Home Novel Thriller/Aksi Jangan Percaya!
Jangan Percaya!
Syaida Ilmuna
1/3/2015 12:13:19
67,996
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 11

BAB 11

KEPALA Rizqi berdenyut kuat. Pabila dia cuba membuka kelopak matanya, kedua-dua pelepuk mata tersebut terasa seperti dihempap batu. Rizqi mengalihkan badannya ke sebelah kanan. Dalam mata yang masih terpejam itu, dia cuba meraba-raba ke bahagian katil di sebelahnya. Yang hanya dia dapat capai cumalah angin.

Tangan Rizqi direndahkan menyentuh cadar katil. Cadar satin lembut ditolak ke kiri dan ke kanan. Kosong. Tiada orang di sebelahnya. Ke mana pula Kay?

“Kay….” Rizqi memanggil lemah. Kepala yang berdenyut tadi kini terasa berpusing-pusing. Digagahi juga Rizqi untuk membuka kedua-dua belah pelepuk matanya. Pandangannya jadi berbayang. Semua benda kelihatan berganda dua.

Rizqi perlahan-lahan membangunkan diri dan menginjak kakinya ke lantai. Dalam keadaan terhuyung-hayang, Rizqi berjalan menuju ke kamar mandi. Wajahnya dibasahkan. Kemudian dia masuk semula ke dalam kamar. Jam bulat di dinding ditatapnya lama. Pukul 10 pagi! Ya ALLAH! Dia terlepas solat subuh!

“Kay…” panggil Rizqi sekali lagi. Kepalanya dipicit-picit sendiri. Keadaannya bagai orang mabuk. Berjalan tak tentu arah. Seperti tidak berpijak di atas tanah.

“Anak-anak papa… Riza… Belina….”

Pintu kamar ditolak perlahan. Rizqi menjenguk keluar koridor. Cahaya matahari sudah mulai meninggi. Memancar masuk ke ruang koridor antara bilik. Tanpa berlengah, Rizqi berjalan ke bilik anak-anaknya.

“Belina… Riza….” Kamar anak-anaknya pun kosong! Rizqi jadi keliru. Sakit kepala Rizqi kini makin menjadi-jadi. Mana anak-anaknya? Mana isterinya? Mana mereka semua?

Belum sempat dia berkalih keluar dari bilik anak-anaknya, kepala Rizqi dihentak kuat. Dia jatuh terjelepuk ke lantai. Rizqi dikembalikan semula ke alam mimpinya.

***

BELINA memerhati perilaku Kay yang sedang leka bermain dengan belalang hijau di laman. Tangannya yang penuh dengan luka-luka akibat mengutip pinggan kaca yang pecah itu sudah hilang sakitnya. Awal-awal pagi lagi Kay sudah mendera dia dan adiknya, Riza. Mereka disuruh membersihkan dapur. Belina diarah membasuh pinggan dan mangkuk yang sudah sedia bersih. Manakala Riza pula diarah mengelap pintu kaca yang berhadapan dengan laman.

“Pstt… pstt… Riza!” Belina mencuba sedaya upaya memanggil Riza dengan nada yang paling perlahan. Adiknya yang gigih mengelap pintu kaca dari paras ketinggian yang dia mampu capai itu berpaling.

“Apa?” Riza mengerutkan dahi.

“Papa tak bangun lagi ke? Tadi mak cik naik atas buat apa?” tanya Belina.

“Entah!” Riza menjungkitkan bahunya. “Kita telefon nenek nak tak? Lenguhlah tangan Riza….”

“Jangan! Nanti mak cik marah macam mana?” Belina risau. Matanya cepat-cepat menjeling ke arah Kay kembali. Wanita itu dilihat sedang mengunyah sesuatu. Belalang yang dimain-mainnya tadi juga sudah hilang.

“Tangan akak tak sakit ke?” Riza sudah berhenti mengelap. Dia duduk bersandar pada pintu kaca tersebut. Tangannya yang pendek itu sudah lenguh untuk mencapai bahagian yang tinggi.

“Dah tak sakit. Tapi ada darah-darah lagi,” kata Belina sambil mengusap-ngusap lembut tangannya. “Mama bila nak balik? Mak Cik Kay tu jahatlah.”

“Ha’ah dia jahat! Riza tak suka dia!” Riza pula ikut memprotes. Suaranya meninggi.

“Siapa yang jahat?!”

Kedua-dua adik beradik itu mencicit lagi ke ceruk dapur. Mata mereka tak sanggup bertentang dengan Kay yang sudah bercekak pinggang. Bibir Kay kelihatan bersisa cecair hijau. Rambutnya pula kelihatan kusut masai dan tak terurus. Seperti orang tak mandi sehari.

“Kau orang berdua ni pemalas!” jerkah Kay. Lengan Belina ditarik menjauhi Riza.

“Mak kau orang tak ajar buat kerja rumah ke?” soal Kay tegas.

Belina dan Riza hanya menggeleng-geleng. Manalah mereka pernah buat kerja-kerja mengelap dan membasuh begini. Kalau setakat lipat baju sendiri atau simpan barang mainan mereka, retilah!

“Kenapa mulut mak cik ada hijau-hijau?” Riza memberanikan diri untuk bertanya. Perasaan ingin tahunya melebihi perasaan takut yang sepatutnya merajai diri pada ketika ini.

Kay tersenyum jahat. “Kau nak rasa… belalang?” tanya Kay lembut.

Belina dan Riza saling menjeling. Mereka berdua menggeleng-geleng serentak. “Tak nak!”

“Lepas tu… duduk diam-diam! Jangan berani-berani nak adukan dengan papa atau mama kau orang, faham!” ugut Kay. “Kalau aku tahu, salah seorang dari kau orang beritahu mama atau papa… kau orang tahulah akibatnya. Biar papa kau orang tak bangun terus dari tidur!”

Belina dan Riza saling berdakapan. Mak Cik Kay yang lemah lembut itu sebenarnya raksasa yang memakai topeng manusia. Tak pernah mereka sangka Mak Cik Kay boleh jadi sejahat itu. Patutlah mama membenci Mak Cik Kay!

Riza mendengus kuat. Air matanya mulai merembes. Dia perlukan mama. Dia perlukan papa. Dia tak mahu tinggal dengan mak tiri jahat ini!

“Papa! Papa! Papa!” Riza nekad menjerit kuat tanpa mengira apa yang bakal lakukan kepadanya nanti.

“Diam! Diam!” Kay menarik tangan Riza. Tubuh kecil anak itu dicubit-cubit. Tak cukup dengan itu dia mengambil senduk besi yang tergantung di dinding dan memukul kuat belakang Riza supaya kanak-kanak itu diam dari jeritannya.

Belina cuba menghalang tindakan Kay, namun dia tidak berjaya. Kay menolaknya jatuh ke sisi sehingga kepalanya terhantuk ke dinding. Dahi Belina melecet teruk.

“Papa… Papa! Tolong Riza pa….” Riza merayu-rayu. Air matanya turun bagai air hujan. Tangannya dihentak-hentak ke lantai. Tindakan Kay hanya mengundang lebih jeritan dan tangisan akibat kesakitan yang dialaminya.

“Diam aku kata! Diam!” Kay menjegilkan matanya. Dia berhenti memukul Riza. Tubuh kecil Riza sudah berbirat merah. Takut pula dia jikalau Rizqi atau Bella perasan akan kesan pukulan tersebut.

“Kau diam… kalau kau bising lagi…. Aku bunuh mama dan papa kau! Kau jangan ingat aku tak boleh buat!” Kay mengugut lagi.

Belina dan Riza berhenti menangis. Masing-masing bangun dan menyorok di bawah meja dapur. Takut dipukul Kay lagi. Takut mereka diapa-apakan. Takut juga ibu bapa mereka dicederakan.

“Aku nak kejutkan papa kau orang. Diam ya… jangan nak menangis lagi,” bicara Kay lembut bagai berubah watak 100% dari sebentar tadi.

Riza dan Belina hanya terdiam. Kegembiraan mereka semalam luput dengan serta merta. Yang ada dalam hati mereka hanyalah…. Bila mama nak pulang? Bila mama akan ambil mereka keluar dari penjara Mak Cik Kay yang kejam ini? Mama cepatlah pulang! Hati anak-anak ini merintih.

***

“MAMA! Mama! Tolong!”

Bella Amira berkalih. Dalam keramaian kelompok-kelompok manusia di pusat pemindahan mangsa banjir, Bella terdengar suara anak-anaknya memanggil. Namun hakikatnya, tiada apa yang berada belakangnya. Yang ada cumalah suara-suara orang ramai yang berkerumun mendapatkan bekalan. Tiada anaknya. Tiada Belina. Tiada Riza.

Bella kembali meneruskan kerja. Bungkus plastik yang berisi pakaian diberi satu persatu kepada mangsa banjir yang sudah berhari-hari memakai pakaian yang sama. Ada juga di kalangan kanak-kanak yang sudah tidak berbaju.

“Mama! Tolong!”

Suara itu sekali lagi memanggil. Bungkus plastik berisi pakaian jatuh dari tangan Bella. Dia menoleh. Bunyi bising orang ramai tiba-tiba jadi senyap. Dari kejauhan Bella terlihat seorang budak lelaki berbaju compang-camping. Wajahnya penuh kotoran hitam manakala tangan-tangannya berbirat merah. Mungkin kesan dari pukulan rotan.

“Riza!” Bella menjerit.

Kakinya berlari laju. Meninggalkan bungkusan pakaian dan mangsa-mangsa banjir yang berada di hadapannya. Semakin Bella mendekati kanak-kanak tersebut, semakin kanak-kanak itu menjauh. Tanpa dia perasaan, kakinya tersadung pada selipar anak-anak kecil yang berselerak di lantai. Bella jatuh pengsan.

***

“MACAM mana dengan keadaannya doktor?” tanya Rahman sambil menggaru-garu rambut afronya.

“Rakan awak ni macam baru lepas melalui trauma.” Doktor Helmi meletakkan jejarinya pada leher Bella. Denyutan nadi dikira.

“Dia pernah mengalami panic attack ke sebelum ni? Denyutan nadinya laju,” kata Doktor Helmi lagi.

Sama ada Rahman, Ain mahupun Fatin, ketiga-tiganya hanya menggeleng. Mereka tidak pernah tahu akan sejarah kesihatan Bella. Yang mereka tahu, Bella jarang-jarang sakit. Dia seorang wanita yang kuat dan gemar melakukan aktiviti lasak. Hanya dua kali sahaja Bella jatuh sakit semasa di pejabat. Kali pertama semasa dia mengandungkan Riza. Pada ketika itu Bella mengalami morning sickness yang teruk sehingga seminggu tidak masuk kerja. Yang kedua, Bella pernah sesak nafas kerana stress yang melampau semasa melalui detik-detik penceraiannya.

“Saya rasa eloklah kalau dia dibawa balik ke KL for further diagnosis. Kat sini ada ramai lagi pesakit yang saya perlu tengok. And I think, she has done a lot to help the people here,” ujar Doktor Helmi sebelum keluar dari bilik khas yang menempatkan pesakit.

Rahman menarik nafas panjang. Pandangannya tertumpu pada Ain yang ligat bermain telefon. “Dapat contact Rizqi tak?” tanyanya.

Nope. Aku try banyak kali tapi dia tak angkat,” jawab Ain.

“Ish bos ni, sejak-sejak kahwin baru dah lupa dah bekas isteri dia!” omel Fatin.

“Orang dah ada famililah katakan… mesti sibuk dengan isteri baru,” sampuk Ain.

Rahman menggeleng-geleng. “Isteri baru ke, apa ke… esok kita kena bawa Belle balik KL. Aku harap-harap dia sedarkan diri esok pagi. Ni dah dekat dua jam tertidur macam ni. Risau jugak.”

“Man… kau trylah pulak call bos. Mana tahu dia angkat,” kata Ain sambil menyuakan telefon bimbitnya.

“Kalau dah kau callberkali-kali dia tak angkat, apa bezanya kalau aku yang call? Apa kata kita call ahli keluarga dia yang lain? Mak Belle hidup lagi, kan?” saran Rahman.

“Hidup! Tapi… Belle dengan mak dia tu tak berapa ngam,” kata Fatin.

“Ngam tak ngam tu lain cerita. Bak telefon Belle!” Rahman menyuakan tangannya. Skrin telefon HTC One milik Bella ditilik. Nasib baik tak letak password. Kalau tak, mahu mati akal mereka dibuatnya.

Kring! Krringg! Kringgg! Tak sempat Rahman menekan skrin besar telefon milik Bella, telefon tersebut berbunyi dahulu. Nama ‘Mama’ terpancar pada skrin yang bercahaya itu.

“Mak dialah!” Rahman menayangkan skrin telefon tersebut ke arah Fatin dan Ain. Mereka terkejut bukan kepalang. Baru berkira-kira nak telefon, tiba-tiba mereka dahulu dihubungi. Macam psikik mak si Bella ni!

Rahman menjawab panggilan tersebut sopan. “Assalamualaikum.”

“Waalaikummussalam. Ni siapa ni?” Zahlia bersuara. Eh, lelaki yang menjawab?

“Saya ni kawan Bella Amira. Mak cik ni mak Belle, ya?” tanya Rahman tanpa menunggu lama.

“Ya saya… Belle mana? Dia okay ke?” tanya Zahlia yang seakan-akan dapat mengagak malang yang telah menimpa anaknya.

“Belle… dia tak sihatlah mak cik. Saya baru terfikir nak telefon mak cik, tapi mak cik dah call saya dulu.”

Zahlia mengurut dadanya perlahan. Benarlah kata hatinya! Mesti ada apa-apa hal berkaitan Bella yang membuatkan hatinya rindu bukan kepalang sehingga memberanikan diri untuk menelefon anaknya.

“Astaghfirullah… ye ke? Mak cik pun asyik je teringat dia ni. Dia kat mana? Boleh panggilkan dia?” minta Zahlia.

“Err….” Rahman menelan air liurnya. “Belle dan kami semua ni sebenarnya di Kelantan. Ikut rombongan sukarelawan bantu mangsa banjir. Tapi… tiba-tiba aje Bella terjatuh, lepas tu pengsan. Dah dekat dua jam dia pengsan.”

“Ya ALLAH… anak aku….” Zahlia menekan dadanya. Hatinya memang tak berapa sedap dua tiga hari ini. Malah sejak perkahwinan Rizqi lepas, dia sudah terasa ada yang tak kena. “Mak cik tak tahu dia ke sana. Lepas tu macam mana ni dik… anak mak cik tu. Dah bawa ke hospital ke macam mana?”

“Sini kalau nak bawa ke hospital… susah sikit. Kena ada kenderaan. Lepas tu banyak jalan yang rosak. Doktor pun kurang mak cik. Kami cadang nak bawa dia balik esok je. Boleh mak cik datang ambil dia atau telefonkan Rizqi atau sesiapalah ambil dia esok? Kemungkinan pagi-pagi besok kami bertolak balik. Petang macam tu sampailah,” jelas Rahman.

“Hmm… tak apalah. Mak cik telefon besan mak cik. Nanti apa-apa mak cik call nombor ni, ya? Tolong tengokkan Belle untuk mak cik. Dan tolong ya dik… kalau dia bangun jangan cakap mak cik ada telefon dia. Dia tak suka. Lagi satu makcik lupa nak tanya… Dik nama apa?” bicara Zahlia dengan rendah hatinya. Sungguh dia risau akan keadaan Bella. Anaknya tidak pernah atau jarang sekali jatuh sakit. Kenapa pula tiba-tiba jadi begini? Adakah ia suatu perkara yang buruk bakal menimpanya?

“Baiklah mak cik. Ada kawan-kawan lain lagi yang tengokkan Bella jugak. Mak cik jangan risau! Panggil saya Man je.” Rahman memberi jaminan. Setelah itu, perbualan antara dia dan Zahlia selesai.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.