarahnya. Ah Fang memang langsung tidak menyokong apa yang ingin dia
lakukan dari mula. Asyik saja membantah. Dia kata dia sayang pada Ah Keong tapi
tindak lakunya langsung tidak menunjukkan dia sayang pada anak mereka.
“Ah Ping, kita tak perlu lakukan
semua ini pada mulanya!”
“Diam kau! Aku tahu apa yang aku buat.
Kita akan dapatkan wang itu kemudian kita akan kenakan inspektor itu.” Ah Ping
membantah lantang.
Dani asyik merenung pistol di peha
Ah Fang. Kalau dia ambil dan tembak mereka berdua ini bagaimana….
“Apa kau pandang-pandang?” Ah Ping
menjerkah pada Dani. “Kau akan aku bunuh mula-mula! Faham? Lepas tu perempuan
itu. Dia akan tamatkan semuanya dengan bom di dadanya.”
Fatin Nura mengigit bibirnya kuat.
Matanya mula memerah. Sedih dan takut. Dia tidak mahu kehidupannya berakhir
dengan begini mudah. Dia tidak mahu!
***